#76 Taudhih Al-Hukmi : Panduan Menangani Was-Was Dalam Perkara Ibadah

Tarikh: 19 NOVEMBER 2024

Disediakan oleh: Alifah Ilyana binti Hamizan

Pendahuluan

Was-was termasuk dalam salah satu sifat negatif yang menjadi beban psikologi, tidak mudah untuk dihilangkan begitu saja serta memerlukan masa untuk menghilangkannya. Akibat daripada was-was, seseorang itu merasakan ibadahnya tidak sah dan akan mengulangi perbuatan ibadahnya. Perkara ini boleh memberikan kesusahan melampau kepada dirinya jika tidak dibendung. Terdapat beberapa pendedahan dan pendekatan yang perlu diambil kira bagi menangani was-was terutama sekali apabila berkaitan perkara yang melibatkan ibadah seseorang.

Maksud Was-was

 

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, was-was merupakan perasaan sangsi, curiga dan khuatir.[1] Was-was dalam konteks psikologi dan perubatan sering dikaitkan dengan Obsessive-Compulsive Disorder (OCD). Penyakit OCD merupakan sejenis gangguan mental di mana seseorang mengalami obsesi (pemikiran, dorongan, atau imej yang berulang dan tidak diingini) dan kompulsi (tindakan berulang atau ritual yang dilakukan untuk mengurangkan kecemasan yang disebabkan oleh obsesi).[2]

 

Tanggapan bahawa was-was merupakan satu bentuk penyakit yang menjadi ujian bagi individu mungkin ada kebenarannya. Penyakit was-was boleh berpunca daripada bisikan syaitan yang mempengaruhi seseorang untuk ragu-ragu khususnya dalam urusan ibadah. Keadaan ini boleh menyebabkan individu tersebut cenderung untuk berlebihan dalam melakukan sesuatu perkara. Tidak dapat disangkalkan lagi bahawa syaitan akan menggunakan pelbagai cara demi menyesatkan manusia. Antara cara yang digunakan untuk menyesatkan manusia adalah dengan mencampakkan perasaan was-was ke dalam hati manusia itu sendiri. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nas ayat 5 dan 6:

 

ٱلَّذِى يُوَسْوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ مِنَ ٱلْجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ

Maksudnya: Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia. Dari (golongan) jin dan manusia.

 

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA beliau menyatakan bahawa antara cara syaitan mempengaruhi seseorang adalah dengan:

 

يوسوس بالدعاء إلى طاعته في صدور الناس حتى يُستجاب له إلى ما دعا إليه من طاعته فإذا استجيب له إلى ذلك خَنَس[3]

Maksudnya: Membisikkan seruan untuk mentaati dirinya (syaitan) ke dalam dada manusia sehingga ia (bisikan tersebut) diikuti. Manakala apabila dia diikuti dalam hal tersebut kemudian dia bersembunyi.

 

Saranan Ulama Ketika Menghadapi Perasaan Was-was Dalam Perkara Ibadah

 

Para ulama amat mengambil berat mengenai perkara ini kerana jika dibiarkan berlarutan, ia boleh membawa kepada perkara yang lebih buruk. Antara saranan daripada para ulama ketika menghadapi perasaan was-was semasa melakukan perkara ibadah adalah:

  1. Mempelajari Tatacara Ibadah Yang Sahih

Cara membezakan hasutan syaitan dan kesilapan yang berlaku dalam perkara ibadah adalah dengan ilmu. Mempelajari tatacara ibadah yang sahih dapat membantu seseorang menghindari was-was. Seseorang yang ampuh pengetahuannya dalam soal agama tidak akan mudah terpengaruh dan terikut-ikut dengan arah kecenderungan beragama tanpa ilmu yang benar dan akhirnya akan mengelirukan dirinya sendiri. Penyakit was-was akan mudah mengambil alih peranan akal di mana seseorang tersebut beramal melakukan sesuatu namun tidak mengetahui akan kesahihannya. Imam Ibn Hajar al-Haitami ada menyebutkan:

أَنَّ الْوَسْوَسَةَ لَا تُسَلَّطُ إلَّا عَلَى مَنْ اسْتَحْكَمَ عَلَيْهِ الْجَهْلُ وَالْخَبَلُ وَصَارَ لَا تَمْيِيزَ لَهُ وَأَمَّا مَنْ كَانَ عَلَى حَقِيقَةِ الْعِلْمِ وَالْعَقْلِ فَإِنَّهُ لَا يَخْرُجُ عَنْ الِاتِّبَاعِ

 وَلَا يَمِيلُ إلَى الِابْتِدَاعِ[4]

Maksudnya: Sesungguhnya was-was itu tidak akan menguasai melainkan ke atas mereka yang jahil dan kurang akal sehingga dia tidak dapat membezakan (antara yang baik dan buruk). Sedangkan mereka yang berada di atas hakikat ilmu dan akal tidak akan terkeluar daripada mengikut petunjuk dan tidak pula cenderung kepada perlakuan bid’ah (makruhah dan muharramah).

Antara inisiatif untuk keluar dari belenggu kejahilan tersebut adalah dengan menghadiri majlis ilmu khusus berkaitan ibadah, mempelajari ilmu teori dan praktikal dari sumber yang sahih serta mengambil peluang menanyakan tentang kemusykilan agama kepada mereka yang ahli. Pengetahuan yang benar dan luas dalam urusan agama khususnya dalam bab ibadat akan mengelakkan dirinya daripada salah faham melibatkan perkara yang membatalkan ibadat, syarat sah, syarat wajib dan sebagainya. Dengan demikian, ia mampu memperbaiki perkara yang kurang serta terhindar dari perasaan was-was.

 

  1. Tidak Melayan Perasaan Was-was

Ketika ditanyakan kepada Imam Ibn Hajar al-Haitami mengenai ubat bagi penyakit was- was, beliau mengatakan:

لَهُ دَوَاءٌ نَافِعٌ وَهُوَ الْإِعْرَاضُ عَنْهَا جُمْلَةً كَافِيَةً. وَإِنْ كَانَ فِي النَّفْسِ مِنْ التَّرَدُّدِ مَا كَانَ

فَإِنَّهُ مَتَى لَمْ يَلْتَفِتْ لِذَلِكَ لَمْ يَثْبُتْ بَلْ يَذْهَبُ بَعْدَ زَمَنٍ قَلِيلٍ كَمَا جَرَّبَ ذَلِكَ الْمُوَفَّقُونَ وَأَمَّا مَنْ أَصْغَى إلَيْهَا وَعَمِلَ بِقَضِيَّتِهَا فَإِنَّهَا لَا تَزَالُ تَزْدَادُ بِهِ حَتَّى تُخْرِجَهُ إلَى حَيِّزِ الْمَجَانِينِ بَلْ وَأَقْبَحَ مِنْهُمْ، كَمَا شَاهَدْنَاهُ فِي كَثِيرِينَ مِمَّنْ اُبْتُلُوا بِهَا وَأَصْغَوْا إلَيْهَا وَإِلَى شَيْطَانِهَا[5]

Maksudnya: Baginya (penyakit was-was itu) ubat yang sangat bemanfaat iaitu bersikap tidak peduli secara keseluruhannya (dalam perkara yang di was-waskan itu). Meskipun wujud perasaan was-was dalam dirinya, selagi dia tidak memperhatikan atau memberi perhatian kepada perasaan tersebut, maka ia sebenarnya tidak wujud dan akan hilang dengan sendirinya selepas beberapa ketika. Ini sepertimana yang telah dilalui oleh mereka yang telah diberi petunjuk untuk terlepas daripada penyakit was-was ini. Adapun mereka yang melayan dan menurut perasaan was-was tersebut, ia tidak akan hilang bahkan akan semakin bertambah sehingga boleh membawa kepada kegilaan atau keadaan yang lebih buruk lagi seperti yang kita saksikan pada kebanyakan mereka yang ditimpa penyakit was-was dan terganggu oleh bisikan syaitan.

Seseorang individu hendaklah melatih dirinya agar mengabaikan perasaan was-was dengan menanamkan sikap yakin terhadap sesuatu urusan yang dilakukan. Melayan perasaan was-was akan menyebabkan penyakit itu bertambah buruk. Walaupun perkara ini sukar dilakukan oleh orang yang ditimpa was-was, tetapi ia boleh dilakukan dan memerlukan usaha dan latihan secara bertahap.

  1. Bersabar Dan Terus Mencuba

Seseorang yang ditimpa penyakit was-was ini sebenarnya sedang diuji. Ia adalah ujian melawan kepada hasutan syaitan kerana was-was itu adalah daripada syaitan. Ketika diuji, seseorang itu perlulah sentiasa bersabar dan terus berlatih untuk menghindari perasaan was-was tersebut. Sultan al-Ulama’ Imam al-‘Izz bin Abd al-Salam menyatakan:

دَوَاءُ الْوَسْوَسَةِ أَنْ يَعْتَقِدَ أَنَّ ذَلِكَ خَاطِرٌ شَيْطَانِيٌّ وَأَنَّ إبْلِيسَ هُوَ الَّذِي أَوْرَدَهُ عَلَيْهِ وَأَنَّهُ يُقَاتِلُهُ فَيَكُونُ لَهُ ثَوَابُ الْمُجَاهِدِ؛ لِأَنَّهُ يُحَارِبُ عَدُوَّ اللَّهِ فَإِذَا اسْتَشْعَرَ ذَلِكَ فَرَّ عَنْهُ[6]

Maksudnya: Ubat bagi penyakit was-was ini adalah dengan beriktikad bahawa ianya adalah godaan syaitan. Sesungguhnya iblis, dialah yang membawa (was-was) kepadanya dan orang yang sedang memerangi iblis, baginya pahala seorang yang sedang berjihad kerana sedang memerangi musuh Allah. Sekiranya dia merasa was-was maka larilah daripadanya.

  1. Memohon Perlindungan Allah SWT

Syaitan akan selalu datang untuk membisikkan was-was kepada manusia. Disebabkan itu, perlindungan daripada Allah SWT amatlah penting dalam usaha mengekangnya. Rasulullah SAW pernah didatangi oleh Saidina Uthman bin ‘Amru al-’As yang mengadu kepada Baginda SAW bahawa dirinya sering diganggu oleh bisikan syaitan ketika mana di dalam solat dan bacaannya. Lalu Nabi SAW bersabda:

ذَاكَ شَيْطَانٌ يُقَالُ لَهُ خَنْزَبٌ فَإِذَا أَحْسَسْتَهُ فَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْهُ وَاتْفِلْ عَلَى يَسَارِكَ ثَلاَثًا[7]

Maksudnya: Itu adalah syaitan yang namanya Khanzab. Jika kamu merasa gangguannya, maka mohonlah perlindungan daripada Allah SWT dan meniup (sambil mengeluarkan sedikit air liur tanpa meludah penuh) ke bahagian kirimu sebanyak tiga kali.

(Riwayat Muslim)

Selain itu, disarankan untuk berdoa kepada Allah SWT seperti yang telah diajarkan di dalam firman-Nya iaitu surah al-Mukminun ayat 97 dan 98:

وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنۡ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَٰطِينِ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحۡضُرُونِ

Maksudnya: Dan katakalah: Ya Tuhanku, aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku dari kedatangan mereka kepadaku.

 

Juga disarankan membaca doa yang sering diamalkan oleh Baginda SAW seperti yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA iaitu:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ وَطَاعَتِكَ[8]

Maksudnya: Wahai (Tuhan) yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku atas agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu.

(Riwayat Ahmad)

Oleh yang demikian, memohon pertolongan dan perlindungan dari Allah SWT dengan yakin merupakan salah satu cara menangani perasaan was-was dan ia merupakan bentuk ibadah yang mencerminkan pengakuan kelemahan dan kebergantungan seseorang hamba kepada Allah SWT serta menunjukkan bahawa setiap penyelesaian kepada suatu permasalahan hanya datang dari-Nya.

 

Kesimpulan

Was-was merupakan salah satu penyebab utama hilangnya khusyuk seseorang dalam beribadah. Tidak dapat dinafikan, setiap manusia pasti mengalami perasaan was-was kerana syaitan sentiasa berusaha untuk menghasut. Namun, cara mengelakkan was-was adalah dengan mengikuti panduan yang telah diajarkan oleh para ulama dalam menangani perasaan tersebut. Apabila seseorang terhindar daripada was-was, maka dirinya akan terlindung daripada pelbagai keburukan termasuklah sikap memberatkan diri dalam urusan agama.

Para ulama menyarankan agar memperkemaskan pengetahuan dengan mempelajari tatacara ibadah yang sahih, mengambil sikap tidak peduli akan perasaan was-was tersebut, bersabar dan terus mencuba serta memohon perlindungan daripada Allah SWT. Wallahua’lam.

 

 



[1] Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat.

[3] Imām al-Ṭabarī, Jāmi’ al-Bayān ‘an Ta’wīl Āy al-Qurān, (Mekah: Dār al-Tarbiyyah wa al-Turāth, t.t), jil. 24, ms. 710.

[4] Imām Ibn Ḥajar al-Ḥaitami, al-Fatāwā al-Fiqhiyyah al-Kubrā, (al-Maktabah al-Islāmiyyah, 1431H/2010M), jil. 1, ms. 150.

[5]  Imām Ibnu Ḥajar al-Ḥaitami, al-Fatāwā al-Fiqhiyyah al-Kubrā, (al-Maktabah al-Islāmiyyah, 1431H/2010M), jil. 1, ms. 149.

[6] Al-Syeikh Muḥammad Ṣoleh al-Munjid, al-Qism al-‘Arabīy min Mawqi’ al-Islām Suāl wa Jawāb, 1430H/2009M), no. 62839, jil. 6, ms. 1414.

 

[7] Abū Husayn Muslim bin al-Hajjāj bin Muslim al-Qusyairī al-Nisāburī, Sahīh Muslim, (Turki: Dār al-Tibā’ah al- ‘Amārah, 1915), no. hadis 2203, jil. 7, ms. 20.

[8] Al-Imām Ahmad bin Ḥanbal, Musnad Aḥmad, (Muassasah al-Risālah, 1421H/2001H), no. hadis 26133, jil. 43, ms. 230.

 

Accessibility Toolbar