#75 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Isteri Meminta Upah Menyusukan Anak

Tarikh: 30 Oktober 2024

Disediakan oleh: Nor Hanani binti
Ahmad

 

Pendahuluan

Susu ibu merupakan makanan utama bagi bayi yang diperakui
memberi khasiat terbaik untuk perkembangan dan tumbesaran bayi. Menjadi
kelaziman bagi seorang ibu menyusukan anaknya setelah anak tersebut dilahirkan
yang mana proses penyusuan anak memerlukan kepada pengorbanan seorang ibu dari
sudut masa, tenaga dan emosi agar bayi yang dilahirkan membesar dengan sihat
serta mendapat sepenuh perhatian dan kasih sayang. Justeru itu, adakah boleh
bagi mereka meminta upah menyusukan anak daripada suami atas pengorbanan yang
mereka lakukan?

 

Hukum
Penyusuan Anak

Susu ibu diperakui oleh pakar kesihatan merupakan makanan
terbaik bagi tumbesaran bayi serta dijauhi daripada pelbagai penyakit[1].
Sudah menjadi kelaziman ibu yang melahirkan akan menyusukan bayinya sendiri
sebagai rasa tanggungjawabnya terhadap anak setelah melalui proses kehamilan
dan kelahiran. Di samping ia menjadi wasilah terjalinnya kasih sayang antara
ibu dan anak.

 

            Fuqaha’
bersepakat bahawa ibu wajib menyusukan anaknya[2] dari sudut syarak iaitu
perbuatan yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak bagi
memastikan bayi yang dilahirkan hidup dan membesar dengan baik. Kewajipan ini
meliputi ibu yang masih dalam perkahwinan, telah bercerai dan telah tamat
tempoh iddahnya.

 

            Namun
begitu, fuqaha’ berselisih pendapat tentang kewajipan ibu menyusukan anaknya
sendiri dari sudut perundangan. Mazhab Maliki menyatakan ibu wajib menyusukan
anaknya dan boleh dipaksa untuk melakukannya. Manakala Jumhur menyatakan
perbuatan ini sebagai sunat dan tidak boleh memaksa ibu menyusukan anaknya
kecuali jika darurat.[3] Hal
ini kerana hak seorang anak untuk mendapat susu iaitu pemakanan merupakan
kewajipan seorang bapa. Maka, seorang bapa tidak boleh memaksa ibu menyusukan
anak sama ada keadaan ibu tersebut daripada keluarga kebiasaan atau keluarga
bangsawan serta masih dalam perkahwinan atau bercerai. Perbezaan pendapat ini
berlaku dalam memahami firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 233
daripada ayat ini:

 

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ
كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah
menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak
menyempurnakan penyusuan itu

 

Hingga ayat:

وَإِنْ أَرَدتُّمْ أَن تَسْتَرْضِعُوا أَوْلَادَكُمْ فَلَا
جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِذَا سَلَّمْتُم مَّا آتَيْتُم بِالْمَعْرُوفِ ۗ

Maksudnya: Dan jika kamu hendak beri
anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu
apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut.

 

Mazhab Maliki menjelaskan bahawa
ayat ini menunjukkan kewajipan ibu menyusukan anaknya sama ada masih dalam
perkahwinan atau dalam tempoh iddah talak raj’i.
Pemerintah boleh memaksa ibu tersebut melakukan demikian jika tiada
sebarang keuzuran kecuali wanita daripada golongan bangsawan kerana kebiasaan
bagi mereka tidak wajib menyusukan anak dan menerima penyusuan daripada wanita
lain. Dapat difahami daripada ayat ini bahawa perintah wajib bagi setiap ibu atau
wanita lain untuk menyusukan bayi yang merupakan hak bagi bayi tersebut. Begitu
juga tidak wajib menyusukan bayi bagi ibu yang telah diceraikan dengan talak ba’in. Firman Allah SWT dalam surah
al-Talaq ayat 6:

وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ

Maksudnya: Dan (sebaliknya) jika
kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain
menyusukannya.

 

Tafsir al-Tabari menjelaskan berkenaan ayat ini bahawa jika
si bapa dan si ibu yang telah berpisah (talak ba’in) menghadapi kesukaran untuk menyusukan anak dan si ibu enggan
untuk menyusukan anaknya, si bapa tidak mempunyai hak untuk memaksa si ibu agar
menyusukan anak tersebut, bahkan si bapa hendaklah mengupah wanita lain untuk
menyusukan anak tersebut[4].
Jelas di sini bahawa si ibu mempunyai hak untuk membuat pilihan sama ada untuk
menyusukan anaknya ataupun tidak. Ia sebagaimana difatwakan menurut mazhab Imam
al-Shafi’i bahawa:

 

أن الرضاع حق للأم تطالب به عندما تشاء وليس واجباً عليها. فلا
تلزم به إلا إذا لم يوجد مَن يقوم مقامها فيصبح الإرضاع واجباً عليها للضرورة[5]

Maksudnya: Menyusu merupakan hak
bagi si ibu, ia dituntut melakukannya jika dia mahu, tidaklah menjadi kewajipan
baginya. Maka, dia tidak wajib melakukan yang demikian melainkan jika tiada
sesiapa yang boleh menggantikannya, maka penyusuan baginya menjadi wajib kerana
darurat.

 

Disunatkan bagi ibu menyusukan anak
kerana susu ibu merupakan makanan terbaik bagi anaknya. Bahkan proses penyusuan
dapat memancarkan kasih sayang antara ibu dan anak. Penyusuan adalah hak ibu,
begitu juga anak mempunyai hak untuk mendapatkan makanan. Perkara ini
menunjukkan bahawa kedua-dua pihak iaitu ibu dan anak mempunyai hak yang mesti
dipenuhi bagi menyempurnakan lagi kehidupan.

 

Walaupun secara umumnya ibu tidak
wajib menyusukan anak, namun menurut mazhab Shafi’i, seseorang ibu wajib
memberikan sekurang-kurangnya susu awal atau al-liba’ atau dikenali sebagai kolostrum, kepada bayinya sekalipun
dia menjumpai wanita lain untuk menyusukan anaknya. Hal ini kerana kebiasaannya
seseorang bayi tidak mampu hidup dan tidak cukup khasiat tanpa susu tersebut
(susu yang keluar ketika awal kelahiran[6]. Fuqaha’ bersepakat ibu
wajib menyusukan anaknya pada keadaan berikut:

(1)   Anak
tersebut tidak boleh menerima susu melainkan hanya susu ibunya, maka wajib bagi
ibu menyusukannya bagi menyelamatkannya daripada penyakit dan kematian.

(2)   Tidak
ada wanita lain yang boleh menyusukanya melainkan hanya ibunya sebagai
kelangsungan hidup anak tersebut.

(3)   Apabila
bapa tidak berkemampuan untuk mengupah wanita lain menyusukan anaknya.



Hukum Isteri
Meminta Upah Menyusu

Sebagaimana dijelaskan di atas menurut jumhur bahawa menyusu
bukanlah kewajipan bagi si ibu, akan tetapi jika si ibu tetap menyusukan
anaknya sendiri, adakah isteri boleh menuntut upah menyusu tersebut daripada
suaminya? Perincian masalah ini dijelaskan seperti berikut[7]:

 

1)      Isteri
tidak berhak mendapat upah penyusuan menurut mazhab Hanafi, Shafi’i dan Hanbali
jika masih dalam perkahwinan atau dalam tempoh iddah selepas perceraian. Hal ini kerana beliau telah mendapat
nafkah yang wajib daripada suaminya dan dia tidak berhak mendapat perbelanjaan
lain sebagai pertukaran bagi penyusuannya. Tidaklah berkumpul dua kewajipan ke
atasnya iaitu nafkah dan upah menyusu pada satu masa, memadai nafkah wajib yang
diberikan suami kepada isterinya.

 

Mazhab Maliki turut bersetuju dengan
pendapat ini jika penyusuan tersebut wajib bagi si ibu. Akan tetapi jika
penyusuan tersebut tidak wajib bagi ibu seperti sesetengah golongan sebagai
contoh golongan bangsawan yang secara kebiasaannya tidak menyusukan anaknya,
maka isteri berhak mendapat upah penyusuan tersebut.

 

2)      Isteri
berhak mendapat upah penyusuan dengan persetujuan selepas berakhirnya perkahwinan
dan tempoh iddah atau dalam iddah kematian. Firman Allah SWT dalam
surah al-Talaq ayat 6:

 

فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ ۖ

Maksudnya: kemudian jika mereka
menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya

           

Perkara ini terpakai kepada wanita
yang bercerai iaitu selepas berakhirnya
perkahwinan dan iddah kematian kerana tiada nafkah untuk isteri
selepas berakhirnya perkahwinan dan iddah kematian.

 

3)      Sebahagian
ulama Hanafi dan Maliki menyatakan isteri berhak mendapat upah bayaran
penyusuan dalam tempoh iddah talak ba’in
kerana status isteri ketika itu seperti orang asing. Allah SWT telah mewajibkan
wanita yang diceraikan supaya diberi upah penyusuan, begitu juga ketika hamil
mempunyai hak untuk menanggungnya. Hal ini kerana nafkah dan upah penyusuan
adalah wajib sebagaimana dalam firman-Nya dalam surah Talaq ayat 6.

 

Jika isteri dan suami bersepakat
untuk menyusukan anaknya sendiri secara sukarela, adakah suami wajib memberi
nafkah tambahan? Terdapat dua pandangan dalam isu ini[8]:

 

(1)   Suami
wajib memberi nafkah tambahan menurut pandangan Abu Sa’id dan Abu Ishaq kerana
keperluan isteri semasa menyusu adalah lebih banyak, jadi memerlukan kepada
nafkah tambahan lain.

 

(2)   Tidak
perlu memberi nafkah tambahan kerana nafkahnya telah ditentukan, maka tidak
perlu nafkah tambahan kerana keinginannya, seperti mana tidak perlu nafkah
tambahan kepada makanan yang diingini.

 

Jika isteri berkehendak untuk menyusu dengan diberi bayaran
upah, disebutkan dalam kitab al-Muhadhdhab, padanya terdapat dua pandangan[9]:

 

1)      Tidak
harus menurut pandangan Syeikh Abu Hamid Al-Isfarini kerana waktu penyusuan itu
sepatutnya terdapat hak suami untuk (istimta’)
dengan gantian iaitu nafkah. Maka tidak boleh mengambil gantian yang lain
(iaitu upah).

 

2)      Harus
kerana ia merupakan suatu pekerjaan yang diharuskan mendapatkan upah selepas
atau sebelum talak ba’in. Apabila
telah jatuh talak ba’in, suami tidak
boleh memaksanya untuk menyusukan anak, sebagaimana suami tidak boleh
memaksanya sebelum jatuh talak ba’in.
Jika isteri menuntut upah menyusu dari suami dan tiada sesiapa yang boleh
menyusukan anaknya tanpa upah, maka upah tersebut lebih berhak diberi kepada
isteri.

 

Perbahasan di atas menunjukkan bahawa upah tambahan yang
diberikan kepada isteri yang menyusukan anak merupakan suatu persepakatan yang
perlu dipersetujui antara isteri dan suami. Harus bagi isteri menuntut upah
menyusu daripada suaminya jika beliau berkehendak untuk berbuat demikian. Suami
sewajarnya mempertimbangkan tuntutan tersebut sebagai suatu ihsan atas
pengorbanan isteri, namun, ia tidaklah wajib dtunaikan
oleh suami.

 

Dalam masa yang sama, isteri pula perlu mempertimbangkan
tuntutan tersebut dengan melihat kepada kemampuan suami dari sudut harta.
Malah, menyusukan anak sendiri oleh ibunya merupakan fitrah semulajadi atas
dasar kasih sayang. Melainkan terdapat halangan seperti sakit dan sebagainya
maka penyusuan boleh dilakukan oleh perempuan lain atau dengan memberikan susu
formula.

 

Kesimpulan

Isteri yang secara sukarela menyusukan anaknya harus meminta
upah menyusu daripada suaminya. Namun begitu tuntutan tersebut bukanlah suatu
kewajipan ke atas suami. Adapun begitu, upah tambahan menyusu wajar
dipertimbangkan oleh suami kepada isteri atas persetujuan bersama antara mereka
atas dasar ihsan dan sebagai tanda penghargaan suami atas pengorbanan isteri
melahirkan dan menyusukan anak.

 


[1] Aḥmad
bin Muṣṭafā al-Marāghī, Tafsīr al-Marāghī,
(Mesir: Sharikah Maktabah wa Maṭba’ah Muṣṭafā al-Bābī al-Ḥalabī wa Awladihi,
1946), Jil. 2, ms. 185.

[2] Wahbah
bin Muṣṭafā Al-Zuḥailī, al-Fiqh Al-Islāmi
wā Adillatuh
, (Damsyik: Dār Al-Fikr, 1984), Jil. 10, ms. 7274.

[3] Wahbah
bin Muṣṭafā Al-Zuḥailī, 7274.

[4] Abū
Ja’far, Muḥammad bin Jarīr al-Tabarī, Jāmi’
al-Bayān ‘an Takwīl Ā’yā al-Qurān
, (Mekah: Dār al-Tarbiah wa al-Turāth,
t.t), Jil. 23, ms. 462.

وإن
تعاسر الرجل والمرأة في رضاع ولدها منه، فامتنعت من رضاعه، فلا سبيل له عليها،
وليس له إكراهها على إرضاعه، ولكنه يستأجر للصبيّ مرضعة غير أمه البائنة منه

[5] Muṣṭafā
al-Khīn, Muṣṭafā al-Bughā, ‘Alī al-Syarbajī, al-Fiqh al-Manḥāji ‘ala Madhab al-Imām al-Shāfi’ī, (Damsyik: Dār
al-Qalam lil Taba’ah wa al-Naysr wa al-Tawzi’’, 1992), Jil. 4, ms. 204.

[6] Zakariyā
bin Muḥammad bin Zakariyā al-Anṣārī, Zāyn al-Dīn Abū Yaḥyā al-Sinīkī, Asnā al-Maṭālib fī Sharḥ Rawdh al-Ṭālib,
(t.p: Dār al-Kutub al-Islāmī, t.t), Jil. 3, ms. 445.

[7] Wahbah
bin Muṣṭafa al-Zuḥaily, al-Fiqh al-Islāmi
wā Adillatuh
, (Damsyik: Dār al-Fikr, t.t, 2015), Jil. 10, ms. 7277-7278.  Ibarah untuk no. 2

تستحق الأم الأجرة على الرضاع بالاتفاق بعد انتهاء
الزوجية والعدة، أو في عدة الوفاة  لقوله تعالى:
{فإن أرضعن
لكم فآتوهن
أجورهن} [الطلاق:6/ 65] فهي واردة في المطلَّقات، ولأنه لا نفقة للأم بعد الزوجية
وفي عدة الوفاة

[8] Abū  Isḥāq Ibrāhīm bin ‘Alī bin Yūsuf al-Shīrāzī, al-Muhadhab fī Fiqh al-Imām al-Shāfi’ī,
(Dār al-Kutub al-‘Ilmiah, t.t), Jil. 3, ms. 162.

[9] Abū  Isḥāq Ibrāhīm bin ‘Alī bin Yūsuf al-Shīrāzī, al-Muhadhab fī Fiqh al-Imām al-Shāfi’ī,
Jil. 3, ms. 162.

Accessibility Toolbar