Disediakan oleh: Ahmad Amiruddin bin Ahmad Shukri
Tarikh: 21 Oktober 2024
Pendahuluan
Umat Islam dituntut memelihara adab ketika berinteraksi
dengan al-Quran sama ada daripada sudut bacaan, tadabbur, dan sebagainya. Hal
ini kerana, al-Quran ialah kalamullah yang mengandungi mukjizat, ia
diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril AS sebagai rahmat dan petunjuk
kepada seluruh manusia yang beriman. Justeru itu, seseorang yang beriman perlu
menjadikan Al-Quran sebagai pegangan dalam kehidupan serta beramal dan menjaga
adab dengannya kerana ia akan menjadi
hujah ke atas manusia ketika hari akhirat kelak. Namun begitu, adakah
bacaan al-Quran secara berlagu dikira sebagai beradab dan dibenarkan? Perkara
ini timbul kerana terdapat tegahan mengenai bacaan al-Quran secara berlagu
khususnya di dalam solat. Justeru artikel pada kali ini akan membincangkan
perbahasan berkenaan hukum melagukan bacaan al-Quran ketika solat.
Memahami Isi
Kandungan Al-Quran
Secara asasnya, perbuatan membaca
al-Quran untuk tujuan zikir, dan tadabbur adalah dituntut di sisi agama Islam
kerana ia membawa kepada pengamalan terhadap isi kandungan al-Quran. Hal ini
dijelaskan berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Muhammad ayat 24:
أَفَلَا
يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَى قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا
Maksudnya: (Setelah
diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami
serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup
(yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?
Menurut Imam Ibn
Kathir, ayat di atas merupakan perintah daripada Allah SWT agar umat Islam
merenungi dan memahami isi kandungan yang terdapat di dalam al-Quran. Bahkan
kita juga dilarang berpaling daripadanya[1]. Maka
dapat difahami bahawa tadabbur adalah satu proses untuk memahami ayat al-Quran
secara umum dan ia pula berbeza dengan tafsir yang merupakan satu ilmu untuk
memahami makna sebenar daripada ayat-ayat al-Quran. Namun begitu, kedua-dua
perkara ini adalah sebagai wasilah yang akan menatijahkan kefahaman yang sahih
terhadap kalam Allah SWT.
Bacaan
Al-Quran secara berlagu
Sememangnya terdapat galakan
memperindah suara ketika membaca Al-Quran. Perkara ini dapat dilihat
berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Barra’
bin ‘Adzib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
زَيِّنُوا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ[2]
Maksudnya: Hiasilah
al-Quran dengan suara-suara kamu.
(Riwayat Abu Dawud)
Hadis di atas menjelaskan bahawa yang
dimaksudkan dengan memperindahkan suara adalah menyibukkan suara-suara kamu
dengan al-Quran serta melazimkan diri kamu dengan membacanya dan menjadikan
al-Quran sebagai syiar dan perhiasan bagi kamu[3].
Meskipun begitu, para ulama secara
keseluruhannya bersetuju tentang keutamaan menghias suara dengan bacaan
al-Quran. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa para ulama daripada kalangan
sahabat, tabi’in, dan ulama yang terkemudian telah bersepakat tentang keutamaan
memperindah suara dalam membaca al-Quran berdasarkan hadis di atas[4].
Di samping itu, terdapat juga anjuran
memperindahkan bacaan al-Quran berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah
RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ. وَزَادَ
غَيْرُهُ: يَجْهَرُ بِهِ[5]
Maksudnya: Bukan dari kalangan kami mereka
yang tidak memperindahkan bacaan al-Quran. Sebahagian yang lain menyebut:
Menyaringkannya.
(Riwayat al-Bukhari)
Namun
begitu, dalam mengulas berkenaan perkara ini kita perlu perhatikan sejauh mana
konteks memperindahkan bacaan al-Quran boleh diamalkan. Imam al-Nawawi di dalam
kitabnya Al-Azkar menjelaskan,
katanya:
ويستحبّ
تحسين الصوت بالقراءة وتزيينها ما لم يخرج عن حدّ القراءة بالتمطيط، فإن
أفرط حتى زاد حرفاً أو أخفى حرفاً، هو حرام. وأما القراءة بالألحان، فهي على ما
ذكرناه إن أفرط، فحرام، وإلا فلا[6]
Maksudnya: Disunatkan
memperindahkan suara ketika membaca (Al-Quran) dan menghiasinya selagi ia tidak
melampaui had batasan bacaan secara berlebih-lebihan. Sekiranya
berlebih-lebihan sehingga menambah satu huruf atau menghilangkan satu huruf,
maka ia adalah haram. Adapun membaca al-Quran
secara berlagu hukumnya seperti yang disebutkan, iaitu menjadi haram
sekiranya berlebih-lebihan, dan sekiranya tidak berlebih-lebihan maka tidak
diharamkan.
Berdasarkan
kenyataan ini, sesuatu bacaan yang dibaca secara alunan mestilah tidak melebihi
batasan-batasan yang dibenarkan oleh syarak. Hal ini kerana, sikap
berlebih-lebihan akan membawa kepada kerosakan pada hukum tajwid yang terdapat
dalam al-Quran serta boleh membawa kepada penambahan huruf dan pengurangan
huruf bagi sesuatu ayat al-Quran.
Selain itu, para ulama bersepakat bahawa membaca al-Quran
dengan alunan yang mengubah huruf atau memanjangkan sesuatu yang tidak perlu
adalah haram. Imam al-Mawardi menyatakan bahawa membaca al-Quran dengan
melagukannya menjadi haram jika irama tersebut mengubah lafaz al-Quran seperti
menambah atau menghilangkan harakat, memendekkan atau memanjangkan lafaz yang
salah sehingga mengelirukan makna. Pembaca dan pendengar dianggap berdosa
kerana menyimpang daripada kebenaran. Namun, jika alunan itu tidak mengubah
tartil bacaan, ia dibolehkan kerana hanya menambah keindahan bacaan.[7].
Adapun menurut Syeikh Abu al-Abbas al-Qurtubi menyatakan
bahawa perubahan dalam huruf atau lafaz al-Quran melalui alunan yang berlebihan
adalah haram tanpa keraguan. Ini kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan
kesalahan dalam makna al-Quran dan mengganggu kefahaman pendengar terhadap
maksud ayat-ayat al-Quran[8].
Justeru, dapat kita fahami bahawa sesuatu bacaan yang dibaca
dengan alunan adalah diharuskan sekiranya dibaca secara tartil dan tidak
berlaku sebarang perkara yang boleh merosakkan ayat-ayat al-Quran serta
maknanya. Hal ini sejajar dengan firman Allah SWT di dalam Surah al-Muzammil
ayat 4:
وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا
Maksudnya: dan bacalah
Al-Quran dengan “Tartil”.
Oleh itu, kita perlu kembali kepada tujuan sebenar dalam
memperindahkan bacaan al-Quran. Imam Ibnu Kathir menjelaskan bahawa tujuan
memperindahkan bacaan al-Quran adalah:
وَالْغَرَضُ أَنَّ الْمَطْلُوبَ شَرْعًا إِنَّمَا هُوَ
التَّحْسِينُ بِالصَّوْتِ الْبَاعِثِ عَلَى تَدَبُّرِ الْقُرْآنِ
وَتَفَهُّمِهِ وَالْخُشُوعِ وَالْخُضُوعِ وَالِانْقِيَادِ لِلطَّاعَةِ، فَأَمَّا
الْأَصْوَاتُ بِالنَّغَمَاتِ الْمُحْدَثَةِ الْمُرَكَّبَةِ عَلَى الْأَوْزَانِ
وَالْأَوْضَاعِ الْمُلْهِيَةِ وَالْقَانُونِ الْمُوسِيقَائِيِّ، فَالْقُرْآنُ
يُنَزَّهُ عَنْ هَذَا وَيُجَلُّ وَيُعَظَّمُ أَنَّ يُسْلَكَ فِي أَدَائِهِ هَذَا
الْمَذْهَبُ[9]
Maksudnya: Tujuan syarak adalah memperindahkan suara
supaya mendorong untuk mentadabbur, memahami al-Quran, khusyuk, patuh, dan
tunduk kepada ketaatan. Adapun suara-suara dengan irama baru yang disusun
dengan cara yang melalaikan dan mengikut hukum muzik, maka haruslah dijauhkan
al-Quran daripada ini, serta dijaga dan dihormati agar tidak digunakan dalam
pembacaan seperti ini.
Melagukan
bacaan Al-Quran ketika solat
Berhubung
isu melagukan bacaan al-Quran di dalam solat, maka terdapat beberapa perkara
yang perlu diperhatikan khususnya terhadap syarat sah bacaan di dalam solat.
Syeikh Taqiy al-Din al-Hisni di dalam Kifayat al-Akhyar menyatakan:
وَتجب قِرَاءَة الْفَاتِحَة بِجَمِيعِ حروفها وتشديداتها
فَلَو أسقط حرفا أَو خفف مشدداً أَو بدل حرفا بِحرف سَوَاء فِي ذَلِك الضَّاد
وَغَيره لم تصح قِرَاءَته وَلَا صلَاته وَلَو لحن لحنا بِغَيْر الْمَعْنى كضم تَاء
أَنْعَمت أَو كسرهَا أَو كسر كَاف إياك لم يُجزئهُ[10]
Maksudnya: Wajib membaca surah
al-Fatihah dengan semua huruf dan tasydidnya. Jika seseorang meninggalkan satu
huruf atau meringankan huruf yang bertasydid, atau menukar satu huruf dengan
huruf lain, sama ada huruf dhad atau
selainnya, maka tidak sah bacaannya dan solatnya. Jika seseorang melakukan
kesalahan bacaan yang tidak mengubah makna, seperti menukarkan baris ta dalam an’amta kepada baris hadapan atau baris bawah, atau menukarkan
baris kaf dalam iyyaka kepada baris bawah, maka ia tidak memadai.
Berdasarkan kenyataan ini, bacaan al-Quran secara berlagu di
dalam solat adalah diharuskan dan tidak membatalkan solat sekiranya memenuhi
syarat-syarat berikut:
- Tidak Menyebabkan Penambahan atau Pengurangan Huruf: Jika berlagu menyebabkan perubahan pada
baris atau sebutan huruf sehingga makna asalnya berubah, maka bacaan
tersebut menjadi tidak sah dan solat boleh terbatal. Bacaan secara berlagu
mesti dijaga agar tidak mengubah makna ayat-ayat al-Quran.
- Memelihara Tertib dan Tajwid: Bacaan berlagu mestilah
mematuhi hukum tajwid dengan sempurna, seperti sebutan huruf yang betul,
pemanjangan (mad), penekanan (tasydid), dan hukum-hukum lain. Membaca
secara berlagu tidak boleh menyebabkan pengabaian tajwid dan tertib ayat.
- Tidak Berlebihan atau Melampaui Batas: Bacaan secara berlagu
hendaklah bersederhana, dan tidak boleh dilakukan dengan cara yang
berlebihan atau dibuat-buat sehingga kelihatan seperti pertunjukan.
Matlamat utama adalah untuk khusyuk dalam solat, bukan untuk
menunjuk-nunjuk keindahan suara.
- Mengutamakan Kekhusyukan: Tujuan membaca secara berlagu
adalah untuk mencapai keindahan dalam bacaan dan meningkatkan kekhusyukan.
Jika bacaan berlagu mengganggu kekhusyukan diri sendiri atau makmum (bagi
seorang imam), maka lebih baik untuk tidak berlagu dan membaca dengan cara
biasa.
- Tidak Menyebabkan Kelalaian: Bacaan secara berlagu tidak
boleh menyebabkan seseorang lalai daripada pemahaman dan maksud ayat-ayat
yang dibaca. Ia sepatutnya membantu meningkatkan rasa tawaduk dan
mendekatkan diri kepada Allah.
Kesimpulan
Membaca al-Quran secara berlagu di
dalam solat adalah diharuskan, selama mana ia tidak mengganggu kesahihan bacaan
iaitu meraikan tajwid dan tartil serta tidak mengubah lafaz dan makna. Namun,
penting untuk memastikan bahawa fokus utama yang perlu diberi perhatian adalah
terhadap penghayatan makna al-Quran, khusyu’, dan memberi kesan besar kepada
pembacanya.
[1]Ibn Kathīr, Abū al-Fidā’ Ismā’īl. Tafsīr Ibn Kathīr. (Dar al-Tayyibah li al-Nasyr wa al-Tawzi’,
1999). 7/320.
[2]Abū Dāwud al-Sijistānī. Sunan
Abī Dāwud. (Beirut: Maktabah al-’Asriyyah, t.t). 2/74. Hadis no. 1468.
[3]Al-’Azīm Ābādī, Syaraf al-Haq. ‘Awn al-Ma’būd Syarḥ Sunan Abī Dāwud. (Beirut: Dar al-Kutub
al-’Ilmiyyah, t.t). 4/239.
[4]Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muhyī al-Dīn bin Sharaf. Al-Tibyān fī Adāb Hamlat al-Qurān.
(Beirut: Dar Ibn Hazm, t.t). 109.
[5] Al-Bukhārī,
Muḥammad bin Ismāīl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī.
(Damsyiq: Dar Ibn Kathir, Dar al-Yamamah, 1993). 6/2737. Hadis no. 7089.
[6]Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muhyī al-Dīn bin Sharaf. Al-Adhkār. (Beirut: Dar al-Fikr, 1994).
108.
[7]Al-Māwardī, Abū al-Hasan ‘Alī. Al-Hāwī al-Kabīr. (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1999). 17/198.
[8]Abū al-‘Abbās al-Qurtubī. Al-Mufhim Li Mā Asykala min Talkhīs Kitāb Muslim. (Beirut: Dar Ibn
Kathir, 1996). 2/421.
[9]Ibn Kathīr, Abū al-Fidā’ Ismā’īl. Tafsīr Ibn Kathīr. (Dar
al-Tayyibah li al-Nasyr wa al-Tawzi’, 1999). 1/64.
[10]Taqīy al-Dīn al-Ḥiṣnī. Kifāyat
al-Akhyār fī Hal Ghāyah al-Ikhtisār. (Damsyiq: Dar al-Khayr, 1994). 105