#73 Taudhih Al-Hukmi : Penjelasan Hukum Solat Dengan Pemakaian Telekung Kebiasaan Wanita Melayu

 

Tarikh : 18 Oktober 2024

Disediakan oleh: Alifah Ilyana binti Hamizan


Pendahuluan

Wanita Muslimah Asia sering dilihat memakai set pakaian putih yang dikenali sebagai telekung setiap kali menunaikan solat dan menjadikannya sebagai suatu kebiasaan bagi tujuan menutup aurat ketika solat. Namun perlu mempertimbangkan pakaian yang dipakai di dalam telekung tersebut. Adakah  memadai dengan memakai baju berlengan pendek dan seumpamanya atau perlu memakai pakaian yang menutup aurat untuk mendapatkan solat yang sah dengan penutupan aurat yang sempurna mengikut kehendak syarak? Jika benar menurut ijtihad para ulama, bagaimanakah pula dengan status solat wanita yang tidak memakai pakaian menutup aurat di dalam telekung sebelum mengetahui hal ini? Berikut merupakan penjelasan ringkas mengenai hukum yang terkait dengan wanita yang solat menggunakan pemakaian telekung kebiasaan wanita Melayu.

 

 

Aurat Yang Wajib Ditutup Di Dalam Solat

Imam Ibn Hajar al-Haytami menyatakan bahawa pandangan muktamad mazhab al-Syafi’i mengenai aurat yang wajib ditutup di dalam solat adalah: 

يَجِبُ سَتْرُ أَعْلَاهُ أَيْ السَّاتِرِ أَوْ الْمُصَلِّي بِدَلِيلِ قَوْلِهِ عَوْرَتِهِ الْآتِي وَجَوَانِبِه لَا أَسْفَلِهِ لِعُسْرِهِ[1]

Maksudnya: Wajib bagi orang yang solat itu menutup aurat yang boleh kelihatan daripada atasnya dan bahagian tepi (iaitu keliling bahagian tubuhnya) bukan dari arah bawahnya kerana ianya sukar.

Beliau juga menjelaskan kesukaran yang dimaksudkan adalah:

 

في عدم وجوب ستر الأسفل يؤخذ أنه لَوِ اتَّسَعَ الْكُمُّ فَأَرْسَلَهُ بِحَيْثُ تُرَى مِنْهُ عَوْرَتُهُ لَمْ يَصِحَّ إذْ لَا عُسْرَ فِي السَّتْرِ مِنْهُ وَأَيْضًا فَهَذِهِ رُؤْيَةٌ مِنْ الْجَانِبِ وَهِيَ تَضُرُّ مُطْلَقًا[2]

 

Maksudnya: Pada keperluan untuk menutup bahagian bawah yakni yang difahamkan bahawa sekiranya lengan sesuatu baju itu luas dan dibiarkan sehingga menampakkan aurat daripadanya, maka ia tidak sah kerana tidak ada kesukaran untuk menutupnya. Begitu juga, aurat yang kelihatan tersebut merupakan aurat yang wajib ditutup dari arah tepi. Maka solat menjadi batal dan tidak sah.

Daripada kenyataan fuqaha “tidak wajib menutupi bahagian bawah” ini, dapat diambil kesimpulan bahawa jika lengan bajunya lebar lalu dia meluruskannya hingga kelihatan auratnya (lengan) dari hujung lengan baju, maka ianya tidak sah kerana tiada kesukaran untuk menutupi aurat dari hujung lengan tersebut (dengan cara diikat atau seumpamanya). Disamping itu, masalah ini termasuk dalam kategori ‘aurat yang boleh dilihat dari tepi’ di mana ianya menimbulkan masalah (solatnya tidak sah) dalam apa jua keadaan. Oleh itu, aurat yang wajib ditutup adalah aurat yang boleh kelihatan daripada atas, tepi dan keliling tubuh. Manakala aurat yang tidak diwajibkan untuk ditutup adalah aurat yang boleh kelihatan daripada arah bawah kaki.

 

Maksud Sebenar Arah Bawah Daripada Sesuatu Pakaian

Habib Abdul Rahman bin Umar al-Masyhur menyatakan:

والمراد بأسفله في حق المرأة ما تحت قدميها وبجوانبه ما بين ذلك[3]

Maksudnya: Yang dimaksudkan dengan ‘di bawahnya’ dalam pemakaian wanita ialah bahagian di bawah tapak kakinya. Sementara yang dimaksudkan dengan ‘di tepinya’ pula adalah bahagian tubuh di antara hujung kepala hingga hujung kaki.

Pernyataan di atas menetapkan bahawa yang dimaksudkan dengan ‘bawah’ adalah bawah kaki dan bukan mana-mana sahaja bahagian yang dianggap sebagai bawah. Beliau menyatakan lagi:

 

حِينَئِذٍ لَوْ رُؤِيَ صَدْرُ المَرْأَةِ مِنْ تَحْتِ الخِمَارِ لِتُجَافِيهِ عَنِ القَمِيصِ عِندَ نَحْوِ الرُّكُوعِ أَوِ اتَّسَعَ الكَمُّ بِحَيْثُ تُرَى مِنْهُ العَوْرَةَ بَطَلَتْ صَلَاتُهَا فَمَن تُوهِمَ أَنَّ ذَلِكَ مِنَ الأَسْفَلِ فَقَدْ أَخْطَأَ لِأَنَّ المُرَادُ بِالأَسْفَلِ أَسْفَلُ الثَّوْبِ الَّذِي عَمَّ العَوْرَةَ أَمَّا مَا سَتَرَ جَانِبِهَا الأَعْلَى فَأَسْفَلَهُ مِنْ جَانِبِ العَوْرَةِ بِلَا شَكٍّ[4] 

 

Maksudnya: Dengan ini, jika dada wanita dapat dilihat dari bawah tudung semasa rukuk atau seumpamanya (disebabkan tudung itu tidak melekap dengan bajunya) atau jika lengan bajunya lebar sehingga auratnya kelihatan dari hujung lengan baju tersebut, maka batal solatnya. Dengan ini sesiapa yang beranggapan bahawa yang demikian itu termasuk ‘kelihatan dari bawah’, dia telah silap kerana yang dimaksudkan dengan ‘bawah’ di sini ialah bawah pakaian yang menutupi keseluruhan aurat. Adapun bahagian yang kelihatan dari bawah pakaian yang menutupi badannya sahaja maka ia termasuk dalam kategori aurat yang wajib ditutup tanpa sebarang keraguan.

 

Bawah sesuatu pakaian yang dimaksudkan adalah bawah dari keseluruhan pakaian yang dipakai. Bagi pemakaian telekung, bawah yang dimaksudkan adalah bawah dari kain telekung dan bukannya bawah dari tudung telekung. Sekiranya aurat yang dilihat dari arah bawah kain telekung masih kelihatan semasa solat, maka ia dimaafkan dan tidak membatalkan solat.

Manakala aurat yang dilihat dari arah bawah tudung telekung termasuk dalam kategori aurat yang dilihat dari arah tepi dan keliling yang wajib ditutup. Oleh itu, pemakaian baju berlengan pendek atau pakaian lain yang tidak menutup aurat di dalam tudung telekung adalah tidak memadai kerana rekaan tudung telekung yang terbuka luas pada bahagian bawahnya menampakkan aurat jika dilihat dari arah bawah tudung telekung tersebut.

 

Tujuan Asal Penggunaan Telekung

Perlu difahami bahawa tujuan asal pemakaian telekung adalah untuk membantu penutupan aurat dengan lebih sempurna. Ini bermakna pemakaian telekung menyempurnakan lagi pakaian yang menutup aurat yang dipakai di dalam telekung dan bukan sekadar menutup aurat yang belum sempurna ditutup di dalam telekung. Keadaan terbaik bagi mendapatkan solat yang sah dari aspek penutupan aurat setelah memahami hukum yang telah dibahaskan oleh para ulama di atas adalah:

  1. Memakai pakaian yang menutup aurat di dalam telekung Melayu, atau
  2. Memakai telekung yang bercantum tudung dengan kainnya.

Perkara ini merupakan hasil ijtihad para ulama yang berusaha memberikan kefahaman secara mudah kepada masyarakat umum. Perlu diamati bahawa perkara ini tidak menjadi permasalahan pada zaman dahulu kerana adat dan kebiasaan masyarakat wanita Melayu dahulu mengenakan pakaian yang berlengan panjang sekalipun berada di dalam rumah dan ketika solat. Perkara ini juga menjadi perkara yang jarang dibahaskan oleh para ulama negara lain terutamanya dari Arab kerana adat kebiasaan pakaian solat bagi para wanita mereka adalah pakaian berupa jubah ataupun abaya yang menutup seluruh tubuh sekaligus dan tidak terpisah.

Para fuqaha telah memperhalusi perbahasan ini dengan lebih mendalam. Aurat yang boleh kelihatan dari bawah hanya dimaafkan jika pakaiannya labuh sampai ke kaki dan menutup keseluruhan tubuh sekaligus. Keadaan ini juga merupakan suatu usaha yang semaksima mungkin untuk menutup aurat dengan sempurna berbanding keadaan berpakaian tidak menutup aurat di dalam telekung.

Aurat yang kelihatan dari bawah tudung telekung semasa berpakaian tidak menutup aurat di dalamnya tidak termasuk perkara yang dimaafkan kerana pemakaian baju yang menutup aurat tidak dianggap sebagai suatu perkara yang menyukarkan.

  

Hukum Dan Status Solat Terdahulu Bagi Wanita Berpakaian Tidak Menutup Aurat Di Dalam Tudung Telekung 

Hukum asal solat bagi wanita yang berpakaian tidak menutup aurat di dalam tudung telekung adalah tidak sah berdasarkan hujah yang dibahaskan. Namun, solat-solat terdahulu bagi wanita yang mengenakan pakaian tidak menutup aurat di dalam tudung telekung sebelum mengetahui akan hukum ini adalah sah dan tidak perlu diqada’. Tindakan mewajibkan seseorang untuk mengqada’ semula semua solatnya dilihat bertentangan dengan keluasan syariat Islam dan fiqh dakwah. Demikian juga, perkara ini termasuk dalam keadaan yang disebutkan oleh Imam Jalaluddin al-Suyuti iaitu:

 

لأن ذلك يخفي على العوام[5]

 

Maksudnya: Kerana ia merupakan perkara yang tersembunyi daripada orang awam (yakni tidak diketahui oleh orang ramai).

 

Selain itu, Ibn Battal menyatakan bahawa:

 

فعذرهم الله بغلبة العادة وآخذهم بما تعمدوه من ذلك[6]

 

Maksudnya: Maka Allah SWT memaafkan mereka kerana kebiasaan mereka mengikut adat dan Dia menghukum mereka atas apa yang mereka sengajakan daripada hal tersebut.

 

Beliau turut menyatakan:

فلم يوجب على المخطئ في التقديم والتأخير فدية (شيء)

 لغلبة الجهالة[7]

 

Maksudnya: Maka Allah SWT tidak mewajibkan fidyah (denda) kepada orang yang tersilap dalam mendahulukan atau mengakhirkan (hal yang sama berlaku ini dalam perkara berkaitan ibadah haji) kerana kejahilan yang menguasai mereka.

 

Disebabkan kejahilan seseorang tentang perkara ini dan amalan memakai pakaian yang tidak menutup aurat di dalam tudung telekung terutamanya baju yang menampakkan lengan dan leher telah menjadi urf yang ghalib (adat kebanyakan wanita) di negara kita, hal ini termasuk dalam kategori di mana kesalahan seseorang itu dimaafkan dan perkara ini berlaku hanya dalam permasalahan tertentu sahaja. Oleh itu, solat yang dilaksanakan dalam keadaan tidak mengetahui hukum ini tidak perlu diqada’. Namun, apabila sudah mengetahui akan hukum ini maka adalah menjadi satu kewajiban untuk melakukan perubahan dan menjadikan perkara yang betul itu suatu kebiasaan.

 

Secara ringkasnya, perbahasan di atas dimuatkan dalam jadual berikut sebagai memudahkan kefahaman.

Situasi A

 

Pakaian di dalam tudung telekung

Pakaian yang tidak menutup aurat.

Hukum solat

Tidak sah.

Alasan hukum

Aurat boleh kelihatan dari arah bawah tudung telekung dan bukan dari arah bawah pakaian (kain telekung) yang dimaksudkan oleh para ulama. Memakai pakaian yang tidak menutup aurat di dalam telekung tidak dikira sebagai usaha menutup aurat dengan sempurna kerana inisiatif memakai pakaian yang menutup aurat tidak dianggap sukar pada zaman ini.

Status solat sebelum mengetahui akan hukum ini

Solat yang dilakukan sebelum mengetahui hukum ini tidak perlu diulangi kerana ia dimaafkan lantaran kejahilannya.

 

           Situasi B

Pakaian di dalam tudung telekung

Pakaian yang menutup aurat.

Hukum solat

Sah.

Alasan hukum

Aurat tidak kelihatan dari arah bawah tudung telekung. Memakai pakaian yang menutup aurat di dalam telekung dikira sebagai usaha maksima untuk menutup aurat secara sempurna.

 

Kesimpulan

Aurat yang dapat dilihat dari arah bawah tudung telekung tidak termasuk dalam kategori aurat yang dimaafkan. Solat yang dilaksanakan sebelumnya dalam keadaan tidak mengetahui akan hukum ini tidak perlu diqada’ atas alasan perkara ini merupakan perkara yang tersembunyi dalam kalangan masyarakat serta ia telah menjadi urf yang ghalib (adat kebanyakan wanita) di negara kita.

Namun setelah memahami hukum ini, para wanita hendaklah mengenakan pakaian yang menutup aurat di dalam telekung dan terus mengamalkan perkara ini. Semoga penulisan artikel ini dapat membantu memberi kefahaman yang sahih serta mengajak para pembaca untuk sama-sama menerima, melakukan pembaharuan serta menyebarkan perkara ini kepada masyarakat umumnya dan kepada para wanita khususnya. Wallahua’lam.

 



[1] Ibn Hajar al-Haytamī, Tuḥfah al-Muḥtāj fi Syarh al-Minhāj, (Kaherah, Mesir: Maktabah al-Tijāriah al-Kubrā 1983), Jil. 2 , ms. 114 .

[2] Ibid.

[3] ‘Abdul Rahman bin Muhammad bin Husain bin `Umar al-Masyhur, Bughyatul Mustarsyidīn, (Mesir: Dār al-Faqīh,1414H/1994M), Jil.2, ms. 145.

[4]  Ibid.

[5] Al-Suyūṭī, Jalāluddīn ‘Abdul Raḥmān al-Suyūṭī, al-Asybāh wa al-Naẓāir, (Dār al-Kutub al-‘Ilmiyah, 1403H/1983M), ms. 200.

[6] Ibn Baṭṭāl, Abū al-Ḥasan ‘Alī bin Khalaf bin ‘Abdul Malik, Syarḥ Saḥīḥ al-Bukhārī, (Riyadh, Saudi: Maktabah al-Rusyd, 1423H/2003M), jil. 6, ms. 128.

[7] Ibn Baṭṭāl, Abū al-Ḥasan ‘Alī bin Khalaf bin ‘Abdul Malik, Syarḥ Saḥīḥ al-Bukhārī, (Riyadh, Saudi: Maktabah al-Rusyd, 1423H/2003M), jil. 6, ms. 128.

Accessibility Toolbar