Tarikh: 8 Oktober 2024
Disediakan oleh: Nabeela Akrasha binti Surtahman
Pendahuluan
Solat fardu merupakan ibadah penting bagi umat Islam dalam kehidupan seharian. Penentuan awal waktu bagi setiap waktu solat telah dirakamkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah serta dibincangkan oleh para fuqaha’. Pada masa yang sama, tafsiran falak dan astronomi menerusi fenomena alam seperti cahaya fajar dan senja di langit dan kaedah hitungan beserta rumus membantu memberikan pemahaman lanjut dan kaedah teknikal dalam menentukan awal waktu solat. Fokus di dalam artikel ini adalah untuk membincangkan perbezaan cahaya senja di langit malam menurut Fiqh dan Astronomi dan hubungannya dengan penentuan awal waktu Isya’.
Penetapan Waktu Isya’
Pensyariatan waktu solat secara amnya menyentuh beberapa dimensi perbincangan termasuk penentuan awal dan akhir waktu solat. Firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 103;
اِنَّ الصَّلٰوةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ كِتٰبًا مَّوْقُوْتًا
Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
Pelaksanaan solat fardu pada tempoh waktu yang tertentu seperti mana yang ditetapkan di dalam nas adalah satu kemestian dalam ibadah. Seseorang mukallaf perlulah mengetahui masa bermula dan berakhirnya setiap waktu solat agar solat yang didirikan diyakini dan sah amalannya. Dengan erti kata lain, waktu solat yang tepat dan sahih diperlukan dalam melaksanakan tiap-tiap ibadah.
Waktu solat Isya’ dapat didefinisikan melalui dua pembahagian. Pertama, dari segi bahasa, Isya’ merujuk kepada masa malam yang menjadi gelap. Kedua, secara istilah, Isya’ merujuk kepada solat yang dilakukan setelah solat maghrib, dan waktunya bermula ketika hilang cahaya shafaq di ufuk. Sabda Rasulullah SAW;
وَوَقْتُ صَلاَةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغِبِ الشَّفَقُ[1]
Maksudnya: Dan waktu solat maghrib adalah selama mana belum hilangnya shafaq[2].
(Riwayat Muslim)
Begitu juga hadis dari Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda;
ثُمَّ أَمَرَهُ بِالْعِشَاءِ فَأَقَامَ حِينَ غَابَ الشَّفَقُ[3]
Maksudnya: Kemudian Baginda memerintahkannya (Bilal) untuk melaungkan azan Isya’, maka dia berdiri melaksanakannya apabila shafaq telah hilang.
(Riwayat al-Tirmizī)
Istilah shafaq, atau cahaya senja di langit membawa dua makna: shafaq ahmar dan shafaq abyad. Asasnya, penetapan waktu solat melibatkan dua aspek iaitu aspek syariah dan tafsiran falak. Dari aspek syariah, penentuan waktu solat digariskan di dalam nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Kedua-dua sumber ini kemudiannya dihuraikan oleh para fuqaha’ dan diterjemahkan melalui tafsiran falak untuk membolehkan pengiraan waktu-waktu solat dilaksanakan.
Perbezaan pandangan berkaitan shafaq ini menyebabkan perbezaan pandangan dalam penetapan awal waktu Isya’. Pandangan para fuqaha’ mengenai istilah dan ketetapan waktu Isya’ diperjelaskan melalui ilmu Falak dan Astronomi dengan merujuk kepada tingkatan cahaya senja dan kedudukan matahari.
Cahaya Senja Menurut Fuqaha’
Senja merupakan kejadian semula jadi harian yang berlaku akibat daripada putaran bumi pada paksinya, di mana matahari berada pada posisi di bawah ufuk dan jisim samawinya sudah tidak kelihatan. Fenomena senja ini disebutkan dalam beberapa ayat Al-Quran, termasuklah di dalam surah al-Insyiqaq ayat 16;
فَلَا أُقْسِمُ بِالشَّفَق
Maksudnya: Maka sesungguhnya aku bersumpah dengan shafaq (cahaya merah di waktu senja).
Dalam ayat ini, Allah SWT bersumpah dengan cahaya merah yang timbul setelah tenggelamnya matahari hingga datangnya waktu solat Isya’. Para fuqaha’ bersepakat bahawa awal waktu Isya’ dimulai ketika cahaya senja hilang sepenuhnya[4]. Shafaq, atau cahaya senja, membawa dua makna, iaitu shafaq ahmar (senja merah) dan shafaq abyad (senja putih). Kedua-dua istilah ini merujuk kepada keadaan cahaya di langit selepas terbenamnya matahari dan memainkan peranan dalam menentukan permulaan waktu solat Isya’.
Pandangan pertama shafaq yang dimaksudkan adalah shafaq ahmar, iaitu merujuk kepada cahaya merah yang kelihatan di langit barat selepas matahari terbenam. Ia adalah pandangan Jumhur ulama iaitu; Mazhab Maliki[5], Shafi’i, dan Hanbali[6]. Waktu solat Isya’ bermula apabila shafaq ahmar hilang sepenuhnya dari ufuk barat. Daripada Ibn Umar RA, Rasulullah SAW berkata;
الشَّفَقُ الحُمرَةُ، فإِذا غابَ الشَّفَقُ وجَبَتِ الصَّلاةُ[7]
Maksudnya: (Cahaya) shafaq adalah merah, apabila (cahaya) shafaq hilang, maka wajib (menunaikan) solat (Isya’).
(Riwayat al-Baihaqi)
Manakala pandangan kedua pula iaitu Mazhab Hanafi[8], waktu solat Isya’ bermula apabila shafaq abyad hilang sepenuhnya. Cahaya ini adalah pantulan sinar matahari yang lebih jauh di bawah ufuk menjadikan waktu Isya’ bermula lebih lewat berbanding pandangan mazhab lain yang mengambil kira hilangnya shafaq ahmar sebagai penanda awal waktu Isya’.
Daripada Ibn Mas’ud RA;
وَيُصَلِّي الْعِشَاءَ حِينَ يَسْوَدُّ الأُفُقُ[9]
Maksudnya: Dan Baginda (Rasulullah SAW) solat Isya’ ketika gelapnya ufuk.
(Riwayat Abu Daud)
Gelapnya ufuk menunjukkan ia bukanlah shafaq ahmar, kerana ufuk tidak menjadi gelap sehingga hilangnya shafaq abyad.
Cahaya Senja Menurut Astronomi
Dalam Astronomi, keadaan senja merujuk kepada serakan cahaya matahari yang wujud pada bahagian rendah atmosfera langit. Ia adalah fenomena yang berlaku selepas matahari terbenam. Kesan serakan cahaya ini berlaku apabila matahari berada pada posisi di bawah ufuk, di mana matahari sudah tidak kelihatan namun masih memantulkan cahayanya ke langit[10]. Perubahan kesan cahaya yang berlaku selepas matahari terbenam boleh dikenal pasti melalui warna kecerahan langit berhampiran ufuk. Semakin dalam matahari terbenam, semakin menurun kawasan serakan cahaya matahari[11]. Rajah di bawah menunjukkan perbezaan kawasan serakan cahaya matahari mengikut ketinggian kedudukan matahari di bawah ufuk.
Rajah 1.1 Perubahan keluasan kawasan serakan matahari selepas terbenam
Sumber: Baharuddin et. al[12]
Ibn Yunus[13] menyatakan perubahan warna ufuk di langit bermula dengan warna kuning, diikuti oleh warna oren, dan akhirnya merah[14]. Namun, perubahan ini sukar dikesan dengan mata kasar seperti di Malaysia yang sering diliputi awan yang tebal di langit, cuaca yang tidak menentu, atau pencahayaan yang tinggi. Merujuk kepada ilmu Astronomi, cahaya senja dibahagikan kepada tiga fasa utama berdasarkan kedudukan matahari di bawah ufuk: senja sipil (civil twilight), senja nautika (nautical twilight), dan senja astronomi (astronomical twilight). Akhir senja astronomi (astronomical twilight) merupakan indikasi bagi waktu Isya’, iaitu ketika mana matahari mencapai 18° di bawah ufuk[15].
Ini bertepatan dengan kajian-kajian dan ijtihad yang dilakukan oleh sarjana Islam terdahulu seperti Habash dan al-Biruni (18° di bawah ufuk), Ibn Yunus, Ibn al-Shatir dan Sibt al-Mardini (19° di bawah ufuk)[16], Sheikh Tahir Jalaluddin (18° di bawah ufuk) dan telah dirujuk bagi menentukan parameter kedudukan matahari bagi waktu Isya’ di Malaysia. Perlulah dijelaskan bahawa nilai sudut ini tidak tetap dan mempunyai perbezaan bergantung kepada hasil kajian yang dilakukan pada ketika itu yang juga dipengaruhi oleh musim, geografi dan latitud sesuatu tempat. Maka, tiada lagi satu nilai sudut yang seragam di peringkat antarabangsa[17]. Semua negeri di Malaysia termasuk negeri Selangor menggunakan nilai 18° di bawah ufuk Barat[18].
Rajah 1.2 Kedudukan matahari 18° di bawah ufuk barat
Integrasi Cahaya Senja
Secara umumnya, kajian-kajian yang dilakukan dalam menentukan parameter kedudukan matahari pada waktu Isya’ iaitu pada 18° di bawah ufuk adalah berpandukan hilangnya shafaq, iaitu kesan serakan cahaya matahari yang terakhir. Namun, adakah ia shafaq ahmar ataupun abyad?
Di dalam kitab Ilm al-Mawaqit wa al-Kiblah wa al-‘Ahillah, karangan Dr. Solahuddīn Ahmad Muhammad ‘Amir[19], nilai sudut 18° merujuk kepada berakhirnya shafaq aḥmar, begitu juga dengan pandangan Hadi[20], David A. King[21] dan disokong oleh Nurul Kausar et. al[22]. Namun begitu, di dalam kajian-kajian yang dilakukan berkenaan kedudukan matahari waktu Isya’, tidak dizahirkan secara khusus apakah ianya berpandukan shafaq ahmar ataupun shafaq abyad. Akan tetapi, pengamatan kedudukan matahari yang dilakukan di dalam kajian adalah ketika mana cahaya matahari tidak lagi kelihatan di langit setelah matahari terbenam memberikan indikasi bahawasanya ianya adalah shafaq abyad kerana setelah shafaq abyad langit menjadi gelap tanpa kesan serakan cahaya matahari.
Menurut Faizal[23], tempoh shafaq abyad adalah sebentar sahaja selepas berakhirnya shafaq ahmar. Jika disoroti pandangan jumhur, waktu Isya’ bermula apabila berakhirnya shafaq ahmar, namun apabila diambil kira tempoh shafaq abyad yang sekejap sebelum gelapnya langit malam dan juga keadaan cuaca dan geografi di Malaysia khususnya, hasil kajian-kajian falak yang dilakukan adalah tidak konsisten dalam menentukan darjah yang tepat dan ianya diambil ketika kesan cahaya matahari yang terakhir kelihatan iaitu berakhirnya shafaq abyad.
Ini adalah salah satu ijtihad dalam menentukan waktu solat Isya’ kerana mengambil kira mashaqqah (kesukaran) dalam menentukan bilakah shafaq ahmar berakhir dengan memilih akhir shafaq abyad iaitu cahaya serakan matahari yang terakhir sebagai panduan parameter nilai darjah kedudukan matahari. Di samping itu, ia juga merupakan satu pendekatan ihtiyati (berjaga-jaga) bila mana waktu shafaq ahmar berakhir tidak dapat ditentukan dengan jelas, maka solat Isya’ ditentukan menggunakan parameter kedudukan matahari di bawah ufuk Barat pada 18° iaitu apabila hilangnya kesan serakan cahaya matahari yang terakhir.
Hasilnya, waktu Isya’ dihitung dengan formula berikut;
Waktu Masuk Solat Isya’ = Waktu Istiwa’ + t (Isya’)
t (Isya’) merupakan sudut jam dari istiwa’ ke waktu Isya’ iaitu pada kedudukan matahari terbenam di kedudukan 108° (90° + 18°).
Kesimpulan
Penentuan waktu solat Isya’ merupakan aspek penting dalam kehidupan umat Islam yang memerlukan pemahaman mendalam tentang fenomena alam, khususnya cahaya senja. Dalam astronomi, cahaya senja yang diindikasikan pada permulaan waktu Isya’ adalah ketika berakhirnya senja astronomi (astronomical twilight). Dalam konteks fiqh Islam, dua istilah utama yang digunakan untuk menggambarkan cahaya senja adalah shafaq ahmar dan shafaq abyad.
Jumhur fuqaha’, termasuk Mazhab Maliki, Shafi’i dan Hanbali menetapkan waktu Isya’ bermula selepas hilangnya shafaq ahmar, manakala Mazhab Hanafi menetapkan selepas hilangnya shafaq abyad. Hasil kajian yang dilakukan oleh sarjana-sarjana Islam merungkai parameter kedudukan matahari yang digunakan bagi penentuan awal waktu Isya’. Parameter ini berlandaskan kepada takrifan fuqaha’ dan dihitung berpandukan darjah kedudukan matahari. Di Malaysia, waktu Isya’ ditentukan pada kedudukan matahari 18° di bawah ufuk. Parameter ini diguna pakai dalam formula hitungan waktu Isya’ yang ditetapkan bagi menjana waktu-waktu solat Isya’ sepanjang tahun.
[1] Muslim, Muslim bin al-Ḥajjāj. (1998). Ṣaḥīḥ Muslim. Saudi Arabia: Bait al-Afkār al-Dawliyyah. Hadis no. 612. Jil. 4, ms. 233.
[2] Bilamana cahaya shafaq hilang di langit, maka masuklah waktu solat Isya’
[3] Abū Isā al-Tirmiẓi. Sunān al-Tirmiẓi. Mesir: Maktabah Dār al-Salām. Edisi kedua, Hadis no. 152. Jil. 2, ms. 180.
[4] Al-Khaṭīb al-Shirbīnī, Muḥammad bin Muḥammad. 1997. Mughnī al-Muhtāj Ilā Ma’rifat Ma’āni alfāz al-Minhāj Beirut: Dār ‘Ᾱlam al-Kutub. Jil. 2, ms 25.
[5] Mālik ibn Anas. 1998. Al-Muwatta’. Beirut: Dār al-Fikr. Hadis no. 23. Jil. 1, ms.20.
[6] Ibn Qudamah. 1997. al-Mughnī. Beirut: Dār ‘Ᾱlam al-Kutub. Jil. 2, ms 26.
[7] al-Baihaqi. 2011. al-Sunan al-Kubrā. Kaherah: Markaz Hijr. Hadis no. 1765. Jil. 3, ms 48.
[8] al-Sarkhasi. tt. al-Mabsut. Beirut: Dār al-Ma’rifah. Jil. 1, ms 144.
[9] Abū Dāwūd (Dā’ūd), Sulaymān ibn al-Ash’ath al-Azdī al-Sijistānī. 2009. Sunan Abi Dāwūd. Beirut: Dār al-Risalah al-Ᾱlamiah. Hadis no. 419. Jil. 1, ms 114.
[10] Hardi. 2011. Kajian Penetapan Takwim Solat Pulau Pinang Menurut Ilmu Falak. Disertasi Sarjana, Universiti Malaysia. Ms. 169.
[11] Baharuddin Zainal et. al. 2019. Kemajuan Hitungan Falak. Terengganu: UNISZA. Ms. 80.
[12] Ibid. Ms. 81
[13] Alī bin ‘Abd. al-Rahmān (m. 1009m) atau lebih dikenali dengan nama gelarannya Ibn Yūnus merupakan ahli Astronomi dan Matematik dari Sicily. Beliau telah menghasilkan karya teragungnya, al-Zīj al-Hākimī al-Kabīr, yang menyumbang ilmu signifikan dalam Astronomi, terutamanya bagi penentuan waktu untuk ibadah dalam Islam.
[14] Dlm. Baharuddin Zainal et. al. Ibid. Ms. 81.
[15] Mohd Faizal. 2022. Mukhtasar Ilmu Falak. Pulau Pinang: Baytul Hikma. Ms. 73.
[16] Dlm. Baharuddin Zainal et. al. Ibid. Ms. 81-82.
[17] Mohammad Ilyas. 1999. Astronomy of Islamic Times for the Twenty-first Century. Kuala Lumpur A.S. Nordeen. Ms. 55.
[18] Mohd Faizal. Ibid. Ms. 73.
[19] Solāhuddīn Ahmad Muhammad ‘Ᾱmir. 2019. Ilm al-Mawāqīt wa al-Kiblah wa al-‘Ahillah. Kuwait: Dar al-Tahiriyyah. Ms. 79.
[20] Hadi Bashori. 2015. Pengantar Ilmu Falak. Pustaka al-Kautsar. Ms. 160.
[21] David A. King. 1986. “Ibn Yunus Very Useful Tables for Reckoning Time by the Sun,” dlm. Islamic Mathematical Astronomy. London: Variorum Reprints. Ms. 367.
[22] Nurul Kausar et. al. 2019. “Pendekatan Tempatan dalam Mendepani Isu-isu Penentuan Waktu Solat”. Jurnal Fiqh, Vol. 16, no. 1, ms. 137.
[23] Mohamad Faizal. Ibid. Ms. 72