KUNJUNG HORMAT DATO’ SERI UTAMA DIRAJA MUFTI SELANGOR KE KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI REPUBLIK TURKIYE

Ankara, Turkiye, 2 September 2024 – YAD Dato’ Setia Prof. Madya Dr. Hj. Anhar bin Hj. Opir, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor telah menyertai delegasi peserta Kursus Jangka Pendek Syariah (Falak) mengadakan kunjung hormat ke pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Republik Turkiye anjuran Universiti Malaya dan Persatuan Jurufalak Syar’ie.

Delegasi kursus yang diketuai oleh Prof. Dr. Mohd Fauzi bin Hamat, Dekan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya bersama peserta-peserta kursus telah hadir pada jam 5.30 petang waktu tempatan dan telah disambut oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Duta Besar Malaysia ke Republik Turkiye, Tuan Sazali bin Mustafa Kamal serta pegawai-pegawai Kedutaan yang lain.

Peserta kursus yang buat pertama kalinya diadakan ini terdiri daripada Sahibus Samahah Mufti Negeri Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Wilayah Persekutuan dan Sabah, Sahibus Samahah Timbalan Mufti Negeri Perak, Pensyarah-pensyarah Akademi Pengajian Islam، Universiti Malaya, pegawai Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan pegawai-pegawai falak Jabatan Mufti Negeri-Negeri dan pegawai penyelidik Balai Cerap Teluk Kemang, Negeri Sembilan.

Majlis dimulakan dengan kata-kata aluan oleh Tuan Yang Terutama, Tuan Sazali bin Mustafa Kamal, yang mengalu-alukan kehadiran ahli rombongan serta menekankan kepentingan kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Turkiye termasuk kerjasama dalam bidang ilmu falak yang mana kerjasama ini akan dapat memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Turkiye.

Kursus jangka pendek ini merupakan kursus yang dianjurkan oleh Diyanet Turkiye dengan kerjasama Universiti Ankara, Universiti Istanbul dan Universiti Marmara.

Program ini diharapkan akan dapat memperkukuh jalinan kerjasama strategik dalam bidang falak antara Malaysia dan Turkiye, serta membawa manfaat besar kepada komuniti Islam khususnya dalam pendidikan dan penyelidikan ilmu falak di kedua-dua negara serta dunia Islam amnya.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com