#67 Taudhih Al-Hukmi : Amalan Selawat Badariyyah

Tarikh: 16 Ogos 2024

Disediakan oleh: Ahmad Mursyid bin Azhar

 

Pendahuluan

Selawat Badariyyah atau selawat Badar adalah antara selawat yang sering dinasyidkan di Malaysia. Walaupun begitu, Beberapa permasalahan telah dibangkitkan berkenaan dengan selawat Badariyyah. Bagi memahami masalah ini dengan lebih baik, kita lihat dahulu teks selawat Badariyyah seperti berikut:

 

صَلاَةُ اللهِ سَلاَمُ اللهِ عَلَى طه رَسُولِ اللهِ

صَلاَةُ اللهِ سَلاَمُ اللهِ عَلَى يس حَبِيبِ اللهِ

تَوَسَّلْناَ بِبِسْمِ اللهِ وَبِالْهَادِي رَسُولِ اللهِ

وَكُلِّ مُجَاهِدِ للهِ بِأَهْلِ الْبَدْرِ يَا الله

إِلَهِي سَلِّم الأُمَّة مِنَ الآفَاتِ وَالنِّقْمَة

وَمِن هَمٍّ وَمِن غُمَّةٍ بِأَهْلِ الْبَدْرِ يَا الله

 

Maksudnya: Selawat dan salam Allah SWT kepada Taha utusan Allah. Selawat dan salam Allah SWT kepada Yasin kekasih Allah. Kami bertawasul dengan nama Allah SWT dan juga dengan al-Hadi pesuruh Allah serta setiap orang yang berjihad kerana Allah SWT, juga dengan ahli Badar Ya Allah. Tuhanku selamatkanlah umat ini daripada penyakit dan kemarahan. Juga daripada kegusaran dan kedukaan dengan berkat ahli Badar Ya Allah.

 

Berdasarkan teks selawat tersebut, jelas disebutkan Taha dan Yasin adalah Nabi Muhammad SAW sebagai utusan dan juga kekasih Allah. Perkara ini menjadi persoalan, benarkah Yasin dan Taha adalah salah satu nama Nabi SAW? Bukan itu sahaja, berdasarkan selawat ini juga, timbul persoalan bolehkah bertawassul dengan mereka yang telah meninggal dunia? Seterusnya menjadi isu adakah selawat ini boleh diamalkan?

 

Pemahaman Selawat

Selawat berasal daripada perkataan al-solah yang mempunyai dua maksud pada sudut bahasa. Pertama al-solah bermaksud doa dan memohon keberkatan.[1] Manakala maksud yang kedua adalah ibadah.[2] Manakala penggunaan lafaz al-solah atau selawat adalah berbeza-beza mengikut makna yang dikehendaki.

 

Adapun makna selawat kepada Nabi SAW juga berbeza-beza mengikut kepada siapa yang mengucapkan selawat. Sama ada selawat Allah SWT kepada Nabi SAW atau selawat para malaikat kepada Nabi SAW atau selawat manusia dan juga makhluk lain kepada Nabi SAW. Menurut al-Sakhawi dalam al-Qawl al-Badi’:

أن معنى صلاة الله تعالى على نبيه ثناؤه عليه وتعظيمه. وصلاة الملائكة وغيرهم طلب ذلك له من الله تعالى، والمراد طلب الزيادة لا طلب أصل الصلاة.

Maksudnya: Sesungguhnya makna selawat Allah kepada Nabi SAW adalah merupakan pujian serta penghormatan Allah SWT kepadanya. Selawat para malaikat dan makhluk-makhluk lain kepada Nabi SAW adalah permintaan kepada Allah SWT agar dikurniakan selawat kepada Nabi SAW. Yang dimaksudkan permintaan kepada Allah SWT agar dikurniakan selawat adalah meminta agar ditambahkan lagi pujian dan penghormatan Allah SWT kepada Baginda SAW bukan pula meminta asal selawat.

 

Berdasarkan penjelasan al-Sakhawi ini, dapat difahami bahawa selawat Allah SWT kepada Nabi SAW adalah pujian dan penghormatan. Manakala selawat para malaikat dan makhluk-makhluk lain adalah permintaan kepada Allah SWT supaya ditambahkan lagi pujian dan penghormatannya kepada Nabi SAW.[3]

 

 

Lafaz Selawat Yang Paling Afdal

Ulama berbeza pendapat dalam menentukan lafaz selawat yang paling afdal untuk diucapkan atau diamalkan. Walaupun begitu secara dasarnya selawat yang afdal dan terbaik adalah selawat yang diajarkan oleh Nabi SAW sebagaimana dalam hadis-hadis Baginda SAW.  Kata al-Sakhawi:

ولا خلاف أن من صلى على النبي صلى الله عليه وسلم بكيفية من الكيفيات المروية الصحيحة الرواية عنه صلى الله عليه وسلم … ويجب عند أهل النظر أن يتخير الإنسان للصلاة عليه أصحها إسنادا، ومن أصحها إسنادا أتمها معنى.

Maksudnya: Tidak berlaku khilaf kepada sesiapa yang berselawat kepada Nabi SAW untuk menggunakan lafaz-lafaz daripada riwayat yang sahih melalui periwayatan kepada Nabi SAW… menurut mereka yang mampu mengkaji (ahl al-nazhar) wajib bagi seseorang untuk memilih selawat yang paling sahih sanadnya. Ini kerana sanad yang sahih menunjukkan makna yang paling sempurna.[4]

 

 

Dalam kitab al-Qawl al-Badi’ Fi al-Solah ‘Ala al-Habib al-Syafi’ karangan al-Sakhawi, beliau telah menghimpunkan sebilangan lafaz selawat sama ada daripada hadis-hadis Nabi SAW mahupun athar Tabiin. Antara selawat yang afdal adalah seperti selawat Ibrahimiyyah yang diriwayatkan oleh Uqbah bin Amru, kata Rasulullah SAW:

 

قُولُوا: اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ ‌كَمَا ‌صَلَّيْتَ ‌عَلَى ‌آلِ ‌إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَالسَّلامُ كَمَا قَدْ عَلِمْتُمْ

Maksudnya: Kalian ucapkanlah:

 

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ ‌كَمَا ‌صَلَّيْتَ ‌عَلَى ‌آلِ ‌إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

 

dan ucapan salam seperti yang diajarkan kepada kalian. [5]

 

Walaupun begitu, mengucapkan apa-apa sahaja lafaz selawat berdasarkan amalan ulama adalah dibenarkan selagi tidak bercanggah dengan syarak. Walau bagaimanapun, yang paling baik adalah apa yang diajarkan kepada kita melalui hadis-hadis Nabi SAW. Ini bertepatan dengan kata al-Sakhawi:

… إلى غير ذلك من الألفاظ التي فيها دليل على أن الأمر فيه سعة من الزيادة والنقص، وأنها ليست مختصة بألفاظ مخصوصة وزمان مخصوص، لكن الأفضل الأكمل ما علمناه صلى الله عليه وسلم.

Maksudnya: … serta apa-apa sahaja lafaz yang menunjukkan bahawa perintah berselawat adalah luas untuk ditambah atau dikurangkan. Ia tidaklah dikhususkan dengan lafaz-lafaz tertentu dan masa-masa tertentu. Walaupun begitu, yang paling baik dan sempurna adalah seperti apa yang telah diajarkan kepada kita oleh Rasulullah SAW.[6]

 

 

Taha Dan Yasin Salah Satu Nama Nabi SAW

Terdapat satu hadis Nabi SAW yang menunjukkan bahawa Taha dan Yasin adalah salah satu daripada nama-nama Nabi Muhammad SAW. Hadis yang diriwayatkan daripada Abu al-Tufayl, sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ ‌لِي عِنْدَ رَبِّي عَزَّ وَجَلَّ ‌عَشْرَةَ ‌أَسْمَاءٍ. قال أبو الطفيل: قَدْ حَفِظْتُ مِنْهَا ثَمَانِيَةً: مُحَمَّدٌ ، وَأَحْمَدُ ، وَأَبُو الْقَاسِمِ ، وَالْفَاتِحُ ، وَالْخَاتَمُ ، وَالْمَاحِي ، وَالْعَاقِبُ ، وَالْحَاشِرُ.

قال أبو يحيى التيمي: وزعم سيف أن أبا جعفر قال له: إِنَّ الاِسْمَيْن الْبَاقِيين: طَه ، وَيَاسِين

Maksudnya:  Aku mempunyai sepuluh nama di sisi Allah SWT. Kata Abu al-Tufayl: Aku telah menghafaz lapan daripada nama-nama tersebut iaitu Muhammad, Ahmad, Abu al-Qasim, al-Fatih, al-Khatam, al-Mahi, al-‘Aqib dan al-Hasyir.

Kata Abu Yahya al-Taymi: Sayf bin Wahab mengatakan bahawa Abu Ja’far berkata kepadanya: Sesungguhnya baki dua nama lagi adalah Taha dan Yasin.

 

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Ajurri dalam al-Syari’ah[7], Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil[8] dan Abu Nu’aym dalam Dala’il al-Nubuwwah[9]. Hadis ini dihukum dhaif pada sanadnya oleh al-‘Iraqi[10] dalam takhrij beliau terhadap kitab Ihya’ Ulum al-Din. Untuk ketahui lebih lanjut akan status hadis ini, sila rujuk artikel lalu yang bertajuk “#57 Taudhih al-Hukmi: Kesahihan Taha dan Yasin Adalah Nama Nabi Muhammad SAW”.

 

 

Hukum Bertawassul Dan Berisitighasah Dengan Orang Yang Telah Meninggal Dunia

Tawassul berasal daripada perkataan al-wasilah. Al-Wasilah bermaksud sesuatu perkara yang boleh menyampaikan kepada tujuan yang diinginkan. Kata Ibnu Kathir dalam tafsir beliau:

والوسيلة: هي التي يتوصل بها إلى تحصيل المقصود

Maksudnya: al-Wasilah adalah perkara yang menyampaikan sesuatu untuk memperoleh tujuan yang diinginkan.[11]

 

Manakala, tawassul pula bermaksud memohon kepada Allah SWT dengan sebab sesuatu perkara atau dengan sesuatu kemuliaan atau dengan sesuatu keberkatan. Kata Taqiyyuddin al-Subki ketika menerangkan maksud tawassul dengan Nabi Muhammad SAW:

أن طالب الحاجة يسأل الله تعالى به، أو بجاهه، أو ببركته

Maksudnya: Sesungguhnya peminta hajat meminta kepada Allah SWT dengan sebab Nabi Muhammad SAW atau dengan kemuliaan atau dengan berkat Baginda SAW.[12]

 

Jelas difahami bahawa tawassul itu adalah menjadikan sesuatu sebagai sebab untuk mencapai hajat yang diinginkan.

 

Berkenaan dengan hukum bertawassul pula, majoriti ulama terutamanya daripada mazhab Syafi’i mengharuskan tawassul, tidak kira bertawassul dengan mereka yang masih hidup atau telah meninggal dunia. Kata al-Nawawi:

‌ويتوسل ‌به ‌في ‌حق نفسه ويتشفع به إلى ربه سبحانه وتعالى

Maksudnya: Bertawassul dengan Baginda SAW pada hak dirinya serta meminta syafaat dengan Baginda SAW kepada Allah SWT.[13]

 

Kata Taqiyyuddin al-Subki:

اعلم أنه يجوز ويحسن التسول والاستغاثة والتشفع بالنبي صلى الله عليه وسلم إلى ربه سبحانه  وتعالى

Maksudnya: Ketahuliah! Sesungguhnya harus dan dikira baik bertawassul, beristighasah dan meminta syafaat dengan sebab Baginda SAW kepada Allah SWT.[14]

 

Kata al-Qustallani:

ثم إن كلا من الاستغاثة والتوسل والتشفع والتوجه بالنبى صلى الله عليه وسلم كما ذكره في تحقيق النصرة ومصباح الظلام، واقع فى كل حال، قبل خلقه وبعد خلقه، فى مدة حياته فى الدنيا وبعد موته فى مدة البرزخ، وبعد البعث فى عرصات القيامة

Maksudnya: Kemudian setiap daripada al-istighasah, al-tawassul, al-tasyaffa’ dan al-tawajjuh dengan Nabi SAW berlaku dalam setiap keadaan seperti yang disebutkan dalam Tahqiq al-Nusrah dan Misbah al-Zalam. Sama ada sebelum diciptakan Nabi SAW atau selepas penciptaan Baginda SAW. Begitu juga sama ada semasa hidup dan selepas kewafatan Baginda SAW semasa di barzakh serta selepas kebangkitan di perhimpunan hari kiamat.[15]

 

Kata al-Khalili dalam fatwa beliau:

وأما التوسل بالأنبياء والأولياء والعلماء فقد نص أئمتنا أنه يجوز التوسل بأهل الخير والصلاح سواء كانوا أحياء أو أمواتا

Maksudnya: Adapun bertawassul dengan para nabi, rasul dan para ulama, maka para imam telah menyatakan keharusan bertawassul dengan orang-orang yang baik lagi soleh sama ada semasa mereka hidup atau setelah meninggal dunia.[16]

 

Antara dalil yang menunjukkan keharusan bertawassul adalah seperti hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, sabda Nabi SAW yang bermaksud:

 

Terdapat tiga orang yang berjalan-jalan sedang dibasahi hujan. Lalu mereka berlindung di sebuah gua di sebuah pergunungan. Kemudian batu besar daripada gunung itu terjatuh lalu menutupi pintu gua tempat berlindung tiga orang itu. Kemudian salah seorang daripada mereka berkata: Lihatlah kembali amalan-amalan kebaikan kalian kepada Allah SWT. Berdoalah kepada Allah SWT dengan amalan tersebut. Moga-moga Allah SWT membukakan laluan bagi kalian. Berkata salah seorang daripada mereka: Ya Allah, sesungguhnya aku mempunyai dua ibu bapa yang telah lanjut usia. Aku juga mempunyai anak yang masih kecil. Aku ada mengembala ternakan dan memerah susu ternakan, ketika hendak memberi keluargaku minum susu, aku mulakan dengan kedua ibu bapaku sebelum diberikan kepada anakku. Pada suatu hari aku pulang lewat petang dan menemui kedua ibu bapaku sedang tidur. Aku memerah susu seperti kebiasaan lalu aku berdiri berdekatan dengan kepada ibu bapaku. Aku tidak suka untuk mengejutkan mereka. Dan aku juga tidak suka memberi susu kepada anakku sebelum ibu bapaku. Anakku menangis kelaparan di kakiku sehingga terbit fajar. Jika Engkau mengetahui aku lakukan sedemikian ikhlas keranaMu, maka bukakanlah laluan sehingga kami dapat lihat langit. Lalu Allah membukakan sedikit laluan dan terlihatlah langit. Kemudian seorang lagi berkata: Ya Allah, sesungguhnya aku pernah mencintai seorang sepupu perempuanku seperti mana cinta seorang lelaki kepada perempuan. Dia menolak pinanganku sehinggalah aku membayarnya 100 dinar supaya berzina denganku. Ketika aku telah berada di antara kedua kakinya, sepupuku berkata: Wahai hamba Allah, bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu membuka cincin (berjimak) melainkan dengan cara sepatutnya. Lalu aku pun bangun (tidak meneruskan jimak). Jika Engkau mengetahui aku melakukan sedemikian keranaMu, maka bukakanlah laluan untuk kami. Maka terbukalah lagi sedikit laluan itu. Kemudian orang ketiga pula berkata: Ya Allah, dulu aku pernah mengupah pekerja dengan 3 cupak beras. Ketika telah selesai tugasanya, pekerja itu berkata: Berikanlah hak aku. Maka aku pun memberikan berasnya, tetapi dia tidak suka (dan tidak mengambilnya). Akhirnya aku terus menanam beras tersebut sehingga hasilnya aku dapat mengumpulkan lembu dan penggembalanya. Setelah itu, pekerja berkenaan datang semula dan berkata: Bertakwalah kepada Allah. Lalu aku berkata kepadanya: Pergilah kamu kepada lembu dan penggembalanya itu dan ambillah kesemuanya. Kemudian dia berkata kepadaku: Bertakwalah kepada Allah dan janganlah mempermain-mainkan aku.  Aku pun berkata: Aku tidak mempermain-mainkan kamu. Ambillah lembu dan penggembala berkenaan. Lantas dia mengambilnya dan pergi. Jika Engkau mengetahui aku melakukan sedemikian keranaMu, maka bukakanlah laluan untuk kami. Maka Allah SWtT membukakan laluan sepenuhnya.[17]

 

Oleh itu, bertawassul dengan para nabi dan orang-orang soleh daripada kalangan para ulama, wali-wali Allah dan juga amalan soleh tertentu adalah diharuskan. Keharusan ini sama ada semasa mereka hidup atau telah meninggal dunia.

 

 

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan ini, dapat disimpulkan bahawa selawat Badariyyah boleh diamalkan atas beberapa sebab:

 

        i.            Dibenarkan untuk beramal dengan apa sahaja bentuk selawat walaupun ia tidak berasal daripada hadis Nabi SAW seperti yang telah diterangkan oleh al-Sakhawi sebelum ini. Tiada perintah yang khusus supaya beramal dengan selawat yang diriwayatkan dalam hadis sahaja. Walau bagaimanapun, selawat yang paling afdal adalah selawat yang diajarkan oleh Nabi SAW melalui hadis-hadis Baginda SAW.

      ii.            Selawat Badariyyah mengandungi makna yang baik terdiri daripada selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW serta mendoakan kesejahteraan dan keamanan bagi umat Islam.

    iii.            Taha dan Yasin dalam selawat Badariyyah adalah nama Nabi Muhammad SAW.

    iv.            Tawassul dalam selawat Badariyyah adalah dibenarkan kerana bertawassul dengan nama Allah, Nabi Muhammad SAW dan juga orang-orang soleh daripada kalangan ahli Badar.

 

Sebagai penutup, marilah kita perhatikan nasihat daripada al-Sakhawi, kata beliau:

فإن الإكثار من الصلاة من علامات المحبة، فمن أحب شيئا أكثر من ذكره

 

Maksdunya: Maka sesungguhnya membanyakkan selawat kepada Nabi SAW adalah salah satu tanda kecintaan kepada Baginda SAW. Sesiapa yang mencintai sesuatu maka hendaklah dia banyak menyebut yang dicintainya.[18]



[1] Al-Sakhāwī, Muḥammad bin ʿAbd al-Raḥman. Al-Qawl al-Badīʿ Fi al-Ṣalāh ʿAlā al-Ḥabīb al-Shafīʿ. (Saudi: Dār al-Minhāj, 2011), 45.

[2] Al-Sakhāwī. Al-Qawl al-Badīʿ Fi al-Ṣalāh ʿAlā al-Ḥabīb al-Shafīʿ. 46.

[3] Al-Sakhāwī. Al-Qawl al-Badīʿ Fi al-Ṣalāh ʿAlā al-Ḥabīb al-Shafīʿ. 52.

[4] Al-Sakhāwī. Al-Qawl al-Badīʿ Fi al-Ṣalāh ʿAlā al-Ḥabīb al-Shafīʿ. 148.

[5] Muslim bin al-Ḥajjāj. Ṣaḥīḥ Muslim. (Mesir: ʿIsā al-Bābī al-Ḥalabī, 1955), no hadis. 405.

[6] Al-Sakhāwī. Al-Qawl al-Badīʿ Fi al-Ṣalāh ʿAlā al-Ḥabīb al-Shafīʿ. 146.

[7] Al-Ājurrī, Muḥammad bin al-Ḥusayn. Al-Sharīʿah. (Saudi: Dār al-Waṭan, 1999), no hadis. 1015.

[8] Ibn ʿAdī, Aḥmad bin ʿAdī. Al-Kāmil Fī Ḍuʿafā’ al-Rijāl. (Beirut: al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1997), 4/509.

[9] Al-Aṣbahānī, Aḥmad bin ʿAbd Allah Abū Nuʿaym. Dalā’il al-Nubuwwah. (Beirut: Dār al-Nafā’is, 1986), no hadis. 20.

[10] Al-ʿIrāqī, Zayn al-Dīn ʿAbd al-Raḥīm bin al-Ḥusayn. Al-Mughnī ʿAn Ḥaml al-Asfār Fī al-Asfār. (Beirut: Dār Ibn Ḥazm, 2005). 870.

[11] Ibn Kathīr, Ismāʿīl bin ʿUmar, Tafsīr al-Qur’ān al-ʿAẓīm. (Arab Saudi: Dār Ṭaybah, 1999) 3/103.

 

[12] Taqī al-Dīn al-Subkī, ʿAlī bin ʿAbd al-Kāfī. Shifā’ al-Saqām Fī Ziyārah Khayr al-Anām. (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah) 358.

[13] Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn bin Sharf. Al-Īḍāḥ Fī Manāsik al-Ḥajj Wa al-ʿUmrah. (Beirut: Dār al-Bashā’ir al-Islāmiyyah) 454.

[14] Taqī al-Dīn al-Subkī. Shifā’ al-Saqām Fī Ziyārah Khayr al-Anām 357.

[15] Al-Qusṭallānī. al-Mawāhib al-Laduniyyah Bi al-Manḥ al-Muḥammadiyyah. 3/605.

[16] Al-Khalīlī, Muḥammad bin Muḥammad. Fatāwā al-Khalīlī ʿAlā Madhhab al-Shāfiʿī. (t.t.p: Ṭabʿah Miṣriyyah Qadīmah) 2/259.

[17] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāʿīl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. (Mesir: Sulṭāniyah, 1893). No. 233.

[18] Al-Sakhāwī. Al-Qawl al-Badīʿ Fi al-Ṣalāh ʿAlā al-Ḥabīb al-Shafīʿ. 157.

Accessibility Toolbar

PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com