#65 Taudhih Al – Hukmi : Hukum Menggabungkan Niat Solat Sunat

#65 Taudhih Al – Hukmi : Hukum Menggabungkan Niat Solat Sunat

Disediakan oleh : Ahmad Amiruddin bin Ahmad Shukri

Tarikh : 6 Ogos 2024

Pendahuluan

Kebelakangan ini, timbul isu yang hangat dibincangkan dalam kalangan masyarakat iaitu berkenaan hukum menggabungkan niat solat sunat. Perkara ini telah menjadi tular menerusi ruangan aplikasi media sosial. Justeru artikel pada kali ini akan membahaskan perihal ini berdasarkan garis panduan syarak.

Berniat Ketika Menunaikan Solat

Secara umumnya, sesuatu solat yang hendak dikerjakan perlu disertakan dengan niat. Niat merupakan salah satu rukun yang terdapat dalam rukun-rukun solat sama ada ketika mengerjakan solat fardu mahupun sunat. Imam Khatib al-Shirbini menjelaskan bahawa niat daripada segi syarak membawa pengertian:

قصد ‌الشَّيْء ‌مقترنا ‌بِفِعْلِهِ[1]

Maksudnya: Niat ialah memutuskan sesuatu perbuatan (di dalam hati) yang diikuti dengan pelaksanaannya.

Tujuannya ialah supaya dapat membezakan sesuatu ibadah dengan ibadah yang lain seperti membezakan solat fardu dengan solat sunat[2]. Di samping itu, niat juga dapat memupuk seseorang agar melakukan ibadah dengan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT[3].

Selain itu, perlu diketahui bahawa tempat berlakunya niat adalah di dalam hati. Hal ini kerana niat hanya diambil kira apabila diniatkan di dalam hati seiring dengan takbir yang dilafazkan. Perihal ini sebagaimana dinyatakan oleh Imam Nawawi:

يجب أن يبتدىء النية بالقلب مع ابتداء التكبير باللسان[4]

Maksudnya: Wajib memulakan niat dengan hati ketika memulakan takbir dengan lisan.

Maka seseorang yang hendak mengerjakan solat perlu berniat sebagai menunaikan tuntutan rukun solat iaitu suatu perkara yang mesti ada ketika mengerjakan solat. Sesiapa yang mengerjakan solat tanpa berniat maka solatnya adalah tidak sah sama ada sengaja tidak berniat atau terlupa.

Syarat Sah Niat

Niat terbahagi kepada beberapa syarat sah iaitu qasad, ta’arudh dan ta’yin[5]. Penjelasannya adalah seperti berikut:

Qasad membawa maksud berniat mengerjakan solat seperti lafaz “Sahaja aku solat”. Manakala ta’arudh pula ialah menghadirkan lafaz fardu di dalam hati seperti “Sahaja aku solat fardu”. Ta’yin pula ialah menentukan jenis solat yang dikerjakan seperti “Sahaja aku solat fardu Zohor”.

Maka seseorang yang ingin mengerjakan solat fardu disyaratkan qasad, ta’arudh dan ta’yin pada niat solat tersebut. Adapun bagi solat sunat hanya disyaratkan qasad dan ta’yin sahaja seperti “Sahaja aku solat Dhuha”. Manakala solat sunat mutlak hanya cukup sekadar menghadirkan qasad iaitu “Sahaja aku solat”.

Jenis-jenis Solat Sunat

Solat sunat terbahagi kepada tiga bahagian. Perkara ini sebagaimana dinyatakan dalam Hasyiah al-Bujayrimi, katanya:

وَالْحَاصِلُ: أَنَّ مُطْلَقَ ‌الصَّلَوَاتِ ‌الْمَسْنُونَةِ ثَلَاثَةُ أَقْسَامٍ مَا تُطْلَبُ فِيهِ الْجَمَاعَةُ

وَالتَّابِعُ لِلْفَرَائِضِ وَصَلَاةُ اللَّيْلِ[6]

Maksudnya: Dan hasilnya: Secara umum solat sunat terbahagi kepada tiga iaitu solat sunat yang dituntut berjemaah, solat sunat yang mengiringi solat fardu (solat rawatib) dan solat sunat pada waktu malam.

Pembahagian tersebut boleh diperincikan seperti berikut:

Solat sunat dituntut berjemaah Solat sunat berhubung solat fardhu (Solat Rawatib) Solat sunat pada waktu malam
1. Solat sunat Tarawih
2. Solat sunat Eidul Fitri
3. Solat sunat Eidul Adha
4. Solat sunat Gerhana Matahari.
5. Solat sunat Gerhana Bulan
6. Solat sunat Istisqa’ 
1. Solat sunat dua rakaat sebelum Subuh.
2. Solat sunat empat rakaat sebelum Zuhur
3. Solat sunat dua rakaat selepas Zuhur
4. Solat sunat empat rakaat sebelum Asar
5. Solat sunat dua rakaat selepas Maghrib
6. Solat sunat dua rakaat selepas Isyak
1. Solat sunat Tahajjud
2. Solat sunat Hajat
3. Solat sunat Taubat
4. Solat sunat Tasbih
5. Solat sunat Witir

Di samping itu, terdapat sebahagian ulama mengklasifikasikan solat sunat kepada dua bahagian iaitu Maqsudah dan Ghayr Maqsudah. Solat sunat Maqsudah membawa makna solat sunat yang dikerjakan kerana zat solat itu sendiri. Adapun solat sunat Ghayr Maqsudah membawa makna solat sunat yang tidak dikerjakan kerana zat solat itu sendiri.

Berdasarkan kajian daripada kitab-kitab fiqh secara istiqra’ daripada setiap solat sunat yang disyariatkan, kami memperincikan kategori solat-solat sunat seperti berikut:

Solat sunat Maqsudah Solat sunat Ghayr Maqsudah

1. Solat sunat Witir.
2. Solat sunat Rawatib (solat-solat sunat yang berhubung dengan solat fardu.)
3. Solat sunat Tarawih.
4. Solat sunat Ishraq (selepas terbitnya matahari)
5. Solat sunat Dhuha
6. Solat sunat Gerhana Matahari.
7. Solat sunat Gerhana Bulan.              

8. Solat sunat Eidul Fitri
9. Solat sunat Eidul Adha
10. Solat sunnah Istisqa’ (solat sunat meminta hujan) 

1. Solat sunat Tahiyyatul Masjid.
2. Solat sunat Istikharah.
3. Solat sunat Tahajjud.
4. Solat sunat Hajat
5. Solat sunat Taubat.
6. Solat sunat setelah bernikah (bagi pengantin lelaki sahaja).
7. Solat sunat sebelum bersafar dan sesudah pulang dari bersafar.

8. Solat sunat Wudhu.

9. Solat sunat Tasbih.

Menggabungkan Solat Sunat

Berdasarkan jadual pembahagian solat sunat di atas, terdapat sebahagian solat sunat yang boleh digabungkan dan sebahagian yang lain tidak boleh digabungkan. Perinciannya adalah seperti berikut:

      • Solat Sunat yang Boleh Digabungkan

        1.  Solat sunat Ghayr Maqsudah digabungkan dengan solat sunat Ghayr Maqsudah.

      Hal ini sebagaimana kenyataan Imam al-Ramli, katanya:

      وَتَحْصُلُ السُّنَّتَانِ بِكُلِّ صَلَاةٍ كَالتَّحِيَّةِ وَلِلْحَاجَةِ [7]

      Maksudnya: Terhasil dua solat sunat bagi setiap solat yang dilaksanakan seperti solat Tahiyyatul Masjid dan solat sunat Hajat.

      Lafaz “بِكُلِّ صَلَاةٍ” menunjukkan kesemua solat Ghayr Maqsudah boleh dimasukkan niat antara satu sama lain. Imam al-Ramli menyebutkan solat sunat Tahiyyatul Masjid dan solat Hajat sebagai contoh kepada solat-solat tersebut. Maka berdasarkan kenyataan ini, sebarang jenis solat yang dikategorikan sebagai Ghayr Maqsudah boleh digabungkan antara satu sama lain dan mendapat pahala dua solat sunat dalam satu solat.

          • Solat sunat Maqsudah atau solat fardu digabungkan dengan solat sunat Ghayr Maqsudah seperti Tahiyyatul Masjid. Hal ini kerana Tahiyyatul Masjid adalah merupakan salah satu daripada contoh solat sunat Ghayr Maqsudah. Perkara ini disebutkan oleh Imam Nawawi, katanya:

        وَلَوْ ضَمَّ إلَى فَرْضٍ أَوْ نَفْلٍ نِيَّةَ تَحِيَّةِ الْمَسْجِدِ لَمْ يَضُرَّ لِأَنَّهَا تَحْصُلُ ضمنا فلا يضر ذكرها[8]

        Maksudnya: Sekiranya digabungkan niat Tahiyyatul Masjid ke dalam solat fardu atau solat sunat (Maqsudah) maka ia tidak merosakkan solat tersebut kerana ia terhasil secara tidak langsung dan tidak menjejaskan niatnya.

        Imam al-Nawawi juga menyatakan:

        قَالَ اَصْحَابُنَا وَلَا يُشْتَرَطُ اَنْ يَنْوِيَ بَالرَّكْعَتَيْنِ التَّحِيَّةَ بَلْ إِذَا صَلَّي رَكْعَتَيْنِ بِنِيَّةِ الصَّلَاةِ مُطْلَقًا أَوْ نَوَى رَكْعَتَيْنِ نَافِلَةً رَاتِبَةً أَوْ غَيْرَ رَاتِبَةٍ أَوْ صَلَاةَ فَرِيضَةٍ مُؤَدَّاةً أَوْ مُقْضِيَّةً أَوْ مَنْذُورَةً أَجْزَأَهُ ذَلِكَ وَحَصَلَ لَهُ مَا نَوَى وَحَصَلْتْ تَحِيَّةُ الْمَسْجِدِ ضِمْنًا وَلَا خِلَافَ[9]

        Maksudnya: Para ulama daripada kalangan mazhab kami (mazhab Shafi’i) berpendapat bahawa tidak disyaratkan seseorang untuk berniat solat sunat Tahiyyatul Masjid dua rakaat, bahkan apabila ia mengerjakan solat dua rakaat dengan niat solat sunat Mutlak atau niat solat dua rakaat Rawatib, selain Rawatib, atau solat Fardu sama ada solat secara Ada`, Qadha’ atau yang dinazarkan maka hal tersebut dianggap mencukupi dan dia mendapatkan solat tersebut sesuai dengan niatnya. Solat Tahiyyatul Masjid termasuk dalam hal ini, dan tidak ada perselisihan pendapat dalam isu ini.

        Begitu juga boleh digabungkan solat sunat Ghayr Maqsudah dengan solat fardu. Imam al-Suyuti menjelaskan:

        أَحْرَمَ بِصَلَاةٍ وَنَوَى بِهَا الْفَرْض وَالتَّحِيَّة صَحَّتْ، وَحَصَلَا مَعًا[10]

        Maksudnya: Seseorang yang telah memulakan solat dengan diniatkan solat fardu dan Tahiyyatul Masjid ke dalam solatnya. Sah solatnya dan dia mendapat pahala kedua-duanya sekaligus.

        Maka, seseorang yang ingin menggabungkan solat sunat boleh menggabungkan niat antara solat sunat Ghayr Maqsudah dengan solat sunat Ghayr Maqsudah yang lain atau solat sunat Maqsudah dengan solat sunat Ghayr Maqsudah.

            • Solat Sunat yang Tidak Boleh Digabungkan

              1. Kesemua kategori solat sunat Maqsudah dengan solat sunat Maqsudah yang lain atau solat Fardhu. Imam Nawawi menyatakan dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, katanya:

            قَالَ أَصْحَابُنَا وَلَا يَجُوزُ أَنْ يَقْصِدَ الْجُمُعَةَ وَالْكُسُوفَ مَعًا لِأَنَّهُ تَشْرِيكٌ بَيْنَ فَرْضٍ وَنَفْلٍ

            Maksudnya: Berkata ashab kami, tidak boleh berniat mengerjakan solat Jumaat dan solat sunat Gerhana Matahari dalam satu solat kerana berlaku penggabungan antara perkara fardu dan sunat (Maqsudah).

            Begitu juga tidak boleh digabungkan solat sunat Maqsudah dengan solat sunat Maqsudah yang lain. Sambung beliau lagi:

            ولهذا لو نوى بركعتين صَلَاةَ الضُّحَى وَقَضَاءَ سُنَّةِ الصُّبْح لَا تَنْعَقِدُ صَلَاتُهُ

            Maksudnya: Demikian juga, jika seseorang berniat solat dua rakaat sunat Dhuha dan solat Qadha sunat Subuh, maka tidak sah solatnya.

            Berkenaan ini juga, Imam al-Suyuti turut menyatakan:

            السُّنَتَيْنِ ‌إذَا ‌لَمْ ‌تَدْخُل ‌إحْدَاهُمَا ‌فِي ‌الْأُخْرَى ‌لَا ‌يَنْعَقِد عِنْد التَّشْرِيك بَيْنهمَا، كَسُنَّةِ الضُّحَى وَقَضَاء سُنَّة الْفَجْر، بِخِلَافِ تَحِيَّة الْمَسْجِد وَسُنَّة الظُّهْر مَثَلًا لِأَنَّ التَّحِيَّة تَحْصُل ضِمْنًا[11]

            Maksudnya: Dua solat sunat jika tidak saling menyatu dengan sesuatu yang lain maka tidak sah dilakukan penggabungan di dalamnya seperti solat sunat Dhuha dan Qadha solat sunat Fajar. Hal ini berbeza dengan solat sunat Tahiyyatul Masjid dan solat sunat Qabliyah Zohor, kerana Tahiyyatul Masjid itu boleh didapatkan sekaligus dengan solat Qabliyah tersebut.

            Kesimpulan

            Terdapat sebahagian solat yang boleh digabungkan dan sebahagian yang lain tidak boleh digabungkan. Masyarakat perlu mempelajari jenis-jenis solat tersebut bagi mengetahui kategori yang boleh digabungkan dan tidak boleh digabungkan. Namun, sekalipun solat itu boleh digabungkan antara satu sama lain, mengerjakan dua solat tersebut secara berasingan adalah lebih baik berdasarkan kaedah:

            ما كان أكثر فعلا كان أكثر فضلا[12]

            Maksudnya: Lebih banyak sesuatu perbuatan, lebih banyak fadhilatnya (kelebihan).


            [1] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khāṭib Al-Shirbīnī Al-Shafiʿī (m. 977H). Al-Iqnā’ Fi Ḥal Alfāz Abī Syujā’. Beirut: Dār al-Fikr. Jil. 1, hlm. 38.

            [2] Al-Khāṭib Al-Shirbīnī,  Al-Iqnā’ Fi Ḥal Alfāz Abī Syujā’, Jil. 1, hlm. 38.

            [3] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khāṭib Al-Shirbīnī Al-Shafiʿī (m. 977H). Al-Iqnā’ Fi Ḥal Alfāz Abī Syujā’. Beirut: Dār al-Fikr. Jil. 1, hlm. 129.

            [4] Al-Nawāwī, Abū Zakariyyā Muhyī al-Dīn bin Sharaf, (m. 676H). Rawḍah al-Ṭālibīn wa ‘Umdah al-Muftīn. Amman, Jordan: Dar al-Fikr. Jil. 1, ms. 224.

            [5] Sālim bin Sumayr Al-Hadhramīy, (t.t). Matn Safinah al-Najāh. Jeddah: Dar al-Minhaj. Ms. 33

            [6] Al-Bujayrimī, Sulaymān bin Muhammad. (1995). Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib. Amman, Jordan: Dar al-Fikr. Jil. 1. Ms. 412.

            [7] Syams al-Dīn al-Ramlī, (m. 1004H). Nihāyat al-Muhtāj ila Sharh al-Minhāj. Beirut: Dar al-Fikr. Jil. 2, ms. 122.

            [8] Al-Nawāwī, Abū Zakariyyā Muhyī al-Dīn bin Sharaf, (m. 676H). Al-Majmū’ Sharh al-Muhadhdhab, Amman, Jordan: Dar al-Fikr. Jil. 5, ms. 57.

            [9] Al-Nawāwī, Abū Zakariyyā Muhyī al-Dīn bin Sharaf, (m. 676H).  Al-Majmū’ Sharh al-Muhadhdhab, Amman, Jordan: Dar al-Fikr. Jil. 4, ms. 52.

            [10] Al-Suyūtī, Jalāl al-Dīn ‘Abd al-Rahman, (m. 911H). Al-Ashbāh wa al-Nadzāir. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Ms. 21.

            [11] Al-Suyūtī, Jalāl al-Dīn ‘Abd al-Rahman, (m. 911H). Al-Ashbāh wa al-Nadzāir. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Ms. 23.

            [12]Al-Suyūtī, Jalāl al-Dīn ‘Abd al-Rahman, (m. 911H). Al-Ashbāh wa al-Nadzāir. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Ms. 143.

            Accessibility Toolbar

            PHP Code Snippets Powered By : XYZScripts.com