Tarikh:
5 Ogos 2024
Disediakan
oleh: Alifah Ilyana binti Hamizan
Pendahuluan
Perbuatan melutut atau kneeling down merupakan perbuatan di
mana postur tubuh seseorang itu menunduk atau merendahkan badannya sambil
disokong oleh salah satu atau kedua-dua belah lutut yang diletakkan di atas
tanah atau lantai.[1]
Secara lazimnya, perbuatan ini dilakukan dalam kerangka keagamaan ataupun
kebudayaan setempat yang menjadi simbol untuk memberi penghormatan, penyerahan,
penyembahan, pengabdian dan ia juga sinonim
dilakukan atas tujuan untuk memohon maaf. Namun apakah hukum melutut kepada
manusia disebabkan tujuan-tujuan tersebut?
Perbuatan Melutut Dari Pelbagai Sudut Pandang
- Sejarah Ketamadunan Manusia
Perbuatan melutut telah menjadi sinonim sejak
dari zaman tamadun purba lagi dan dilihat sebagai salah satu bentuk penyerahan
dan penghormatan oleh seorang hamba abdi kepada tuannya.[2]
- Konteks Keagamaan
Setiap
agama memiliki tafsiran tersendiri terhadap perbuatan melutut[3] dan semestinya postur
melutut yang membawa maksud penyerahan kepada Allah SWT dalam agama Islam
adalah berbeza dengan agama-agama yang lain.
- Syariat Islam
Perbuatan melutut yang membawa maksud
pengabdian dan penyembahan kepada Allah SWT terhasil menerusi pergerakan dalam
solat seperti rukuk, sujud, iftirasy
(duduk antara dua sujud) dan ketika berdoa. Dengan erti kata lain, perbuatan
ini hanya dikhususkan apabila bertujuan menunaikan ibadah kepada Allah SWT
sahaja. Bahkan setiap manusia akan melutut apabila dihimpunkan di hadapan-Nya pada
hari akhirat kelak. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Jathiyah ayat 28:
وَتَرَىٰ كُلَّ أُمَّةٍ جَاثِيَةً
Maksudnya: Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat
tiap-tiap umat berlutut (dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan).
Berdasarkan ayat tersebut, Allah SWT
telah menggambarkan keadaan manusia pada hari akhirat kelak dan semua makhluk
pada hari itu menanti hitungan amal dan pembalasan mereka dalam keadaan
berlutut. Perkara ini dijelaskan di dalam tafsir karangan Imam al-Maraghi
bahawa beliau menyatakan:
ذُكِرَ مِنْ أَهْوَالِ هَذَا اليَوْمِ أَنَّ كُلَّ أُمَّةٍ
تَجُثُّو عَلَى رُكُبِهَا وَتَجْلِسُ جِلْسَةَ المُخَاصِمِ بَيْنَ يَدَىِ
الحَاكِمِ يَنْتَظِرُ القَضَاءَ[4]
Maksudnya: Telah disebutkan sebahagian daripada
keadaan-keadaan manusia pada hari itu (hari kiamat) bahawa sesungguhnya setiap
umat (manusia) akan berada dalam keadaan melutut dan keadaan seolah-olah orang
yang sedang menunggu giliran hukuman selepas dihitung oleh seorang hakim.
Oleh itu, syarak menjelaskan bahawa
perihal melutut yang selayaknya adalah hanya berlaku di antara makhluk dengan
Tuhannya.
Melutut
Untuk Melamar Seseorang
Lamaran
kepada seseorang boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Perbuatan melutut untuk melamar seseorang
dilihat tidak selari dengan konsep lamaran pernikahan mengikut cara Islam dan
adat di negara ini. Perbuatan tersebut juga bukanlah perbuatan yang sewajarnya
dilakukan oleh seorang lelaki yang mahu mengikat seorang wanita yang ingin
dikahwini kerana ia bukanlah seperti cara yang dianjurkan oleh Nabi SAW. Perbuatan
tersebut merupakan ikutan masyarakat bukan Islam yang tidak sesuai untuk
diamalkan oleh masyarakat Islam itu sendiri. Selain itu, mengikut kepada
adat dan kesopanan masyarakat Melayu, kebiasaanya proses melamar melibatkan
pengetahuan pihak keluarga. Tidak seperti adegan melamar masyarakat barat yang
melutut di hadapan wanita atau kekasih mereka diikuti penyarungan cincin.
Sebaliknya, dalam kebiasaan adat orang Melayu pula, keluarga pihak lelaki akan
bertandang ke rumah keluarga perempuan untuk proses melamar sambil mengeratkan
hubungan silaturrahim di antara kedua-dua belah pihak. Acara melamar merupakan
langkah permulaan kepada sebuah perkahwinan diikuti dengan acara pertunangan.
Perbuatan
Sujud Kepada Manusia
Setiap perbuatan bergantung kepada tujuan masing-masing.
Begitu juga perbuatan sujud. Ia dikira antara perbuatan yang paling rendah
posisinya berbanding perbuatan yang menunjukkan rasa hormat yang lain seperti
menundukkan kepala, membongkokkan badan, melutut dan perbuatan seumpamanya.
Perbuatan sujud terbahagi kepada dua tujuan iaitu:
- Ibadah
Perbuatan rukuk serta sujud merupakan perbuatan yang
dikhususkan apabila bertujuan menunaikan ibadah kepada Allah SWT. Sekiranya
perbuatan-perbuatan tersebut dilakukan bertujuan penyembahan dan mengagungkan
sesuatu selain daripada Allah SWT maka perkara tersebut adalah haram di dalam
Islam. Firman Allah SWT di dalam surah an-Najm ayat 62:
فَاسْجُدُوا لِلَّهِ وَاعْبُدُوا
Maksudnya:
Dan sujudlah kepada Allah semata dan
beribadahlah hanya kepada-Nya.
- Penghormatan
Sujud penghormatan kepada selain
Allah SWT adalah dibolehkan mengikut syariat terdahulu. Perbuatan sujud ini
adalah seperti mana yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada para malaikat dan
Iblis terhadap Nabi Adam AS sebagai tujuan patuh akan perintah-Nya ketika waktu
tersebut dan bukan tujuan ibadah kepada makhluk. Firman Allah SWT di dalam
surah Sad ayat 72:
فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ
Maksudnya:
Maka hendaklah kalian (para malaikat dan Iblis) tunduk kepada (Nabi Adam AS)
dengan bersujud (hormat) kepadanya.
Imam at-Tabari menjelaskan bahawa perbuatan
sujud tersebut adalah sebagai:
سُجُودُ تَحِيَّةٍ وَتَكْرِمَةٍ ، لَا سُجُودَ عِبَادَةٍ[5]
Maksudnya: Sujud penghormatan dan memuliakan (taat
perintah Allah SWT yang menyuruh untuk sujud) bukan sujud sebagai tanda
penyembahan (kepada Nabi Adam AS).
Setelah Islam datang, sewaktu zaman
Rasulullah SAW, syariat yang dibawa oleh Baginda SAW tidak lagi membenarkan
perbuatan sujud sebagai tanda penghormatan kepada selain Allah SWT lebih-lebih
lagi untuk tujuan penyembahan. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abi Aufa RA bahawa beliau berkata:
لَمَّا قَدِمَ مُعَاذٌ مِنَ الشَّامِ
سَجَدَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَا هَذَا يَا
مُعَاذُ؟ قَالَ: أَتَيْتُ الشَّامَ فَوَافَقْتُهُمْ يَسْجُدُونَ لِأَسَاقِفَتِهِمْ
وَبَطَارِقَتِهِمْ فَوَدِدْتُ فِي نَفْسِي أَنْ نَفْعَلَ ذَلِكَ بِكَ فَقَالَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:فَلَا تَفْعَلُوا فَإِنِّي
لَوْكُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِغَيْرِ اللَّهِ لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ
أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَا تُؤَدِّي
الْمَرْأَةُ حَقَّ رَبِّهَا حَتَّى تُؤَدِّيَ حَقَّ زَوْجِهَا[6]
Maksudnya: Ketika Mu’az baru pulang dari negeri Syam, dia bersujud
kepada Nabi SAW. Nabi SAW bersabda: Apa ini wahai Mu’az?. Mu’az menjawab: Aku
datang ke kota Syam, dan aku mendapati mereka bersujud kepada pendeta-pendeta
dan panglima-panglima perang mereka. Maka aku ingin untuk melakukannya terhadap
engkau wahai Rasulullah. Maka Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu lakukan
demikian! Sesungguhnya andaikan aku memerintahkan seseorang sujud kepada selain
Allah, maka aku akan perintahkan para isteri agar sujud kepada suaminya. Demi
Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah seorang isteri menunaikan hak
Rabb-nya, sehingga dirinya menunaikan hak suaminya.
(Riwayat Ibnu Majah)
Berdasarkan hadis
tersebut, Rasulullah SAW melarang Mu’az bin Jabal RA untuk sujud kepada Baginda
SAW walaupun untuk tujuan menghormati Baginda SAW. Ini kerana pada waktu tersebut
seolah-olah perbuatan yang dilakukan oleh Mu’az itu meniru amalan kaum Nasrani
dan kebanyakan kaum ketika itu masih ada yang menyembah dan memperlakukan
perbuatan sujud terhadap berhala dan sembahan mereka.
Adapun mengikut keadaan urf dan relevan amalan sesetengah
masyarakat Asia masa kini, perbuatan melutut untuk sujud dan mencium kaki kedua
ibu bapa, para ulama serta orang soleh bagi tujuan penghormatan adalah
diharuskan oleh kebanyakan ulama.
Para
ulama membahaskan di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah bahawa:
مَا جَرَتْ بِهِ العَادَةُ مِنْ خَفْضِ الرَّأْسِ
وَالاِنْحِنَاءِ إِلَى حَدٍّ لَا يَصِلُ بِهِ إِلَى أَقَلِّ الرُّكُوعِ عِندَ
اللِّقَاءِ لَا كَفْرٌ بِهِ وَلَا حُرْمَةٌ كَذَلِكَ , لَكِنْ يَنْبَغِيْ
كَرَاهَتَهُ[7]
Maksudnya: Perkara yang sudah
menjadi adat (kebiasaan) seperti menundukkan kepala dan membongkok sehingga
kepada had yang tidak menyamai rukuk ketika berjumpa dengan seseorang bukanlah
perbuatan yang mempunyai unsur kufur, juga tidak diharamkan malah hukumnya
sekadar makruh.
Amalan Mencium Tangan Dan Kaki Ibu Bapa, Para Ulama Serta Orang Soleh
Harus mencium tangan dan kaki orang alim yang
warak, pemerintah yang adil, kedua ibu bapa, para guru dan semua orang yang
berhak untuk dihormati dan dimuliakan. Begitu juga harus mencium kepala, dahi
dan (kedudukan) antara dua mata mereka dengan tujuan menghormati, memuliakan
dan merendah diri, ketika bertemu dan berpisah serta jauh daripada perasaan
syahwat.
Berdasarkan
hadis yang diriwayatkan oleh Zari‘
bin ‘Amir RA beliau berkata:
لَمَّا قَدِمْنَا الْمَدِينَةَ فَجَعَلْنَا نَتَبَادَرُ مِنْ
رَوَاحِلِنَا فَنُقَبِّلُ يَدَ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
وَرِجْلَهُ[8]
Maksudnya: Tatkala kami tiba di
Madinah, kami berlumba-lumba untuk turun daripada tunggangan kami, kemudian
kami mencium tangan dan kaki Baginda SAW.
(Riwayat Abu Daud)
Imam al-Nawawi menyatakan:
يُسْتَحَبُّ تَقْبِيلُ يَدِ الرَّجُلِ الصَّالِحِ وَالزَّاهِدِ
وَالْعَالِمِ وَنَحْوِهِمْ مِنْ أَهْلِ الْآخِرَةِ وَأَمَّا تَقْبِيلُ يَدِهِ
لِغِنَاهُ وَدُنْيَاهُ وَشَوْكَتِهِ وَوَجَاهَتِهِ عِنْدَ أَهْلِ الدُّنْيَا
بِالدُّنْيَا وَنَحْوِ ذَلِكَ فَمَكْرُوهٌ شَدِيدُ الْكَرَاهَةِ[9]
Maksudnya: Disunatkan untuk mencium
tangan orang soleh, alim dan seumpamanya dalam kalangan ahli akhirat. Manakala
mencium tangan seseorang kerana kekayaan, keduniaan atau kedudukannya pula,
hukumnya adalah makruh.
Beliau turut menyatakan bahawa:
تَقْبِيلُ
رَأْسِهِ وَرِجْلِهِ كَيَدِهِ[10]
Maksudnya: Mencium kepala dan kaki
hukumnya adalah seperti mana mencium tangan.
Kesimpulan
Perbuatan seperti menundukkan kepala,
membongkokkan badan, melutut, sujud dan seumpamanya adalah diharuskan sekiranya
perbuatan sedemikian dilakukan dengan tujuan memberi penghormatan serta
mengambil keberkatan dan bukan tujuan penyembahan mahupun mengagung-agungkan serta berlebih-lebihan. Sekalipun
perbuatan-perbuatan tersebut diharuskan, namun adalah dinasihatkan agar amalan
sedemikian tidak dijadikan amalan kebiasaan kerana dikhuatiri akan menimbulkan fitnah
disebabkan ia bukan budaya
dalam kalangan masyarakat setempat. Memadai dengan hanya sama ada menundukkan
sedikit kepala serta bermanis muka atau bersalaman lalu mencium tangan. Wallahua’lam.
[3] Benfayed, Rida, David
Hamilton, Matthew Moran, A. H. R. W. Simpson, and Deborah Macdonald.
“Interpretation of kneeling.” Orthop
Muscular Syst 6, no. 240 (2017): 2161-0533.
[4] Al-Marāghī, Aḥmad bin
Mustafā, Tafsīr al-Marāgī,
(Mesir, Kaherah:
Syarikat Maktabah wa Matba‘ah Mustafā al-Bābī al-Halabī, 1365H/1946M), Jil. 25,
ms. 161.
[5] At-Ṭabarī, Abū Ja’far
Muḥammad bin Jarīr at-Ṭabarī, Tafsīr
at-Ṭabarī Jāmi’ al-Bayān, (Dār Hajr li at-Ṭibā’ah wa an-Nasyr wa at-Tauzī’
wa al-I’lān, 1422H/2001M), Jil. 14, ms. 65.
[6] Ibn
Mājah, Abū ‘Abdullah Muḥammad bin Yazīd al-Qazwīnī, Sunan Ibn Mājah, (Dār Iḥyā’
al-Kutub al-‘Arabiyah, 1431H/ 2009M), No. hadis 1853, jil. 1, ms. 595.
[7] Himpunan Para Ulama, Mausū’ah
al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (Kuwait: Wizārah al-Auqāf wa Syuūn
al-Islāmiyyah 1431H/ 2010M) Jil. 23, ms.135.
[8] Abū
Daud, Sulaimān bin al-Asy’ath bin Isḥāk bin Basyīr al-Azadī al-Sijistānī, Sunan
Abī Daud, (India: al-Maṭba’ah al-Anṣāriyah, 1443H/2021M) No. hadis 5225, jil.
4, ms. 525.
[9] Al-Nawāwī,
Abū Zakariyā Muḥyiddīn bin Syarf al-Nawāwī, al-Majmu‘
Syarh al-Muhazzab, (Kaherah,
Mesir:
Idārah at-Ṭibā’ah al-Munīriyah, 1431H/2009M), Jil. 4, ms. 636-637.
[10] Ibid.