#62 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Melakukan Ibadah Korban: Afdal di dalam Negara atau Luar Negara?

Tarikh: 13 Jun 2024

Disediakan oleh: Nor Hanani binti Ahmad

 

Pendahuluan

Ibadah korban merupakan salah satu daripada amalan yang paling dicintai oleh Allah semasa Hari Raya Eidul Adha. Justeru itu, dapat dilihat setiap tahun ramai dalam kalangan ahli keluarga atau orang sekeliling mengambil bahagian untuk melakukan ibadah korban. Ada yang memilih untuk lakukannya di negara sendiri dan ada yang melakukannya di luar negara. Jadi, manakah yang lebih afdal dilakukan ibadah korban sama ada di negara sendiri atau luar negara?

 

Perkara Sunat Ketika Melakukan Ibadah Korban

Ibadah korban merupakan suatu ibadah sunat muakkad iaitu ibadah yang sangat dituntut untuk melakukannya. Ramai dalam kalangan umat Islam mengambil peluang ini untuk melakukan ibadah korban sama ada di tempat sendiri atau tempat lain. Secara asasnya, tiada nas al-Quran atau hadis yang menyatakan ibadah korban mesti dilakukan di sesuatu tempat. Adapun begitu, terdapat beberapa perkara sunat bersandarkan hadis Nabi SAW yang menunjukkan kelebihan dan galakan untuk melakukan ibadah korban di tempat sendiri. Antara perkara sunat berikut adalah:

1)      Sunat Menyembelih dengan Tangan Sendiri

Afdal bagi seseorang yang melakukan ibadah korban untuk menyembelih sendiri binatang sembelihan tersebut. Ia berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA:

 

ضحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‌بِكَبْشَيْنِ ‌أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ وسمَّى وكبَّر ووضع رجله على صفاحهما[1]

Maksudnya: Nabi SAW menyembelih dua ekor kibasy berwarna putih kehitaman dan bertanduk. Baginda menyembelih dengan tangannya sendiri. Baginda membaca basmalah, bertakbir dan meletakkan kakinya di atas sisi kedua-duanya.

 

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Daripada hadis di atas, ia menunjukkan tiga perkara iaitu[2] (1) Saranan untuk membaca basmalah dan bertakbir semasa melakukan penyembelihan (2) Afdal menyembelih binatang sembelihan dengan tangan sendiri dan (3) Binatang yang afdal dijadikan binatang korban ialah seekor kambing berwarna putih.

 

Perkara ini menunjukkan apabila seseorang hendak melakukan ibadah korban adalah afdal dilakukan sembelihan dengan tangannya sendiri. Begitu juga seperti yang dinukilkan oleh Syeikh Wahbah al-Zuhayli dalam kitabnya Fiqh al-Islami wa Adillatuh bahawa, apabila seseorang melakukan ibadah korban adalah lebih baik dilakukan sembelihan dengan tangannya sendiri[3] kerana ia sebuah pengorbanan yang perlu dirasai dan dijiwai dalam rangka untuk mendekatkan diri kepada Allah[4].

 

Namun begitu, jika tidak berkemampuan melakukan sembelihan sendiri iaitu tidak berkemahiran menyembelihnya, maka peserta korban tersebut boleh mewakilkan orang lain yang mempunyai kepakaran dalam sembelihan  untuk melakukannya. Perkara ini berdasarkan kepada perbuatan Nabi SAW semasa ibadah Haji iaitu memberi orang lain untuk melakukan sembelihan sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah berikut: [5]

 

ثُمَّ انْصَرَفَ إِلَى الْمَنْحَرِ، فَنَحَرَ ثَلَاثًا وَسِتِّينَ بِيَدِهِ، ‌ثُمَّ ‌أَعْطَى ‌عَلِيًّا، ‌فَنَحَرَ ‌مَا ‌غَبَرَ، وَأَشْرَكَهُ فِي هَدْيِهِ

Maksudnya: Kemudian Nabi SAW pergi ke tempat sembelihan dan menyembelih 63 ekor unta dengan tangannya sendiri, kemudian Baginda memberi kepada Ali AS dan menyembelih sebanyak yang beliau mampu dan berkongsi.

(Riwayat Muslim)

 

2)      Sunat Menghadirkan Diri Melihat Haiwan Korban Disembelih

Peserta korban yang mewakilkan orang lain melakukan sembelihan disunatkan untuk hadir dan melihat sendiri perbuatan sembelihan tersebut sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu al-Qasim al-Asbahani daripada Ali bin Abi Sa’id al-Khudri RA bahawa Nabi SAW bersabda kepada anaknya[6]:

 

يا فاطمة ‌قومي ‌فاشهدي ‌أضحيتك فإن لك بأول قطرة تقطر من دمها مغفرة لكل ذنب، أما إنها تجاء بدمها ولحمها فيوضع في ميزانك سبعين ضعفاً

Maksudnya: Wahai Fatimah, bangunlah dan saksikanlah haiwan korbanmu. Ketahuilah sesungguhnya bagi kamu dengan titisan pertama yang menitis daripada darahnya ialah keampunan daripada segala dosa. Ketahuilah ia akan didatangkan pada hari kiamat dengan daging-daging dan darah-darahnya sebanyak 70 kali ganda sehingga ia diletakkan di neraca timbanganmu.

(Riwayat al-Baihaqi)

 

3)      Sunat Makan Daging Korban Walaupun Sedikit

Antara tuntutan lain semasa melakukan ibadah korban adalah anjuran peserta korban untuk makan sebahagian daging korbannya. Firman Allah SWT surah al-Hajj ayat 29:

 

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Maksudnya: dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

 

Berdasarkan kepada huraian amalan sunat ketika melakukan ibadah korban di atas, secara umumnya ibadah korban afdal dilakukan di tempat sendiri kerana peserta dapat menyembelih sendiri haiwan korban tersebut, atau melihat haiwan korbannya disembelih secara langsung. Perkara ini dapat menambahkan penghayatan ibadah korban yang dilakukan bagi mencapai tujuan ibadah korban dilakukan iaitu untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.


Hukum Melakukan Ibadah Korban di Negara Lain

Manakala ibadah korban yang dilakukan di negara lain adalah harus kerana tiada nas atau hujah yang melarang ibadah korban dilakukan di tempat lain selain tempat sendiri. Ia boleh dilakukan dengan mewakilkan kepada orang lain untuk mengurus dan melakukan ibadah korban.  Sebagaimana yang dilakukan oleh pelbagai agensi yang menguruskan ibadah korban di luar negara khususnya negara-negara yang penduduknya ramai fakir miskin dan golongan yang memerlukan.

 

Menurut seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor. Fatwa mengenai hukum wakalah ibadah korban yang mengharuskan wakil atas wakil dengan memenuhi syarat-syarat berikut[7]:

(i) Lafaz wakalah hendaklah secara sarih atau kinayah;

(ii) Hendaklah mendapat izin daripada muwakkil;

(iii) Muwakkil wajib melafazkan tawkil sama ada secara sarih atau kinayah kepada wakil yang dilantik untuk menguruskan ibadah korban tersebut.

 

Darul Ifta’ Mesir juga ada mengeluarkan kenyataan bahawa harus bagi seseorang mewakilan orang lain untuk melakukan ibadah korban di negara lain selain tempat tinggalnya. Ibadah korban tersebut hendaklah disempurnakan pada waktu yang ditetapkan oleh syariat iaitu selepas solat hari raya Eidul Adha hingga yang terakhir daripada tiga hari tasyriq mengikut waktu tempat (negara) penyembelihan tersebut[8].

 

Terdapat juga peserta korban yang memilih untuk melakukan ibadah korban di luar negara berikutan kos ibadah korban yang dikenakan lebih murah dan berpatutan berbanding di negara sendiri. Sebahagian pengkaji menyebutkan, antara faktor utama harga ibadah korban di luar negara lebih murah berbanding di Malaysia adalah kerana Malaysia merupakan negara pengimport lembu dan kambing. Manakala negara seperti Thailand, India, Republik Chad (Afrika Tengah) dan Bangladesh merupakan negara penternak[9]. Perkara ini menjadi antara sebab pemilihan ibadah korban dalam kalangan umat Islam dilakukan di luar negara.

 

Justeru itu, melakukan ibadah korban di negara lain juga tidak menjadi permasalahan khususnya bagi mereka yang berhasrat untuk melakukan ibadah korban di luar negara atas tujuan membantu umat Islam yang lebih memerlukan. Namun begitu, peserta korban yang mengeluarkan kos yang lebih tinggi menunjukkan menunjukkan lebih banyak pengorbanan dilakukan untuk menghayati hikmah pensyariatan korban supaya berkongsi dan bersedekah.

 

Kesimpulan

 

Ibadah korban afdal dilakukan di tempat sendiri dengan menyantuni golongan fakir miskin di tempat sendiri. Tambahan pula, peserta korban boleh mendapat beberapa perkara-perkara sunat seperti menyembelih sendiri haiwan korban dan menyaksikan haiwan korban disembelih secara langsung. Perkara ini menjadikan peserta korban lebih menghayati makna sebenar pensyariatan ibadah korban disamping menzahirkan rasa syukur kepada-Nya serta mendekatkan diri kepada Allah SWT. Adapun begitu, harus melakukan ibadah korban di luar negara kerana tiada nas yang melarangnya. Lebih-lebih lagi jika terdapat lebihan di tempat sendiri serta penduduk di negara tersebut lebih memerlukan maka melakukan korban di sana dapat membantu golongan umat Islam yang memerlukan.



[1] Abū Abdullah Muḥammad bin Ismā’il al-Bukhārī al-Ja’fi (M. 256), Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, Peny. Mustafa Dib al-Bughā, (Damsyik:  Dār Ibn Katsīr, 1993), 1/109. No. Hadis 5245, Jil. 5, ms. 2114; Abū Ḥusayn Muslim bin al-Ḥajjāj bin Muslim al-Qishayrī al-Naysābūrī, Ṣaḥīḥ Muslim, (Kaherah: Maṭba’ah ‘Īsā al-Bābī al-Ḥalabī wa Sharkāhu, 1955), Hadis no. 1966, Jil. 3, ms. 1556. 

[2] Ḥamzah Muḥammad Qāsim, Manār al-Qārī Sharḥ Mukhtaṣar Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, (Damsyik: Maktabah Dār al-Bayān-al-Jumhuriah al-‘Arabiah al-Sūriah, 1990), Jil. 5, ms. 183.

[3] Wahbah bin Muṣṭafā al-Zuḥaylī, al-Fiqh al-Islāmīy wa Adillatuh, (Damsyik: Dār al-Fikr), Jil. 4, ms. 2733.

[4] Hishām al-Kāmīl Ḥāmīd Mūsā al-Shāfi’ī al-Azharīy, Is’ād al-Bariyyah fī Aḥkām al-Udḥiyah, (t.t, t.p, 2008), ms. 7.

[5] Abū al-Ḥusayn Muslim bin al-Hajjāj bin Muslim al-Qushayrī Al-Nisāburī, Ṣoḥīḥ Muslim, (Kaherah: Matba’ah Īsa al-Bābī al-Ḥalbī wā Syarkahu, 1955), Hadis no. 1574, Jil. 3. Ms. 1201.Muḥammad bin ‘Alī bin Muḥammad bin Abdul Allāh al-Syawkānī al-Yamanī, Nayl al-Awṭār, (Mesir: Dār al-Ḥadīth, 1993), Jil. 5, ms. 124.

[6] Ismā’īl bin Muḥammad bin al-Faḍl bin ‘Alī al-Qurashī al-Ṭalīḥī al-Tīmī al-Aṣbahānī, Abū al-Qāsim, al-Targhīb wa al-Tarhīb, (Kaherah: Dār al-Hadīth, 1993), Hadis no. 355, Jil. 1, ms. 241; Abū Bakar Aḥmad bin al-Ḥusayn bin ‘Alī al-Baihaqī, Sunan al-Kubrā, (Beirut: Dār al-Kutub ‘Ilmiah, 2003), Hadis no. 10225, Jil. 5, mw. 391.

[7] Warta Kerajaan Negeri Selangor, Fatwa di bawah Seksyen 47, maklumat diakses pada 28 Mei 2024, laman sesawang Jabatan Mufti Negeri Selangor,  https://www.muftiselangor.gov.my/2023/10/28/fatwa-tentang-hukum-wakalah-dan-beberapa-perkara-berbangkit-dalam-ibadat-qurban/

[8] Nūḥ ‘Alī Salman, Fatwa: Keharusan Orang Islam Menunaikan Ibadah Korban di Negara lain dengan Mematuhi Pensyariatannya, Laman sesawang Dar al-Ifta’ al-’Amir, maklumat diakses pada 23 Mei 2024, https://www.aliftaa.jo/fatwa/712/

[9] Mohd Musa Sarip, Rosli Mukhtar dan Muhamad Ismail Abdullah, Penggunaan Akad Wakalah dalam Ibadat Korban Luar Negara, Journal of Muwafaqat, Vol. 2, No. 1, 2019, ms. 158. 

Accessibility Toolbar