Tarikh: 12 Jun 2024
Disediakan oleh: Alifah Ilyana binti Hamizan
Pendahuluan
Dalam
menjalankan aktiviti seharian, zikir menjadi amalan yang sangat dianjurkan bagi
setiap Muslim. Ia adalah salah satu amalan yang disuruh supaya diperbanyakkan
sebagaimana ibadah-ibadah lain seperti solat, puasa dan sebagainya. Ternyata
bahawa amalan zikir bukan hanya sekadar ibadah, tetapi juga merupakan amalan
yang boleh membersihkan dan menyucikan jiwa manusia. Namun apakah diperbolehkan
untuk mengiringinya dengan muzik atau peralatannya? Perbahasan ini dijelaskan
melalui makna dan adab-adab berzikir serta hukum mengiringinya dengan muzik.
Makna Zikir Dan Suruhan
Memperbanyakkannya
Zikir merupakan salah
satu perbuatan mengingati Allah SWT dengan menyebut nama-nama-Nya sama ada
secara lafaz dengan lidah atau melakukannya di dalam hati.[1] Ia merupakan satu ibadah yang meliputi ungkapan
istighfar, doa, selawat, tasbih, tahmid, takbir, tahlil, pembacaan Al-Quran dan
seumpamanya. Seorang hamba yang ingin dekat dengan Allah SWT hendaklah
memperbanyakkan zikir. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-Ahzab ayat 41:
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا
Maksudnya: Wahai
orang-orang yang beriman! Berzikirlah kalian kepada Allah dengan zikir yang
banyak.
Terdapat juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa
Rasulullah SAW bersabda:
سَبَقَ
الْمُفَرِّدُونَ قَالُوا: وَمَا الْمُفَرِّدُونَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ:
الذَّاكِرُونَ اللهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتُ[2]
Maksudnya: Telah
mendahului golongan al-Mufarridun.
Lalu para Sahabat bertanya: Siapakah golongan al-Mufarridun wahai Rasulullah SAW? Baginda SAW menjawab: Orang
lelaki dan perempuan yang mengingati Allah SWT dengan banyak.
(Riwayat Muslim)
Melihat kepada pernyataan tersebut, segala sesuatu yang
berada di bawah makna zikir ini berkait rapat dengan perbuatan mengingati Allah
SWT, di mana perbuatan ini merupakan sesuatu perkara yang baik dan suci serta
memiliki adab yang perlu dijaga bagi memperoleh hasilnya iaitu ganjaran pahala
dan taqarrub kepada Allah SWT.
Hikmah Berzikir
Dengan Memperlahan Dan Menyembunyikan Suara
Allah SWT menyuruh hamba-hamba-Nya mengingati-Nya dengan
penuh rasa rendah diri berdasarkan firman di dalam surah al-A’raaf ayat 205:
وَاذْكُر
رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً
Maksudnya: Dan
ingatlah Tuhan kamu di dalam diri kamu secara rendah diri dan penuh rasa takut.
Imam al-Tabari menukilkan pendapat Mujahid bin Jabr yang menyebutkan
bahawa :
أُمِرُوا
أَن يَذْكُرُوهُ فِي الصُّدُورِ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً[3]
Maksudnya:
Mereka diperintahkan untuk mengingati-Nya di dalam dada dengan penuh rasa
rendah diri dan takut.
Maka, ini bererti perasaan rendah diri dan perasaan takut itu perlu
dihadirkan bersama ketika mengingati Allah SWT.
Antara hikmah
tersebut ialah:
- Menunjukkan bukti beriman kepada Allah SWT Yang Maha Mendengar. Dia
Maha Mendengar zikir para hamba-Nya sekalipun dilakukan secara perlahan.
Daripada Abu Musa al-Asy’ariy RA mengatakan bahawa:
كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَجَعَلَ
النَّاسُ يَجْهَرُوْنَ فِيْ التَّكْبِيْرِ، فَقَالَ النَّبِيِّ صلى الله عليه
وسلم:أَيُّهَا النَّاس ارْبَعُوْا عَلَى أَنْفُسِكُمْ إِنَّكُمْ لَا تَدْعُوْنَ
أَصُمَّ وَلَا غَائِبًا إِنَّكُمْ تَدْعُوْنَ سَمِيْعًا قَرِيْبًا وَهُوَ مَعَكُمْ[4]
Maksudnya: Kami dahulu pernah bersama dengan Nabi SAW (dalam suatu
permusafiran). Orang ramai bertakbir dengan kuat. Lalu Nabi SAW bersabda: Wahai
sekalian orang, kasihanilah diri kamu sendiri, sesungguhnya kamu semua bukan
menyeru zat yang pekak dan jauh, sebaliknya kamu semua menyeru kepada tuhan
yang Maha Mendengar dan Maha Dekat, Dia bersama dengan kamu semua.
(Riwayat al-Bukhari)
- Memperlahan dan menyembunyikan suara ketika berzikir termasuk di
dalam adab dan perbuatan mengagungkan Allah SWT. Bukankah ketika berbicara
dengan seorang raja tidak wajar diangkat dan ditinggikan suara dek
memuliakannya? Melainkan berbicara dengannya sekadar suara yang dapat
didengarinya sahaja. Maka Allah SWT amat sempurna dan mulia dari
segalanya. Jika Allah SWT Maha Mendengar suara yang perlahan, maka apakah
keperluan untuk mengeraskan dan menguatkan suara zikir secara berlebihan
kepada-Nya? Bahkan perbuatan tersebut tidak bersesuaian dengan adab yang
sewajarnya bagi seseorang yang benar-benar merendahkan diri di hadapan Tuhannya.
- Lebih bersesuaian dengan sifat khusyuk, merendah diri serta lebih
hampir kepada ikhlas. Ia juga sebagai tanda seseorang hamba itu merasai
dirinya benar-benar hampir serta berharap kepada Allah SWT dalam keadaan
dia merasakan dirinya miskin dan hina, maka sudah tentu dia akan
merendahkan suaranya.
- Dapat mengelakkan diri
daripada rasa jemu. Ini kerana berzikir dengan suara yang perlahan dan
berbisik tidak meletihkan anggota badan. Berbeza jika dilantangkan suara
yang sudah tentu akan menyebabkan letih dan akan menjadikan seseorang itu
tidak mampu melakukannya berulang kali, sedangkan zikir digalakkan kepada
pengulangan dan istiqamah.
Hakikat Adab Berzikir Di Dalam Majlis
Syeikh
Abdul Qadir Isa menjelaskan tentang adab-adab zikir yang diperdengarkan suara
khususnya ketika berada di dalam majlis-majlis zikir. Beliau menegaskan bahawa:
الذِّكْرُ
الجَهْرِيُّ لَهُ آدَابٌ ثَلَاثَةٌ : آدَابٌ سَابِقَةٌ ، وَآدَابٌ مُقَارَنَةٌ ،
وَآدَابٌ لَاحِقَةٌ ، وَكُلُّ قِسْمٍ مِنْ هَذِهِ الثَّلَاثَةُ لَهُ ظَاهِرٌ
وَبَاطِنٌ[5]
Maksudnya: Zikir dengan mendengarkan suara
memiliki tiga adab iaitu adab sebelum, semasa dan selepas berzikir dan
masing-masing daripada ketiga-tiga adab ini memiliki adab zahir dan juga batin.
Antara
adab tersebut ialah:
- Adab sebelum berzikir
Zahir |
Batin |
إنِيِّ كَرَهْتُ أَنْ أَذْكُرَ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ إِلَّا عَلَى طُهْرٍ[6] Maksudnya:
Sesungguhnya aku tidak suka menyebut nama Allah ‘Azza wa Jalla melainkan
dalam keadaan suci.
(Riwayat Abu Daud)
|
وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ
ٱلدِّينَ Maksudnya:
Dan tidaklah mereka itu disuruh untuk menyembah
Allah melainkan mereka itu orang-orang yang ikhlas dalam urusan agama.
|
- Adab semasa berzikir
Zahir |
Batin |
|
المُرَادُ مِنَ الذِّكْرِ حُضُورُ القَلْبِ فَيَنبَغِي أَن يَكُونَ هُوَ
مَقْصُودُ الذَّاكِرِ فَيَحْرُصُ عَلَى تَحْصِيلِهِ وَيَتَدَبُّرِ مَا يَذْكُرَ
وَيَتَعَقَّلَ مَعْنَاهُ، فَالتَّدَبُّرُ فِي الذِّكْرِ مَطْلُوبٌ[8] Maksudnya: Yang dikehendaki dari zikir ialah kehadiran
hati. Maka semestinya dijadikan inilah tujuan oleh seseorang yang berzikir.
Hendaklah dia bersungguh menghadirkannya dan memerhatikan apa yang
dizikirkannya dan memikirkan makna zikir yang diucapkannya. Memerhatikan
ungkapan zikir ketika berzikir adalah suatu yang dituntut.
|
- Adab selepas berzikir
Zahir |
Batin |
|
|
Imam
Maimun Ibn Mihran berkata:
الذِّكْرُ ذِكْرَانِ ذِكْرُ اللهِ بِاللِّسَانِ،
وَأَفْضَلُ مِنْ ذَلِكَ أَنْ تَذْكُرَهُ عِنْدَ الْمَعْصِيَةِ إِذَا أَشْرَفْتَ
عَلَيْهَا[9]
Maksudnya
: Zikir itu ada dua. Zikrullah dengan menggunakan lisan (lidah), dan yang lebih
afdal dari itu adalah kamu mengingat-Nya ketika mana kamu hampir melakukan
maksiat.
Kita dapat lihat bahawa ibadah zikir yang sebenarnya
lebih berfokuskan kepada mengingati Allah SWT semata. Alangkah baiknya
sekiranya ia tidak dicampuri dengan sesuatu yang berkemungkinan boleh
mendatangkan fitnah meskipun perkara-perkara tersebut tidak dilarang oleh
agama.
Hukum Alunan Zikir Yang Disertai Iringan Dari Peralatan
Muzik Dalam Tempat Ibadah
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 – 22 Oktober 2014
mengenai kedudukan perbuatan zikir sambil memukul gendang atau peralatan muzik
yang lain dalam masjid atau surau adalah:
i.
Setelah
meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, pihak
Muzakarah menegaskan bahawa amalan berzikir adalah suatu tuntutan yang
dianjurkan oleh Islam dan dianggap sebagai ibadah sunat bagi mengingati Allah
dengan menyebut nama-Nya.
ii.
Muzakarah
juga berpandangan bahawa amalan berzikir pada masa kini yang telah ditambah
dengan cara memukul alat muzik seperti rebana, tabla (gendang) dan sebagainya
di dalam masjid atau surau oleh sesetengah pihak, boleh mengganggu urusan
ibadah orang lain yang datang untuk menunaikan solat, membaca Al-Quran,
berzikir dan sebagainya. Perbuatan sebegini adalah ditegah oleh Nabi SAW
berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Sa’id Al-Khudry RA berkata bahawa:
اعْتَكَفَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي
الْمَسْجِدِ فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ، فَكَشَفَ السِّتْرَ
وَقَالَ: أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ يُنَاجِي رَبَّهُ، فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ
بَعْضًا، وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ[10]
Maksudnya:
Baginda SAW sedang beriktikaf dia dalam masjid lalu mendapati para Sahabat
sedang sembahyang dan mereka menguatkan (menyaringkan) bacaannya, lalu Baginda
SAW menyingkap tirai lantas bersabda: Sesungguhnya setiap kalian orang yang
solat itu bermunajat kepada tuhan-Nya, maka janganlah kalian menyakiti sesama
kalian (akibat daripada menyaringkan bacaan), dan janganlah menyaringkan suara
sebahagian dari kamu atas sebahagian (mengatasi) yang lain dengan bacaan-bacaan
Al-Quran.
(Riwayat Abu Daud)
Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan
bahawa melafazkan zikir sambil diiringi dengan muzik yang dibenarkan syarak
adalah harus sekiranya ia dilakukan selain daripada kawasan masjid dan surau.
Segala pelaksanaan yang berkait rapat dengannya sama ada seperti masa
persembahan, cara penyampaian mahupun suasana tempat persembahan harus diambil
kira, termasuklah pemilihan muzik yang mengiringi zikir-zikir tersebut mestilah
bersesuaian dengan kehormatan serta kemuliaan ibadah zikir.
Kesimpulan
Meskipun dalam
era modenisasi ini lantunan zikir telah banyak diolah konsepnya dengan
dimasukkan irama lagu dan muzik untuk menarik minat pendengar, beberapa perkara
perlu dititikberatkan di samping mengekalkan tujuan dan menjaga sebutan
zikir-zikir tersebut agar tidak lari dari makna-maknanya yang sebenar.
Perkara-perkara luar daripada makna zikir yang
diiringkan bersamanya memungkinkan zikir tersebut hilang kesucian dan menjadi
kurang adab seperti melafazkannya sambil bermain muzik atau apa sahaja jenis
peralatan adalah tidak digalakkan malah adalah lebih baik untuk dielakkan dan
ditinggalkan. Semoga
kita semua tergolong dalam kalangan orang-orang yang sentiasa melazimi zikrullah.
[1] Dewan Bahasa dan Pustaka.
[2] Abu Husayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qusyairī
Al-Nisāburī. Sahīh Muslim. (Turki:
Dar Al-Tibā’ah Al- ‘Amārah, 1915M). Jil. 8, ms. 63, no. hadis 2676 .
[3] At-Ṭabarī, Muhammad bin Jarīr at-Ṭabarī, Tafsīr
at-Ṭabarī Jāmi’ al-Bayān, (Mekah: Dār at-Tarbiyyah wa at-Turath,1431H), Jil.
13, ms. 354.
[4] Al-Bukhari, Abū Abdullah Muhammad Bin Isma’il
Al-Bukhārī Al-Ja’fi, Sahih al-Bukhari,
(Damsyik, Syria: Dar Ibn Katsir, 1993), Jil. 3, ms. 1091, no. hadis 2830.
[5] Sayyid Uthmān al-Batāwī, Maslak al-Akhyār fī al-Ad’iyyah wal Adzkār al-Wāridah ‘an Rasūlillah,
(Indonesia: Syirkah Maktabah
al-Madaniyah, t.t), ms. 1-2.
[6] Aḥmad bin Ḥanbal, Musnad
al-Imām Aḥmad bin Ḥanbal, (Muassasah ar-Risālah, 1421H/2001M), Jil. 31, ms.
381, no. hadis 19034.
[7] Sayyid Uthmān al-Batāwī, Maslak al-Akhyār fī al-Ad’iyyah wal Adzkār al-Wāridah ‘an Rasūlillah,
(Indonesia: Syirkah Maktabah
al-Madaniyah, t.t) hal 1-2.
[8] Al-Nawāwī, Abū Zakariyyā Muhyī al-Dīn bin Sharaf
al-Nawāwī (1972M), al-Azkar
al-Nawawiyyah, (t.t),ms. 16.
[9] Abū Nuaim al-Aṣbahānī, Ḥilyah al-Awliya’ wa Ṭabaqāt al-Aṣfiya’, (Mesir: Maṭba’ah
as-Sa’ādah, 1394H/1974M), Jil. 4, ms. 87.
[10] Muhammad bin ‘Abdul Bāqī bin Yusuf Al-Zurqānī, Syarh
Al-Zurqānī ‘Alā Muwaṭṭa’ Al-Imām Mālik, (Kaherah: Maktabah Ath-Thaqāfah
Ad-Dīniah, 1424H/2003M), Jil. 1, ms. 310.