Disediakan oleh: Ahmad Amiruddin bin Ahmad Shukri
Tarikh: 21 Mei 2024
Pendahuluan
Jamak dan qasar merupakan bentuk keringanan (rukhsah) yang telah diberikan oleh
Allah SWT kepada umat Islam ketika mengerjakan ibadah solat khususnya sewaktu
permusafiran. Keringanan ini disebut sebagai rukhsah di dalam agama kerana terdapat keuzuran atau halangan yang
sedang dihadapi. Tujuannya adalah sebagai keringanan kepada umat Islam agar
tetap mengerjakan ibadah solat yang difardukan ke atas setiap umat Islam. Namun
begitu, adakah keharusan rukhsah ini
diberikan bagi setiap jenis permusafiran? Justeru itu, artikel ini akan
membincangkan berkenaan status solat jamak dan qasar bagi permusafiran
bertujuan maksiat.
Keharusan Jamak dan Qasar
Secara umumnya, ibadah solat secara jamak dan qasar
diharuskan bagi tujuan permusafiran. Perihal ini adalah berdasarkan hadis
daripada Ibn Abbas RA beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى الله عليه وَسَلَّمَ جَمَعَ بَيْنَ
الصَّلاَةِ فِى سَفْرَةٍ سَافَرَهَا فِى غَزْوَةِ تَبُوكَ فَجَمَعَ بَيْنَ
الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ قَالَ سَعِيدٌ: فَقُلْتُ
لاِبْنِ عَبَّاسٍ: مَا حَمَلَهُ عَلَى ذَلِكَ؟ قَالَ: أَرَادَ أَنْ لاَ يُحْرِجَ
أُمَّتَهُ[1]
Maksudnya: Nabi SAW menjamakkan
solat dalam perjalanan yang kami lakukan ketika peperangan Tabuk. Baginda
menjamakkan solat Zuhur dengan solat Asar dan solat Maghrib dengan Isyak. Said
berkata: Aku bertanya kepada Ibn Abbas: Apakah yang mendorong Baginda berbuat
begitu? Jawabnya: Baginda tidak mahu menyusahkan umatnya.
(Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis di atas, Nabi SAW juga telah mengerjakan
solat secara jamak dan qasar sewaktu berlaku peperangan di Tabuk. Perbuatan
Baginda juga menandakan bahawasanya rukhsah
tersebut adalah merupakan bentuk keringanan yang dikurniakan kepada umat
Baginda dalam mengerjakan kefarduan solat. Justeru itu, setiap permusafiran
yang dikerjakan atas tujuan yang diharuskan syarak maka permusafiran tersebut
mendapat rukhsah dalam mengerjakan ibadah
solat secara jamak dan qasar.
Status Jamak dan Qasar bagi permusafiran bertujuan maksiat
Walau bagaimanapun, keharusan menunaikan solat secara jamak
dan qasar ini terbatal sekiranya permusafiran tersebut adalah berdasarkan
tujuan maksiat. Hal ini kerana, antara syarat harus mengerjakan solat secara jamak dan qasar
adalah perlu dipastikan bahawa perjalanannya atas tujuan yang diharuskan oleh
syarak dan bukan kerana tujuan maksiat. Hal ini sebagaimana dijelaskan oleh
Imam Nawawi dalam Rawdhah al-Talibin ketika
menghuraikan tentang rukhsah qasar,
katanya:
وأَمَّا كَوْنُ السَّفَرِ مُبَاحًا فَمَعْنَاهُ أَنَّهُ
لَيْسَ بِمَعْصِيَةٍ، سَوَاءً كَانَ طَاعَةً أَوْ تِجَارَةً، وَلَا يَتَرَخَّصُ
فِي سَفَرِ الْمَعْصِيَةِ، كَهَرَبِ الْعَبْدِ مِنْ مَوْلَاهُ،…[2]
Maksudnya: Maksud sesuatu
pemusafiran itu mestilah musafir yang diharuskan pada syarak bukan kerana
(tujuan) maksiat, sama ada permusafiran dalam perkara ketaatan atau perniagaan.
Bagi permusafiran bertujuan maksiat pula, tidak mendapat rukhsah (mengerjakan
qasar) seperti seorang hamba melarikan diri daripada tuannya…
Namun begitu, terdapat pembahagian dalam menentukan sesuatu
perjalanan itu diambil kira sama ada ia adalah permusafiran yang bermaksiat
atau sebaliknya. Perkara ini sebagaimana dijelaskan dalam al-Taqrirat al-Sadidah:[3]
Terdapat tiga keadaan bagi pelaku
maksiat daripada segi keharusan mendapatkan
(rukhsah) untuk mengerjakan
jamak dan qasar:
1) Permusafiran yang dimulakan dengan
tujuan maksiat.
2) Permusafiran yang dimulakan dengan
tujuan yang diharuskan namun
berlaku maksiat ketika perjalanan tersebut
berlangsung.
3) Permusafiran yang dimulakan dengan tujuan yang diharuskan
kemudian diubah
tujuan asalnya kepada tujuan maksiat.
Berdasarkan kenyataan di atas, maka disimpulkan bahawa bagi
keadaan pertama adalah tidak diharuskan mengerjakan solat secara jamak dan
qasar kecuali si pelaku bertaubat dan membatalkan niat maksiatnya serta masih
mempunyai baki perjalanan yang melebihi kadar dua marhalah. Bagi keadaan kedua
pula, harus baginya untuk mengerjakan solat secara jamak dan qasar kerana
tujuan asal permusafiran tersebut adalah tujuan yang diharuskan syarak. Bagi
keadaan ketiga pula, tidak harus baginya mengerjakan solat secara jamak dan
qasar kecuali si pelaku bertaubat dan kembali kepada tujuan asal yang
diharuskan sama ada dia masih memiliki baki perjalanan yang melebihi kadar dua
marhalah atau kurang.
Di samping itu juga, perkara ini turut dikukuhkan
berdasarkan kenyataan Imam Nawawi dalam Rawdhah
al-Talibin, katanya:
وَأَمَّا الْعَاصِي فِي سَفَرِهِ، وَهُوَ أَنْ يَكُونَ
السَّفَرُ مُبَاحًا وَيَرْتَكِبُ الْمَعَاصِيَ فِي طَرِيقِهِ فَلَهُ التَّرَخُّصُ.
وَلَوْ أَنْشَأَ سَفَرًا مُبَاحًا ثُمَّ جَعَلَهُ مَعْصِيَةً فَالْأَصَحُّ أَنَّهُ
لَا يَتَرَخَّصُ. وَلَوْ أَنْشَأَ سَفَرَ مَعْصِيَةٍ ثُمَّ تَابَ وَغَيَّرَ
قَصْدَهُ مِنْ غَيْرِ تَغْيِيرِ صَوْبِ السَّفَرِ، قَالَ الْأَكْثَرُونَ:
ابْتِدَاءُ سَفَرِهِ مِنْ ذَلِكَ الْمَوْضِعِ. إِنْ كَانَ مِنْهُ إِلَى مَقْصِدِهِ
مَسَافَةُ الْقَصْرِ – تَرَخَّصَ، وَإِلَّا فَلَا.[4]
Maksudnya: Adapun bagi seseorang
yang bermaksiat dalam perjalanannya, iaitu perjalanan dengan tujuan yang harus
namun terjerumus dengan maksiat sewaktu perjalanannya, maka dia mendapat rukhsah. Sekiranya dimulakan perjalanan
dengan tujuan yang harus kemudian ditukarkan kepada perjalanan bagi tujuan
maksiat, maka menurut pandangan yang asoh
ialah tiada rukhsah. Sekiranya
dimulakan perjalanan dengan tujuan maksiat kemudian dia bertaubat dan menukar
tujuan asalnya tanpa mengubah arah tuju perjalanannya, maka menurut pandangan
majoriti: Perjalanannya dikira bermula daripada tempat tersebut. Jika jarak di
antara tempat semasanya dengan tempat yang dituju mengambil kadar jarak yang
diharuskan qasar maka dia mendapat rukhsah,
adapun jika sebaliknya maka dia tidak mendapat rukhsah.
Justeru, berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas jelas
menerangkan bahawa keharusan solat secara jamak dan qasar hanya berlaku bagi
permusafiran berbentuk harus seperti ziarah sanak saudara, urusan pekerjaan,
percutian yang tiada unsur maksiat dan sebagainya. Manakala permusafiran bagi
tujuan maksiat seperti mencuri, berzina, pergi ke konsert yang melalaikan tanpa
menjaga batas pergaulan dan apa jua bentuk yang disebut sebagai perbuatan
maksiat maka seseorang itu tidak berhak mendapat rukhsah untuk mengerjakan solat secara jamak dan qasar.
Kesimpulan
Solat jamak dan qasar ialah rukhsah (keringanan) yang diberikan oleh Allah SWT kepada
hamba-hambanya. Pelaksanaan solat secara jamak dan qasar ini hanya dibenarkan
bagi permusafiran yang diharuskan. Adapun permusafiran bagi tujuan maksiat
tidak layak mendapatkan rukhsah jamak
dan qasar kerana kerana rukhsah adalah
suatu keringanan yang hanya diberikan kepada perkara bukan bersifat maksiat.
[1] Muslim, Muslim bin al-Hajjaj. (1955). Ṣaḥīḥ Muslim. Beirut: Dar Iḥyā’ al-Turāth al-‘Arabī. Jil. 1. Ms.
490. No. Hadith. 705.
[2] Al-Nawawī.
Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn al-Syaraf. (1991). Rawḍhah al-Ṭālibin wa ‘Umdah al-Muftīn. Beirut: Maktabah
al-Islamiyy. Jil. 1, ms. 388.
[3] Ḥassan bin Ahmad al-Kāff, al-Taqrīrāt al-Sadīdah fi al-Masāil al-Mufīdah, (Yaman, Hadramawt:
Dar al-Miras an-Nabawiyyah), ms. 314.
[4] Al-Nawawī.
Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn al-Syaraf. (1991). Rawḍhah al-Ṭālibin wa ‘Umdah al-Muftīn. Beirut: Maktabah
al-Islamiyy. Jil. 1, ms. 388.