Tarikh: 20 Mei 2024
Disediakan
oleh: Alifah Ilyana binti Hamizan
Pendahuluan
Allah SWT telah menetapkan kewajipan
solat kepada hamba-Nya melalui penetapan waktu-waktu tertentu untuk mendirikan
solat. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 103:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا
مَّوْقُوتًا
Maksudnya: Sesungguhnya
solat itu adalah kewajiban yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang
beriman.
Imam Ar-Razi menafsirkan makna kewajiban di sini ialah fardu
yang telah ditentukan waktunya. Beliau menyatakan Allah SWT menjelaskan bahawa
sesungguhnya kewajiban solat itu ditentukan dengan waktu-waktu yang khusus iaitu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib
dan Isyak.[1] Kelima-lima solat fardu ini wajib ditunaikan dalam waktunya
dan sekiranya waktu solat berlalu tanpa solat didirikan, maka wajib baginya
untuk mengqada’ solat tersebut. Persoalan yang timbul, apakah hukum menunaikan
solat sunat sebelum sempurna mengqada’ solat fardu yang ditinggalkan itu?
Larangan
Melengahkan Solat Sehingga Terlepas Waktu
Firman Allah SWT di
dalam Surah Al-Ma’un ayat ke 4 dan 5:
فَوَيْلٌ
لِلْمُصَلِّينَ الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلاتِهِمْ سَاهُونَ
Maksudnya: Maka celakalah bagi
orang-orang yang solat iaitu orang-orang yang lalai dari solatnya.
Di dalam kitab Tafsir Ibn Kathir, Ibnu Abbas mengatakan bahawa makna ‘orang-orang yang solat yang lalai dari
solatnya’ ialah:
يَعْنِي الْمُنَافِقِينَ الَّذِينَ
يُصَلُّونَ فِي الْعَلَانِيَةِ وَلَا يُصَلُّونَ فِي السِّرِّوالَّذِينَ هُمْ مِنْ أَهْلِ
الصَّلَاةِ وَقَدِ التَزَمُوا بِهَا ثُمَّ هُمْ عَنْهَا سَاهُون[2]
Maksudnya: Iaitu orang-orang munafik
yang menunaikan solat secara terang-terangan tetapi apabila bersendirian mereka
tidak melakukannya dan mereka yang sudah berkewajipan mengerjakan solat dan
melaziminya, kemudian mereka melalaikannya.
Kata beliau lagi:
إِِمَّا
عَنْ فِعْلِهَا بِالكُلِيَّةِ وَإِمَّا عَنْ فِعْلِهَا فِي الوَقْتِ المُقَدَّرِ
لَهَا شَرْعًا فَيُخْرِجُهَا عَنْ وَقْتِهَا بِالكُلِيَّةِ[3]
Maksudnya: Hal ini termasuklah
pengertian tidak mengerjakan solat sama sekali atau mengerjakannya bukan pada waktu
yang telah ditetapkan syarak apatah lagi mengerjakan solat di luar waktu.
Atta’ Ibnu Dinar menambahkan bahwa:
إِمَّا عَنْ وَقْتِهَا الأَوَّلُ فَيُؤَخِّرُونَهَا إِلَى
آخِرِهِ دَائِمًا أَوْ غَالِبٍا وَإِمَّاعَنْ أَدَائِهَا بِأَرْكَانِهَا
وَشُرُوطِهَا عَلَى الوَجْهِ المَأْمُورِ بِهِ وَإِمَّا عَنِ الخُشُوعِ فِيهَا
والتَّدَبُّرُ لِمَعَانِيهَا[4]
Maksudnya: Adakalanya kerana tidak
menunaikannya di awal waktu maka menangguhkannya sampai akhir waktu secara
terus-menerus atau sebagian besar kebiasaannya. Begitu juga adakalanya pula
kerana tidak memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat solat sesuai dengan apa
yang diperintahkan serta tidak khusyuk dan tidak memahami maknanya. Maka
pengertian kepada ayat tersebut mencakup semua pengertian ini.
Ia merupakan penegasan tentang
bagaimana solat itu boleh membuat pelakunya mendapat kecelakaan, iaitu
orang-orang yang suka melalaikan solat. Sebagaimana kita ketahui, bahawa solat
itu dapat mencegah kita daripada perbuatan mungkar dan tercela di mana baik
atau buruknya kualiti solat seseorang dapat dilihat daripada perilakunya
sehari-hari.
Hukum Qada’ Solat Fardu
Secara asasnya, setiap kewajipan itu apabila ditinggalkan
hendaklah diqada’ semula. Pandangan mazhab Al-Syafi’i menyatakan bahawa wajib
bagi seseorang yang meninggalkan solat tanpa keuzuran syar’i untuk segera
mengqada’ solatnya. Manakala jika seseorang meninggalkan solat disebabkan
keuzuran syar’i seperti tertidur, terlupa atau seumpamanya, maka sunat baginya
untuk segera mengqada’ solatnya. Imam al-Khatib al-Syarbini menerangkan dalam
kitabnya Mughni al-Muhtaj bahawa:
(وَيُبَادِرُ
بِالْفَائِتِ) نَدْبًا إنْ فَاتَهُ بِعُذْرٍ كَنَوْمٍ وَنِسْيَانٍ وَوُجُوبًا
إنْ فَاتَهُ بِغَيْرِ عُذْرٍ عَلَى الْأَصَحِّ[5]
Maksudnya: Sunat bagi seseorang itu
menyegerakan qada’ solat jika meninggalkannya disebabkan oleh keuzuran syar’i
seperti tidur atau terlupa. Manakala wajib baginya untuk segera menggantikan
solat yang tertinggal tanpa keuzuran syar’i mengikut pandangan yang paling
sahih.
Hukum Melakukan Solat Sunat Dalam
Keadaan Mempunyai Hutang Solat Fardu yang Belum Diqada’
Merujuk kepada Al-Fatāwā Al-Kubrā karangan Imam Ibnu Hajar Al-Haytami, beliau
menyatakan bahawa:
مَنْ عليه فَوَائِتُ فَإِنْ كانت
فَائِتَةً بِعُذْرٍ جَازَ له قَضَاءُ النَّوَافِلِ مَعَهَا وَإِنْ كانت فَاتَتْ
بِغَيْرِ عُذْرٍ لم يَجُزْ له فِعْلُ شَيْءٍ من النَّوَافِلِ قبل قَضَائِهَا
لِأَنَّهُ وَاجِبٌ عليه فَوْرًا[6]
Maksudnya: Sesiapa yang mempunyai
solat fardu yang tertinggal disebabkan keuzuran maka harus baginya menunaikan
solat sunat dalam keadaan mempunyai solat fardu yang belum diqada’. Adapun
sekiranya tertinggal bukan disebabkan keuzuran maka tidak diharuskan baginya
melakukan apa-apa daripada solat-solat sunat sebelum selesai mengqada’ solat
fardu yang tertinggal tersebut kerana wajib ke atasnya menyegerakan qada’ solat
yang tertinggal.
Beliau menyatakan lagi:
وما لم يُضْطَرَّ لِصَرْفِهِ في
شَيْءٍ يَجِبُ عليه صَرْفُهُ في ذلك الْوَاجِبِ عليه الْفَوْرِيِّ وَإِلَّا كان
عَاصِيًا آثِمًا بِالتَّأْخِيرِ[7]
Maksudnya: Sekiranya tidak ada
perkara darurat yang menghalangnya daripada menyegerakan qada’ solat tersebut
maka dia wajib menyegerakannya dan sekiranya tidak berbuat demikian maka dia
dikira berdosa kerana melewatkan qada’ solat yang tertinggal.
Selain itu, Imam Al-Tarmasi juga
menyatakan bahawa mengerjakan solat sunat dalam keadaan mempunyai hutang solat
fardu yang belum diqada’ adalah sah namun pelaku tersebut dianggap berdosa
kerana melambatkan qada’ solat fardu yang tertinggal seperti yang dinyatakan dalam kitab beliau :
)لَا يَجُوزْ لَهْ أَن يَتَنَفَّلَ حَتَّى تَفْرُغَ ذِمَّتُهُ مِنْ
جَمِيعِ الفَوَائِتِ) أي: يأثم به مع الصحة وسواء في ذلك نفل الصلاة أو غيرها[8]
Maksudnya: Tidak
diharuskan baginya melakukan perkara-perkara sunat sehingga hutangnya daripada
semua perkara fardu yang tertinggal dilangsaikan yakni pelaku tersebut dihukum
berdosa jika melakukannya namun perkara yang dilakukan adalah sah dan ini sama
hukumnya dengan solat sunat atau selainnya.
Secara jelasnya, solat sunat yang
dilakukan itu adalah sah namun pelakunya dikira berdosa kerana hukum
menggantikan solat fardu yang tertinggal tanpa keuzuran adalah wajib
disegerakan sebagaimana yang telah dinyatakan di atas.
Imam al-Syarbini juga menyatakan di dalam kitab beliau:
وَعَلَى الْقَضَاءِ يَأْثَمُ الْمُصَلِّي بِالتَّأْخِيرِ إلَى
ذَلِكَ[9]
Maksudnya: Dan
terhadap solat-solat yang tertinggal, seseorang itu berdosa sekiranya dia
melewatkannya yakni tidak segera mengqada’nya.
Secara ringkasnya, perbahasan ini dapat dirangkumkan dalam
jadual yang tertera bagi menambahkan penguasaan pemahaman.
HUKUM QADA’ SOLAT FARDU YANG TERTINGGAL
Disebabkan Keuzuran |
Bukan Disebabkan
Keuzuran |
Sunat Menyegerakannya |
Wajib Menyegerakannya |
HUKUM MELAKUKAN SOLAT SUNAT DALAM KEADAAN
MEMPUNYAI HUTANG QADA’ SOLAT FARDU
|
Disebabkan Keuzuran |
Bukan Disebabkan Keuzuran |
Hukum
Solat Sunat |
Diharuskan |
Tidak Diharuskan |
Status
Solat Sunat |
Sah dan Tidak
Berdosa |
Sah dan Dikira
Berdosa kerana melewatkan qada’ Solat Fardu |
Kesimpulan
Tidak dinafikan bahawa solat sunat
itu mempunyai fadhilat yang besar dan menutup kekurangan yang berlaku dalam
solat fardu, namun ia tetap tidak akan dapat menggantikan walaupun satu solat
fardu sekalipun bahkan pahala solat fardu lebih besar daripada pahala solat
sunat.
Adalah lebih baik sekiranya
seseorang itu menggunakan waktunya untuk bersegera mengqada’ solat fardu yang
ditinggalkan sebelum melakukan ibadah-ibadah sunat lain dan sekiranya tidak
mampu menentukan bilangan yang tertinggal tersebut maka, hendaklah dia terus
mengqada’ solat-solat yang tertinggal itu sehingga dia yakin bahawa ghalib al-zann (berkemungkinan besar)
dia telah menunaikan kewajipan tersebut di samping beristighfar kepada Allah
SWT dan memperbanyakkan taubat.
Solat sunat yang dikerjakan dalam
keadaan mempunyai hutang solat fardu yang ditinggalkan tanpa uzur syar’i adalah
sah tetapi dikira berdosa kerana pelaku tersebut tidak bersegera mengqada’
solat fardu tersebut. Adapun jika solat fardu itu ditinggalkan kerana uzur
syar’i maka tidak berdosa dan dibolehkan untuknya mengerjakan solat sunat
walaupun masih mempunyai hutang qada’ solat fardu. Wallahua’lam.
[1] Fakhruddīn Ar-Rāzī, Abū ‘Abdullah Muhammad bin Umar At-Tīm
Ar-Rāzī, Tafsīr Ar-Rāzī Mafātīh Al-Ghaib/At-Tafsīr Al-Kabīr, (Beirut: Dār Ihyā’
Al-Turāth Al-Arabiy, 1420H/2000M), Jil. 11, ms. 208.
[2] Abū al-Fida’ Ismāīl bin Umar bin Kathīr al-Qurosyī
al-Basrī, Tafsīr ibn Kathīr. Dār
at-Thoyyibah lil an-Nayr wa at-Tauzī’. 1999M. Jil. 8, ms. 493.
[3] Abū al-Fida’
Ismāīl bin Umar bin Kathīr al-Qurosyī al-Basrī, Tafsīr ibn Kathīr. Dār at-Thoyyibah lil an-Nayr wa at-Tauzī’.
1999M. Jil. 8, ms. 493.
[4] Ibid.
[5] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khāṭib Al-Sharbīnī
Al-Shafiʿi (m. 977H). Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī
Al-Alfāz Al-Minhāj. (Kaherah, Mesir: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah).
1994M/1415H. Jil. 1, Ms. 308.
[6] Ahmad bin
Muhammad bin ‘Ali bin Hajar al-Haytami, Al-Fatāwā
Al-Fiqhiyyah Al-Kubrā (Maktabah Islamiyah) Jil. 1, ms. 189.
[7] Ibid.
[8] Al-Tarmasī,
Sheikh Muhammad Maḥfūz bin ‘Abdillah, Hāsyiah
Al-Tarmasi, (Jeddah: Dār Al-Minhāj) Jil.2, ms. 459.
[9] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khāṭib Al-Sharbīnī
Al-Shafiʿi (m. 977H). Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī
Al-Alfāz Al-Minhāj. (Kaherah, Mesir: Dār Al-Kutub Al-’Ilmiyyah).
1994M/1415H. Jil.1, Ms. 307.