Tarikh: 9 Mei 2024
Disediakan oleh: Muhammad Aiman Akmal Bin Omar
Pengenalan
Solat merupakan tiang agama bagi setiap umat Islam. Oleh
itu, sebagai umat Islam diwajibkan ke atas diri mereka untuk menunaikan solat
fardhu lima kali sehari semalam di mana jua berada. Walau bagaimanapun,
kesamaran yang timbul mutakhir ini bagi kaum hawa manakah tempat yang terbaik
untuk mereka menunaikan solat sama ada di rumah atau di Masjid. Hal ini kerana
seakan-akan tiada galakan untuk mereka bersolat di masjid bahkan yang lebih
afdhal adalah di rumah mereka, rentetan dari kefahaman secara literal terhadap
hadis-hadis yang membawa kepada makna sebegitu. Justeru, perlu pencerahan hukum
serta makna yang dikehendaki syarak di sebalik hadis-hadis mengenai solat bagi
perempuan sama ada di rumah atau di Masjid.
Hadis-Hadis
Yang Menunjukkan Galakan Solat Di Rumah bagi Perempuan
1.
Lafaz hadis yang menjadi sandaran
utama bagi isu ini sepertimana yang diriwayatkan daripada Saidina Ibn ‘Umar RA,
Rasulullah SAW bersabda yang berbunyi:
صَلَاةُ
الْمَرْأَةِ فِي بَيْتِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهَا فِي حُجْرَتِهَا،
وَصَلَاتُهَا فِي مَخْدَعِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهَا فِي بَيْتِهَا
Maksudnya: Solat seorang perempuan di rumahnya lebih baik
daripada solat di dalam bilik rumahnya, dan solat seorang perempuan di dalam
bilik yang lebih kecil lebih baik baginya daripada solat di rumahnya.[1]
(Riwayat Abu Daud)
Para
ulama mensyarahkan mengenai makna
lafaz-lafaz dalam hadis ini seperti berikut:
I. Lafaz بَيْتِهَا: Bilik di dalam rumah yang menjadi tempat
kebiasaan tidur.[2]
II. Lafaz حُجْرَتِهَا: Halaman rumah di mana pintu-pintu rumah
berada.[3]
III. Lafaz مَخْدَعِهَا: Bilik kecil di dalam bilik yang besar.
Ini bermakna bahawa selagi mana lebih banyak wanita
melakukan solat di tempat tersembunyi dan jauh dari penglihatan orang lain adalah
lebih baik dan lebih besar pahalanya. Hal ini kerana selamat baginya
daripada berlaku fitnah.
2.
Hadis dari Ummu Humaid isteri kepada
Abi Humaid al-Sa’idi, sesungguhnya beliau telah datang kepada Nabi SAW dan
berkata:
يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي أُحِبُّ
الصَّلَاةَ مَعَكَ، قَالَ: قَدْ عَلِمْتُ أَنَّكِ تُحِبِّينَ الصَّلَاةَ مَعِي وَصَلَاتُكِ
فِي بَيْتِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلَاتِكِ فِي حُجْرَتِكِ وَصَلَاتُكِ فِي
حُجْرَتِكِ خَيْرٌ مِنْ صَلَاتِكِ فِي دَارِكِ وَصَلَاتُكِ فِي دَارِكِ خَيْرٌ
لَكِ مِنْ صَلَاتِكِ فِي مَسْجِدِ قَوْمِكِ وَصَلَاتُكِ فِي مَسْجِدِ قَوْمِكِ
خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلَاتِكِ فِي مَسْجِدِي، قَالَ: فَأَمَرَتْ فَبُنِيَ لَهَا
مَسْجِدٌ فِي أَقْصَى شَيْءٍ مِنْ بَيْتِهَا وَأَظْلَمِهِ فَكَانَتْ تُصَلِّي
فِيهِ حَتَّى لَقِيَتِ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ
Maksudnya: Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya aku suka solat
bersamamu. Baginda menjawab: Sungguh aku mengetahui bahawa engkau suka
menunaikan solat bersamaku, akan tetapi solatmu di bilik tidurmu adalah lebih
baik dibandingkan solatmu di bilikmu, dan solatmu di bilikmu adalah lebih baik
dibandingkan solatmu di rumahmu, dan solatmu di rumahmu adalah lebih baik
dibandingkan solatmu di Masjid kaummu, dan solatmu di Masjid kaummu lebih baik
dibandingkan solatmu di Masjidku. Berkata perawi (Abdullah bin Suwaid al-Ansari):
Kemudian Ummu Humaid meminta untuk didirikan Masjid (tempat solat) di tempat
paling tersorok dan paling gelap di bilik tidurnya. Maka, beliau solat di sana
sehingga bertemu dengan Allah Azza Wa Jalla.[4]
(Riwayat Musnad Ahmad)
Justeru, dapat difahami bahawa hadis-hadis yang disebutkan,
kesemuanya telah memberi kefahaman dan makna yang jelas bahawa bagi seorang
perempuan adalah lebih baik solat di rumahnya sendiri.
Hadis Yang
Tidak Melarang Perempuan Untuk Solat Di Masjid
- Dari
Saidina Ibn ‘Umar berkata, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
لَا
تَمْنَعُوا إِمَاءَ اللهِ مَسَاجِدَ الله
Maksudnya: Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah dari
kalangan wanita untuk pergi ke masjid.[5]
(Riwayat Muslim)
Di dalam riwayat lain mempunyai lafaz yang sama akan tetapi
terdapat penambahan lafaz pada akhir matan hadis seperti:
وَلَكِنْ
لِيَخْرُجْنَ وَهُنَّ تَفِلَاتٌ
Maksudnya: …tetapi mereka boleh
keluar dalam keadaan tidak memakai wangi-wangian.[6]
(Riwayat Abu Daud)
- Hadis
yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar al-Khattab bahawasanya Nabi
SAW bersabda:
إِذَا
اسْتَأْذَنَتِ امْرَأَةُ أَحَدِكُمْ فَلَا يَمْنَعْهَا
Maksudnya:
Jika seorang isteri dalam kalangan kamu meminta izin (untuk keluar ke masjid)
maka janganlah kamu melarangnya.[7]
(Riwayat Bukhari)
- Riwayat
dari Saidina Ibn ‘Umar RA, beliau berkata:
كَانَتِ امْرَأَةٌ لِعُمَرَ تَشْهَدُ
صَلَاةَ الصُّبْحِ وَالْعِشَاءِ فِي الْجَمَاعَةِ فِي الْمَسْجِدِ، فَقِيلَ لَهَا:
لِمَ تَخْرُجِينَ وَقَدْ تَعْلَمِينَ أَنَّ عُمَرَ يَكْرَهُ ذَلِكَ وَيَغَارُ؟
قَالَتْ: وَمَا يَمْنَعُهُ أَنْ يَنْهَانِي؟ قَالَ: يَمْنَعُهُ قَوْلُ رَسُولِ
اللَّهِ ﷺ: لاَ تَمْنَعُوا إِمَاءَ اللَّهِ مَسَاجِدَ اللَّهِ
Maksudnya: Suatu ketika Isteri Saidina ‘Umar pernah
mendirikan solat Subuh dan Isyak secara berjemaah di Masjid. Kemudian dia
ditanya mengapa kamu keluar untuk solat sedangkan kamu sudah tahu bahawa ‘Umar
tidak menyukai perkara ini dan dia juga ghira
(cemburu). Lalu dia (si isteri) menjawab: Apakah yang telah menghalangnya
daripada melarang aku dengan perbuatan ini? Ada yang menjawab: yang
menghalangnya adalah sabdaan Rasulullah SAW mengenai: Jangan kamu melarang
perempuan-perempuan pergi ke Masjid-masjid Allah.[8]
(Riwayat Bukhari)
- Riwayat
lain yang datangnya dari Saidina Ibn ‘Umar RA, bahawa Nabi SAW
bersabda:
إِذَا
اسْتَأْذَنَكُمْ نِسَاؤُكُمْ بِاللَّيْلِ إِلَى الْمَسْجِدِ فَأْذَنُوا لَهُنَّ
Maksudnya: Jika perempuan-perempuan dari kalangan kamu
meminta izin pada waktu malam pergi ke Masjid maka hendaklah kamu
mengizinkannya.[9]
(Riwayat Bukhari)
- Hadis dari Saidina Ibn ‘Umar
juga, Rasulullah SAW telah bersabda:
لَا تَمْنَعُوا نِسَاءَكُمُ الْمَسَاجِدَ، وَبُيُوتُهُنَّ خَيْرٌ
لَهُنَّ
Maksudnya: Janganlah kamu melarang hamba-hamba Allah dari
kalangan wanita untuk pergi ke masjid, dan rumah-rumah mereka adalah lebih baik
bagi mereka.[10]
(Riwayat Abu Daud)
6.
Hadis yang diriwayatkan daripada
‘Amrah binti Abdurrahman bahawa beliau mendengar Saidatina ‘Aisyah RA berkata:
لَوْ
أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ رَأَى مَا أَحْدَثَ النِّسَاءُ لَمَنَعَهُنَّ
الْمَسْجِدَ كَمَا مُنِعَتْ نِسَاءُ بَنِي إِسْرَائِيلَ
Maksudnya: Sekiranya Rasulullah SAW melihat apa yang telah
berlaku kepada wanita-wanita sekarang ini maka Baginda akan larang mereka dari
pergi ke masjid sepertimana yang dilarang ke atas wanita-wanita Bani Israel.[11]
(Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis di atas, para ulama menerangkan bahawa larangan
Nabi SAW merujuk kepada keadaan perempuan keluar ke masjid dengan memakai
minyak wangi sehingga boleh menimbulkan fitnah terhadap kaum lelaki melalui
bauan wangi yang dapat merangsang nafsu syahwat mereka.
Justeru, mereka ditegah untuk keluar rumah walaupun ke Masjid.[12] Larangan dalam hadis ini tidak menunjukkan
seorang perempuan ditegah pergi ke Masjid atau selainnya tetapi larangan mereka
yang berwangi-wangian ketika keluar dari rumahnya untuk menimbulkan fitnah kepada
kaum lelaki.
Hal ini dikuatkan dengan hadis yang lain mengenai larangan
bagi perempuan memakai wangi-wangian ketika keluar dari rumahnya untuk solat di
masjid; lafaz hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Zainab RA isteri Ibn
‘Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا
شَهِدَتْ إِحْدَاكُنَّ الْمَسْجِدَ فَلَا تَمَسَّ طِيبًا
Maksudnya:
Apabila salah seorang di antara kamu yakni perempuan datang ke masjid, janganlah
dia memakai minyak wangi.[13]
(Riwayat Muslim)
Menerusi hadis-hadis yang lalu, tiada larangan dalam syarak
bagi seorang perempuan atau isteri solat berjemaah di Masjid dengan beberapa syarat
yang dapat dipenuhi baginya. Tambahan pula, Nabi SAW ada melarang para suami
untuk menghalang isteri setelah dia meminta izin, akan tetapi solat di rumah
adalah lebih baik baginya.
Rumusan
Pandangan Ulama
Berdasarkan hadis-hadis yang lalu, maka terdapat titik
perbezaan yang ditemui antara hukum perempuan solat di Masjid dan tempat
keutamaan bagi mereka untuk solat. Syarak mengharuskan bagi perempuan untuk
solat di Masjid, bahkan suami tidak boleh melarang jika isterinya telah meminta
izin daripadanya. Dalam masa yang sama, galakan kepada mereka untuk solat di
rumah adalah lebih afdhal kerana bertepatan dengan hadis-hadis yang telah
disebutkan.
Namun begitu, perlu diingatkan terdapat beberapa perkara
yang mesti dipebuhi agar segala fitnah ke atas diri perempuan atau isteri
tersebut dapat dihindarkan. Antaranya adalah;
●
Mendapat keizinan suami;
●
Menjaga aurat, tidak berhias-hias (tabarruj) dan memelihara pandangan;
●
Tidak memakai wangi-wangian;
●
Tiada percampuran antara lelaki dan
perempuan.
Kelebihan-Kelebihan
Yang Ada Pada Masjid
Solat perempuan di rumah adalah lebih baik baginya di
samping keharusan baginya untuk solat di Masjid. Oleh itu, sebagai tanda
memberi galakan bagi kaum perempuan keluar untuk solat di Masjid, di sini
terdapat beberapa kelebihan beribadah di Masjid berbanding di rumah
seperti:
1) Fadilat Masjid yang khusus tidak ada pada selainnya:
مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ وَرَاحَ أَعَدَّ اللهُ لَهُ
نُزُلَهُ مِنَ الْجَنَّةِ كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ
Maksudnya: Sesiapa yang
pergi ke masjid dan balik (dari masjid), Allah sediakan baginya hidangan dari
syurga setiap kali dia pergi dan balik.[14]
(Riwayat Bukhari)
2) Solat berjemaah setiap solat fardhu:
صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ
صَلَاةَ الْفَذِّ بسبع وعشرين درجة
Maksudnya: Solat berjemaah itu melebihi solat sendirian dengan 27 kali
darjat.[15]
(Riwayat Bukhari)
3) Iktikaf: Amalan ini merupakan satu ibadat yang disarankan oleh
Allah SWT dan juga merupakan amalan khusus di Masjid sahaja malah tidak dikira
bagi mereka yang beriktikaf selain dari Masjid.
4) Amalan khusus yang dilakukan di Masjid pada bulan
Ramadhan yang tiada di bulan-bulan lain:
I.
Solat tarawih secara
berjemaah adalah lebih baik dari melakukannya secara berseorangan bertepatan
dengan sabdaan Nabi SAW mengenai fadilatnya yang besar:
فَقَالَ: إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ
كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ
Maksudnya: Nabi SAW
bersabda bahawa barangsiapa yang mendirikan Ramadhan bersama Imam sehingga Imam
beransur pulang akan dicatatkan dan dituliskan baginya pahala qiamullail
sepanjang malam.[16]
(Riwayat Tirmizi)
Para ulama menafsirkan kalimah (مَنْ قَام) membawa
maksud mendirikan Ramadhan. Menurut Imam Nawawi: Qiyam dalam hadis tersebut
merujuk kepada solat terawih.[17] Justeru,
wanita yang melakukan solat di Masjid beroleh kelebihan yang disebutkan di
dalam hadis berbanding mereka yang solat sendirian di rumah. Walau
bagaimanapun, dapat difahami bahawa Rasulullah SAW benar-benar ingin memberikan
galakan dan semangat kepada umatnya untuk menghidupkan bulan Ramadhan dengan
amalan-amalan kebaikan.
II.
Solat sunat witir secara
berjemaah disertakan qunut nazilah pada separuh kedua bulan Ramadhan.
Kesimpulan
Tuntasnya,
hukum bagi seorang perempuan solat di Masjid adalah diharuskan oleh syarak,
namun hadis yang seakan-akan mengisyaratkan kepada mereka untuk solat di rumah
sahaja adalah memandang dari sudut keutamaan atau tempat yang terbaik bagi
seorang wanita untuk menunaikan solat, bahkan bukan larangan atau pengharaman
ke atas mereka untuk solat di Masjid. Setiap orang boleh menilai tempat mana
yang lebih disukai olehnya sama ada di rumah atau di masjid.
[1] Abū Dawūd, Sulaymān bin al-Ashʿath. Sunan Abī Dawud. (Beirut: Dār al-Risālah
al-ʿAlamiyyah, 2009), Jil. 1, ms. 426. Hadis no. 570.
[2] Shihabuddin
Ahmad bin Ḥusain bin ‘Ali bin Ruslān al-Ramli Al-Syafi’i. Syarḥ Sunan Abī
Dāud. (Fayoum: Dār al-Falāḥ li al-Baḥs al-‘Ilmī wa Tahqīq al-Turath, 2016),
jil. 3, ms. 596.
[3] As-Syeikh Khalīl Aḥmad
al-Sahāranfūrī. Bazhl al-Majhūd fī Ḥil Sunan Abī Dāud. (Hind: Markaz
As-Syeikh Abī al-Ḥasan al-Nadwi li al-Buḥus wa al-Dirāsāt al-Islamiyyah, 2006),
jil. 3, ms. 421.
[4] Aḥmad bin Ḥanbal. Musnad
Aḥmad. (Beirut: Mu’assasat al-Risālah, 2001), Jil. 45, ms. 37. Hadis no.
27090.
[5] Ibid. Jil. 1, ms. 327. Hadis no. 442.
[6] Abū Dawūd. Sunan
Abī Dawud. Jil. 1, ms. 423. Hadis no. 564.
[7]Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāʿīl. Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. (Mesir: Sulṭāniyah,
1893), Jil. 1, ms. 173. Hadis no. 873.
[8] Ibid. Jil. 2, ms. 6. Hadis no. 900.
[9] Ibid. Jil. 1, ms. 172. Hadis no. 865.
[10] Abū Dawūd. Sunan
Abī Dawud. Jil. 1, ms. 424. Hadis no. 567.
[11] Muslim bin al-Ḥajjāj. Ṣaḥīḥ Muslim. (Mesir: Maṭbaʿah Īsa al-Bābī al-Ḥalabī, 1955), Jil.
1, ms. 329. Hadis no. 445.
[12] Abū al-Fadhl, ‘Iyād bin Mūsā bin ‘Iyād
al-Yaḥṣubī al-Bustī. Ikmāl al-Mu’lim bi
Fawāid Muslim. (Mesir: Dār al-Wafā’ li al-Ṭibā’ah wa al-Nasyr wa al-Tawzī’,
1998), Jil. 2, ms. 355.
[13] Muslim bin al-Ḥajjāj. Ṣaḥīḥ Muslim. Jil. 1, ms. 328. Hadis no. 443.
[14] Al-Bukhārī. Ṣaḥīḥ
al-Bukhārī. Jil. 1, ms. 133. Hadis no. 662.
[15] Ibid. Jil. 1, ms. 131. Hadis no. 645.
[16] Al-Tirmidhī, Muḥammad binʿĪsā. Sunan al-Tirmidhī. (Mesir: Musṭafā
al-Bābī al-Ḥalabī, 1975), Jil. 3, ms. 160. Hadis no. 806.
[17] Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad bin Abdullah
al-Syawkānī al-Yamanī, Nayl al-Awṭār. (Mesir:
Dār al-Hadīs, 1993), Jil. 3, ms. 62.