PROSEDUR CERAPAN ANAK BULAN DI MALAYSIA

 

 

PROSEDUR CERAPAN ANAK BULAN DI MALAYSIA

Jabatan Mufti Negeri Selangor

 

Mencerap anak bulan bagi penentuan awal bulan untuk takwim Hijriah adalah sangat penting bagi umat Islam terutamanya bulan Ramadhan, Syawwal, dan Zulhijjah kerana melibatkan tempoh permulaan ibadah iaitu puasa, hari raya, dan ibadah Qurban. Penentuan awal bulan hijriah di Malaysia adalah berdasarkan kepada Kriteria Imkanur-Rukyah (KIR) baharu yang mula digunapakai di Malaysia pada tahun 2021 (1443H). Anak bulan dianggap boleh kelihatan sekiranya memenuhi syarat berikut iaitu ketinggian bulan tidak kurang dari 3˚, dan jarak lengkung bulan-matahari (elongasi) tidak kurang dari 6.4˚ ketika matahari terbenam.

 

Terdapat 3 stesen rasmi rukyah anak bulan di Negeri Selangor iaitu Balai Cerap Selangor di Sabak Bernam, Baitul Hilal Bukit Melawati di Kuala Selangor dan Baitul Hilal Bukit Jugra di Kuala Langat. Aktiviti cerapan anak bulan tidak hanya dilakukan pada cerapan anak bulan Ramadhan, Syawwal dan Zulhijjah sahaja tetapi juga dilakukan pada setiap 29 hb hijriah. Dalam melaksanakan kerja-kerja cerapan anak bulan, terdapat beberapa prosedur yang perlu dipatuhi iaitu prosedur sebelum cerapan, semasa cerapan dan selepas cerapan.

 

Prosedur Sebelum Cerapan

 

Prosedur sebelum cerapan melibatkan tugas-tugas yang perlu dilaksanakan sebelum aktiviti cerapan dilaksanakan. Pegawai perlu mengetahui tarikh dan masa cerapan yang hendak dilakukan dan data-data kedudukan bulan dan matahari pada tarikh cerapan. Maklumat ramalan cuaca pada hari cerapan di lokasi cerapan juga hendaklah diperolehi bagi menjangkakan peluang kenampakan anak bulan pada hari cerapan.

 

Seterusnya, pegawai juga perlu memastikan peralatan cerapan yang hendak digunakan berada dalam keadaan yang baik dan boleh digunakan pada hari cerapan. Lokasi cerapan juga perlu dipastikan bersih, kemas, teratur, selamat dan tiada sesuatu yang menghalang pandangan ufuk cerapan. Satu Jawatankuasa Rukyah Anak Bulan juga perlu dilantik bagi melaksanakan tanggungjawab merukyah dan mengesahkan rekod kenampakan anak bulan Ramadhan, Syawwal dan Zulhijjah.

 

Sekiranya melibatkan program cerapan rasmi anak bulan Ramadhan, Syawwal dan Zulhijjah, beberapa tugasan pentadbiran perlu dilakukan seperti jemputan kepada tetamu, memo pelantikan urusetia, penyediaan makan minum, sewaan khemah, persiapan peralatan siaraya dan tugasan-tugasan lain yang terlibat.

 

Prosedur Semasa cerapan

 

Prosedur semasa cerapan melibatkan tugas-tugas yang perlu dilaksanakan pada hari cerapan yang dilakukan di lokasi bagi memastikan cerapan dapat berjalan dengan lancar. Pegawai perlu hadir awal ke lokasi cerapan sekurang-kurangnya 2 jam sebelum matahari terbenam kerana proses cerapan hilal bermula ketika matahari terbenam sehingga anak bulan terbenam. Tempoh ini sesuai bagi pegawai mendiri siap peralatan cerapan dan membuat semakan tanda rujukan sedia ada di lokasi. Antara peralatan yang digunakan semasa cerapan adalah teleskop, teodolit dan binokular.

 

Bagi cerapan anak bulan Ramadhan, Syawwal dan Zulhijjah, proses cerapan bermula dengan program bacaan ayat-ayat al-Quran (surah Yasin), bacaan zikir dan doa melibatkan semua tetamu yang hadir. Seterusnya, satu taklimat kedudukan bulan dan matahari akan disampaikan kepada semua tetamu. Setelah itu, semua tetamu termasuk AJK rukyah anak bulan akan dijemput ke anjung cerapan.

 

Proses cerapan bermula dengan mencerap matahari terlebih dahulu sehingga matahari terbenam atau matahari telah tidak kelihatan kerana ditutupi awan dan sebagainya. Setelah matahari terbenam, pegawai akan mula menghalakan peralatan cerapan ke arah kedudukan bulan. Cerapan anak bulan akan dilaksanakan sehingga anak bulan kelihatan atau jika anak bulan tidak kelihatan, cerapan akan dijalankan sehingga waktu bulan terbenam sebagaimana data yang telah diberikan.  

 

Pegawai yang bertugas di setiap lokasi perlu melaporkan hasil cerapan anak bulan kepada Mufti yang bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Rukyah Anak Bulan dan seterusnya Mufti akan melaporkan hasil cerapan anak bulan kepada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR). Antara maklumat penting yang perlu dilaporkan kepada PMBRR adalah hasil cerapan, data-data matahari terbenam, waktu mula cerapan, keadaan di ufuk dan cuaca semasa cerapan.

 

Prosedur Selepas Cerapan

 

Prosedur selepas cerapan adalah tugas-tugas yang perlu dilakukan oleh pegawai selepas tamat cerapan. Setiap cerapan yang dilakukan hendaklah dilaporkan ke dalam sistem MyRHK iaitu sistem yang telah dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menyimpan semua maklumat cerapan anak bulan di Malaysia.

 

Semua prosedur cerapan anak bulan ini hendaklah dipatuhi bagi memastikan proses cerapan dapat berjalan dengan lancar dan hasil cerapan dapat diterima oleh semua pihak serta kenampakan anak bulan dapat disahkan. Bagi memastikan sesuatu kenampakan anak bulan disahkan, beberapa tatacara pensabitan anak bulan perlu dipenuhi:

 

a.            Pencerapan anak bulan yang dilakukan melalui mata atau kanta mata.

b.            Kenampakan anak bulan boleh diterima sekiranya dengan bantuan peralatan teknikal seperti teodolit, teleskop, binokular dan seumpamanya.

c.            Hukum melihat anak bulan melalui mata kasar dengan bantuan peralatan optik adalah harus.

d.            Kenampakan anak bulan menggunakan teknik pengimejan adalah diharuskan dengan parameter yang ditetapkan oleh JAKIM melalui garis Panduan/ Tatacara Pensabitan Kenampakan Anak Bulan Menerusi Teknik Pengimejan. (Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) 2021)

e.            Jika disaksikan oleh selain jawatankuasa, ketua rombongan hendaklah melakukan siasatan lanjut dengan bantuan mereka yang berpengalaman. Kenampakan mereka boleh ditolak di atas pertimbangan Ketua Rombongan atau Ahli Jawatankuasa Rukyah.

f.             Kenampakan anak bulan bagi cerapan rasmi Ramadhan, Syawwal dan Zulhijjah perlu dilaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja oleh Mufti/ Ketua rombongan/ Pegawai Pelapor yang dilantik. 

g.            Bilangan saksi bagi pensabitan anak bulan hendaklah terdiri daripada seorang saksi yang adil untuk anak bulan Ramadhan dan dua orang saksi bagi selain Ramadhan. Manakala bagi teknik pengimejan hendaklah disaksikan oleh dua saksi Muslim yang adil; dan kesaksian wanita diterima dalam kenampakan anak bulan.

h.           Cerapan anak bulan hendaklah dilakukan selepas matahari terbenam sehingga bulan terbenam sepenuhnya.

i.             Hasil cerapan perlu dikemukakan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi tujuan rekod.

 

 

Sumber: Buku Garis Panduan Cerapan Hilal, JAKIM

 

 

Accessibility Toolbar