#44 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Seorang Perokok Menjadi Imam

 

Tarikh: 20 Mac 2024

Disediakan oleh: Muhammad Aiman Akmal Bin Omar

 Imam merupakan individu yang dihormati, mempunyai kedudukan serta merupakan ikon ikutan anak muda dan orang awam. Justeru, seorang imam haruslah mempunyai nilai murni diri yang baik dan mulia, baik dari segi perbuatan, percakapan atau akhlak yang zahir dan juga batin agar dapat menjadi ikutan kepada mereka. Lebih-lebih lagi tugas seorang imam itu dikenali oleh orang awam sebagai pemimpin di dalam solat; dan solat itu merupakan ibadat yang paling utama di sisi Allah SWT yang menjadi tiang agama dalam agama Islam. Melihat kepada isu terkini, ada isu yang berbangkit mengenai jika seorang imam itu seorang perokok, bolehkah seseorang makmum itu solat di belakangnya? Apakah status solat tersebut sama ada sah ataupun tidak kerana seorang imam itu telah melakukan perkara yang haram?   

 

  Pengharaman rokok

 Berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bagi kali ke-37 pada mac 1995, muzakarah telah memutuskan merokok itu adalah haram mengikut pandangan Islam. Begitu juga di Negeri Selangor, telah mewartakan fatwa hukum pengharaman rokok bertarikh 25hb Oktober 1995; seperti yang dinyatakan dalam jadual berikut:

 

1)      Merokok adalah haram.

2)      Oleh yang demikian, adalah haram bagi mana-mana orang Islam yang menghisap apa-apa jenis rokok.

3)      Bagi maksud fatwa ini, ‘rokok’ ialah tembakau yang digulung dengan kertas atau daun nipah atau selainnya.

 

Ini berdasarkan dalil-dalil dari al-Quran dan al-Sunnah yang membawa kepada pengharaman rokok:

 

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 195:

 

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ

Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.

 

Ayat ini menjelaskan dari segi umum lafaznya merangkumi segala bentuk perbuatan yang membawa kepada kebinasaan, walaupun ayat ini secara spesifiknya diturunkan berkenaan perbelanjaan di jalan Allah SWT iaitu jihad seperti yang disyarahkan oleh ahli tafsir. 

 

Imam as-Syaukani telah menyebutkan di dalam kitabnya Fath al-Qadir berkenaan penggunaan ayat ini di dalam situasi membawa kebinasaan secara umum, telah berkata ketika menerangkan ayat ini:

 

وَالْحَقُّ أَنَّ الِاعْتِبَارَ بِعُمُومِ اللَّفْظِ لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ، فَكُلُّ مَا صَدَقَ عَلَيْهِ أَنَّهُ تَهْلُكَةٌ فِي الدِّينِ أَوِ الدُّنْيَا فَهُوَ دَاخِلٌ فِي هَذَا، وَبِهِ قَالَ ابْنُ جَرِيرٍ الطَّبَرِيُّ.

 

Maksudnya: Dan yang sebenarnya ialah pengajaran itu diambil melalui keumuman lafaz, bukan melalui sebab penurunan ayat secara khusus. Oleh itu, setiap perkara yang menepati maksud kebinasaan sama ada terhadap agama atau dunia, maka ia termasuk dalam umum ayat ini dan ini jugalah yang dipegang oleh Ibn Jarir al-Tabari.[1]

 

Begitu juga Allah SWT telah merakamkan di dalam surah al-Nisa’ ayat 29:

 

  وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

 

Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh diri kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. 

 

Menurut al-Jassas, ayat tersebut mengandungi larangan daripada melakukan pembunuhan sama ada terhadap orang lain atau terhadap diri sendiri.[2] Di sisi al-Tustari pula, penafsiran ayat ini membawa maksud bahawa Allah SWT melarang hambanya dari merosakkan diri sendiri dengan bermaksiat dan sengaja berterusan melakukannya, serta meninggalkan taubat apabila telah kembali kepada kebenaran.[3] Merujuk pada kedua-dua tafsiran ini, ayat ini secara tidak langsung boleh dikaitkan dengan tabiat merokok yang bercirikan amalan yang membawa ke arah kemudaratan dan memusnahkan diri sendiri, di samping tabiat ini juga merupakan satu perbuatan maksiat kerana tergolong dalam perkara yang diharamkan. 

 

Telah diriwayatkan dalam sebuah hadis daripada Sahabat bernama Ibn ‘Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ ‏

Maksudnya: Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas (kemudaratan) dengan kemudaratan.[4]

 

Definisi Fasiq

 Fasiq berasal dari perkataan fisq. Fisq dari segi bahasa bermaksud terkeluar atau terpisah. Berkata orang arab:

تقول العرب: فسقت الرطبة عن قشرها: إذا خرجت

Maksudnya: Telah terpisah buah kurma yang basah dari kulitnya; iaitu telah keluar.[5]   

 

Di sisi fuqaha pula, para ulama memberikan pelbagai takrifan dalam menentukan maksud fisq dari segi istilah. Namun takrifan-takrifan tersebut memberi pengertian yang hampir sama iaitu terkeluar daripada ajaran yang benar dengan melakukan dosa besar atau sengaja berterusan melakukan dosa kecil.[6] Definisi terbaik yang boleh diambil di sisi fuqaha adalah melakukan dosa besar atau berterusan dalam melakukan dosa-dosa kecil sedikit mahupun banyak, atau mereka yang maksiatnya lebih banyak dari ketaatannya.[7]

 

Oleh itu, fasiq adalah seorang yang berterusan melakukan perkara haram seperti menghisap rokok yang telah difatwakan sebagai haram, dan lawan bagi orang yang fasiq adalah orang yang adil.

 

Kriteria yang Diperlukan bagi Seorang Imam

 Di dalam menentukan kriteria yang perlu ada pada seorang imam ada disebut di dalam kitab Raudhatul al-Thalibin karangan Imam Nawawi, telah berkata:

 

الأسباب التي يترجح بها الإمام ستة: الفقه، والقراءة، والورع، والسن، والنسب، والهجرة. فأما الفقه والقراءة، فظاهران.

 

Maksudnya: Sebab-sebab yang diutamakan dengannya menjadi imam ada enam: faqih, baik bacaan, wara’, yang lebih berumur, nasab yang baik, berhijrah (pada zaman Nabi SAW), adapun faqih dan baik bacaan itu maka keduanya adalah dua perkara yang jelas dan nyata keperluannya.

 

Kemudian Imam Nawawi menyambung kalamnya dalam membahaskan masalah-masalah yang berlaku contohnya; jika bertemu imam antara yang adil dan fasiq, maka yang paling utama didahulukan adalah yang adil dalam pengimaman walaupun seorang fasiq itu mempunyai sifat-sifat yang lebih baik dari segi faqih, baik bacaan dan yang lain seperti telah disebutkan. Bahkan, makruh jika solat itu diimamkan oleh seorang fasiq, dan begitu juga solat di belakang orang yang mubtadi’ yang bukan dikafirkan dengan bid’ahnya.[8]       

 

Hal yang demikian, berdalilkan hadis yang telah diriwayatkan daripada Sahabat bernama Abu Mas’ud Al-Ansari RA sabda Rasulullah SAW:

 

‏يؤم القوم أقرؤهم لكتاب الله، فإن كانوا في القراءة سواء، فأعلمهم بالسنة، فإن كانوا في السنة سواء، فأقدمهم هجرة، فإن كانوا في الهجرة سواء، فأقدمهم سنًّا.

 

Maksudnya: Yang menjadi imam bagi sesuatu kumpulan ialah orang yang lebih pandai membaca al-Quran. Sekiranya mereka setara dalam bacaan, maka yang lebih alim dalam hadis, jika dalam hadis mereka pun sama maka yang lebih dahulu berhijrah, dan jika dalam hijrah juga mereka masih sama maka yang lebih tua usianya dalam kalangan mereka.[9]

 

Berkenaan dengan hukum solat berimamkan seorang yang fasiq, Saidina Ibn ‘Umar RA pernah solat di belakang al-Hajjaj bin Yusuf yang terkenal dengan kezalimannya yang menjadikan dia tergolong dalam orang yang fasiq.[10]

 

Justeru, seorang imam itu haruslah mempunyai sifat yang sangat dituntut baginya antaranya ialah ‘alim, fasih, soleh dan lebih tua dalam kalangan mereka serta seorang yang wara’. Apabila sifat-sifat sebegini ada pada seseorang imam, maka solat di belakangnya adalah lebih afdhal.         

 

Kesimpulan      

 Di sini, perlu dibezakan perbahasan hukum antara pengharaman rokok dan menjadi imam itu sendiri kerana kedua-duanya mempunyai hukum yang berbeza. Oleh itu, di dalam mazhab al-Syafi’i, solat di belakang imam yang merokok adalah sah jika ia memenuhi syarat dan rukun, ini bersandarkan sabda Rasulullah SAW secara umum;

 

.صَلُّوا خَلْفَ مَنْ قَالَ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَعَلَى مَنْ قَالَ لَا إلَهَ إلَّا اللَّه

 Maksudnya: Solatlah kalian di belakang orang yang mengatakan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan juga ke atas mereka yang mengatakan tiada tuhan selain Allah.

 

Walau bagaimanapun, hukum seorang perokok menjadi imam adalah makruh, begitu juga makmum yang mengikutinya.

 



[1] Muhammad bin Ali bin Muhammad as-Syaukani, Fathu al-Qadir, (Dimasyq: Dar Ibn Kathir, 1414H), Jil 1, ms. 222.

[2] Ahmad bin Ali Abu Bakr ar-Razi al-Jassas, Ahkam al-Quran, (Beirut: Dar Ihya at-Turath al-Arabi, 1405H), Jil. 3, ms. 127.

[3] Abu Muhammad Sahl bin Abdullah bin Yunus al-Tustari, Tafsir al-Tustari, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah, 1423H), Jil. 1, ms. 53.

[4]  Muhammad Yazid bin Majah al-Qazwini, Sunan Ibn Majah, (Damsyik, Beirut: Dar al-Risalah al-Alamiyyah), 2009M/1430H, Hadith: 2341.

[5] Ahmad bin Faris bin Zakariya al-Qazwini ar-Razi, Mu’jam Maqayiis Al-Lughah, (Dar al-Fikr, 1399H), Jil. 4, ms. 502.

[6] Zainuddin bin Ibrahim bin Muhammad, Al-Bahr Ar-Raiq Syarh Kanz Ad-Daqaiq, (Dar al-Kitab al-Islami), Jil. 6, ms. 284.

[7] Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj Fi Syarh al-Minhaj, (Masr: Al-Maktabah At-Tijariyyah Al-Kubra, 1357H), Jil. 6, mas. 269.   

[8] Abu Zakariya Muhiyuddin Yahya bin Syaraf An-Nawawi, Raudhatul At-Tholibin Wa ‘Umdah Al-Muftin, (Beirut: Al-Maktab Al-Islami, 1412H), Fasl Fi Sifat al-Mustahabbah Fil Imam, Jil. 1, ms. 354.

[9] Abu Husayn Muslim Bin Al-Hajjaj bin Muslim Al-Qusyairi Al-Nisaburi (m. 261H), Sahih Muslim, (Turki: Dar Al-Tiba’ah Al-‘Amarah) 1915M/1334 H , Hadith: 290.

[10] Yahya bin Syaraf An-Nawawi, Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, (Kaherah: Idarah At-Tibaah al-Maniriyah, 1344-1347H), Jil. 4, ms. 253

Accessibility Toolbar