Tarikh: 19
Mac 2024
Disediakan
oleh: Ahmad Mursyid bin Azhar
Pendahuluan
Berdoa ketika
berbuka puasa adalah perkara yang sangat digalakkan untuk dilakukan oleh umat
Islam. Bahkan ia adalah perkara yang diamalkan oleh masyarakat Islam di negara
kita sejak dahulu lagi. Terdapat beberapa hadis yang menerangkan bentuk-bentuk
lafaz doa yang boleh dibaca ketika berbuka. Oleh itu, artikel ini akan
membincangkan lafaz-lafaz doa berbuka puasa menurut hadis Nabi SAW.
Hadis-hadis Doa Berbuka Puasa
Telah menjadi
amalan kebiasaan bagi masyarakat Islam di Malaysia, doa berbuka puasa yang
sering dibaca adalah seperti berikut:
اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ، وَبِكَ
آمَنْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ، بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ
Maksudnya:
Ya Allah Ya Tuhan kami, kerana-Mu kami berpuasa, dan kepada-Mu kami beriman, dan
dengan rezeki-Mu kami berbuka, dengan rahmat-Mu Ya Allah Tuhan Maha Pengasih.
Berdasarkan
lafaz doa ini, didapati terdapat beberapa hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW
membaca doa berbuka puasa yang hampir sama. Antara hadis tersebut adalah
seperti berikut:
1) Hadis
daripada Muaz bin Zuhrah RA:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَفْطَرَ
قَالَ: «اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ»
Maksudnya:
Adapun ketika Nabi SAW berbuka, Baginda SAW mengucapkan: Ya Allah Ya Tuhan
kami, kerana-Mu kami berpuasa dan dengan rezeki-Mu kami berbuka.
Hadis ini diriwayatkan
oleh Abdullah bin al-Mubarak dalam al-Zuhd Wa al-Raqa’iq[1], Ibnu Abi Shaibah dalam al-Musannaf[2], Abu Daud dalam Sunan
beliau[3], al-Bayhaqi dalam Sunan
al-Kubra[4]
melalui jalan Husain daripada Muaz bin Zuhrah. Sanad hadis ini dhaif
disebabkan oleh Muaz bin Zuhrah. Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Tahzib
al-Tahzib “Muaz bin Zuhrah juga dikenali sebagai Muaz Abu Zuhrah al-Dhabbiy
seorang tabi’i meriwayatkan hadis mursal daripada Nabi SAW pada
satu qaul berkenaan berbuka puasa”[5].
2) Hadis
daripada Anas bin Malik RA:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا أَفْطَرَ
قَالَ: «بِسْمِ اللهِ، اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ، تَقَبَّلْ
مِنِّي إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ»
Maksudnya:
Sesungguhnya Nabi SAW ketika berbuka menyebut: Dengan nama Allah, Ya Allah Ya
Tuhan kami, kerana-Mu kami berpuasa dan dengan rezeki-Mu kami berbuka,
terimalah amalan kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Hadis ini
diriwayatkan oleh al-Tabrani dalam al-Dhu’a’[6], juga dalam al-Mu’jam
al-Saghir[7]
dan al-Mu’jam al-Awsat[8],
al-Daraqutni dalam al-Afrad[9].
Sanad hadis ini berstatus dhaif jiddan disebabkan terdapat perawi bernama
Daud bin al-Zibriqan. Menurut Abu Hatim al-Razi dalam al-Jarh Wa al-Ta’dil[10]
“Daud bin al-Zibriqan dhaif al-hadith zahib al-hadith”.
Menurut Ibnu Hajar dalam Taqrib al-Tahzib “matruk”[11].
Walaupun hadis daripada Muaz bin Zuhrah
dianggap dhaif, namun ia boleh diamalkan kerana termasuk dalam bab fadha’il
a’mal (kelebihan beramal).
Terdapat hadis lain juga daripada Anas bin
Malik RA, sabda Rasulullah SAW:
أَفْطَرَ
عِنْدَكُمُ الصَّائِمُونَ، وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ الأبْرَارُ، وَنَزَلَتْ
عَلَيْكُمُ الْمَلائِكَةُ
Maksudnya: Telah berbuka puasa orang yang
berpuasa dalam kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh telah memakan makanan
kamu, dan para malaikat telah datang kepada kamu.
Begitu juga hadis daripada Abdullah bin
Zubayr RA dengan lafaz yang hampir sama, sabda Rasulullah SAW:
أَفْطَرَ عِنْدَكُمُ الصَّائِمُونَ،
وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ الأبْرَارُ، وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ الْمَلائِكَةُ
Maksudnya: Telah berbuka puasa orang yang
berpuasa dalam kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh telah memakan makanan
kamu, dan para malaikat telah mendoakan kamu.
Hadis Anas bin Malik RA diriwayatkan oleh
Ibnu Abi Shaybah dalam al-Musannaf[12],
Ahmad dalam Musnad beliau[13], Abu Daud dalam Sunan
beliau[14], al-Nasa’i dalam Sunan
beliau[15] dan Ibnu Majah dalam Sunan
beliau[16].
Manakala hadis Abdullah bin Zubayr RA diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam Sahih
beliau[17]. Menurut Ibnu al-Mulaqqin
dalam Badr al-Munir[18]
dan juga Ahmad al-Ghumari dalam al-Mudawi[19]
hadis ini adalah hadis sahih.
Selain itu, terdapat hadis lain yang
menyatakan bacaan doa Nabi SAW ketika berbuka, daripada Ibnu Umar RA, sabda
Rasulullah SAW:
ذَهَبَ الظَّمَأُ، وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ، وَثَبَتَ الأجْرُ
إِنْ شَاءَ اللهُ
Maksudnya:
Telah hilang dahaga, telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala dengan
izin Allah.
Hadis ini
diriwayatkan oleh Abu Daud dalam Sunan beliau[20], al-Nasa’i dalam Sunan
beliau[21],
al-Daraqutni dalam Sunan beliau[22] dan al-Hakim dalam al-Mustadrak[23]
melalui riwayat Ibnu Umar. Menurut al-Daraqutni “sanadnya hasan”.
Doa Berbuka Puasa Menurut Fiqh al-Syafi’i
Dalam kitab al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab[24]
ada menyatakan:
يستحب أن يدعوا عند إفطاره “اللهم لك صمت وعلى
رزقك أفطرت”، وفي سنن أبي داود والنسائي عن ابن عمر ” كان النبي صلى
الله عليه وسلم إذا أفطر قال ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله
تعالى”
Maksunya: Disunatkan untuk berdoa ketika berbuka
اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ
أَفْطَرْت
dan dalam Sunan Abu Daud dan
Sunan al-Nasa’i daripada Ibnu Umar: adapun Nabi SAW mengucapkan setelah
berbuka:
ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأجْرُ
إِنْ شَاءَ اللهُ.
Kesimpulan
Berdasarkan
perbincangan yang dikemukakan di atas, bacaan doa berbuka puasa yang sering
diamalkan di Malaysia mempunyai asal daripada hadis Nabi SAW. Bahkan ia juga
doa yang digalakkan untuk dibaca ketika berbuka seperti yang diterangkan dalam
kitab al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab. Dibenarkan untuk membaca apa-apa sahaja doa sama ada datangnya
daripada al-Quran atau hadis atau bukan daripada kedua-duanya sekiranya doa
tersebut adalah baik. Namun, doa yang dinyatakan dalam al-Quran ataupun hadis
adalah lebih baik untuk diamalkan.
[1]Al-Marwazi,
ʿAbd Allah Ibn al-Mubārak. al-Zuhd Wa al-Raqā’iq. (Beirut: Dār al-Kutub
al-ʿIlmiyah, 2004) no. hadis: 1410, ms. 495.
[2] Ibn
Abī Shaybah, ʿAbd Allah Ibn Muḥammad. Al-Muṣannaf. (Saudi: Dār al-Kunūz
Ishbīliyā, 2015) no. hadis: 10004, jil. 6, ms. 119.
[3] Abū Dawūd, Sulaymān Ibn al-Ashaʿath. Sunan
Abī Dawud. (Beirut: Dār al-Risālat al-ʿAlamiyyah, 2009) no. hadis: 2358, jil.
4, ms. 40.
[4] Al-Bayhāqī,
Aḥmad Ibn Ḥusayn. Sunan al-Kubrā. (Mesir: Markaz Hijr, 2011) no. hadis: 8214,
jil. 8, ms. 534.
[5] Al-ʿAsqalānī,
Aḥmad Ibn ʿAlī. Tahdhīb al-Tahdhiīb. (India: Dā’irat al-Maʿārif al-Niẓamiyah,
1908) jil. 10, ms. 190.
[6] Al-Ṭabrānī,
Sulaymān Ibn Aḥmad. Al-Ḍuʿāʿ. (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyah ,1993) no.
hadis: 918, ms. 286.
[7] Al-Ṭabrānī,
Sulaymān Ibn Aḥmad. Muʿ`jam al-Ṣaghīr. (Beirut; al-Maktab al-Islāmī, 1985) no.
hadis: 912, jil. 2, ms. 133.
[8] Al-Ṭabrānī,
Sulaymān Ibn Aḥmad. Muʿjam al-Awsaṭ. (Mesir: Dār al-Ḥaramayn, 1995) no. hadis:
7549, jil. 7, ms. 298.
[9] al-Dāraquṭnī,
ʿAlī Ibn ʿUmar. Al-Afrād. (2008) no. hadis: 102, ms. 21.
[10] Ibn
Abī Ḥātim,ʿAbd al-Raḥman Ibn Muḥammad. Al-Jarh Wa al-Taʿdīl. (Beirut: Dār Iḥyā’
al-Turāth al-Islāmī, 1952) 3/413
[11] Al-ʿAsqalānī,
Aḥmad Ibn ʿAlī. Taqrīb al-Tahdhīb. (Syriay: Dār al-Rashīd,1986) ms. 198.
[12] Ibn
Abī Shaybah, ʿAbd Allah Ibn Muḥammad. Al-Muṣannaf. (Saudi: Dār al-Kunūz
Ishbīliyā, 2015) no. hadis: 10006, jil. 6, ms. 119.
[13] Aḥmad
Ibn Ḥanbal. Musnad Aḥmad. (Beirut: Muassasat al-Risālah, 2001) no. hadis:
12177, jil 19, ms. 215.
[14] Abū Dawūd, Sulaymān Ibn al-Ashaʿath. Sunan
Abī Dawud. (Beirut: Dār al-Risālah al-ʿAlamiyyah, 2009) no. hadis: 3854, jil.
5, ms. 661.
[15] Al-Nasā’ī,
Aḥmad Ibn Shuʿayb. Sunan al-Nasā’ī. (Mesir: Maktabat al-Tijāriyah al-Kubrā,
1930) no. hadis: 6874, jil. 6, ms. 311.
[16] Ibn
Mājah, Muḥammad Ibn Yazīd. Sunan Ibn Mājah. (Beirut: Dār al-Risālah al-ʿAlamiyyah, 2009) no. hadis: 1747, jil.
2, ms. 633.
[17] Ibn
Ḥibbān, Muḥammad Ibn Ḥibbān. Al-Taqāsim Wa al-Anwāʿ, (Beirut: Dār Ibn Ḥazm,
2012) no. hadis: 6641, jil. 7, ms. 385.
[18]
Ibn al-Mulaqqin, ʿUmar Ibn ʿAlī. Badr al-Munīr. (Saudi: Dār al-Hijrah, 2004)
jil. 8, ms. 29.
[19] Al-Ghumārī,
Aḥmad Ibn Muḥammad Ibn Ṣiddīq. Al-Mudāwī. (Mesir: Dār al-Kutbī, 1996) jil. 5,
ms. 142.
[20] Abū Dawūd, Sulaymān Ibn al-Ashaʿath. Sunan
Abī Dawud. (Beirut: Dār al-Risālah al-ʿAlamiyyah, 2009) no. hadis: 2357, jil.
4, ms. 40.
[21] Al-Nasā’ī,
Aḥmad Ibn Shuʿayb. Sunan al-Nasā’ī. (Mesir: Maktabat al-Tijāriyah al-Kubrā,
1930) no. hadis: 3315, jil. 3, ms. 374.
[22] al-Dāraquṭnī,
ʿAlī Ibn ʿUmar. Sunan al-Dāruquṭnī. (Beirut: Muassasat al-Risālah, 2004) no.
hadis: 2279, jil. 3, ms. 156.
[23] Al-Ḥākim,
Muḥammad Ibn ʿAbd Allah. Al-Mustadrak ʿAla al-Ṣaḥīḥayn. (Beirut: Dār al-Kutub
al-ʿIlmiyah, 1990) no. hadis: 1536, jil. 1, ms. 584.
[24]
Al-Nawawī, Muḥy al-Dīn Ibn Sharf. Al-Majmūʿ Sharḥ al-Muhadhdhab. (Mesir:
al-Ṭibā`ah al-Munīriyyah, 1929) jil. 6, ms. 363.