#40 Taudhih Al-Hukmi : Boikot Menurut Perspektif Islam

Tarikh: 11 Januari 2024

Disediakan Oleh: Naimah binti Mohd Nasir & Nor Hanani binti Ahmad


Pendahuluan

Perbuatan boikot barangan atau perkhidmatan tertentu menjadi salah satu isu global yang dijalankan sebagai kempen oleh rata-rata masyarakat dunia dalam mengekspresikan reaksi mereka terhadap isu-isu yang mereka perjuangkan. Perkara ini menjadi semakin sensitif dalam kalangan Muslim saban hari apabila penindasan terhadap umat Islam berlaku di seluruh dunia kian memuncak seperti di Palestin, Iraq, Syria, Afghanistan, Kemboja, Cina dan negara-negara yang lain sehingga meragut jutaan nyawa. Maka, timbul persoalan berkaitan hukum boikot dalam dimensi jihad dan kewajarannya dengan melihat kepada beberapa faktor seperti keadaan sekeliling dan tempat di Malaysia. Justeru,  satu  pencerahan  berkaitan  isu boikot  ini  amat  penting  supaya pertimbangan dan tindakan yang dilakukan bertepatan dengan prinsip yang digariskan syarak.

 

Definisi Boikot

Makna boikot menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Edisi Keempat dari segi bahasa bermaksud perbuatan memboikot, enggan berurusan dengan (seseorang, organisasi dan lain-lain) atau memulaukan bertujuan untuk menyatakan rasa tidak bersetuju atau memaksa individu atau institusi berkenaan menerima syarat tertentu[1].

 

Perkataan boikot ini dalam Bahasa Arab menggunakan istilah hiṣār al-iqtiṣādī atau al-muqāta’ah al-iqtiṣādiyyah. Secara asasnya istilah al-muqāta’ah ialah isim masdar yang berasal daripada perkataan qāt’a yang merujuk kepada maksud memutuskan sebarang hubungan ekonomi atau sosial selaras dengan sistem sosial yang telah ditetapkan iaitu dengan cara memboikot barangan atau produk pihak tertentu[2].


Kisah Pemboikotan dalam Sirah Nabawi

Sejarah memperlihatkan perbuatan boikot ini telah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Ia dinukilkan berdasarkan riwayat Abu Hurairah bahawa Thumamah bin Uthal yang merupakan pemimpin Bani Hanifah. Terkenal dengan sikapnya yang berpandangan luas, disegani dan sukar ditentang kehendaknya menjadikan beliau individu yang sangat berpengaruh. Tindakannya ke Mekah untuk melakukan umrah mengikut adat jahiliah telah mengubah agamanya kepada agama Islam setelah beliau ditawan oleh tentera Rasulullah SAW. Layanan terbaik yang diberikan oleh baginda dan para sahabat kepada Thumamah sehingga beliau dibebaskan telah menjentik hatinya untuk memeluk Islam. Beliau kemudian meneruskan niatnya untuk menunaikan umrah serta melaungkan talbiah dengan suara yang kuat di mana ketika itu kota Mekah dikuasai oleh penduduk Quraisy. Tindakan Thumamah tersebut menimbulkan kemarahan kepada penduduk kaum Quraisy sehingga mengancam untuk membunuh orang yang melakukan demikian. Apabila mereka mengetahui individu yang melakukan itu ialah Thumamah, mereka bimbang sekiranya tindakan mereka akan menyebabkan Thumamah menyekat bekalan makanan.

           

Thumamah kemudian mengambil tindakan menyekat bekalan makanan iaitu gandum sebagai tindakan memboikot kaum Quraisy. Perkara ini memberi kesan kesusahan yang sangat besar kepada mereka kerana menghadapi kelaparan sehingga boleh mengancam nyawa.  Mereka mengutus surat kepada Rasulullah SAW memohon supaya memujuk Thuhamah menghentikan tindakan boikot tersebut. Thumamah patuh dengan permintaan Rasulullah SAW supaya menghentikan boikot kepada kaum Quraisy dan bekalan makanan serta keperluan lain telah diberikan kepada kaum Quraisy[3].

 

Hukum Boikot dalam Dimensi Jihad Ekonomi

Secara asasnya, hukum berkenaan boikot dari perspektif Islam adalah dibenarkan. Perbuatan boikot selari dengan tuntutan jihad dari segi harta. Hal ini berdasarkan keumuman maksud jihad fi sabilillah dalam menegakkan agama Islam dan dakwah-Nya iaitu peperangan meninggikan kalimah-Nya, menjamin agama-Nya, mengembangkan dakwah-Nya dan mempertahankan pendukungNya agar hak-hak umat Islam tidak ditundukkan dan mereka tidak dihalang daripada melaksanakan urusan-urusan mereka[4]. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Hujurat ayat ke 15:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ

أُولَٰئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).

Menurut Imam al-Maraghi, tanda kebenaran keimanan seseorang adalah apabila seseorang memilih untuk mengorbankan harta dan dirinya kerana Allah SWT dengan membelanjakannya untuk tujuan memperkukuh, meninggikan martabat agamanya dan mengalahkan musuh agama dengan sebaik mungkin[5]. Perkara ini juga ditekankan dalam tafsir al-Jalalayn bahawa jihad ini merupakan tanda kebenaran keimanan seseorang.[6]

 

 Kewajipan menyertai boikot ini disandarkan kepada hukum berjihad iaitu secara asalnya adalah fardu kifayah (dituntut ke atas semua dan gugur  kefarduan  dengan  sebahagian  mereka  melaksanakannya) kepada orang Islam yang mukalaf. Kewajipan fardu kifayah akan bertukar menjadi fardu ain (wajib kepada setiap orang Islam yang mukalaf)  dengan beberapa faktor terutamanya apabila orang-orang kafir telah memasuki sebuah negeri orang Islam, maka jihad menjadi fardu ain bagi seluruh penduduk negeri tersebut untuk mempertahankannya sedaya upaya yang mampu[7]. Meskipun dalam perbincangan para ulama terdapat tertib yang menunjukkan tahap kewajipan daripada penduduk negeri tersebut ke penduduk sekitarnya dan seterusnya ke semua umat Islam, para ulama kontemporari seperti Dr Yusuf Qaradhawi menekan bahawa jihad mempertahankan Bumi Palestin kewajipan yang paling utama buat semua umat Islam di seluruh dunia kerana ia merupakan tanah kiblat pertama umat Islam dan bumi para anbiya yang diberkati[8]. Malah, gesaan boikot ini juga dilakukan para ulama kontemporari lain secara persendirian mahupun mewakili organisasi sehingga kini supaya umat Islam mengambil perhatian dan tindakan serius dalam hal ini.

 

Maka, selaras dengan misi jihad fi sabilillah ini, boikot digunakan sebagai antara strategi yang ampuh dan dilakukan secara meluas terutama ketika krisis Israel-Palestin yang berlaku saban hari. Oleh itu, tindakan boikot sebagai jihad harta menjadi wajib dalam usaha menekan dan melemahkan musuh terutama kepada pihak yang secara terang terangan menyokong serangan dan menyalurkan dana rejim Israel untuk tujuan membunuh saudara seislam yang berada di Palestin. Hal ini berdasarkan kaedah fiqh ini:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب[9]

Maksudnya: Suatu kewajipan tidak akan sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib

Hal ini sama sekali berbeza dengan isu melakukan urusan jual beli dengan orang bukan Islam kerana para ulama bersepakat akan keharusan bermuamalah dengan mereka selagi mana transaksi tersebut tidak membawa kepada perkara yang haram seperti menegakkan syiar agama  mereka, memusuhi Islam dan sebagainya[10]. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Aishah RA bahawa:

 

أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا من يَهُودِيٍّ إلى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا من حَدِيدٍ[11]

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW.

(Riwayat Muslim)

 

Boikot dalam konteks berjihad dengan harta yang dimiliki merujuk kepada tindakan tidak membelanjakan harta untuk membeli barangan atau perkhidmatan  keluaran  pihak  musuh  atau  pihak yang menyokong musuh yang membuat penindasan dan kezaliman. Sebaliknya menggantikan, membeli, mempromosi dan menyokong produk keluaran Muslim dan tempatan mengikut kadar kemampuan masing-masing. Hal ini berdasarkan surah al-Taubah ayat 41:

 

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ‎

 

Maksudnya: Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

 

Namun, pertimbangan kewajipan boikot hendaklah kembali melihat kepada faktor keadaan dan suasana. Boikot terhadap sesuatu akan menjadi wajib apabila produk atau perkhidmatan berkenaan merupakan sesuatu yang mampu kita tinggalkan tanpa mendatang sebarang kemudaratan jika tidak menggunakannya. Sekiranya produk atau perkhidmatan berkenaan merupakan keperluan utama seperti produk yang digunakan untuk rawatan kesihatan seperti ubat-ubatan dan makanan yang tidak dapat dihindari oleh umat Islam, maka tidak menjadi kesalahan bagi umat Islam untuk membelinya selagi mana tiada pilihan yang setanding dengannya. Hal ini berdasarkan Surah al-Baqarah ayat 185

 

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

 

Boikot: Pertimbangan Maslahah dan Mafsadah

Seruan boikot terhadap barangan atau perkhidmatan yang dikeluarkan oleh sesebuah negara bertujuan memberi tekanan kepada pengusaha dan peniaga agar mereka sendiri mendesak syarikat dan kerajaan mereka kepada keamanan dan menghentikan tindakan kejam yang dilakukan kepada negara lain. Bahkan ia dapat memberi kesan yang buruk kepada ekonomi negara mereka serta dapat membantutkan hasrat mereka untuk meneruskan serangan dan kekejaman terhadap negara lain[12]. Perkara ini sebagai salah satu usaha yang dapat dilakukan oleh umat Islam untuk membantu saudara muslim lain yang ditindas. Hadis yang diriwayatkan daripada ِAbdullah Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda bahawa:

 

‌الْمُسْلِمُ ‌أَخُو ‌الْمُسْلِمِ، ‌لَا ‌يَظْلِمُهُ ‌وَلَا ‌يُسْلِمُهُ…[13]

Maksudnya: Seorang muslim adalah saudara bagi muslim lainnya, dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya disakiti.

(Riwayat al-Bukhari)

 

Dalam isu ini, umat Islam perlu sedar kemaslahatan yang dicapai apabila dilaksanakan boikot di seluruh dunia Islam. Ia merupakan suatu jihad ekonomi yang dapat membantu negara yang ditindas daripada terus menerima serangan pihak musuh.

Namun begitu, tindakan memboikot juga perlu mengambil kira implikasi yang bakal berlaku dari sudut ekonomi negara kita khususnya ekonomi orang Islam sendiri dari sudut tenaga kerja, perniagaan orang Islam, para pekerja dan perniagaan rantaian makanan halal. Perkara ini perlu dititikberatkan supaya tidak berlaku penindasan kepada mereka yang terlibat dalam rantaian produk sehingga berlaku kemudaratan berikutan kelangsungan hidup mereka terjejas. Boikot yang dilakukan berkemungkinan tidak menjejaskan kezaliman negara Israel tetapi memberi kemudaratan kepada mereka yang terlibat seperti pekerja, para pembekal, pengedar, penyedia logistik, penghantar makanan dan sebagainya jika jualan atau premis tersebut tutup.[14]Khususnya syarikat francais yang tidak terlibat langsung menjadi penyumbang kepada rejim Israel.

 

Francais ialah kaedah pemasaran dan pengedaran berdasarkan hubungan dua pihak, iaitu francaisor (pemilik dan pemberi hak) dan pemegang francais (penerima hak). Di Malaysia khususnya terdapat produk-produk atau syarikat industri francais yang dipelopori oleh industri makanan segera yang dikatakan turut memberi sumbangan ekonomi kepada Israel. Namun begitu, terdapat juga syarikat yang membuat kenyataan tidak menyumbang dan menyokong negara yang melakukan kekejaman tersebut bahkan hasil keuntungan disalurkan kepada negara yang ditindas. Maka, perlu diambil berat bahawa sasaran boikot hendaklah tepat dan memberi kesan kepada pihak musuh bukannya memudaratkan ekonomi sendiri.

 

Justeru itu, tindakan boikot perlu dilakukan dengan ilmu dan tabayyun (memeriksa dengan teliti). Tabayyun menurut al-Shawkani ialah:

وَالْمُرَادُ مِنَ ‌التَّبَيُّنِ التَّعَرُّفُ وَالتَّفَحُّصُ، وَمِنَ التَّثَبُّتِ: الْأَنَاةُ وَعَدَمُ الْعَجَلَةِ، وَالتَّبَصُّرُ فِي الْأَمْرِ الْوَاقِعِ، وَالْخَبَرِ الْوَارِدِ حَتَّى يَتَّضِحَ وَيَظْهَرَ[15]

Maksudnya: Tabayyun bermaksud melakukan penelitian, pengkajian dengan sabar dan tidak tergesa-gesa tentang sesuatu perkara atau perkhabaran sehingga jelas dan terang perkara tersebut.

 

 Penilaian serta kajian untuk mengetahui ke mana keuntungan sesuatu syarikat tersebut disalurkan perlu dilakukan untuk mengetahui syarikat yang sepatutnya diboikot. Hal ini kerana keuntungan tersebut berkemungkinan disalurkan sebagai sumbangan royalti, bayaran cukai, bayaran kepada pemegang saham, atau bayaran zakat. Jadi, pengguna perlu menilai dengan adil dengan mengambil kira keseimbangan maslahah dan mafsadah sesuatu tindakan dilakukan bertepatan dengan syariat.

 

Sebagai alternatif lain, pihak yang menganjurkan boikot adalah lebih baik menyediakan tindakan lain seperti penggantian pekerjaan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan berikutan penutupan premis yang diboikot. Di samping pengguna juga harus bijak untuk memperkukuhkan ekonomi negara dengan mempertingkatkan penjualan dan pembelian barangan tempatan supaya tindakan boikot yang dilakukan tidak menjejaskan sosioekonomi negara. Bahkan, produk tempatan yang setanding dengan produk-produk luar menjadi pengganti kepada keperluan dan kehendak pengguna.

           

Melalui tindakan ini juga ia mendidik umat Islam menitikberatkan perkara yang sepatutnya diboikot secara hakiki iaitu tidak terlibat dengan perbankan dan insurans konvensional, pelaburan yang tidak patuh syariah serta membudayakan larangan merokok atau vape, menjauhi rasuah dan perkara-perkara syubhah.


Kesimpulan

Umat Islam disarankan untuk menerapkan nilai tabayyun iaitu menilai sesuatu maklumat dengan penilaian yang adil daripada sumber yang dipercayai sebelum melakukan tindakan boikot dengan mengambil kira maslahah dan mafsadah implikasi boikot di samping mengenalpasti secara tepat syarikat yang diboikot agar tujuan asal menepati sasaran dengan mengikut tahap kemampuan masing-masing. Tindakan boikot juga perlu disusuli dengan tindakan lain iaitu dengan mempromosi dan memperkasakan penjualan dan pembelian produk tempatan agar menjamin kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat tempatan secara mandiri. Malah lebih utama lagi, dalam melaksanakan boikot ini ia hendaklah dilakukan dengan akhlak dan adab yang baik iaitu tidak mencela, menjatuhkan maruah dan mensabotaj orang lain. Meskipun Malaysia merupakan negara kecil, moga usaha kecil ini sedikit sebanyak dapat membantu umat Islam yang dizalimi, menutup ruang-ruang kezaliman seterusnya menjadi salah satu amal kebaikan yang diterima oleh Allah SWT.

 



[1]“Boikot”, Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), diakses daripada  https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=Boikot

[2]Ibrāhīm Mustafa, Ahmad al-Zayyāt, Hāmid ‘Abd al-Qādir, Muhammad al-Najjār, Al-Mu’jam al-Wasīṭ, (Dār al-Da’wah: Iskandariah, t.t), Jil 2, ms. 745.

[3]  Abū ‘Abdillah Muhammad bin Ismail al-Bukhāri al-Ja’fi, Sahīh al-Bukhārī (Damsyik: Dar Ibn Kathir, 1993), No Hadis 4114, Jil. 5, ms. 1589; Muhammad bin Hibban bin Ahmad, bin Hiban bin Mu’az bin Ma’bad, al-Sirah

al-Nabawiyah wa Akhbar al-Khulafa, (Beirut: al-Kutub al-Thaqafiyah, 1417H), Jil. 1, ms. 268.

[4] Mohamad Rashīd ‘ Bin ‘Alī  Reḍā, Tafsīr al-Manār (al-Haiah al-Misriyyah: Mesir, 1990), Jil. 2, ms. 365.

[5] Ahmad bin Musṭafa al-Marāghi, Tafsir Al-Marāghī, (Mesir: Matba’ah Musṭafa al-Bābī Halabī, 1946), Jil. 26, ms 145-146.

[6] Jalāl al-Din Muḥammad bin Aḥmad al-Maḥalli dan Jalal al-Din Abd al-Rahman bin Abi Bakar al-Suyuti, Tafsir al-Jalalayn, (Kaherah: Dār al-Hadis, 2009), 688.

[7] Wizārah al-Awqāf wa- al-Shu’un al-Islāmiyyah. Al-Mawsū’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytīyyah, (Dār al-Salāsih: Kuwait). Jil. 4, ms. 126-127.

[8]مقاطعة البضائع الإسرائيلية والأمريكية”, Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi,  diakses daripada https://www.al-qaradawi.net/node/3579

[9] Muhammad Sidqī Bin Ahmad Bin Muhammad Ali Burnū, Al-Wajīz Fi Iḍāhī Qawāid  al-Fiqh al-Kulliyyah, (Muassasah al-Risālah al-‘Ālamiyyah: Beirut, Lubnan, 2002), ms 393.

[10] Abū Zakariyyā Muhyi al-Dīn Yahya bin Sharaf al-Nawawī. al-Minhāj Sharh Sahīh Muslim bin Hajjāj. (Dar Ihyā’ al-Turāth al-‘Arabī: Beirut, Lubnan, 1972). Jil 11, ms 39-40.

[11] Abū Husayn Muslim Bin Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qushayrī Al-Nisāburī. Ṣahīh Muslim, (Maṭba’ah ‘Isa al-Bābī al-Halabī, Beirut, Lubnan: 1955).  Jil. 3, ms. 1336.

[12] Siti Aisyah Zakaria, Sanep Ahmad dan Hairunnizam Wahid, Boikot McDonald: Hukum Pelaksanaannya di Malaysia dan Kesan Terhadap Guna Tenaga, ePRosiding Seminar Fiqh Semasa (SeFis), 2015, ms. 1. 

[13] Abū Abdullah Muḥammad bin Ismā’il al-Bukhārī al-Ja’fi. Ṣaḥīh al-Bukhārī, Peny. Mustafa Dib al-Bughā, (Damsyik:  Dār Ibn Katsīr, t.t), No. Hadis 6551, Jil. 6, ms. 2550.

[14] Boikot: Pertimbangan antara Maslahah dan Mafsadah, Berita RTM, maklumat dicapai pada 10 November 2023, https://berita.rtm.gov.my/laporan-khas/kolumnis/senarai-berita-kolumnis/senarai-artikel/boikot-pertimbangan-antara-maslahah-dan-mafsadah

[15] Muḥammad bin ‘Alī bin Muḥammad bin Abd Allah al-Shawkānī al-Yamanī.  Fatḥ al-Qadīr. (Beirūt: Dār Ibn Kathīr, Dār al-Kalam al-Ṭayīb, 1993). Jil. 5, ms. 71.

Accessibility Toolbar