#39 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Orang Bukan Islam Menafsir Al-Quran

 

Tarikh: 8 Januari 2024

Disediakan oleh: Naimah Mohamad Nasir

 

Pendahuluan

Allah SWT telah mewahyukan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW untuk berdakwah kepada sekalian manusia. Malah, al-Quran diturunkan sebagai panduan yang mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya Ilahi. Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, urusan dakwah agama ini diteruskan oleh para sahabat yang turut membawa gagasan al-Quran dan al-Sunnah melalui penafsiran yang tepat agar ia selari berdasarkan makna dan tafsiran yang benar. Hasilnya, dakwah Islam kian berkembang luas sehingga melahirkan para ilmuwan Islam yang menyusun, memperjuangkan, mempertahankan disiplin dalam ilmu agama khususnya berkaitan al-Quran dan al-Sunnah. Namun begitu, permasalahan yang berlaku pada masa kini ialah masyarakat menganggap makna yang terkandung dalam al-Quran hanya perlu difahami secara literal sehingga ada yang melontarkan pandangan berdasarkan kefahaman sendiri. Salah faham ini juga turut berlaku dalam kalangan orang bukan Islam terhadap penafsiran al-Quran. Maka timbul persoalan, adakah penafsiran al-Quran ini boleh dilakukan oleh orang bukan Islam?

 

Definisi Tafsir, Terjemah dan Nukilan al-Quran

 

Al-Quran diturunkan menjadi panduan dan pengajaran bagi umat manusia. Tuntutan al-Quran bukanlah sekadar membaca, menghafal dan bertaranum semata-mata. Bahkan, bacaan al-Quran tersebut perlu dihayati dan diamalkan bagi memenuhi tuntutan utama al-Quran sebagai panduan kehidupan di dunia. Dalam memenuhi tuntutan berinteraksi dengan al-Quran ini, terdapat beberapa istilah yang perlu dibezakan dan difahami. Istilah-istilah tersebut ialah:

       Tafsir

       Tadabbur

       Terjemahan

       Menukilkan sesuatu berkaitan al-Quran

 

Tafsir dari sudut bahasa bermaksud penerangan dan penjelasan[1]. Perkataan tafsir ini juga membawa maksud menyingkap lafaz-lafaz yang rumit[2]. Manakala, tafsir dari sudut istilah syarak, Imam al-Zarkasyi mendefinisikan sebagai ilmu yang digunakan untuk memahami kitab Allah (al-Quran) yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang menjelaskan makna-makna bagi al-Quran serta yang mengeluarkan hukum-hukum dan hikmah-hikmah daripadanya. Hal ini memerlukan penguasaan ilmu bahasa Arab, nahu, ṣaraf, bayān, usūl, qirā’at, asbāb al-nuzūl (sebab-sebab penurunan ayat al-Qur’an) dan al-nāsikh wa al-mansūkh[3].

 

Tadabbur pula merujuk kepada makna penghujung bagi sesuatu[4]. Manakala, dari segi istilah tadabbur pula bermaksud menghayati makna ayat, memikirkan hikmahnya, memerhatikan pengajaran penting dalam ayat[5]. Tadabbur merupakan matlamat manakala ilmu tafsir menjadi alat yang mempunyai disiplin yang tersendiri sebagai medium untuk mencapai tadabbur.

 

Terjemahan al-Quran merujuk kepada proses memindahkan makna sesuatu teks dari bahasa sumber (Bahasa Arab) ke bahasa sasaran[6]. Tujuan penterjemahan al-Quran dilakukan adalah untuk menyampaikan  mesej petunjuk Islam  kepada  orang Islam dan bukan  Islam yang berkomunikasi menggunakan selain  Bahasa  Arab.

Menukilkan sesuatu berkaitan al-Quran adalah perbuatan menyandarkan sesuatu perkara atau penyataan dari segi makna atau lafaz bersesuaian dengan konteks penulisan dan percakapan yang dilakukan kepada ayat, terjemahan, tafsiran dan rujukan berkaitan al-Quran.

 

Al-Quran Kitab Hidayah

 

Al-Quran merupakan kalāmullah yang membawa mesej-mesej dakwah dengan mendatangkan bukti-bukti kekuasaan Allah dan kebenaran Islam kepada manusia ke jalan yang benar. Antaranya berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 185:

 

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

 

Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

 

Hukum Interaksi Orang Bukan Islam Dengan al-Quran Melalui Pendengaran dan Pembacaan

Maka untuk mencapai misi hidayah ini terdapat banyak usaha yang dilakukan oleh para ulama seperti usaha penterjemahan, pentafsiran dan pembukuan tadabbur al-Quran  untuk menyampaikan mesej murni al-Quran kepada manusia secara umumnya. Saban hari semakin ramai yang tertarik untuk mendengar, membaca, merenung mesej al-Quran sama ada dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam.

 

Oleh itu, dalam menyampaikan dakwah kepada orang bukan Islam secara khususnya terdapat isu-isu hukum yang timbul dalam interaksi antara orang bukan Islam dengan al-Quran ini seperti isu berkaitan menyentuh, membaca dan mendengarkannya. Imam Nawawi dalam karyanya al-Majmu’ menjelaskan bahawa seorang kafir atau musyrik dibenarkan untuk mendengar bacaan Al-Quran dan mempelajarinya.

 

قال أصحابنا: لا يمنع الكافر سماع القرآن، ويمنع مس المصحف، وهل يجوز تعليمه القرآن؟ ينظر: إن لم يرج إسلامه لم يجز، وإن رجي جاز في أصح الوجهين، وبه قطع القاضي حسين، ورجحه البغوي وغيره[7]

 

Maksudnya: Para Ashab kami (fuqaha Syāfi’īyyah) berkata: orang kafir tidak sepatutnya dihalang daripada mendengar Al-Quran, tetapi mereka dilarang daripada menyentuh mushaf. Adakah diizinkan untuk mengajarkan Al-Quran kepadanya? Bergantung kepada keadaan, jika dilihat tiada harapan untuknya menjadi seorang Muslim, maka tidak dibenarkan, tetapi jika dilihat ada harapan untuk dia menjadi seorang Muslim, maka ia dibenarkan mengikut pandangan yang paling sahih; ini adalah pandangan Al-Qadhi Husain, dan diiktiraf oleh Al-Baghawi dan yang lain.

 

Hal ini menunjukkan Islam sentiasa membuka ruang dan peluang kepada mana-mana pihak termasuk orang bukan Islam untuk mempelajari, mendengar memahami dan mendalami ajaran Islam melalui bacaan  al-Quran dan terjemahannya. Namun, peluang ini mestilah disertai dengan keutamaan adab dan niat ikhlas dan jujur untuk mencari kebenaran melalui al-Quran. Jika aturan berinteraksi dengan al-Quran tidak diikuti sebaiknya, maka sebarang perbuatan mendekati al-Quran yang dianggap baik tersebut akan membawa penghinaan terhadap kesucian al-Quran dan boleh mendatangkan keraguan dan fitnah di dalam masyarakat. Hal ini bersesuaian seperti mana yang ditetapkan dalam Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 3 Disember 2010 telah membincangkan Isu Orang Bukan Islam Membaca Dan Menterjemahkan Ayat-Ayat Suci Al-Quran[8]. Muzakarah telah memutuskan: 

“Bahawa pada dasarnya bagi tujuan untuk mempelajari, memahami dan mendekatkan diri kepada ajaran Islam atau bagi tujuan untuk menjadikannya panduan hidup di dunia dan akhirat atau bagi tujuan dakwah, Islam tidak pernah menghalang mana-mana pihak termasuk bukan Islam untuk membaca dan mendalami teks-teks suci Islam termasuk al-Quran dan tafsirannya. Tetapi ia hendaklah dilakukan dengan jujur dan ikhlas bagi tujuan tersebut dan bukan untuk kepentingan dan tujuan tertentu/peribadi, apatah lagi jika ianya dilakukan dengan kesalahan sama ada pembacaan atau huraiannya yang menyimpang dari kehendak sebenar teks-teks tersebut kerana perbuatan seperti ini boleh mencemarkan kesucian al-Quran dan Islam serta sekaligus menimbulkan keraguan, keresahan dan fitnah kepada masyarakat.

 

Maka dalam situasi yang berlaku di akhir-akhir ini, berdasarkan realiti dan fakta, ahli-ahli Muzakarah sebulat suara berpendapat bahawa tindakan pemimpin-pemimpin politik bukan Islam menggunakan teks suci Islam termasuk al-Quran secara sewenang-wenangnya dan tidak menepati maksud yang sebenar di ceramah-ceramah politik, tidak menunjukkan ciri-ciri keikhlasan yang sebenarnya bagi mempelajari Islam. Oleh itu, perbuatan yang sedemikian boleh mendatangkan penghinaan berterusan terhadap kesucian Islam khususnya al-Quran sekiranya dibiarkan.

 

Justeru, bersesuaian dengan kaedah Usul al-Fiqh Sadd az-Zarai’, Muzakarah bersetuju bahawa perbuatan orang-orang bukan Islam membaca dan menghuraikan teks-teks al-Quran sewenang-wenangnya mengikut fahaman sendiri dengan tidak menepati maksud yang sebenar di samping tidak terdapat unsur-unsur keikhlasan dan kejujuran adalah merupakan suatu penghinaan terhadap kesucian al-Quran dan boleh mendatangkan keraguan dan fitnah di dalam masyarakat. Oleh itu, ianya perlu dihentikan dengan segera.

 

Muzakarah juga menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati agar tidak menyalahgunakan ayat-ayat suci al-Quran demi meraih sokongan atau mendapatkan sesuatu kepentingan.

 

Hukum Orang Bukan Islam Mentafsir al-Quran

Secara asasnya, seseorang yang ingin mentafsir al-Quran hendaklah berkelayakan dari sudut ilmunya supaya dapat memahami dan mendalami dengan benar apa yang disampaikan oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Perbuatan menafsirkan al-Quran memerlukan penelitian yang mendalam. Maka dalam hal mentafsirkan al-Quran hanya boleh dilakukan oleh mereka yang mencukupi syarat-syaratnya.

Para ulama dalam hal ini banyak membahaskan syarat-syarat mufassir al-Quran seperti al-Suyuti melalui kitabnya al-Itqān Fī Ulūm al-Qur’ān, Syeikh Ibn Taimiyah dengan Muqaddimah Fī Usūl al-Tafsīr, Ibn al-Qayyim dengan al-Tibyān Fi Aqsām al-Qur’ān, al-Zarkasyi dengan al-Burhān Fī Ulūm al-Qur’ān, al-Zarqani dengan Manāhil al-‘Irfān dan ramai lagi ulama. Antara syarat-syarat mufassir dan adab-adab yang ditekankan seperti berikut:

       Keikhlasan

       Iktikad yang sahih.

       Sejahtera daripada amalan dan iktikad bidaah.

       Bertaubat dan sentiasa kembali kepada Allah.

       Sentiasa berwaspada daripada terjebak mengikut hawa nafsu.

       Menguasai pelbagai ilmu,  antaranya, ilmu bahasa Arab. Penguasaan ilmu bahasa Arab meliputi ilmu Nahu, Tasrif atau Sarf, Isytiqaq, Balaghah iaitu bayan ma’ani dan badi’dan lain-lain.

Dalam menjawab persoalan mengenai hukum orang bukan Islam mentafsirkan al-Quran, syarat iktikad yang sahih menjadi tumpuan utama. Hal ini dapat difahami bahawa para ulama yang mempunyai akidah yang sahih, hati yang bersih daripada penyakit hati dan dipercayai keilmuannya sahaja yang berkelayakan menafsirkan al-Quran. Hal ini juga dijelaskan Imam al-Zarkasyi dalam kitabnya al-Burhān Fī Ulūm al-Qur’ān:

وَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا يَحْصُلُ لِلنَّاظِرِ فَهْمُ مَعَانِي الْوَحْيِ حَقِيقَةً وَلَا يَظْهَرُ لَهُ أَسْرَارُ الْعِلْمِ مِنْ غَيْبِ الْمَعْرِفَةِ وَفِي قَلْبِهِ بِدْعَةٌ أَوْ إِصْرَارٌ عَلَى ذَنْبٍ أَوْ فِي قَلْبِهِ كِبْرٌ أَوْ هَوًى أَوْ حُبُّ الدُّنْيَا أَوْ يَكُونُ غَيْرَ مُتَحَقِّقِ الْإِيمَانِ أَوْ ضَعِيفَ التَّحْقِيقِ أَوْ مُعْتَمِدًا عَلَى قَوْلِ مُفَسِّرٍ لَيْسَ عِنْدَهُ إِلَّا عِلْمٌ بِظَاهِرٍ أَوْ يَكُونُ رَاجِعًا إِلَى مَعْقُولِهِ وَهَذِهِ كُلُّهَا حُجُبٌ وموانع[9]

Maksudnya: Ketahuilah bahawa tidak tercapai kefahaman makna wahyu dan nyata segala rahsia-rahsia sedangkan dalam hatinya terdapat unsur bid’ah, takbur, hawa nafsu, cinta dunia atau yang kekal melakukan maksiat, atau mereka yang tidak kukuh imannya atau bergantung kepada pendapat mufassir yang tidak berilmu melainkan ilmu zahir sahaja atau kembali kepada akalnya. Semua perkara ini adalah penghalang kepada tafsir

Maka, ini menunjukkan bukan sahaja orang bukan Islam bahkan orang Muslim secara umumnya yang tidak mempunyai kemahiran dan ilmu juga tidak tergolong sebagai orang yang layak menafsirkan al-Quran ini. Hal ini bagi menjaga kesucian al-Quran daripada pemahaman yang menyeleweng dan menyimpang daripada apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.


Hukum Menukilkan al-Quran

Berdasarkan definisi di atas dapat difahami, perbuatan mentafsirkan al-Quran berbeza dengan menukilkan al-Quran. Perbuatan menukilkan al-Quran sama ada daripada tafsiran, terjemahan atau tadabbur daripada para ulama yang sedia ada tanpa membuat penambahan dan mengubah makna boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja sama ada orang Islam, bukan Islam, soleh, fasiq dan sebagainya sambil menjaga adab terhadap al-Quran dan disiplin ilmu berkaitan dengan al-Quran. Malah, seseorang digalakkan untuk berbuat demikian bagi mendapatkan gambaran yang sebenar mengenai ajaran Islam daripada kitab suci umat Islam sendiri.

 

Adapun, sekiranya seseorang menukilkan al-Quran dan menghuraikannya dengan mengikut hawa nafsu dan digunakan untuk sebagai hujah untuk kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu maka ia satu perbuatan yang membawa penghinaan terhadap kesucian al-Quran dan ditegah sama ada ianya dilakukan oleh orang Islam ataupun bukan Islam. Bahkan menjadi suatu dosa dan kesalahan yang besar sekiranya ia menyebarkan sesuatu perkara tanpa berlandaskan ilmu yang benar. Berdasarkan Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 36:

 

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَـٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

 

Maksudnya: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

 

 

Demikian juga terdapat hadis yang jelas menunjukkan kepada larangan dalam hal ini. Sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

وَمَنْ قَالَ فِي الْقُرْآنِ بِرَأْيِهِ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ[10]

Maksudnya: Sesiapa yang berkata sesuatu pada Al-Quran dengan menggunakan pendapatnya sendiri maka bersiap sedialah tempatnya di dalam neraka.

(Riwayat al-Tirmizi)

 

Selain itu, hadis yang juga diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

مَنْ ‌قَالَ ‌فِي ‌الْقُرْآنِ ‌بِغَيْرِ ‌عِلْمٍ ‌فَلْيَتَبَوَّأْ ‌مَقْعَدَهُ ‌مِنَ ‌النَّارِ[11]

 

Maksudnya: Sesiapa yang berkata sesuatu berkenaan al-Quran tanpa ilmu maka bersiap sedialah tempatnya di dalam neraka.

(Riwayat al-Tirmizi)

 

Hadis di atas menunjukkan makna larangan berdasarkan hukuman azab neraka yang diberikan bagi sesiapa sahaja yang menyandarkan sesuatu perkara dalam al-Quran berdasarkan semata-mata kemampuan akal fikiran mereka sahaja (برأيه) tanpa melihat kepada dalil-dalil dan pendapat para ulama kerana terdapat banyak perkara yang tidak diketahui oleh akal manusia sebelumnya seperti asbāb al-nuzūl (sebab penurunan), nāsikh, mansūkh, kisah-kisah dan hukum-hakam[12]. Manakala, pada makna (بغير علم) di atas merujuk kepada menyandarkan sesuatu perkara dalam al-Quran tanpa merujuk kepada dalil naqlī dan ‘aqlī yang bertepatan dengan syarak[13].

 

Oleh itu, sekiranya seseorang ingin berhujah dengan menggunakan nas al-Quran, adalah lebih utama dan selamat untuk meneliti pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh para ulama yang muktabar dalam ilmu tafsir yang menguasai secara mendalam ilmu-ilmu yang berkaitan ‘ulūm al-Qur’ān serta tafsirannya terlebih dahulu berbanding mengulas sesuatu daripada Al-Quran dengan pendapat sendiri kerana dikhuatiri termasuk dalam kategori pentafsiran yang tercela atau tafsir mazmūm iaitu huraian yang berada di luar konteks daripada maksud sebenar yang dikehendaki oleh ayat tersebut dan melakukan penyelewengan terhadap ayat-ayat al-Quran.

 

Kesimpulan

Bagi orang bukan Islam jika ingin mempelajari dan mendalami al-Quran sebaik-baiknya mengelakkan diri daripada menggunakan atau memetik ayat-ayat al-Quran mahupun terjemahannya bagi menyokong hujah-hujah tertentu, dikhuatiri ia berada di luar konteks daripada maksud sebenar yang dikehendaki oleh ayat tersebut, seterusnya menimbulkan lagi salah faham dan kesilapan dalam memahami ayat tersebut. Selain itu, rakyat Malaysia dalam menangani isu ini secara khususnya dinasihatkan agar menghentikan sebarang tindakan provokatif yang menyentuh sentimen agama dan perkauman yang melampau supaya keharmonian masyarakat berbilang kaum dan bangsa di negara ini tetap terpelihara. Tidak hairan jika orang bukan Islam menyebutkan sesuatu yang salah tentang Islam. Maka, umat Islam bertanggungjawab memberikan penjelasan yang benar kepada mereka yang bukan Islam secara berhikmah. Namun, jika didapati bahawa mereka menggunakan ajaran Islam atau ayat suci al-Quran dengan tujuan yang tidak baik, umat Islam harus bertindak membelanya dengan saluran yang betul.

 

 



[1] Ahmad Bin Fāris Bin Zakariyyā al-Qizwini al-Rāzi, Abū Husayn. Mu’jam Maqāyīs al-Lughah. (Dār al-Fikr: Amman, Jordan). Jil. 4 , ms. 504.

[2] Abū Abdullah Badr al-Din Muhammad Bin ‘Abd Allah Bin Bihādar al-Zarzkasyi. Al-Burhān fī ‘Ulūmal-Quran. (Dār al-Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah: Kaherah, 1957). Jil. 1, ms. 13

 

[3] al-Zarkasyi. Al-Burhān fī ‘Ulūmal-Quran. Jil. 1, ms. 13

[4] Muhammad Mukram bin Alī Abu Faḍl Jamāl al-Dīn  Ibn Manzūr al-Anṣārī. Lisān al-‘Arab. (Dār al-Ṣadir: Beirūt, Lubnān: 1993) Jil. 4, ms. 268.

[5] Ala’ al-din ‘Alī Bin Muhammad Bin Ibrāhīm Bin Umar al-Shīhī Abū al-Hasan. Lubāb al-Ta’wīl fi Ma’āni al-Tanzīl. (Dār al-Kutub al-Ilmiyyah: Beirut, Lubnan, 1994). Jil.1, 402.

[6] Muhammad ‘Abd al-‘Azīm al-Zurqānī, Manāhil al-‘Irfān fī ‘Ulūm al-Quran, (Kaherah, Mesir, t.t), Edisi ketiga, Jil. 2, ms 110.

[7] Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf al-Nawawī, al-Majmū’ Sharh al-Muhadzdzab, (Amman, Jordan: Dar al-Fikr, 1928). Jil. 2, Vol. 71.

[8] “Isu Orang Bukan Islam Membaca Dan Menterjemahkan Ayat-Ayat Suci Al-Quran”,  Diakses daripada https://i-fiqh.islam.gov.my/portal/view.php?id=10264

[9] Abū Abdullah Badr al-Din Muhammad Bin ‘Abd Allah Bin Bihādar al-Zarkasyi. Al-Burhān fī ‘Ulūmal-Quran. (Dār al-Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah: Kaherah, 1957). Jil. 2, ms. 181.

 

[10] Abū ‘Īsa  Muhammad Bin ‘Īsa al-Tirmizi. Sunan al-Tirmizi. (Matba’ah Musṭafa al-Bābī Halabī:Mesir, 1975). Jil. 5, ms. 199.

[11]  al-Tirmizi. Sunan al-Tirmizi. Jil. 5, ms. 199.

[12] ‘Alī Bin Muhammad , Abu Hasan Nur al-Dīn al-Mulā al-Harawī al-Qari. Mirqāt al-Mafātih Sharh Misykāt al-Maṣābīh. (Dār al-Fikr: Amman, Jordan, 2002). Jil. 1, ms. 309.

[13]  al-Mulā al-Harawī al-Qari. Jil. 1, ms. 309.

Accessibility Toolbar