Tarikh: 4 Disember 2023
Disediakan
oleh: Zubair Amir
Pendahuluan
Menindik telinga merupakan salah satu cara berhias yang pada
kebiasaannya dilakukan oleh kaum wanita bagi membolehkan mereka memakai
perhiasan seperti anting-anting pada telinga. Namun begitu, perkara ini telah
menjadi trend yang tidak hanya khusus kepada kaum wanita. Malah turut dipakai
oleh sebahagian kaum lelaki. Perkara ini menimbulkan persoalan mengenai hukum
lelaki tersebut menjadi wali nikah. Hal ini kerana perkara tersebut boleh
memberikan kesan terhadap akad nikah yang mensyaratkan wali adalah seorang yang
‘adil iaitu tidak fasiq.
Hukum
Bertindik Bagi Lelaki
Memakai perhiasan pada telinga seperti memakai anting-anting, subang, dan lain-lain
merupakan suatu kebiasaan bagi kaum wanita bertepatan dengan fitrah mereka yang
sukakan perhiasan dan kecantikan. Dengan perkembangan zaman, perhiasan seperti
ini tidak hanya dilakukan di telinga, malah turut dilakukan di bahagian lain
pada badan manusia. Sebagai seorang wanita, sudah menjadi kebiasaan mereka
ingin berhias dengan pelbagai cara sama ada dengan menghias pakaian mereka,
kasut, mata termasuk juga memakai anting-anting di telinga atau menindik
hidung.
Bertindik telah menjadi adat wanita-wanita di zaman
Jahiliah. Sepanjang zaman tersebut, tiada larangan khusus daripada Rasulullah
SAW mengenai pemakaian anting-anting atau sebarang perhiasan di telinga mereka.
Maka, ia kembali kepada hukum asal iaitu harus memakainya bagi kaum wanita.
Situasi ini dapat dilihat menerusi sebuah hadis daripada Ibnu Abbas RA:[1]
أَنَّ
النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى يَوْمَ الْعِيدِ
رَكْعَتَيْنِ، لَمْ يُصَل قَبْلَهُمَا وَلَا بَعْدَهُمَا، ثُمَّ أَتَى النِّسَاءَ
– وَمَعَهُ بِلَالٌ – فَأَمَرَهُنَّ بِالصَّدَقَةِ، فَجَعَلَتِ الْمَرْأَةُ
تُلْقِي قُرْطَهَا
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah SAW selepas melakukan
solat sunat hari raya dua rakaat, Baginda tidak melakukan solat sunat sebelum
dan selepasnya, kemudian Baginda pergi menemui golongan wanita bersama Bilal,
lalu Baginda memerintahkan mereka untuk bersedekah, sehingga terdapat daripada
mereka yang memberi anting-anting mereka.
Walau bagaimanapun, pada hari ini, perbuatan menindik
telinga bagi tujuan perhiasan tidak hanya dilakukan oleh kaum wanita, malah
kaum lelaki turut terlibat dalam trend tersebut. Menindik telinga bagi memakai
anting-anting atau subang adalah haram bagi lelaki kerana terdapat unsur
menyerupai kaum wanita yang jelas dilarang dalam Islam. Daripada Ibnu Abbas RA:[2]
لَعَنَ
رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ
بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai
wanita, dan wanita yang menyerupai lelaki.
Ibn ‘Abidin menjelaskan perkara ini dalam kitabnya seperti
berikut:
أَنَّ
ثَقْبَ الْأُذُنِ لِتَعْلِيقِ الْقُرْطِ، وَهُوَ مِنْ زِينَةِ النِّسَاءِ، فَلَا
يَحِلُّ لِلذُّكُورِ
Maksudnya: Menindik telinga bagi memakai anting-anting
adalah merupakan perhiasan bagi wanita. Maka ia tidak diharuskan bagi lelaki.[3]
Justeru, perbuatan ini adalah haram dan berdosa bagi kaum
lelaki. Mereka yang melakukan perbuatan tersebut dalam keadaan tahu mengenai
keharamannya termasuk dalam kategori mereka yang berterusan melakukan dosa
kecil dan boleh jatuh fasiq.
Lelaki Bertindik Menjadi Wali Nikah
Wali merupakan salah satu daripada lima rukun nikah yang
mempunyai syarat-syaratnya yang tersendiri. Antara syarat sah seseorang wali
nikah adalah dia hendaklah bukan seorang yang fasik. Hal ini berdasarkan kepada
hadis Nabi SAW:[4]
لَا
نِكَاحَ إلَّا بِوَلِيٍّ مُرْشِدٍ
Maksudnya: Tiada nikah melainkan dengan wali yang mursyid (‘adil).
Hukum-hakam mengenai akad nikah merupakan suatu yang amat
dititikberatkan oleh para ulama kerana ia melibatkan pemeliharaan nasab keturunan.
Justeru, para ulama mengambil jalan ihtiyat
(berhati-hati) dalam perkara yang bersangkut dengan akad nikah. Antara
syarat menjadi wali nikah adalah wali tersebut mestilah seorang yang ‘adil iaitu tidak fasiq. Kata Imam
al-Khatib dalam kitabnya:[5]
(وَلَا
وِلَايَةَ لِفَاسِقٍ) غَيْرَ الْإِمَامِ الْأَعْظَمِ مُجْبِرًا كَانَ أَوْ لَا،
فُسِّقَ بِشُرْبِ الْخَمْرِ أَوْ لَا، أَعْلَنَ بِفِسْقِهِ أَوْ لَا (عَلَى
الْمَذْهَبِ) بَلْ تَنْتَقِلُ الْوِلَايَةُ لِلْأَبْعَدِ لِحَدِيثِ: لَا نِكَاحَ
إلَّا بِوَلِيٍّ مُرْشِدٍ
Maksudnya: (Tiada kekuasaan (wali) untuk orang fasiq) selain pemimpin utama sama ada secara paksa atau tidak. Sama ada dia menjadi fasiq kerana minum arak atau tidak, menzahirkan kefasikannya atau tidak (menurut mazhab). Bahkan, wali tersebut berpindah kepada wali ab’ad berdasarkan hadis: Tiada nikah melainkan dengan wali yang mursyid (‘adil).
Menurut istilah fiqh, fasiq adalah mereka yang melakukan
dosa besar atau berterusan melakukan dosa kecil.[6] Manakala, istilah wali mursyid dalam hadis yang disebutkan
di atas adalah merujuk kepada makna ‘adil.
Perkara ini dijelaskan oleh fuqaha:[7]
الْمُرَادُ
بِالْمُرْشِدِ فِي الْحَدِيثِ الْعَدْلُ، وَلِأَنَّهُ نَقْصٌ يَقْدَحُ فِي
الشَّهَادَةِ فَيَمْنَعُ الْوِلَايَةَ كَالرِّقِّ
Maksudnya: Yang dimaksudkan mursyid dalam hadis adalah ‘adil kerana (kefasikan) adalah satu kekurangan yang mencemarkan keabsahannya sebagai saksi. Maka dia ditegah daripada menjadi wali.
Maka dalam hal ini, kaum lelaki yang bertindik adalah
dianggap sedang melakukan dosa dan boleh mencemarkan kelayakannya sebagai
seorang wali nikah. Hal ini menyebabkan hak kewalian boleh berpindah kepada
wali ‘adil yang seterusnya mengikut
urutan wali. Justeru, para wali yang ingin menikahkan anaknya dinasihatkan agar
mengambil berat mengenai perkara ini bagi memastikan keabsahan perkahwinan
anaknya.
Mengikut pengamalan Jabatan Agama
Islam di Malaysia, Penolong Pendaftar Perkahwinan yang bertauliah akan
melakukan proses istitabah sebelum
melakukan proses pernikahan dengan beristighfar dan memohon ampun kepada Allah
SWT. Sebagai seorang manusia, kita tidak boleh menghukum seseorang sebagai
fasiq atau tidak melainkan dengan apa yang dizahirkan olehnya. Mudah-mudahan,
melalui proses istitabah ini, mereka
dianggap telah bertaubat kepada Allah SWT dan semoga Allah SWT mengampunkan
dosa mereka yang telah lalu. Dengan itu, wali tersebut boleh menikahkan anaknya
secara sah.
Walau bagaimanapun, seseorang lelaki
yang menzahirkan kefasikannya seperti berterusan memakai tindik yang dihukumkan
sebagai dosa, maka dia boleh dihukumkan sebagai fasiq serta hilang kelayakannya
sebagai seorang wali nikah. Bagi menyelesaikan masalah ini, dinasihatkan agar
para wali nikah menanggalkan tindik telinga serta meninggalkan apa-apa dosa
yang boleh dilihat secara zahirnya semasa proses pernikahan bagi memastikan
perkahwinan yang dijalankan adalah sah.
Kesimpulan
Memakai tindik telinga bagi lelaki adalah suatu dosa kerana
mengandungi unsur menyerupai wanita yang ditegah dalam Islam. Salah satu
daripada rukun nikah ialah wali yang mursyid
(‘adil) iaitu tidak fasiq. Maka,
lelaki yang memakai tindik tidak boleh menjadi wali nikah dalam keadaan mereka
sedang memakainya ketika majlis tersebut kerana dihukumkan sebagai fasiq secara
zahirnya. Namun, mereka boleh menjadi wali nikah dengan syarat mereka membuka
tindik tersebut sebelum majlis akad nikah berlangsung dan telah menjalani
proses istitabah dengan beristighfar
dan bertaubat kepada Allah SWT. Masyarakat dinasihatkan agar tidak terpengaruh
dengan budaya-budaya seperti ini yang bercanggah dengan tuntutan agama Islam.
[1] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāīl. (1994). Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Damsyiq: Dar Ibn
Kathir, Dar al-Yamamah. Hadis no. 5883.
[2] Al-Bukhārī, Muḥammad bin Ismāīl. (1994). Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Damsyiq: Dar Ibn
Kathir, Dar al-Yamamah. Hadis no. 5885.
[3] Muhamad Amin Bin Umar Bin Abd Aziz ‘Ābidīn al-Dimasyqī Ibn
‘Abidīn al-Hanafiyy. (m. 1252H). Rad al-Muhtār ‘ala al-Dār al-Mukhtār. Beirut,
Lubnān: Dār al-Fikr. 1386H/ 1966M. Jil. 6, ms. 420.
[4] Muhammad bin Idris al-Syafi’i, Musnad al-Syafi’i, (Beirut: Dar al-Kutub al-’ilmiyyah, 1400H) ms.
220.
[5] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khāṭib Al-Sharbīnī
Al-Shafiʿ(m. 977H). Mughnī Al-Muhtāj Ila
Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj. Cairo, Egypt: Dār Al-Kutub
Al-Islamiyyah. 1994M/1415H. Jil. 4, ms. 256.
[6] Mansur bin Yunus bin Idris al-Buhuti, Kasyāf al-Qinā’ ‘An
al-Iqnā’, (Beirut, Lubnan: Dār al-Fikr, 1968M). Jil. 1, ms. 475.
[7] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khāṭib Al-Sharbīnī Al-Shafiʿ(m.
977H). Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati
Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj. Cairo, Egypt: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah.
1994M/1415H. Jil. 4, ms. 256.