Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-6/2019 yang bersidang pada 6 Rabi’ul Akhir 1441H / 3 Disember 2019 memutuskan:
a) Bahawa orang Islam adalah ditegah daripada menulis atau menggunakan ayat-ayat al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf arab atau bukan tulisan al-Quran atas sebab berikut:
i. Penulisan bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran tidak dapat memainkan peranan sepertimana yang dilakukan oleh huruf-huruf Arab; dan
ii. Sekiranya al-Quran ditulis dengan penulisan bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran akan menyebabkan perubahan dari segi saiz lafaz dan maknanya.
b) Walau bagaimanapun, ayat-ayat al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran dibenarkan untuk digunakan bagi tujuan seperti berikut:
i. Penulisan akademik (petikan atau frasa) yang menggunakan tanda transliterasi yang betul serta mengikut kaedah yang standard; atau
ii. untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.
c) Mana-mana orang adalah diharam dan dilarang:
i. Menulis ayat-ayat al-Quran dengan penulisan bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran; dan
ii. mencetak, menerbit, menjual, mempamer, mengedar atau terlibat dengan apa-apa cara sekali pun dalam penulisan ayat-ayat al-Quran dengan penulisan bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran.
d) Mana-mana orang adalah dilarang daripada bersubahat dalam melakukan mana-mana perkara yang dilarang dalam perenggan (c).
Bertarikh 3 Disember 2019
(MJKFNS. BIL.6/2019)
DATO’ SETIA HAJI MOHD TAMYES BIN ABD. WAHID
Pengerusi Jawatankuasa Fatwa
Negeri Selangor