Tarikh: 10 Oktober 2023
Disediakan oleh: Naimah Mohamad Nasir
Pendahuluan
Haid secara
normalnya merupakan kitaran yang berlaku setiap bulan bagi setiap wanita. Darah
haid juga mempunyai tempoh yang tertentu pada setiap kitaran tersebut. Ramai
dalam kalangan wanita masih keliru dalam
menentukan hukum darah ini terutama pada permulaan atau pada minimum 24 jam,
sama ada darah itu haid atau istihadah.
Maka, perkara ini perlu diperhalusi kerana terdapat hukum-hakam berbeza bagi
setiap status darah tersebut sebelum dan selepas mencukupi tempoh minimum haid
tersebut.
Definisi Haid
Haid dari sudut bahasa ialah (السيلان) iaitu mengalir[1].
Manakala, dari sudut istilah ialah
دَمُ جِبِلَّةٍ أَيْ تَقْتَضِيهِ الطِّبَاعُ
السَّلِيمَةُ يَخْرُجُ مِنْ أَقْصَى رَحِمِ الْمَرْأَةِ بَعْدَ بُلُوغِهَا
عَلَى سَبِيلِ الصِّحَّةِ
مِنْ غَيْرِ سَبَبٍ فِي أَوْقَاتٍ
مَعْلُومَةٍ[2]
Maksudnya:
Darah semula jadi (normal) yang keluar daripada pangkal rahim seorang wanita
yang telah baligh dalam keadaan sihat tanpa sebab-sebab tertentu dan pada
waktu-waktu yang diketahui.
Penentuan Minimum Haid Menurut 4
Mazhab
Secara asasnya, syarak tidak menentukan tempoh minimum haid
secara khusus. Oleh itu, para ulama melihat kepada uruf kebiasaan yang berlaku
kepada wanita yang diketahui umum dalam menentukan tempoh minimum ini. Kaedah
ini berdasarkan pernyataan berikut:
مَا ورد فِي الشَّرْع وَلَا ضَابِط لَهُ شَرْعِي وَلَا
لغَوِيّ يتبع فِيهِ الْوُجُود كَالْقَبْضِ والحرز[3]
Maksudnya: Apabila
tidak terdapat penetapan khusus (suatu hukum) dari segi syarak atau dari
segi bahasa, maka, hukum tersebut
ditentukan berdasarkan kepada apa yang telah wujud seperti permasalahan al-qabadh[4]
dan al-hirz[5].
Oleh itu, ulama
berselisih pendapat dalam menetapkan minimum haid ini. Menurut Imam Abu Hanifah
minimum darah haid ialah selama 3 hari 3 malam[6]. Hal ini berdasarkan kepada
riwayat daripada Abu Umamah al-Bahili RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَقَلُّ مَا يَكُونُ الحيضُ للجَارِيةِ الثيبِ، والبكرِ جميعًا
ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ وأَكْثَرُ مَا يَكُونُ مِنْ الحَيْضِ عَشْرَةِ أَيَّامٍ،
ومَا زَادَ عَلَى العَشَرَةِ فَهُوَ اسْتِحَاضَةٌ[7]
Maksudnya:
Sekurang-kurang haid bagi wanita sama ada janda atau dara ialah 3 hari dan sebanyak-banyak tempoh haid selama 10
hari. Darah yang keluar lebih daripada 10 hari adalah istihadah.
Namun, hadis ini dihukum oleh Imam al-Nawawi dan imam
al-Zayla’i sebagai hadis doif[8]
Manakala, menurut mazhab Maliki tempoh minimum haid berbeza
pada permasalahan ibadah dan ‘iddah.
Tiada had minimum haid bagi permasalahan ibadah seperti solat, puasa dan
lain-lain iaitu cukup sekadar lahzah
atau sedetik sahaja. Manakala, bagi ‘iddah
dan istibra’ (memastikan rahim suci
daripada benih) pula minimum haid ialah separuh hari atau sehari penuh[9].
Hal ini berbeza dengan mazhab Syafi’i[10] dan mazhab Hanbali[11] yang menetapkan minimum tempoh darah haid ialah sehari semalam (يوم وليلة). Artikel ini akan menerangkan kaedah kiraan 24 jam minimum haid menurut mazhab Syafi’i.
24 jam Penanda Aras Minimum Haid
Hasil al-istiqrā’ (kajian dan pemerhatian)[12]
oleh Imam Syafi‘i tempoh paling minimum bagi haid ialah sehari semalam iaitu
keluar darah sehingga cukup 24 jam[13]. Hal ini kerana, suatu
darah yang dihukumkan haid tidak dapat digambarkan melainkan ia keluar daripada
pangkal rahim wanita secara al-ittiṣāl
(berterusan dan bersambung) sama ada kelihatan secara jelas atau tidak jelas[14].
Menurut mazhab Syafi’i yang dimaksudkan gambaran bersambung 24 jam dijelaskan
dalam 2 keadaan iaitu[15] :
1)
Jika
darah keluar berterusan tanpa henti.
Jika
wanita mendapati darah keluar secara berterusan, maka pengiraan sehari semalam
(أقل فقط)
bermula sejak darah keluar sehingga 24 jam[16]. Hal ini bermaksud, darah
yang keluar berterusan dalam tempoh 24 jam sama ada jelas kelihatan iaitu pada
bahagian zahir faraj[17]
(bahagian yang terbuka ketika seseorang duduk mencangkung untuk buang air kecil
atau beristinja’) atau tidak jelas kelihatan ketika waktu fatrah dihukumkan haid. Istilah
fatrah ini bermaksud darah yang tidak jelas kelihatan dengan mata kasar dan
hanya diketahui terdapat kesan darah atau tidak dengan memasukkan kapas ke
dalam kemaluan.
Jadual 1
berikut contoh darah haid keluar minimum 24 jam secara berterusan sehari
semalam.
Tarikh |
Masa |
Keadaan darah |
Hukum |
1 Jan |
10 pagi |
Keluar darah secara berterusan selama sehari semalam yang jelas dilihat dengan
pandangan mata |
Darah yang keluar mencukupi syarat minimum haid iaitu 24
jam |
2 Jan |
10 pagi |
Jadual 2
berikut contoh darah haid keluar minimum 24 jam secara berterusan sehari
semalam bersama fatrah.
Tarikh |
Masa |
Keluar /Tidak keluar darah |
Keadaan darah |
Hukum |
1 Jan – 2 Jan |
10 a.m-12 p.m |
Darah jelas kelihatan |
Keluar darah secara berterusan selama sehari semalam, cuma sebahagian waktu tidak kelihatan pada pandangan mata |
Darah yang keluar mencukupi syarat minimum haid iaitu
darah keluar berterusan dalam tempoh 24 jam |
1 p.m |
fatrah |
|||
2 p.m |
fatrah |
|||
3 p.m |
fatrah |
|||
4 p.m |
fatrah |
|||
5 p.m. -10 p.m. |
Darah jelas kelihatan |
|||
11 p.m.- 10 a.m a.m. |
Darah jelas kelihatan |
|||
Jumlah jam: 24 jam |
Maka,
dapat difahami bahawa sedikit atau banyaknya darah tidak menjadi ukuran hukum
tempoh darah keluar untuk dihukumkan haid tetapi yang diambilkira ialah jumlah
jam darah keluar cukup 24 jam sama ada keluar secara jelas atau tidak jelas.
Dalam hal ini, seorang wanita dinasihatkan tidak perlu memeriksa atau
memasukkan kapas pada setiap jam namun hanya memeriksa ketika waktu fatrah sahaja untuk memastikan masih
terdapat kesan darah. Keadaan darah ketika fatrah
disepakati oleh para ulama dihukumkan sebagai haid.
2)
Jika
darah keluar secara terputus-putus.
Jika
seorang wanita melihat darah yang keluar terputus-putus (يوم وليلة متفرقا) dan diselangi
dengan naqo’ iaitu apabila dimasukkan
kapas tiada kesan darah dalam tempoh beberapa hari, maka kaedah pengiraan ialah
menggabungkan keseluruhan jam keluar darah sehingga hari ke-15 (أَقَلُّ مَعَ غَيْرِهِ مِنْ الْغَالِبِ وَالْأَكْثَر).
Sekiranya tempoh keseluruhannya cukup 24 jam maka keseluruhan darah tersebut
dihukumkan sebagai haid.
Jadual
3 berikut contoh darah haid keluar minimum 24 jam secara terputus-putus yang
digabungkan dengan hari-hari lain dalam tempoh kebiasaan haid 6 atau 7 hari.
Tarikh |
Masa |
Keadaan darah |
Hukum |
1 Feb |
10 a.m – 2 p.m |
4 jam dan bakinya naqo’ |
Darah yang keluar
serta naqo’ daripadanya adalah haid kerana himpunan darah keluar
mencukupi minimum haid iaitu 24 jam yang digabungkan dengan hari-hari lain
yang kurang daripada maksimum haid 15 hari 15 malam |
2 Feb |
8 p.m – 11 p.m |
4 jam dan bakinya naqo’ |
|
3 Feb |
10 a.m- 2 p.m |
4 jam dan bakinya naqo’ |
|
4 Feb |
1 p.m – 5 p.m |
4 jam dan bakinya naqo’ |
|
5 Feb |
10 p.m -12 p.m |
2 jam dan bakinya naqo’ |
|
6 Feb |
9 a.m -11 a.m |
2 jam dan bakinya naqo’ |
|
7 Feb |
10 a.m dan 5 p.m |
7 jam dan bakinya naqo’ |
|
Jumlah hari= 6 hari |
Jumlah jam= 27 jam |
Jadual
4 berikut contoh darah haid keluar minimum 24 jam secara terputus-putus yang
digabungkan dengan hari-hari lain dalam tempoh kurang daripada 15 hari 15
malam.
Tarikh |
Masa |
Keadaan darah |
Hukum |
1 Feb |
10 a.m – 12 a.m |
2 jam dan bakinya naqo’ |
Darah yang keluar
serta naqo’ daripadanya adalah haid kerana himpunan darah keluar
mencukupi minimum haid iaitu 24 jam yang digabungkan dengan hari-hari lain
yang kurang daripada maksimum haid 15 hari 15 malam |
2 Feb |
10 a.m – 12 a.m |
2 jam dan bakinya naqo’ |
|
3 Feb |
12 p.m – 4 p.m |
4 jam dan bakinya naqo’ |
|
4 Feb |
10 a.m – 12 p.m |
2 jam dan bakinya naqo’ |
|
5 Feb |
4 p.m – 6 p.m |
2 jam dan bakinya naqo’ |
|
6 Feb |
Sepanjang hari |
Darah Tidak keluar (naqo’) |
|
7 Feb |
Sepanjang hari |
Darah Tidak keluar ( naqo’) |
|
8 Feb |
10 a.m – 12 a.m |
2 jam dan bakinya naqa’ |
|
9 Feb |
2.00 p.m -4.00 p.m |
2 jam dan bakinya naqa’ |
|
10 Feb |
4.00 p.m- 5.00 p.m |
1 jam dan bakinya naqa’ |
|
11 Feb |
10 a.m – 12 a.m |
2 jam dan bakinya naqa’ |
|
12 Feb |
10 a.m -1 p.m |
3 jam dan bakinya naqa’ |
|
13 Feb |
Sepanjang hari |
Darah Tidak keluar (naqo’) |
|
14 Feb |
Sepanjang hari |
Darah Tidak keluar (naqo’) |
|
15 Feb |
10 a.m – 12 a.m |
2 jam dan bakinya naqa’ |
|
16
Feb |
10 a.m – 12 a.m |
2 jam dan bakinya naqa’ |
|
Jumlah hari= 15 hari 15 malam |
|
Jumlah jam = 24 jam |
Wanita dalam keadaan ini, apabila mendapati darah keluar pada hari pertama selama beberapa jam hendaklah meninggalkan larangan haid seperti solat, puasa, berjimak dan sebagainya. Apabila darah berhenti, hendaklah dia memastikan bahawa dia telah naqa’ dengan memasukkan kapas. Jika tidak terdapat kesan darah maka apabila masuk waktu solat wanita tersebut wajib bersolat dan tidak wajib mandi kerana belum mencapai 24 jam. Keadaan ini berulang sehingga cukup 24 jam selagimana tidak melebihi maksimum haid 15 hari[18].
Masa naqa’ dicelah-celah darah yang tidak
melebihi tempoh maksimum haid 15 hari dan melebihi tempoh minimum haid 24 jam
dihukumkan sebagai haid mengikut pendapat muktamad (qaul al-sahbi)[19].Maka, ibadah yang
dilakukan pada waktu ini tidak sah. Namun, ibadah yang dilakukan wanita pada
ketika ini tidaklah berdosa kerana wanita tersebut hanya boleh menghukumkan
secara zahir sahaja. Jika ada darah, maka akan dianggap haid dan jika tiada
darah maka dianggap suci dan perlu solat. Selain itu, wanita tersebut hanya
perlu menggantikan puasa, tawaf dan tidak perlu menqadakan solat. Hal ini
dijelaskan dalam kitab al-Taqrirat
al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah[20]:
1) فإذا
صلت فلا تصح صلاتها فيها ولا يجب قضاؤها
2) وإذا
صامت رمضان فلا يصح صومها ويجب قضاؤه
Maksudnya:
1)
Jika dia telah mengerjakan solat dalam tempoh
tersebut, maka tidak sah solatnya namun
tidak wajib ke atasnya qada semula.
2)
Jika
dia telah berpuasa dalam tempoh tersebut, maka tidak sah puasanya dan wajib ke
atasnya untuk qada semula puasa tersebut.
Status Ibadah dalam tempoh Minimum haid 24 jam
Penggunaan
istilah minimum haid 24 jam secara bersambung atau terputus-putus hanya pada
segi istilah sahaja. Oleh itu, wanita apabila mendapati darah keluar pada masa
kemungkinan besar dianggap haid kerana mencukupi syaratnya walaupun belum
mengetahui statusnya mencukupi minimum haid 24 jam atau tidak, hendaklah
meninggalkan larangan haid seperti solat, puasa dan sebagainya[21].
Berdasarkan hadis Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا
أَقْبَلَتْ الْحَيْضَةُ فَدَعِي الصَّلَاةَ وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِي عَنْكِ
الدَّمَ وَصَلِّي[22]
Maksudnya: Jika haid datang, maka tinggalkanlah solat. Dan
jika haid telah selesai, maka basuhlah darah itu dari dirimu (bersucilah) dan
laksanakanlah solat.
(Riwayat al-Bukhari)
Namun,
sekiranya darah yang keluar secara berterusan atau secara terpisah tersebut
tidak mencapai minimum haid 24 jam maka darah tersebut dihukumkan istihadah.
Dalam keadaan ini, wanita tersebut tidak diwajibkan mandi wajib untuk bersuci
kerana diri wanita tersebut masih dalam keadaan suci pada asalnya kerana darah
yang keluar tersebut belum dikira sebagai haid. Maka, hendaklah wanita tersebut
menggantikan solat dan puasa jika meninggalkannya pada tempoh tersebut. Menurut
Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam kitabnya:
ثُمَّ إنْ انْقَطَعَ قَبْلَ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ بَانَ أَنْ
لَا شَيْءَ فَتَقْضِي صَلَاةَ ذَلِكَ الزَّمَنِ وَإِلَّا بَانَ أَنَّهُ حَيْضٌ،
وَكَذَا فِي الِانْقِطَاعِ بِأَنْ كَانَتْ لَوْ أَدْخَلَتْ الْقُطْنَةَ خَرَجَتْ
بَيْضَاءَ نَقِيَّةً فَيَلْزَمُهَا حِينَئِذٍ الْتِزَامُ أَحْكَامِ الطُّهْرِ،
ثُمَّ إنْ عَادَ قَبْلَ خَمْسَةَ عَشَرَ كَفَّتْ وَإِنْ انْقَطَعَ فَعَلَتْ
وَهَكَذَا حَتَّى تَمْضِيَ خَمْسَةَ عَشَرَ
[23]
Maksudnya:
Kemudian sekiranya darah itu terputus sebelum mencapai tempoh sehari semalam,
maka nyatalah wanita itu tidak berhaid, justeru hendaklah wanita tersebut
menggantikan solatnya pada tempoh tersebut. Akan tetapi jika darah (berterusan
sehari semalam atau lebih maka jelaslah) bahawa wanita itu sedang berhaid. Jika
wanita itu memasukkan ke dalam farajnya lalu kapas itu dikeluarkan dalam
keadaan bersih, maka wajiblah melazimkan diri
dengan hukum orang yang suci. Jika darah itu kembali semula sebelum
berlalu tempoh 15 hari, maka hendaklah wanita tersebut menahan diri daripada
perkara-perkara yang dilarang. Jika darahnya terputus berhenti pula selepas itu
maka wanita itu mesti melakukan perkara yang telah lepas (berhenti darah dan
lihat tanda bersih). Begini keadaannnya sehingga berlalu tempoh 15 hari.
Pada
dasarnya, wanita apabila mengalami darah terputus-putus tidak mengetahui tempoh
naqa’nya melainkan telah berlalu
tempoh maksimum haid 15 hari 15 malam barulah wanita tersebut mengetahui tempoh
tersebut memenuhi tempoh minimum haid 24 jam atau tidak. Justeru, sebaik sahaja
darah wanita berhenti wanita perlulah ia mengambil hukum suci tanpa perlu
menunggu tempoh tertentu. Secara zahirnya, darah tersebut telah berhenti
sedangkan wanita tidak mengetahui darah tersebut akan keluar semula.
وَلَا
خِلاَفَ أَنَّهَا فِي يَوْمِ النَّقَاءِ تَعْمَلُ عَمَلَ الطَّاهِرَاتِ؛
لِأَنَّهُ قَدْ لاَ يَعُود، فَإِذَا عَادَ الدَّمُ غَيرنَا الحُكْمَ[24]
Maksudnya:
Tiada khilaf bahawa wanita pada hari naqa itu
perlu mengerjakan amalan sebagaimana wanita-wanita suci kerana darah itu
mungkin tidak akan keluar semula. Namun jika darah tersebut keluar semula, maka
hukumnya turut berubah.
Kesimpulan
Secara
asasnya, wanita dengan sekadar melihat darah keluar akan dihukumkan haid
apabila menepati syarat-syaratnya dan hendaklah meninggalkan segala larangan
haid. Manakala, wanita dihukumkan suci sekiranya bersih atau naqa’ daripada darah. Namun begitu, bagi
menentukan darah itu haid hendaklah menepati syarat minimum haid yang
ditetapkan iaitu 24 jam sehari semalam. Tempoh minimum haid 24 jam ini dapat
difahami berlaku dalam dua keadaan iaitu darah keluar berterusan dalam kadar
masa selama 24 jam bersambung sehari semalam atau darah keluar terputus-putus selama 24 jam iaitu hasil
gabungan darah yang keluar terputus-putus atau bercerai dalam tempoh kebiasaan atau maksimum 15 hari haid. Oleh
itu, kiraan tempoh darah pada setiap jam
sangat penting supaya wanita lebih berhati-hati sebelum menentukan
status hukum haid dan ibadahnya.
[1] Alī bin Muhamad bin ‘Ali al-Zayn al-Sharīf al-Jurjānī. al-Ta’rīfāt. (Beirut Lubnan: Dār
al-Kutub al-Ilmiyyah, 1983), ms. 94.
[2] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khaṭīb Al-Sharbīnī. Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī
Al-Alfāz Al-Minhāj. (Kaherah, Mesir: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah, 1994).
Jil. 1 , ms. 277.
[3] Al-Sharbīnī, Jil. 1 , ms. 277.
[4] Penerimaan barang dalam bab muamalat.
[5] Tempat
simpanan yang bersesuaian dengan masalah jenayah.
[6] Ala’uddin Abū Bakr Bin Mas’ud al-Kasānī. Badāi’ al-Ṣanāi’ fī Tartib al-Sharai’(
Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1910). Jil. 1, ms. 40.
[7] Ibid., Jil.
1, ms. 39-40.
[8] Al-Sharbīnī.
Mughnī Al-Muhtāj. Jil. 1 , ms. 278; Jamāl
al-Dīn Abū Muhammad Abdullah Bin Yūsof Bin Muhammad al-Zayla’ī. Naṣb al-Rāyah li al-Ahādith al-Hidāyah ma’a
Hasyiah Bughyah al-Ma’ī fī Takhrīj al-Zayla’ī. (Beirut, Lubnan: Muassasah
al-Rayyan) Jil. 1 , ms. 191.
[9] Mohamad Bin Ahmad Bin ‘Arafah al-Dusūqī al-Mālikī, Hāshiyah al-Dusūqī ‘ala al-Sharh al-Kabīr,(Dār
al-Fikr, Amman: t.t). Jil. 1, ms. 168.
[10] Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf al-Nawawī. al-Majmū’ Sharh al-Muhadzdzab. (Amman,
Jordan: Dar al-Fikr, 1928). Jil. 2, ms.
380.
[11] Abu Muḥamad Bin Aḥmad Bin Muḥamad Bin Qudāmah, Al-Mughnī
(Riyādh, Arab Saudi: Dār ‘Ālam al-Kutub,
1997). Jil. 1, ms. 388.
[12] ‘Abd al-Wahhāb Ibrāhim Bin Abū Sulaymān. Manhajiyyah al-Imam Muhammad Bin Idrīs
al-Shafi’ī fi al-Fiqh wa usūluh: Ta’ṣīl wa Tahlīl. (Beirut, Lubnan: Dār Ibn
Hazm, 1999). Ms. 39-40.
[13] Al-Sharbīnī. Mughnī
Al-Muhtāj. Jil. 1 , ms. 278.
[14] Mansūr bin Ismail. Tuhfah
al-A’izzā’ fi iḍāhi masāil dimāi al-Nisa’. (Nine over ten Dot Biz: Negeri Sembilan, 2021), ms.124.
[15] Al-Sharbīnī.
Mughnī Al-Muhtāj. Jil. 1 , ms. 278.
[16] Al-Sharbīnī.
Mughnī Al-Muhtāj. Jil. 1 , ms. 278.
[17] al-Nawawī. al-Majmū’ Sharh al-Muhadzdzab.
Jil. 1, ms. 314.
[18] Mansūr
bin Ismail. Tuhfah al-A’izzā’ fi iḍāhi
masāil dimāi al-Nisa’. ms.133.
[19] Mansūr
bin Ismail. Tuhfah al-A’izzā’ fi iḍāhi
masāil dimāi al-Nisa’. (Nine over ten
Dot Biz: Negeri Sembilan, 2021), ms. 215.
[20] Hassan bin Ahmad al-Kāf. Al-Taqrīrat al-Sadīdah fi al-Masāil al-Mufīdah. Dār al-Mirāth an-Nabawiyyah:Yaman, Hadramawt,
2022) Jilid 1, ms.166.
[21] Ahmad bin Muhammad bin Alī
bin Hajr al-Haitamī. 1983.Tuhfah
al-Muhtāj fī Sharh al-Minhaj wa al-Hawāshī al-Sharwānī al-Ibādī. (Maktabah
al-Tijariyyah al-Kubra: Mesir, 1983). Jilid. 1, ms, 399.
[22] Abū
Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhārī al-Ja’fi. Ṣahīh al-Bukhārī. Peny. Mustafa Dib al-Bughā, (Damsyik, Syria: Dār Ibn Katsīr, 1993). Jil. 1, ms. 125.
[23] Ibn Hajr al-Haitamī. Tuhfah al-Muhtāj fī Sharh al-Minhaj wa al-Hawāshī al-Sharwānī al-Ibādī.
Jilid. 1, ms. 400.
[24] Kamāl al-Din, Muhammad Bin Musa Bin ‘Isa Bin ‘Alī
al-Damīrī. Al-Najm al-Wahhāj fi Sharh
al-Minhāj. (Dār al-Minhāj, Jeddah: 2004), Jil. 1, ms. 511.