Tarikh: 21 September 2023
Disediakan oleh: Nor Hanani Ahmad
Pendahuluan
Masjid merupakan rumah ibadah untuk
umat Islam mendirikan solat lima waktu secara berjemaah serta ibadah-ibadah
lain. Keindahan dan keluasan seni bina masjid terkini menjadikan fungsi masjid
diperluaskan lagi dengan pelbagai aktiviti yang boleh mengimarahkan masjid di
samping menarik lebih ramai lagi jemaah datang ke masjid. Pelbagai aktiviti
yang diadakan di masjid memberi peluang segelintir masyarakat untuk mengadakan
jualan di masjid. Adakah jual beli di masjid dibenarkan dalam Islam dan
sekiranya dibenarkan, apakah had kawasan masjid yang membenarkan aktiviti ini
dilakukan?
Hukum
Jual Beli di Masjid
Masjid merupakan rumah Allah SWT
yang dikhususkan untuk mendirikan ibadah solat fardu lima waktu secara
berjemaah serta menunaikan ibadah-ibadah lain. Firman Allah SWT dalam surah
al-Nur ayat 36-37:
فِي
بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ
فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ ﴿٣٦﴾
رِجَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ اللَّهِ
وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ
فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ ﴿٣٧﴾
Maksudnya: (Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya
terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya
dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ
juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.
(36) (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak
dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati
Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat)
yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (37)
Berdasarkan ayat ini, masjid merupakan rumah ibadat khusus
bagi umat Islam untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Umat Islam yang pergi
ke masjid mestilah menjaga adab dan menjauhi perkara-perkara yang boleh
melalaikan. Imam al-Tabari menjelaskan bahawa jual beli di masjid termasuk
perbuatan yang boleh melalaikan umat Islam. Sebaiknya, umat Islam hendaklah
bersegera bagi mendirikan ibadah solat apabila azan telah berkumandang.[1]
Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa
Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا
رَأَيْتُمْ مَنْ يَبِيعُ أَوْ يَبْتَاعُ فِي الْمَسْجِدِ. فَقُولُوا: لَا أَرْبَحَ
اللهُ تِجَارَتَكَ.[2]
Maksudnya: Sekiranya kamu melihat seseorang yang menjual dan
membeli di dalam masjid, maka katakanlah kepadanya: “Semoga Allah tidak
menguntungkan perniagaan kamu”.
(Riwayat al-Tirmizi)
Berdasarkan kepada hadis di atas,
jumhur ulama berpendapat bahawa hukum jual beli di masjid adalah makruh sama
ada barang tersebut ada ataupun tiada ketika itu. Manakala sebahagian ulama
yang lain mengharamkan jual beli di masjid kerana terdapat larangan daripada
Nabi SAW[3].
Menurut riwayat lain yang dinukilkan
oleh ‘Amru bin Syu’aib daripada ayahnya tentang larangan jual beli di dalam
masjid bahawasanya:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ الشِّرَاءِ وَالْبَيْعِ فِي الْمَسْجِدِ،
وَأَنْ تُنْشَدَ فِيهِ ضَالَّةٌ، وَأَنْ يُنْشَدَ فِيهِ شِعْرٌ، وَنَهَى عَنِ
التَّحَلُّقِ قَبْلَ الصَّلَاةِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ[4]
Maksudnya: Rasulullah SAW melarang
jual beli di masjid, mencari barang yang hilang, melagukan syair dan membuat
halaqah sebelum solat Jumaat.
(Riwayat
Abu Daud)
Para ulama menyatakan bahawa jual
beli di masjid dianggap sebagai aktiviti keduniaan yang tidak boleh bercampur
dengan aktiviti ibadah bagi menambah saham akhirat. Jadi, jual beli di masjid
adalah tidak dibenarkan.
Namun begitu, larangan jual beli
dalam masjid perlu diperjelaskan dengan melihat beberapa keadaan yang
melibatkan pihak pengurusan masjid, penjual dan pembeli. Semua pihak perlu
maklum had masjid yang membenarkan aktiviti lain dilakukan supaya ia tidak
mengganggu orang lain melakukan ibadah solat di samping menjaga kesucian dan
kemuliaan masjid sebagai rumah Allah SWT.
Tambahan pula, seni bina pembinaan
masjid masa kini kebanyakannya bersifat luas yang memungkinkan masjid menjadi
pusat komuniti masyarakat dengan kepelbagaian aktiviti boleh dilaksanakan
selain ibadah solat. Oleh itu, penentuan had masjid sangat penting supaya dapat
membezakan kawasan yang dibenarkan untuk melakukan aktiviti sosial dan kawasan
utama masjid yang dikhususkan untuk mendirikan solat.
Had
Masjid
Masjid menurut mazhab al-Shafi’i
bermaksud sebuah tempat yang diwakafkan sebagai masjid secara sarih. Manakala
jika tempat tersebut tidak dapat dipastikan statusnya sama ada masjid atau
bukan walaupun tempat tersebut disediakan untuk mendirikan solat lima waktu, ia
tidak boleh dihukumkan sebagai masjid[5].
Had masjid yang ditetapkan menurut
perbahasan ulama ialah seperti berikut:
أن
يكون في المسجد للاتباع سواء سطحه وصحنه ورحبته المعدودة منه [6]
Maksudnya: Had masjid ialah kawasan yang diniatkan wakaf
sama ada bahagian atas atau bawah termasuk sutuh,
rahbah yang berdinding dan bersambung
sekitarnya dan menara yang bersambung dengan masjid.
Manakala bahagian yang tidak dianggap
sebagai masjid pula dipanggil harim iaitu
luar koridor masjid seperti kawasan kaki lima dan sebagainya[7].
Pada masa kini, kawasan ini kebiasaannya dijadikan tempat untuk meletak
kenderaan atau tempat meletakkan kasut di luar koridor masjid.
Dalam
menentukan had masjid, pihak
masjid mempunyai autoriti untuk menentukan kawasan tertentu yang dianggap
sebagai masjid. Oleh itu, pihak masjid bertanggungjawab meletakkan tanda yang
jelas untuk orang awam tahu kawasan
had masjid bagi membolehkan pelaksanaan solat tahiyatul masjid, had suci
bagi wanita haid, serta had kawasan yang dibenarkan untuk jual beli.
Berdasarkan huraian di atas, ruang
solat utama diklasifikasikan sebagai masjid secara sepakat. Manakala
persekitaran masjid atau koridor masjid selain ruang solat utama adalah
bergantung kepada keputusan pihak pengurusan masjid tersebut. Bahagian tersebut
hendaklah ditanda dengan ‘had suci’ agar diketahui oleh orang awam. Perbezaan
bahagian masjid dapat dilihat seperti yang dijelaskan dalam Fatwa Negeri Selangor
yang pernah diwartakan berkenaan masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Fatwa Negeri Selangor yang telah
diwartakan pada 14 September 1995 memutuskan bahawa semua tingkat bangunan
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, iaitu masjid negeri bagi negeri
Selangor adalah diumumkan sebagai masjid (tempat sembahyang) kecuali beberapa
tempat iaitu (1) pejabat imam besar dan beranda di hadapannya, (2) bilik rehat
diraja dan beranda di hadapannya, (3) bilik khutub khanah dan beranda di
hadapannya, (4) pejabat am masjid negeri dan beranda di hadapannya, (5) semua
menara, (6) semua tempat wuduk, tandas dan bilik mandi, dan (7) bilik kawalan
elektrik.[8]
Pengasingan sebegini memberi peluang
sesebuah masjid itu boleh melakukan pelbagai aktiviti bersifat kerohanian,
sosial, pendidikan dan ekonomi sebagai tujuan mengajak umat Islam mendekati
masjid langsung mengimarahkannya. Oleh itu, adalah tidak menjadi kesalahan
untuk dilakukan aktiviti jual beli sekitar koridor masjid atau kawasan selain
ruang solat utama masjid.
Adapun begitu, setiap individu yang
terlibat dengan aktiviti sedemikian hendaklah memahami dan menghormati adab dan
tatasusila apabila berada di kawasan masjid. Menjaga adab di dalam masjid
mengambil kira berpakaian sopan dan menutup aurat dengan sempurna, mengelak
pergaulan bebas lelaki dan perempuan yang bukan mahram, tidak berbuat bising
hingga mengganggu konsentrasi ibadah orang lain, tidak melakukan tindakan yang
boleh menyebabkan kerosakan harta benda dan kekotoran, tidak bertengkar,
berbual atau bercakap perkara yang sia-sia, menghormati waktu azan dan
menunaikan solat fardu secara berjemaah, tidak mempamer gambar atau iklan orang
yang tidak menutup aurat serta tidak melakukan perkara-perkara lain yang
bertentangan dengan syarak.
Kesimpulan
Masjid ialah rumah Allah atau tempat
ibadat umat Islam yang dibina bagi mendekatkan seorang hamba Allah kepada
pencipta-Nya. Jual beli tidak boleh dilakukan di dalam kawasan masjid kerana
terdapat larangan daripada Nabi SAW serta bertentangan dengan konsep memelihara
kehormatan dan kemuliaan masjid.
Manakala isu had masjid pula adalah
bergantung kepada pihak pengurusan masjid. Mereka berautoriti menentukan had
masjid supaya orang awam jelas perbezaan kawasan yang membolehkan pelaksanaan
solat tahiyatul masjid, had suci bagi wanita haid serta had kawasan yang
dibenarkan untuk jual beli. Umat Islam juga hendaklah mengelakkan perbuatan
mengiklan produk dengan menggunakan pembesar suara atau seumpamanya di kawasan
dewan solat utama masjid kerana ia mempunyai unsur jual beli dan boleh
mengganggu ketenteraman serta kemuliaan masjid.
[1] Abū Ja’far,
Muḥammad bin Jarīr al-Ṭabarī, Tafsīr
al-Ṭabarī Jāmi’ al-Bayān, (Mekah: Dār al-Tarbiah wa al-Turāth), Jil. 19,
ms. 192.
[2] Muḥammad bin
Īsā bin Sawrah bin Mūsā bin al-Dahāk, al-Tirmiẓī, Abu Isa, (1975), Sunan al-Tirmiẓī, (Mesir: Syarikah
Maktabah wa Maṭba’ah Muṣṭafā al-Bābī al-Ḥalabī), Hadis no. 1321, Jil. 3, ms.
602.
[3] Muḥammad bin
‘Alī bin Muḥammad bin Abdullah al-Syawkāni al-Yamanī, (1993), Nayl al-Awtār, (Mesir: Dār al-Ḥadīṣ),
Jil. 2, ms. 184.
[4] Abū Dāud
Sulaimān bin al-Ash’as bin Isḥāk bin Bashīr bin Shadād bin ‘Amrū al-Azdī
al-Sijistānī, Sunan Abī Dāud,
(Beirut: al-Maktabah al-Asriyah, Sayyidan), No Hadis 1079, Jil. 1, ms. 283.
[5] Aḥmad bin
Muḥammad bin Alī bin Ḥajar al-Haytamī, (1983), Tuḥfah al-Muḥtāj fī Sharḥ al-Minhāj, (Meṣir: al-Maktabah
al-Tijāriyah al-Kubrā), Jil. 6, ms. 251.
[6] Aḥmad bin
Muḥammad bin Alī bin Ḥajar al-Haytamī al-Sa’adī al-Anṣārī, (2000), al-Minhāj al-Qawīm Sharḥ al-Muqadimah
al-Ḥadramiyah, (Dār al-Kutub al-Ilmiah), ms 266.
[7] Ahmad bin
Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haytami al-Sa’adi al-Ansari, (2000), al-Minhaj al-Qawim Syarh al-Muqadimah
al-Hadramiyah, (Dar al-Kutub al-Ilmiah), ms 266
[8] Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), “Fatwa Tentang Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,
Shah Alam”, dirujuk pada tarikh 13 Julai 2023 daripada http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/11786.