Tarikh: 26 Mei 2023
Disediakan oleh: Zubair bin Amir Nur Rashid
Pendahuluan
Di Malaysia, pengurusan ibadah korban kebiasaannya dijalankan oleh pihak masjid atau surau tempat masing-masing. Tidak dinafikan masih terdapat individu-individu yang menjalankan ibadah korban di rumah masing-masing bersama ahli keluarga mereka. Di sesetengah tempat yang diuruskan oleh masjid dan surau di suatu kariah, jumlah haiwan yang dikorbankan begitu tinggi sehingga melebih 10 ekor lembu menyebabkan kesukaran dan cabaran bagi pihak pengurusan. Oleh itu, mereka mencadangkan agar setelah selesai sembelihan, semua haiwan korban tersebut dicampur dan digabungkan di suatu kawasan seterusnya diagihkan kepada fakir miskin dan masyarakat setempat. Apakah perbuatan seperti ini diperbolehkan?
Peserta Korban Menghadiahkan Bahagiannya Kepada Orang Lain
Daging korban adalah merupakan hak peserta manakala pihak masjid surau hanya bertanggungjawab menguruskan daging tersebut. Justeru, jika peserta inginkan keseluruhan dagingnya, maka wajib pihak pengurusan memberikan daging tersebut kepada mereka.
Walau bagaimanapun, peserta korban harus untuk menghadiahkan bahagiannya kepada orang lain. Malah digalakkan untuk memberikan sebahagian besar daripada bahagian korbannya sebagai sedekah dan hanya makan sebahagian kecil sahaja sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami:
(وَالْأَفْضَلُ) أَنْ يَتَصَدَّقَ (بِكُلِّهَا) لِأَنَّهُ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى (إلَّا لُقَمًا يَتَبَرَّكُ بِأَكْلِهَا)[1]
Maksudnya: (Afdal ialah) bersedekah (dengan keseluruhannya) kerana perbuatan ini adalah lebih dekat kepada taqwa, kecuali sebahagian kecil untuk peserta korban bertabarruk dengan memakan sebahagian kecil daging korban itu)
Perkara ini adalah berdasarkan kepada Firman Allah SWT dalam surah al-Hajja ayat 28:
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ ﴿٢٨﴾
Maksudnya: Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.
Selain itu, perbuatan ini juga adalah mengikut kepada perbuatan Nabi SAW berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صلَّى الله عليه وسلَّم إِذَا كَانَ يَوْمُ الفِطْرِ لَمْ يَخْرُجْ حَتَّى يَأْكُلَ شَيْئًا،
وَإِذَا كَانَ الأَضْحَى لَمْ يَأْكُلْ شَيْئًا حَتَّى يَرْجِعَ، وَكَانَ إِذَا رَجَعَ أَكَلَ مِنْ كَبِدِ أُضْحِيَتِهِ[2]
Maksudnya: Pada hari raya Eidul Fitri Rasulullah SAW tidak keluar daripada rumah baginda sehinggalah baginda menjamah makanan. Pada hari raya Eidul Adha, baginda tidak makan sesuatu pun sehingga baginda pulang (daripada solat raya). Apabila pulang, baginda makan daripada bahagian hati haiwan korbannya.
Oleh itu, jika peserta korban memberikan keizinan untuk diambil keseluruhan bahagiannya untuk disedekahkan, perkara itu diperbolehkan.
Hukum Mencampurkan Daging Korban Setelah Sembelihan
Menurut pandangan yang asoh dalam mazhab Syafi’i, ibadah korban sah apabila disedekahkan sebahagian kecil daripada daging korban kepada fakir miskin dan kadar ini mestilah memadai untuk dinamakan sebagai sedekah mengikut adat kebiasaan. Perkara ini disebutkan oleh Imam al-Khatib:[3]
(وَالْأَصَحُّ وُجُوبُ التَّصَدُّقِ بِبَعْضِهَا) وَلَوْ جُزْءًا يَسِيرًا مِنْ لَحْمِهَا
بِحَيْثُ يَنْطَلِقُ عَلَيْهِ الِاسْمُ عَلَى الْفُقَرَاءِ، وَلَوْ وَاحِدًا
Maksudnya: Dan pandangan yang asoh adalah wajib bersedekah sebahagian, sekalipun sebahagian kecil daripada dagingnya dengan kadar yang boleh dinamakan sebagai sedekah kepada fakir miskin walaupun kepada seorang individu.
Ibarat ini menunjukkan bahawa percampuran daging setelah sembelihan sempurna dan telah diasingkan bahagian yang wajib untuk disedekahkan adalah tidak menjejaskan kesahan ibadat korban.
Oleh itu, pihak pengurusan hendaklah memastikan setiap daripada tujuh bahagian itu ada bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin itu dengan membuat pengasingan. Pihak pengurusan mestilah mengasingkan terlebih dahulu kadar yang wajib daripada haiwan tersebut sebelum dicampurkan dengan haiwan korban yang lain.
Selain itu, perlu difahami bahawa daging korban adalah hak peserta, maka sebarang tindakan melibatkan pengagihan perlu mendapat keizinan daripada peserta terlebih dahulu. Oleh itu, pihak pengurusan korban disarankan agar mendapatkan persetujuan daripada para peserta untuk memberikan keizinan penuh kepada pihak pengurusan dalam urusan pengagihan daging korban. Melalui keizinan ini, pihak pengurusan boleh menguruskan agihan daging dengan apa-apa cara yang diizinkan syarak termasuk mencampurkannya dengan haiwan korban yang lain.
Namun, sekiranya ada dalam kalangan peserta yang tidak bersetuju dan mereka meminta untuk diberikan bahagiannya, maka kehendak tersebut wajib dipenuhi. Daging korban peserta tersebut hendaklah diberikan daripada bahagian haiwan korbannya. Bahagian peserta tersebut juga tidak boleh dicampurkan dengan haiwan korban lain bagi mengelakkan isu mengambil hak orang lain tanpa izin yang juga diharamkan oleh Islam berdasarkan Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ
Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.
Kesimpulan
Harus bagi pihak pengurusan mencampurkan daging korban antara seekor haiwan dengan haiwan yang lain dengan syarat berikut:
● Mengasingkan terlebih dahulu bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin daripada bahagian setiap haiwan korban sebelum mencampur daging korban itu bersama haiwan yang lain.
● Mendapat keizinan daripada peserta korban untuk bersedekah bahagiannya melalui akad yang jelas antara kedua pihak.
Sekiranya ada dalam kalangan peserta yang tidak bersetuju dan meminta untuk diberikan bahagiannya, maka kehendak tersebut wajib dipenuhi dan bahagian peserta tersebut hendaklah diberikan daripada haiwan korbannya.
Percampuran ini boleh dilakukan bagi memudahkan pengurusan korban yang melibatkan korban haiwan yang banyak sehingga menyukarkan pihak pengurusan untuk membuat pengasingan. Walau bagaimanapun, sebaiknya pihak pengurusan mengasingkan daging korban mengikut haiwan masing-masing bagi mengelakkan berlaku pergaduhan, isu mengambil hak orang lain atau tidak puas hati antara peserta korban.
[1] Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muḥtāj Fī Syarḥ al-Minhāj (Beirut: Dar Ihya’ Turath al-‘Arabi, 1983) Jil. 9, ms. 365.
[2] al-Baihaqi, Abu Bakar Ahmad bin al-Hussein. al-Sunan al-Kubra, No. 6161.
[3] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khāṭib Al-Sharbīnī Al-Shafiʿ(1994M/1415H). Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī Al-Alfāz Al-Minhāj. Cairo, Egypt: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah. Jil. 6, ms. 135.