#20 Taudhih al-Hukmi : Hukum Gabung Niat Puasa Qada dan Sunat Syawal

 

Tarikh: 11 Mei 2023

Disediakan oleh: Nor Hanani Ahmad

Pendahuluan

Berpuasa sebulan Ramadhan beserta puasa sunat enam hari dalam bulan Syawwal akan diberikan ganjaran seperti setahun berpuasa. Justeru, ramai yang mengambil peluang dan kesempatan ini untuk melaksanakan puasa sunat Syawwal setelah berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan. Tidak ketinggalan juga kaum wanita khususnya untuk mengejar fadilat puasa sunat Syawwal dalam keadaan ada tanggungan puasa qada Ramadhan yang perlu diselesaikan. Oleh itu, timbul persoalan adakah dibolehkan menggabungkan niat qada puasa Ramadhan dengan puasa sunat Syawwal?

 

Kelebihan Puasa Enam dalam Bulan Syawwal

Berpuasa enam pada dalam Syawwal menjanjikan ganjaran yang besar bagi sesiapa yang melakukannya. Daripada Abu Ayyub Al-Ansari RA, Rasulullah SAW bersabda:

 

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتَّا مِنْ شَوَّالٍ فَكَأَنَّمَا صَامَ الدَّهْرَ[1]

Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawwal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.

(Riwayat Muslim)

 

Menurut Imam Nawawi, hadis di atas jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Shafi’i, Imam Ahmad, Daud dan ulama yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari pada bulan Syawwal. Ini menunjukkan bahawa maksud puasa Ramadhan seolah-olah setiap hari mewakili 10 hari. Justeru, ditambah dengan enam hari Syawwal, maka jadilah ia 360 hari atau bersamaan dengan setahun berpuasa.[2]

 

Adakah Qada Ramadhan Wajib dilakukan Segera?

Puasa qada Ramadhan kerana uzur syarie seperti kedatangan haid, nifas, sakit dan sebagainya adalah termasuk dalam kategori puasa yang boleh ditangguhkan pelaksanaannya[3]. Perkara ini berdasarkan kepada hadis yang menceritakan tentang Saidatina Aisyah RA yang menggantikan puasa Ramadhan dalam bulan Sya’ban seperti yang diriwayatkan oleh Abi Salamah RA:

 

 سَمِعْتُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا تَقُولُ: كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلَّا فِي ‌شَعْبَانَ. قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنَ النَّبِيِّ، أَوْ بِالنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ[4]

Maksudnya: Aku mendengar Aisyah RA berkata: Aku mempunyai hutang puasa Ramadhan, aku tidak mampu menggantikannya kecuali pada bulan Sya’ban. Menurut Yahya: Aisyah qada puasa dalam bulan Sya’ban kerana sibuk melayani Rasulullah SAW

(Hadis Riwayat Bukhari)

 

Menurut hadis ini, ia menunjukkan bahawa qada puasa Ramadhan diberi kelonggaran waktu yang luas dan tempoh yang panjang untuk menggantikannya[5] bukan sekadar pada bulan Syawwal sahaja.

 

Hukum Menggabungkan Puasa Qada Ramadhan dan Sunat Syawwal

Fuqaha mazhab Shafi’i bersepakat bahawa sekiranya diniatkan kedua-dua puasa qada Ramadhan beserta puasa sunat Syawwal, maka seseorang akan mendapat pahala keduanya. Namun, mereka berselisih pandangan sekiranya seseorang itu berniat salah satu. Terdapat dua pandangan dalam isu ini:

 

Imam al-Ramli menyatakan bahawa: 

 

بِأَنَّهُ يَحْصُلُ بِصَوْمِهِ ‌قَضَاءُ ‌رَمَضَانَ وَإِنْ نَوَى بِهِ غَيْرَهُ وَيَحْصُلُ لَهُ ثَوَابُ سِتَّةٍ مِنْ ‌شَوَّالٍ وَقَدْ ذَكَرَ الْمَسْأَلَةَ جَمَاعَةٌ مِنْ الْمُتَأَخِّرِينَ[6]

Maksudnya: Seseorang itu mendapat puasa qada Ramadhan sekalipun dia menggabungkan niat puasa qada Ramadhannya dengan puasa sunat yang lain serta mendapat pahala puasa enam dalam bulan Syawwal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (muta’akhirin).”

 

Maka, harus bagi seseorang untuk menggabungkan niat puasa qada Ramadhan bersama sunat Syawwal dan akan memperoleh pahala bagi kedua-duanya.

 

Pandangan ini turut disokong oleh Syed Mustafa bin Khafi Zahabi al-Masri yang dinyatakan dalam kitab Hasyiah al-Syarqawi:

 

ولو صام فيه [أي في شهر شوال] قضاء عن رمضان أو غيره نذراً أو نفلاً آخر، حصل له ثواب تطوعها؛ إذ المدار على وجود الصوم في ستة أيام من شوال، لكن لا يحصل له الثواب الكامل المترتب على المطلوب إلا بنية صومها عن خصوص الست من شوال[7]

Maksudnya: Sekiranya dia berpuasa di bulan Syawal sama ada puasa qada, atau selainnya, puasa nazar atau puasa sunat yang lain. Maka dia tetap akan mendapat pahala puasa sunat dalam bulan Syawwal kerana yang dimaksudkan dengan puasa dalam bulan Syawwal ialah wujudnya sebarang puasa pada bulan tersebut… Tetapi, dia tidak akan mendapat pahala yang sempurna melainkan jika dia berniat secara khusus ingin berpuasa sunat Syawwal.

 

Hal ini kerana mereka berpandangan bahawa puasa sunat Syawwal bukanlah puasa yang spesifik (ghair maqsudah), bahkan mereka dikira telah berpuasa sunat Syawwal sekiranya mereka berpuasa pada mana-mana hari dalam bulan Syawwal. Namun, seseorang yang berpuasa pada bulan Syawwal dengan puasa qada, nazar dan sebagainya seperti hari Asyura tanpa berniat puasa sunat Syawwal secara khusus, tetap akan memperolehi pahala puasa sunat Syawwal tetapi tidak mendapat pahala sempurna[8].

 

Manakala, Imam Ibn Hajar al-Haitami RA berpandangan bahawa seseorang yang tidak berniat secara khusus untuk melakukan kedua-dua puasa qada dan sunat hanya akan mendapat pahala salah satu darinya. Perkara ini dijelaskan dalam kitabnya:

 

فَإِنْ نَوَاهُمَا حَصَلَا أَوْ نَوَى أَحَدَهُمَا سَقَطَ طَلَبُ الْآخَرِ وَلَا يَحْصُلُ ثَوَابُهُ [9]

Maksudnya: Sekiranya orang yang niat puasa sunat bersama puasa wajib maka dia akan memperolehi bagi kedua-duanya (puasa sunat dan puasa wajib), jika diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi.

 

Dalam teks ini, beliau menjawab persoalan orang yang niat puasa sunat hari Arafah bersama puasa wajib atau niat puasa hari Arafah yang berlaku pada hari Isnin adakah dibolehkan? Perkara ini boleh dikiaskan dengan masalah gabung niat antara puasa qada dan puasa sunat Syawwal. Dapat lihat di sini bahawa harus menggabungkan niat qada puasa Ramadhan dengan sunat Syawwal.


Rumusan daripada perbezaan pandangan ini, adalah digalakkan seseorang untuk menghadirkan niat qada Ramadhan dengan puasa sunat Syawwal bagi mendapatkan pahala yang sempurna. Selain itu, fuqaha Shafi’iyyah bersepakat bahawa puasa qada Ramadhan dan puasa sunat Syawwal boleh digabungkan pelaksanaannya.

 

Walau bagaimanapun, adalah sebaiknya mengasingkan puasa sunat dan puasa qada berdasarkan kaedah fiqh:

‌مَا ‌كَانَ ‌أَكْثَرَ ‌فِعْلًا كَانَ أَكْثَرَ فَضْلًا[10]

Maksudnya: Sesuatu yang lebih banyak perbuatannya, maka lebih banyak pahalanya

 

Pahala dan kebaikan dalam agama adalah berdasarkan kepada amal, semakin banyak seseorang beramal ibadat, maka semakin besar pahalanya atau lebih baik dilakukan demikian. Jelas bahawa berpuasa selama dua hari secara berasingan adalah lebih baik daripada berpuasa satu hari.

 

Kesimpulan

Hukum menggabungkan niat puasa qada Ramadhan dengan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawwal adalah harus.  Namun begitu, adalah lebih baik seseorang mengasingkan qada Ramadhan dengan puasa sunat enam Syawwal berdasarkan kaedah fiqh “Sesuatu yang lebih banyak perbuatannya, maka lebih banyak pahalanya”. Bagi mereka yang meninggalkan puasa dengan uzur syarie, menyegerakan qada puasa merupakan sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak. Manakala, bagi golongan yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak, mereka diwajibkan menyegerakan dan mendahulukan qada puasa Ramadhan.




[1] Abū al-Ḥusain Muslim bin al-Hujāj bin Muslim al-Qusyairī al-Naysābūrī. (1916).  Ṣaḥīḥ al-Imām Muslim, (Turki: Dār al-Tabā’ah al-‘Āmirah), No. 1164, Jil. 3, ms. 169.

[2] Abu Zakaria Muḥy al-Dīn Yaḥya bin Syarf al-Nawawī, Manhaj Syarḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin al-Hujaj, (Beirut: Dār Iḥya’ al-Turāth al-’Arabi, 1392), Jilid 8, ms.56.

[3] Sa’īd bin Muḥammad Bā ‘Alī Bā ’Asyan al-Daw’anī al-Ḥadhramī, (2004), Busyrā Al-Karīm Bi Syarḥ

Masāil Al-Ta’līm, (Beirut: Dār al-Minhāj), ms. 583.

[4] Abū Abdullah Muḥammad bin Ismā’il al-Bukhārī al-Ja’fi (1993), Ṣaḥīh al-Bukhārī, Peny. Mustafa Dib al-Bughā, (Damsyik:  Dār Ibn Katsīr), No. Hadis 1849, Jil. 2, ms, 689.

[5] Ibn Baṭāl, Abū al-Ḥasan Alī bin Khalaf bin Abd Malik (2003). Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī li Ibn Baṭāl. (Riyādh: Maktabah al-Rushd), Jil. 4, ms. 95.

[6] Shihāb al-Dīn Aḥmad bin Ḥamzah al-Anṣārī al-Ramlī al-Shāfi’ī, (t.t), Fatāwā al-Ramlī, (al-Maktabah al-Islāmiah), Jil. 2, ms. 66.

[7] Abdullah bin Ḥijāzī bin Ibrāhīm al-Shāfi’i al-Azharī, (1997), Ḥāsyiah al-Syarqāwi, (Beirut: Dār al-Kutub Ilmiah), Jil. 2, Ms, 321.

[8] Shams al-Dīn Muḥammad bin Abī al-Abbas Aḥmad bin Ḥamzah Shihāb al-Dīn al-Ramlī, (1984), Nihāyah al-Muḥtāj ilā Syarḥ al-Minhāj, (Beirut: Dār al-Fikr), Jil. 3, Ms. 208.

[9] Shihāb al-Dīn Syeikh al-Islām, Aḥmad bin Muḥammad bin Alī bin Hajar al-Haytamī al-Sa’adī al-Anṣārī, (t.t), al-Fatāwā al-Fiqhiyah al-Kubrā, (al-Maktabah al-Islāmiah), Jil. 2, ms, 75.

[10] Muḥammad Muṣṭafā al-Zuḥaylī, (2006), al-Qawāid al-Fiqhiyyah wā Taṭbīqātuhā fī al-Maẓāhib al-Arba’ah, (Damsyik: Dār al-Fikr), Jil. 2, ms. 731.

Accessibility Toolbar