#18 Taudih al-Hukmi : Hukum Mengagihkan Zakat Secara Persendirian

Tarikh: 28 April 2023

Disediakan oleh: Naimah Mohamad Nasir

 

Zakat merupakan satu kewajipan bukan sahaja kepada individu malah juga merupakan salah satu sistem kewangan dalam masyarakat Islam yang dipantau perlaksanaannya oleh pihak pemerintah dan diuruskan secara sistematik oleh pihak dipertanggungjawabkan  sama ada dari segi kutipan mahupun agihan. Namun begitu dari segi amalannya, terdapat banyak  individu atau syarikat korporat membayar dan mengeluarkan sebahagian zakat mereka kepada asnaf yang dianggap layak menerima zakat. Maka, timbul persoalan dari sudut hukum, adakah pembayaran zakat harus dilakukan secara terus kepada asnaf tanpa perantara pihak pusat pungutan zakat?

Kewajipan Zakat

Secara asasnya, mengeluarkan zakat merupakan rukun Islam keempat yang menjadi tonggak utama pemangkin ekonomi dan menjaga kebajikan golongan yang kurang bernasib baik. Medium zakat ini penting supaya kekayaan harta orang kaya dapat diagihkan kepada golongan yang lebih memerlukan. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 7:

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ

Maksudnya: (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dalam kalangan kamu.

Terdapat dua jenis zakat dalam Islam iaitu zakat harta dan zakat fitrah. Zakat harta hanya diwajibkan kepada orang-orang yang layak sahaja atas harta yang dimilikinya. Manakala, zakat fitrah diwajibkan kepada setiap individu Muslim yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya[1].

Dalam hal ini, hukum zakat harta adalah wajib sekiranya cukup syarat wajib dan syarat sah  iaitu seseorang itu beragama Islam, sesuatu harta yang dimiliki mencukupi nisab dan mencapai haulnya[2].

Manakala bagi zakat fitrah, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-60 yang bersidang pada 23 Oct 2003 telah telah memutuskan bahawa hukum zakat fitrah adalah wajib sekiranya cukup syarat wajib zakat fitrah iaitu:

  1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
  2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
  3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya
  4. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan

Bagi mencapai tujuan murni ini, zakat hendaklah disalurkan kepada asnaf yang berhak untuk menerimanya.  Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 60:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

 

Hukum Mengagihkan Zakat Secara Persendirian Tanpa Melalui Pemerintah

Dari segi siyasah syar’iyyah dan maslahah, para fuqaha bersepakat bahawa ulil amri atau pemerintah mempunyai kuasa untuk mengutip zakat dan menetapkan peraturan demi menjaga kepentingan pengurusan zakat. Berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Al-Taubah ayat 103:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Berdasarkan perkataan (خُذْ) yang merujuk kepada maksud “ambillah” dalam ayat di atas para ulama bersepakat ia merupakan satu bentuk arahan kepada pihak pemerintah supaya bertanggungjawab menguruskan kutipan zakat ini[3]. Menurut Imam al-Nawawi, pemerintah wajib untuk melantik amil untuk memungut zakat[4]. Pemerintah juga hendaklah menguruskan kutipan dan agihan zakat dengan sistematik dan tersusun bagi memastikan zakat disalurkan kepada asnaf yang benar-benar layak dan memerlukan.

Hujah pembayaran zakat kepada pemerintah ini juga dikukuhkan lagi dengan hadis Rasulullah SAW yang telah melantik Muaz bin Jabal sebagai pengurus zakat di negeri Yaman di samping bertanggungjawab mengembangkan dakwah Islam kepada orang-orang di sana. Sabda Baginda SAW: 

 

فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ فِي فُقَرَائِهِمْ[5]

Maksudnya: Beritahulah mereka bahawa Allah mewajibkan solat ke atas mereka lima waktu sehari semalam. Jika mereka mematuhi perkara itu zakat ke atas mereka yang diambil daripada orang kaya lalu diagihkan-agihkan kepada orang fakir di kalangan mereka.

(Riwayat Muslim)

 

Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Abu Zuhrah, Syeikh Abdul Wahab al-Khallaf dan selainnya urusan zakat harta atas semua jenis harta tanpa terkecuali perlu diserahkan kepada pemerintah untuk menjamin pengurusan zakat yang lebih sistematik[6].

Hukum Mengagihkan Zakat Secara Persendirian Dari sudut Undang-Undang di Malaysia

Berdasarkan Undang-undang Pentadbiran Islam di Malaysia, kuasa memungut dan mengagihkan zakat diletakkan di bawah Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebagaimana yang   telah   diperuntukkan   dalam   perlembagaan   persekutuan,   serta   enakmen pentadbiran   agama   Islam   negeri-negeri. Terdapat   juga   negeri-negeri   yang menubuhkan anak syarikat dalam urusan  kutipan  zakat ini seperti  Wilayah  Persekutuan,  Pahang,  Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka. Justeru, tindakan mengagihkan sendiri zakat tanpa melalui wakil yang dilantik pemerintah adalah melanggar undang-undang di bawah Seksyen 21, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 menyatakan:

boleh dikenakan hukuman jika sabit kesalahan. Mana-mana orang yang wajib membayar zakat atau fitrah tetapi –

(b) enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu melalui amil yang dilantik, atau mana-mana pihak lain yang diberikuasa, oleh Majlis untuk memungut zakat atau fitrah,

adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-76 yang berlangsung pada tahun 2006 juga telah menetapkan bahawa mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pusat zakat adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak. Walau bagaimanapun, perbuatan tersebut dikira melanggar peraturan dan undang-undang dalam perkara kebaikan seperti adalah berdosa. Hal ini kerana Islam mewajibkan umatnya untuk patuh dan taat kepada pemerintah pada perkara kebaikan.

Begitu juga, dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (JFMKBHEUIM) Kali Ke-87 yang bersidang pada 23–25 Jun 2009 telah membincangkan Kajian Semula Hukum Agihan Semula Zakat Secara Persendirian. Muzakarah ini juga telah memutuskan bahawa, keputusan yang telah dipersetujui pada Muzakarah kali ke -76 bertarikh 21-23 Nov 2006 adalah selaras dengan pandangan syarak dan tidak perlu dibuat sebarang pindaan. Keputusan ini juga selaras dengan pandangan mazhab Syafi’i yang menyatakan afdal membayar kepada pemerintah yang adil.

Namun begitu, terdapat kebenaran diberikan kepada pemilik harta untuk mengagihkan zakat sendiri langsung  kepada  asnaf khususnya bagi zakat perniagaan, pendapatan dan harta. Dalam hal ini, pembayar zakat hendaklah memohon terlebih  dahulu kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) skim khas berupa wakalah agihan untuk membayar sendiri ke asnaf. Konsep Al-Wakalah ini merupakan dasar pengembalian semula wang zakat kepada pembayar zakat dan melantik mereka sebagai wakil mengagihkan zakat bagi pihak MAIN kepada asnaf yang layak berdasarkan syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh MAIN. Pecahan pengembalian semula wang zakat  ini  adalah  berbeza dan tertakluk kepada negeri.Oleh itu, pihak pembayar zakat hendaklah merujuk hal ini kepada pusat pungutan zakat di negeri masing-masing.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan diatas, mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak dan cukup syaratnya tetapi perbuatan tersebut melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa. Meskipun terdapat kebenaran mengagihkan zakat secara terus kepada asnaf, mematuhi peraturan dan taat kepada pemerintah dalam perkara kebaikan adalah wajib. Namun, jika para pembayar zakat hendak membuat agihan secara terus kepada asnaf boleh memohon kebenaran melalui skim wakalah agihan daripada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) di negeri masing-masing.

 



[1] Hassan bin Ahmad al-Kāf. (2022). Al-Taqrīrat al-Sadīdah fi al-Masāil al-Mufīdah. Yaman, Hadramawt: Dār al-Mirāth an-Nabawiyyah. Jilid 1, ms. 419

[2] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha & ‘Ali al-Sharbajī. 1992. Al-Fiqh al-Manhajī ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i. Dār al-Qalam: Damsyik.  Jil.2, ms. 16.

[3] Wahbah al-Zuhaily. (1991). Tafsīr al-Munīr fi al-‘Akīdah wa al-Syarī‘ah wa al-Manhaj. Dār al-Fikr: Beirut. Jil. 11, ms. 27.

[4] Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf al-Nawawī. (1928). al-Majmū’ Sharh al-Muhadzdzab. Amman: Dar al-Fikr. Jil. 6, ms. 168.

[5] Abū al-Ḥusain Muslim bin al-Hujāj bin Muslim al-Qusyairī al-Naysābūrī. (1916) Ṣaḥīḥ al-Imām Muslim, (Turki: Dār al-Tabā’ah al-‘Āmira. Jil. 1, ms. 37.

[6] Yusuf al-Qaraḍāwī. Fiqh al-Zakāh al-Dirāsah Muqāranah li ahkāmihā wa al-Falsafatihā fi Dau al-Quran wa al-Sunnah. Muassasah al-Risālah: Beirut, Lubnan. Ms. 765-766; Muassasah al-Risālah: Beirut, Lubnān. Jil. 1, ms. 766; Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. 2009. Himpunan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan : Berhubung Dengan Isu-Isu Muamalat. Ms. 1-6.

Accessibility Toolbar