Tarikh: 18 April 2023
Disediakan oleh: Zubair Amir
Pendahuluan
Memberi duit raya kepada kanak-kanak
merupakan antara amalan masyarakat kita di Malaysia sempena dengan kedatangan
hari raya Aidilfitri. Perkara ini termasuk dalam usaha memberikan kegembiraan
kepada orang lain yang digalakkan lebih-lebih lagi ketika menyambut hari raya
yang merupakan hari umat Islam bergembira.
Duit raya yang diberikan terus
kepada anak atau melalui perantaraan ibu bapanya adalah milik anak. Oleh itu,
harta anak tersebut berada di bawah tanggungjawab ibu bapa sebagai suatu
amanah. Persoalannya, adakah ibu bapa bebas menggunakan duit raya anak untuk
tujuannya sendiri atau di sana terdapat garis panduan khusus dalam pengurusan
duit raya anak ini?
Hukum Ibu Bapa Menggunakan Harta Anak
Ibu bapa dianggap sebagai wali atau
pemegang amanah kepada harta anak yang belum cukup umur serta belum mencapai
tahap rusyd (kematangan dalam
menguruskan harta). Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 3:
وَابْتَلُوا الْيَتَامَىٰ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغُوا
النِّكَاحَ فَإِنْ آنَسْتُم مِّنْهُمْ رُشْدًا فَادْفَعُوا إِلَيْهِمْ
أَمْوَالَهُمْ
Maksudnya: Dan ujilah anak-anak
yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika
kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka)
telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka
hartanya.
Menurut Jumhur fuqaha daripada Imam
Abu Hanifah, mazhab Maliki dan mazhab Shafi’i. Ibu bapa boleh menggunakan harta
anaknya untuk tujuan peribadi sekadar keperluan sahaja. Mereka bersandarkan
kepada beberapa hadis antaranya ialah hadis yang diriwayatkan daripada ‘Umarah
bin ‘Umair RA, ibu saudaranya pernah bertanya kepada Sayyidatina Aisyah RA:[1]
فِي حِجْرِي يَتِيمٌ أَفَآكُلُ مِنْ مَالِهِ فَقَالَتْ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : إِنَّ أَطْيَبَ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ
مِنْ كَسْبِهِ وَوَلَدُهُ مِنْ كَسْبِهِ
Maksudnya: Dalam rumahku (jagaanku)
terdapat seorang anak yatim, adakah boleh aku memakan sebahagian daripada
hartanya? Aisyah RA menjawab, sabda Nabi SAW: Sesungguhnya makanan terbaik yang
dimakan oleh seorang lelaki ialah hasil usahanya, dan anak seseorang itu adalah
termasuk daripada hasil usahanya.
(Riwayat Abu Daud)
Selain itu, sebuah hadis daripada
Jabir bin ‘Abdillah RA, bahawa seorang lelaki berkata:[2]
يا رسول الله إن لي مالاً وولداً وإن أبي يجتاح مالي. فقال
عليه الصلاة والسلام : أنت ومالك لأبيك
Maksudnya: Wahai Rasulullah,
sesungguhnya aku mempunyai harta dan seorang anak sedangkan bapaku memerlukan
kepada hartaku. Sabda Nabi SAW: Kamu dan hartamu adalah untuk bapamu.
(Riwayat Ibn Majah)
Imam al-Nawawi menjelaskan makna
hadis ini melalui penyataan berikut:
وقال الشافعي رضى الله عنه وأبو حنيفة ومالك: ليس للوالد أن
يأخذ من مال ولده
الا بقدر حاجته
Maksudnya: Imam Syafi’i, Imam Abu
Hanifah dan Imam Malik berpendapat bahawa ayah tidak boleh mengambil harta
anaknya melainkan kadar keperluannya sahaja.
Majlis Fatwa Jordan (Dar al-Ifta’
Jordan) menjelaskan makna hadis tersebut:[3]
لا يجوز تفسيره بأن الأب يملك مال ابنه على وجه الحقيقة، أو
أن له التصرف فيه كيفما يشاء دون علم الولد ورضاه
Maksud: Tidak harus menafsirkan
(hadis: أَنْتَ
وَمَالُكَ لِأَبِيكَ)
bahawa bapanya memiliki harta anaknya secara hakikat, atau dia berhak bertasarruf (menggunakannya) dengan bebas
tanpa pengetahuan dan redha anaknya.
Walau bagaimanapun, keharusan ibu
bapa menggunakan harta anaknya untuk tujuan peribadi mereka adalah terikat
dengan kadar keperluan sahaja. Ini dijelaskan dalam hadis yang lain daripada
Aisyah RA:
إن أولادكم هبه من الله لكم (يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا
وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ) وأموالهم لكم إذا احتجتم إليها
Maksudnya: Sesungguhnya anak-anak
kalian adalah hadiah daripada Allah kepada kalian, sebagaimana firman-Nya: Ia
mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan
mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Maka harta
mereka ialah harta kalian sekiranya kalian memerlukannya.
Oleh itu, ibu bapa tidak sewajarnya
menggunakan harta anaknya secara mutlak untuk keperluan dirinya sendiri. Maka,
dalam masalah ini, ibu bapa yang menggunakan harta anaknya boleh dipecahkan
kepada dua tujuan ini iaitu:
- Tujuan kemaslahatan anak
seperti untuk keperluan asasi anak berupa makan minum, pelajaran dan
lain-lain. Harta anak yang digunakan untuk tujuan ini tidak perlu
digantikan semula.
- Tujuan keperluan diri sendiri
seperti membayar sewa rumah, bil elektrik, makan minum peribadi dan
lain-lain. Bagi kategori ini, ibu bapa tidak boleh menggunakan duit anak
kecuali dalam keadaan terdesak. Namun, sekiranya ibu bapa menggunakan
harta anaknya sedangkan dia tidak berada dalam keadaan terdesak, maka dia
wajib menggantikannya semula. Ibu bapa adalah dianggap meminjam (qard) harta anak.
Bagi kategori kedua, ibu bapa yang
berada dalam keadaan miskin dan terdesak hanya boleh menggunakan duit raya anak
untuk tujuan peribadinya walaupun tanpa izin anak. Namun penggunaannya hanya
dibenarkan dengan kadar urf (kebiasaan)
secara ma’ruf. Perkara ini dinyatakan
dalam al-Quran dalam surah al-Nisa’ ayat 3:
وَمَن كَانَ غَنِيًّا فَلْيَسْتَعْفِفْ ۖ وَمَن كَانَ
فَقِيرًا فَلْيَأْكُلْ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak
yatim itu) yang kaya maka hendaklah ia menahan diri (dari memakannya); dan
sesiapa yang miskin maka bolehlah ia memakannya dengan cara yang sepatutnya.
Menurut Ibn Hajar al-’Asqalani, yang
dimaksudkan dengan ma’ruf ialah
mengikut kadar kebiasaan.[4]
Boleh difahami daripada kadar kebiasaan ialah untuk tujuan keperluan hariannya
seperti keperluan makan minum, tempat tinggal dan seumpamanya tanpa
berlebih-lebihan dan bermewah-mewah.
Kesimpulan
Duit raya anak yang diberikan kepada
anak adalah hak dan milik anak. Manakala ibu bapa bertindak sebagai pemegang
amanah. Hukum ibu bapa menggunakan duit raya anak boleh disimpulkan kepada tiga
keadaan:
● Harus
digunakan untuk maslahat anak dan tidak perlu digantikan.
● Harus
digunakan untuk tujuan peribadi ibu bapa walaupun tanpa izin anak sekiranya ibu
bapa dalam keadaan terdesak dan memerlukan namun ia terhad kepada kadar
keperluan sahaja tanpa bermewah-mewah.
● Harus
digunakan duit tersebut untuk tujuan peribadi walaupun ibu bapa tidak berada
dalam keadaan terdesak, namun ia berstatus qard
(pinjaman) dan perlu digantikan semula.
Dinasihatkan kepada ibu bapa agar
duit raya anak disimpan dengan baik bagi tujuan masa depan anak sama ada dalam
akaun bank, Tabung Haji dan sebagainya.
[1] Abu
Dawud al-Asha’ath al-Azdi Al-Sijistani (m. 275H). Sunan Abu Dawud. Dar Risalah al-‘Alamiyyah. 2009. Hadis no. 3528.
[2] Ibn
Mājah Abū Abdullah Muhamad Yazid al-Qizwini (m. 273 H), Sunan Ibn Mājah. Qatar: Dār
Ihyā’ al-Kutub al-‘Arabiyyah. t.t. Hadis no. 2291.
[3] Dar al-Ifta Jordan, diakses
daripada https://aliftaa.jo/CatQuestion.aspx?Id=112
[4] Ahmad bin Ali bin Hajar
al-‘Asqalani. (1379H). Fath al-Bari Fi Syarh Sahih al-Bukhari. Beirut: Dar
al-Ma’rifah. Jil. 5, ms. 401.