Tarikh: 13 April 2023
Disediakan oleh: Zubair Amir
Pendahuluan
Dalam bulan Ramadhan umat Islam
diperintahkan untuk berpuasa iaitu menahan diri daripada makan dan minum serta
perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam
matahari. Ketetapan waktu ini adalah berdasarkan Firman
Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 187:
وَكُلُوا
وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ
مِنَ الْخَيْطِ
الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
Maksudnya: Dan
makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang)
dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah
puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).
Berbuka Awal
Waktu sebenar yang diambil kira
untuk berbuka puasa ialah apabila terbenamnya matahari. Pengiraan yang dibuat
oleh ahli falak berbentuk kalendar, jam, termasuk aplikasi yang memaparkan
waktu solat adalah bersifat zhanni (sangkaan).
Walau bagaimanapun, bergantung kepada alat seperti jam atau seumpamanya adalah
dibenarkan selagi mana ia bertepatan dengan realiti semasa iaitu telah terbenam
matahari dengan sebenar-benarnya. Sesuatu alat itu boleh diubah suai waktunya
mengikut ketetapan seseorang individu, maka disebabkan itu sering terjadi
masalah-masalah seperti tersilap azan awal daripada waktunya, jam rosak,
aplikasi yang kurang tepat dan sebagainya.
Berpegang kepada waktu yang terdapat
pada jam atau aplikasi adalah dianggap suatu ijtihad mengenai masuknya waktu berbuka puasa dan ia bersifat zhanni (sangkaan). Oleh itu, sekiranya
seseorang itu tersalah berbuka awal kerana bergantung kepada alat tersebut,
maka puasanya dihukumkan batal. Perkara ini dijelaskan berdasarkan hadis daripada
Asma’ binti Abi Bakr RA, beliau berkata:
أفْطَرْنا عَلَى عَهْدِ النبيِّ
صلى الله عَلَيْهِ وَسلم يَوْمَ غَيْمٍ ثُمَّ طَلَعَتِ الشَّمْسُ.
قِيلَ لِهشَامٍ فَأُمِرُوا بالْقَضاءِ قَالَ لَا
بُدَّ مِنْ قَضَاءِ[1]
Maksudnya: Kami telah berbuka puasa
pada zaman Nabi SAW pada hari mendung, sedangkan selepas itu matahari masih
lagi muncul. Dikatakan kepada Hisham: Maka mereka diperintahkan untuk qada.
Jawabnya: Mesti qada.
(Riwayat
al-Bukhari)
Menurut Imam Badr al-Din al-`Aini
hadis ini menunjukkan bahawa seseorang yang berbuka puasa dalam keadaan dia
menyangka matahari sudah terbenam hendaklah menggantikan puasanya dan tidak
dikenakan kaffarah. Perkara ini juga
menunjukkan bahawa puasa tersebut batal sehingga perlu digantikan.[2]
Malah, para fuqaha juga telah
membahaskan isu ini dalam kitab-kitab mereka antaranya Imam al-Khatib:[3]
(وَلَوْ أَكَلَ بِاجْتِهَادٍ أَوَّلًا) أَيْ
أَوَّلَ النَّهَارِ (أَوْ آخِرًا) أَيْ آخِرَ النَّهَارِ (وَبَانَ الْغَلَطُ
بَطَلَ صَوْمُهُ) لِتَحَقُّقِهِ خِلَافَ مَا ظَنَّهُ، إذْ لَا عِبْرَةَ بِالظَّنِّ
الْبَيِّنِ خَطَؤُهُ
Maksudnya: Sekiranya dia makan dengan ijtihadnya pada awal
siang (waktu Subuh) atau penghujung siang (waktu Maghrib), lalu ternyata dia
tersilap, maka batal puasanya kerana terbukti bahawa sangkaannya adalah salah.
Hal ini kerana tidak diambil kira sangkaan yang telah terbukti kesilapannya.
Selain
itu, perkara ini turut disebutkan di dalam kitab Fiqh al-Manhaji:[4]
وكذلك إذا أفطر في آخر النهار
ظاناً غروب الشمس،
ثم
تبين أنها لم تكن قد غابت بعد بطل صيامه، ووجب عليه القضاء
Maksudnya: Begitu juga sekiranya dia berbuka pada penghujung
siang kerana menyangka telah terbenam matahari (masuk waktu maghrib), kemudian
ternyata bahawa matahari belum terbenam lagi, maka batal puasanya. Wajib ke
atasnya qada.
Hal ini selari dengan kaedah al-fiqhiyyah:
لَا
عِبْرَةَ بِالظَّنِّ الْبَيِّنِ خَطَؤُهُ[5]
Maksudnya: Tidak diambilkira zhan atau sangkaan yang jelas kesalahannya.
Melalui kaedah ini, apabila
seseorang mendapat tahu bahawa waktu Maghrib belum masuk dan ternyata benar,
maka zhan atau ghalabat al-zhan (sangkaan yang kuat) yang berlaku sebelum itu iaitu telah masuk waktu berbuka melalui
aplikasi tersebut ia adalah salah. Maka, batal puasa orang yang berbuka sebelum
waktunya ini kerana asalnya masih berada pada sebahagian waktu siang. Meskipun
kesalahan ini tidak menyebabkan seseorang itu berdosa, mereka hendaklah
mengqada puasa yang terbatal ini selepas Ramadhan.
Oleh itu, disarankan agar masyarakat
mengambil langkah ihtiyat (berhati-hati)
dalam bergantung kepada sebarang alat seperti jam, takwim, aplikasi dan
lain-lain. Sebaiknya, hendaklah dipastikan terlebih dahulu bahawa waktu berbuka
puasa telah benar-benar masuk. Hal ini kerana tidak salah melewatkan sedikit
waktu berbuka bagi memastikan waktu telah masuk secara yakin.
Kesimpulan
Oleh itu, seseorang yang tersalah
berbuka awal daripada waktunya kerana mengikut waktu solat pada aplikasi
tertentu, puasanya pada hari tersebut batal dan dia diwajibkan qada. Masyarakat
disarankan agar mengambil langkat ihtiyat
(berhati-hati) dan tidak terburu-buru berbuka puasa sebelum disahkan dengan
yakin dengan membuat pengesahan terlebih dahulu daripada sumber-sumber yang
berautoriti. Pentadbir masjid dan surau serta individu juga perlu memastikan
jam yang digunakan adalah tepat mengikut Waktu Piawai Tempatan (WPT) yang
disahkan oleh pihak SIRIM melalui laman sesawang https://mst.sirim.my/.
[1] Al-Bukhārī,
Muḥammad bin Ismāīl. (1994). Ṣaḥīḥ
al-Bukhārī. Damsyiq: Dar Ibn Kathir, Dar al-Yamamah. Hadis no. 1858. Jil. 2
, ms 692.
[2] Badr al-Dīn al-`Ainī. (t.t). Umdah al-Qārī Syarḥ Ṣaḥiḥ al-Bukhārī. Beirut:
Dar Ihyā’ al-Turath al-Arabī, Dar al-Fikr. Hadis no. 9591. Jil 11, ms. 68.
[3] Shams
al-Dīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khaṭīb Al-Shirbīnī Al-Shafi.(1994). Mughnī Al-Muhtāj Ila Al-Maʿrifati Maʿānī
Al-Alfāz Al-Minhāj. Cairo, Egypt: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah. Jil. 2, ms.
161.
[4] Mustafā
Khin, Mustafā Bughā, Alī Sharbaji. (1992). Al-Fiqh
al-Manhajī. Damsyiq: Syria, Dar al-Qalam. Jil. 2, ms. 87.
[5] Jalāl al-Din Abd Rahman al-Sayūṭī. Al-Asbāh wa al-Naẓāir
fi Qawā’id wa Furu’ Fiqh al-Shāfi’iyyah. Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah: Mesir. Ms.
157.