Tarikh: 6 Mac 2023
Disediakan oleh: Naimah Mohamad Nasir
Secara asasnya, bayi
lelaki kurang 2 tahun, air kencingnya dikategorikan sebagai najis mukhaffafah. Najis mukhaffafah ialah najis ringan yang boleh dibersihkan dengan
merenjis air ke atasnya (kesan air kencing tersebut) dengan syarat air tersebut
mestilah lebih banyak daripada air kencing, dan tidak disyaratkan air tersebut
mengalir sehinggalah hilang ain najis serta sifat-sifatnya (bau, rasa dan
warna)[1].
Ia dinamakan sedemikian kerana syariat telah memberi keringanan pada kaedah
menyucikannya. Najis air kencing tersebut hanya dikira sebagai najis mukhaffafah sekiranya memenuhi kesemua
empat syarat yang berikut[2]:
1- Najis tersebut adalah air kencing.
2-Ia adalah air kencing bayi lelaki.
3-Bayi tersebut belum mencapai umur 2 tahun qamariah.
4-Bayi tersebut masih belum makan apa-apa
makanan yang mengenyangkan selain daripada menyusu ibunya.
Sekiranya tidak cukup
salah satu daripada syarat-syarat tersebut, maka najis tersebut termasuk dalam
kategori mutawassitah.
Namun timbul persoalan
hukum najis air kencing bayi lelaki pada
zaman kini kerana penggunaan susu formula semakin meluas dalam kalangan ibu
bapa khususnya yang melibatkan ibu dan bayi yang mengalami masalah kekangan
tertentu.
Perbezaan susu formula dan susu ibu
Bayi pada awal
kelahiran amat memerlukan susu ibu sebagai makanan. Dalam hal ini, Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan penyusuan susu dieksklusifkan bagi bayi
yang berumur 6 bulan pertama kelahirannya[3]. Hal ini
bermaksud tiada sebarang pemberian makanan tambahan seperti makanan pejal, susu
formula, susu skim, susu segar daripada haiwan malahan air mineral dan kepada
bayi yang baru lahir sehingga bayi itu mencapai umur 6 bulan selepas kelahiran.
Penyusuan susu ibu ini juga digalakkan setelah tempoh 6 bulan
dan makanan diperkenalkan kepada bayi sehinggalah bayi berumur dua tahun. Hal
ini kerana, susu ibu mengandungi pelbagai nutrien terbaik yang memberi khasiat,
perlindungan dan membantu perkembangan bayi terutama di fasa awal tumbesaranya.
Kebaikan penyusuan ibu bukan sahaja bermanfaat bagi tumbesaran anak malah
mempengaruhi kesihatan si ibu.
Walau bagaimanapun, terdapat ibu yang tidak dapat menyusukan
bayinya secara semula jadi atas beberapa masalah tertentu seperti sakit dan
kekurangan susu. Begitu juga pemberian susu ibu juga terhalang apabila bayi
jatuh sakit atau yang mempunyai alahan tertentu. Oleh itu, susu formula
diperlukan dan diberikan kepada bayi bagi menggantikan susu ibu bagi mengatasi
permasalahan ini.
Dari segi pemakanan, kandungan susu formula jauh berbeza dengan
kandungan susu ibu. Hasil perkembangan teknologi, susu formula dihasilkan sama
ada dari susu haiwan seperti lembu atau kambing dan kekacang melalui proses
tertentu bersesuaian kandungan nutrisinya mengikut umur kanak-kanak. Hal ini
diakui dari sudut perubatan bahawa susu formula hanya bertindak sebagai makanan
pelengkap buat bayi dan tidak dapat menandingi khasiat susu ibu dari segi
nutrien dan kebaikannya[4].
Penentuan najis air kencing bayi lelaki
Berbalik
kepada persoalan berkenaan hukum najis air kencing bayi lelaki ini, titik
perbincangan adalah pada makna lafaz hadis (لَمْ يَأْكُلِ الطَّعَامَ) sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Ummu Qais binti
Mihsan RA :
أَنَّهَا أَتَتْ بِابْنٍ لَهَا
صَغِيرٍ لَمْ يَأْكُلِ الطَّعَامَ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ فَأَجْلَسَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي
حَجْرِهِ فَبَالَ عَلَى ثَوْبِهِ فَدَعَا بِمَاءٍ فَنَضَحَهُ وَلَمْ يَغْسِلْهُ
Maksudnya: Beliau datang membawa
seorang bayi lelaki yang masih kecil kepada Rasulullah SAW dan belum lagi makan
sebarang makanan. Rasulullah SAW terus meletakkannya di atas pangkuan Baginda,
kemudian bayi itu kencing di atas pakaian Baginda. Maka Nabi SAW meminta air
lalu merenjiskannya (ke atas pakaian) dan tidak pula membasuhnya.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ibn Hajar al-’Asqalani menjelaskan makna (الطعام) dalam hadis tersebut;
الْمُرَادُ بِالطَّعَامِ مَا عَدَا اللَّبَنَ الَّذِي يَرْتَضِعُهُ
وَالتَّمْرَ الَّذِي يحنك بِهِ وَالْعَسَل الَّذِي يَلْعَقُهُ لِلْمُدَاوَاةِ
وَغَيْرِهَا فَكَانَ الْمُرَادُ أَنَّهُ لَمْ يَحْصُلْ لَهُ الِاغْتِذَاءُ
بِغَيْرِ اللَّبَنِ عَلَى الِاسْتِقْلَالِ[5]
Maksudnya: Perkara yang dimaksudkan
dengan makanan ialah selain susu yang dihisap, kurma yang ditahnikkan untuknya,
madu yang dijilat untuk berubat dan sebagainya. Maksudnya bayi tidak menerima
gizi utama selain susu ibu.
Imam al-Nawawi juga dalam
mensyarahkan hadis ini, menyatakan air kencing anak lelaki (kurang 2 tahun)
dibersihkan dengan cara al-Nadh (النَّضْح) iaitu merembeskan air selagimana anak
tersebut masih menyusu, adapun setelah dia mula memakan makanan yang
mengenyangkannya, maka wajib membasuh air kencingnya tanpa khilaf (seperti
najis-najis lain)[6]
Hal ini menunjukkan bahawa hanya
bayi lelaki yang meminum susu ibu sahaja selain kurma yang dimakan bagi tujuan
tahnik dan madu untuk dikira najis air kencingnya sebagai najis mukhaffafah.
Hukum Najis air kencing bayi lelaki setelah pertukaran susu formula
Perbahasan mengenai najis air kencing bayi yang minum susu
formula ini tidak dibincangkan secara khusus oleh ulama terdahulu melainkan
dalam perbahasan bayi yang meminum susu haiwan seperti lembu. Dalam hal ini,
para ulama kontemporari berbeza pandangan dalam menentukan najis air kencing
bayi lelaki yang minum susu formula ini kepada dua pendapat :
Pertama,
kekal sebagai najis mukhaffafah.
Menurut pandangan ini, susu formula termasuk dalam
jenis-jenis susu[7].
Oleh itu, ia sama kedudukannya seperti susu ibu yang menjadi sebab hukum najis
air kencing bayi lelaki berumur dua tahun ke bawah ini sebagai najis mukhaffafah.
Kedua,
bertukar daripada najis mukhaffafah
kepada najis mutawassitah
Hukum air kencing bayi lelaki bawah dua tahun yang telah
mula minum susu formula akan bertukar
daripada najis mukhaffafah kepada
najis mutawassitah[8] meskipun kembali minum susu ibu selepas itu.
Hal ini kerana, hakikatnya susu formula berbeza daripada
susu ibu yang diminum oleh bayi sebagaimana yang disebutkan dalam hadis
diriwayatkan Ummu Qais RA. Susu formula kebiasaannya diperbuat daripada susu
haiwan (seperti lembu atau kambing) atau kekacang yang juga mengandungi bahan
lain yang menambah khasiat dan rasa sehingga dapat memberikan rasa kenyang dan
nutrisi yang diperlukan oleh bayi. Manakala, perbuatan mengambil susu formula
tersebut termasuk sebagai langkah mula mengambil makanan dengan tujuan
mengenyangkan bayi selain daripada susu
ibu sebagai makanan utama. Oleh itu, keadaan ini telah menafikan salah satu
daripada empat syarat yang diambil kira sebagai najis mukhaffafah apabila bayi lelaki sudah mula mengambil susu formula,
bahan-bahan tersebut akan mengubah air kencingnya berbeza dengan bayi yang
minum susu ibu sahaja.
Oleh itu, dalam menanggapi permasalahan hukum ini mengambil
sikap atau pendekatan berhati-hati (ihtiyat) dan keluar dari khilaf (الخروج من الخلاف مستحب) perlu diutamakan
dengan mengambil kira hukum najis yang lebih berat iaitu air kencing bayi
lelaki yang minum susu formula ini
dihukumkan sebagai najis mutawasitah
yang perlu dibasuh sehingga hilang ain najis serta sifat-sifatnya (bau, rasa
dan warna). Bagi bayi lelaki yang masih menyusu (sebagai makanan utamanya)
tetapi telah diberi makan ubat atau kurma ketika mentahniknya atau apa-apa yang
seumpamanya, selagimana makanan tersebut tidak mengenyangkannya, air kencingnya
masih dikira sebagai najis Mukhaffafah.
[1] Ḥassan
bin Aḥmad al-Kaff, al-Taqrīrāt al-Sadīdah
fī al-Masāil al-Mufīdah, (Yaman, Ḥadramawt: Dār al-Miras an-Nabawiyyah),
134
[2] Ibid.,
134
[3] World Health Organization (WHO), https://www.who.int/health-topics/breastfeeding#tab=tab_1
[4] ‘Abdullah
bin Yusuf bin Abdullah al-Aḥmad, al-Nawāzil fī al-Raḍā’, Tesis: Jāmi’ah al-Imām
Muḥammad bin Sa’ūd al-Islāmiah, 1437, 305.
[5] Ibn Hajar al-Asqalāni, Fatḥ
al-Bāri bī Sharḥ al-Muslim. (Beirut, Lubnan: Dār al-Ma’rifah), 1/236.
[6] Al-Nawawi, Abu Zakariyya Muhyi al-Din Yahya bin Sharaf,
al-Minhaj Sharh Sahih Muslim (Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi: Beirut, Lubnan,
1972), 3/194
[7] ‘Abd al-Rahman al-Jaziri, al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah, (Dar al-Kutub al-Ilmiah: Beirut,
Lubnan, 2003), 1/26
[8] ‘Abd
al-Azīz bin ‘Abdullah al-Rajḥī, Hal al-’Uqdah fī Syarḥ al-’Umdah, (Riyādh: Dār
al-Tauḥīd li al-Nasyr, 1432), 17.