Tarikh: 28 Februari 2023
Disediakan oleh: Nor Hanani Ahmad
Pendahuluan
Anjing merupakan makhluk Allah SWT
yang diberi kelebihan berupaya menghidu bagi mengesan sesuatu dengan sangat
baik, mempunyai sifat kesetiaan kepada tuannya, mudah dilatih dan bijak
mengikut arahan yang diberikan. Walaupun begitu, dalam Islam ia dikategorikan
sebagai najis mughallazah iaitu najis
berat yang apabila disentuh wajib disertu. Jadi, sejauh manakah keadaan dan
keperluan yang membolehkan memelihara dan memegang anjing di dalam Islam?
Hukum
Memelihara Anjing
Hukum memelihara anjing adalah
diharuskan untuk keperluan dan keadaan tertentu sahaja seperti yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَمْسَكَ كَلْبًا، فَإِنَّهُ
يَنْقُصُ كُلَّ يَوْمٍ مِنْ عَمَلِهِ قِيرَاطٌ، إِلَّا كَلْبَ حَرْثٍ أَوْ مَاشِيَةٍ[1]
Maksudnya: Sesiapa yang memelihara
anjing, maka akan berkurang pahalanya sebanyak satu qirat setiap hari kecuali
anjing yang digunakan untuk tujuan keselamatan atau penternakan.
(Riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadis di atas,
memelihara anjing tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak adalah tidak
dibenarkan. Hal ini kerana perkara tersebut akan mengurangkan pahala setiap
hari seseorang yang memelihara anjing tanpa tujuan yang dibenarkan kecuali
anjing digunakan untuk keselamatan atau penternakan[2] sebagai kemaslahatan
kepada manusia dengan mematuhi peraturan dan batasan hukum syarak.
Para Fuqaha juga telah bersepakat
mengharuskan penggunaan anjing untuk tujuan keselamatan dan menjaga haiwan
ternakan, seperti kenyataan berikut:
اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى أَنَّهُ
لَا يَجُوزُ اقْتِنَاءُ الْكَلْبِ إِلَّا لِحَاجَةٍ: كَالصَّيْدِ وَالْحِرَاسَةِ،
وَغَيْرِهِمَا مِنْ وُجُوهِ الاِنْتِفَاعِ الَّتِي لَمْ يَنْهَ الشَّارِعُ عَنْهَا[3]
Maksudnya: Fuqaha telah bersepakat bahawa tidak harus memelihara anjing
kecuali untuk keperluan tertentu seperti perburuan, keselamatan dan manfaat
lain yang tidak melanggar syariat.
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang memutuskan
bahawa hukum memelihara anjing di rumah oleh orang Islam sebagai haiwan
peliharaan (pet) adalah haram
melainkan hanya dengan tujuan yang muktabar yang termasuk sebagai keperluan dan
kemaslahatan seperti perburuan, anjing pemandu jalan, keselamatan dan membantu
penternakan[4]. Di
samping itu juga, anjing harus digunakan untuk membantu urusan penyiasatan
seperti anjing pengesan polis dan sebagainya[5]. Berikut
dijelaskan keperluan dan kemaslahatan yang diharuskan untuk memelihara anjing
dengan syarat tertentu:
(1) Anjing digunakan sebagai pemburu
Anjing yang digunakan untuk tujuan
memburu[6]
mestilah bersifat anjing yang tahan lasak dan tangkas sesuai untuk memburu
binatang buruan dan bukanlah anjing yang jinak, kecil yang dijadikan binatang
peliharaan di rumah. Adapun begitu, Islam hanya membenarkan perburuan sekadar
untuk mendapatkan makanan, bukan memburu untuk suka-suka atau sebagai hobi. Hal
ini berdasarkan surah al-Maidah ayat 4 berikut:
يَسْئَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ
قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّباتُ وَما عَلَّمْتُمْ مِنَ الْجَوارِحِ مُكَلِّبِينَ
تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللَّهُ فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ
عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ
سَرِيعُ الْحِسابِ (4)
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu
(wahai Muhammad): Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka? Baginda
menjawab katakanlah: dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta
baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah
kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu
mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah
diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap
untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu);
dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang
diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisabNya.
Tafsir Ibn Kathir menjelaskan
berdasarkan ayat di atas bahawa dihalalkan memakan hasil anjing buruan yang
telah dilatih dengan baik serta mematuhi setiap arahan yang diberikan
sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syarak[7]. Ini jelas
menunjukkan penggunaan anjing sebagai perburuan adalah dibenarkan dengan
memenuhi sifat anjing yang sesuai untuk berburu.
(2) Anjing digunakan untuk membantu menjaga
tanaman atau haiwan ternakan
Anjing yang digunakan untuk menjaga
tanaman atau haiwan ternakan adalah anjing yang mempunyai sifat yang handal
untuk menghalau pemangsa lain melalui suara salakan dengan sifat fizikal yang
besar dengan karakter yang garang. Anjing yang digunakan untuk tujuan ini sudah
dilatih dengan baik bagi mendengar arahan, setia dan tidak pernah ingkar arahan
pengembala atau tuannya untuk menjaga tanaman di dusun atau haiwan ternakan di
ladang ternakan dari diserang oleh haiwan perosak dan pemangsa lain[8].
(3)
Anjing digunakan untuk kepolisan dan penyiasatan
Anjing yang digunakan oleh
penguatkuasa keselamatan negara seperti polis, bomba, dan kastam untuk
kepolisan dan penyiasatan. Anjing yang digunakan ini telah dilatih dengan baik
sehingga sesuai digunakan untuk misi penyelamatan. Ini membantu pihak penguasa
mengesan jenayah penyeludupan dadah atau terlibat dengan operasi mencari dan
mengesan mangsa bencana alam seperti tanah runtuh dan sebagainya.
(4)
Anjing digunakan untuk keselamatan
Anjing digunakan untuk menjaga
keselamatan di kawasan perumahan, kilang dan sebagainya. Perkara ini
bersesuaian dengan surah al-Kahf ayat 18 bahawa anjing sebagai pengawas atau
penjaga:
وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ[9]
Maksudnya: Sedang
anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua.
Menurut ayat ini, dikatakan anjing tersebut adalah pemilik Ashab al-Kahfi sebagai penjaga pintu gua atau mengawasi lokasi persembunyian mereka. Hal ini menunjukkan sifat anjing yang setia patuh arahan dan membantu menjaga keselamatan pemiliknya.
Hukum
Memegang Anjing
Di
Malaysia, hukum memegang anjing diperincikan berdasarkan mazhab Syafi’i yang
menyatakan bahawa setiap juzuk daripada anggota badan anjing adalah najis
seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi:
واعلم أنه لا فرق عندنا بين ولوغ الكلب وغيره من أجزائه فإذا
أصاب بوله أو روثه أو دمه أو عرقه أو شعره أو لعابه أو عضو من أعضائه شيئا طاهرا
في حال رطوبة أحدهما وجب غسله سبع مرات إحداهن بالتراب[10]
Maksudnya:
Ketahuilah, tidak ada perbezaan di kalangan kami antara jilatan anjing dan
anggota-anggota badan anjing yang lain. Apabila sesuatu benda yang bersih
terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau
mana-mana anggota dari anggota badannya sedangkan salah satunya basah, maka
wajib membasuhnya dengan tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya adalah
tanah.
Bahkan,
menyentuh anjing dengan sengaja adalah haram kerana anjing termasuk najis mughallazah iaitu haram di sisi Islam. Ini jelas menunjukkan haram bagi umat Islam memegang anjing
dengan sengaja tanpa keperluan tertentu. Bahkan pemeliharaan anjing yang
dibenarkan atas sebab tertentu tersebut perlu mematuhi peraturan jika berlaku
perkara seperti yang dinyatakan oleh pandangan Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili
bahawa:
إذا شرب الكلب في إناء أحدكم فليغسله سبعاً[11]
Maksudnya:
Apabila seekor anjing minum di dalam bekas salah seorang kami, maka hendaklah
membasuhnya sebanyak tujuh kali basuhan.
Kesimpulan
Anjing yang diciptakan Allah SWT
mempunyai beberapa kelebihan yang boleh memberi manfaat kepada manusa. Namun
begitu, memelihara dan memegang anjing hanya dibolehkan oleh syarak atas
keperluan dan maslahah tertentu sahaja. Penggunaanya hanya terhad kepada tujuan
pemburuan, menjaga tanaman atau ternakan serta sebagai keselamatan oleh pihak
penguatkuasa dan bukan bertujuan untuk belaian sebagai binatang peliharaan (pet). Kaedah memelihara dan memegangnya
telah diperincikan oleh Fuqaha terutamanya dari aspek kebersihan dan pengawalan
anjing tersebut. Justeru memelihara dan memegang anjing tanpa keperluan yang
dibenarkan dari syarak adalah tidak dibenarkan. Hal ini tidak bermakna Islam
tidak mengiktiraf keistimewaan anjing, tetapi umat Islam perlulah berhati-hati
dalam isu memelihara dan memegang anjing supaya keharusan yang diberikan tidak
disalah gunakan sewenangnya tanpa tujuan yang dibenarkan oleh syarak.
[1] ِAl-Bukhārī, Abū Abdullah Muḥammad Bin Ismā’il al-Bukhārī al-Ja’fi
(1993). Ṣaḥīh al-Bukhārī. (Damsyik,
Syria: Dār Ibn Kathīr), Hadis no. 2197, Jil. 2. ms 817; Abū al-Ḥusayn Muslim bin
Al-Hajjāj bin Muslim Al-Qusyayrī Al-Nisāburī. (1955). Ṣaḥīḥ Muslim, (Kaherah: Matba’ah Īsa al-Bābī al-Ḥalbī wā Syarkahu),
Hadis no. 1574, Jil. 3. ms. 1201.
[2] Ibn Baṭāl,
Abū al-Ḥasan Alī bin Khalaf bin Abd Malik (2003). Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī li Ibn Baṭāl. (Riyādh: Maktabah al-Rushd),
Jil. 6, ms. 458.
[3] Jamā’ah min
Al-‘Ulama. (2006). Al-Mawsū’ah
Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaytiyyah, (Mesir: Maṭābi’ Dār Al-Ṣafwah), Jil. 35, ms.
124.
[4] Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), “Pemeliharaan
Anjing Sebagai Peliharaan oleh Orang Islam”, dirujuk pada tarikh 24 Januari
2023 daripada http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/15814
[5] Jabatan
Mufti Negeri Perlis, “Fatwa Berkaitan
Muslim yang Berurusan dengan Anjing”, dirujuk pada 24 Januari 2023, https://muftiperlis.gov.my/index.php/himpunan-fatwa-negeri/582-fatwa-berkaitan-muslim-yang-berurusan-dengan-anjing
[6] Yūsuf al-Qaraḍāwī, al-Ḥalāl
wā al-Ḥarām fī al-Islām, (Kaherah: Maktabah Wahbah, 2012), ms. 80.
[7] Ibn Kathīr, Abū al-Fida’ Ismāil bin Amr bin Kathīr
al-Qurasyi al-Baṣrī. (1419H). Tafsīr
al-Qurān al-Azīm, (Beirut: Dār Kutub al-Ilmiah), Jil. 3, ms. 28.
[8] Al-Khaṭīb
al-Syarbaynī, Shams al-Dīn, Muḥammad bin Muḥammad. (1994). Mughnī al-Muḥtāj ilā Ma’rifah Ma’āni Alfāz al-Minhāj. (Dār al-Kutub
‘Ilmiah), Jil. 2. ms. 342.
[9] al-Ṭabari,
Abū Ja’far Muḥammad bin Jarīr al-Ṭabarī. (2001). Tafsīr al-Ṭabarī Jāmi’ al-Bayān ‘an Takwīl Āya al-Qurān, (Dār
al-Hijr lil Ṭaba’ah wa al-Nasyr wa al-Tawzi’ wa al-I’lān), Jil. 15, ms 194.
[10] Al-Nawawī, Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn bin
Sharaf, (1392). Al-Manhaj Syarḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin Al-Hujāj. (Beirut: Dār Iḥya
Al-Turāth Al-‘Arabiy). Jil. 3, ms. 185.
[11] Wahbah bin
Muṣṭafā Al-Zuḥailī. (2012). Al-Fiqh
Al-Islāmi wā Adillatuh. (Damsyik: Dār Al-Fikr), Jil. 1, ms. 284.