Tarikh: 31
Januari 2023
Disediakan oleh: Naimah Mohamad Nasir
Pendahuluan
Pensyariatan iddah dan ihdad (berkabung) merupakan suatu kewajipan khusus seorang wanita yang kematian suami. Kewajipan ini dituntut bagi menzahirkan kedukaan seorang wanita atas kehilangan suaminya yang dikasihi. Namun begitu, persoalan timbul apabila wanita yang kematian suami wajib berkabung dalam masa yang sama perlu keluar bekerja mencari nafkah untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh iddah. Oleh itu, penjelasan mengenai hukum keluar bekerja bagi wanita beriddah kematian suami perlu diberi perhatian supaya kewajipan ini dapat ditunaikan dengan sebaiknya.
Kewajipan Iddah dan Ihdad bagi Wanita Kematian Suami
Wanita yang kematian suami wajib beriddah selama 4 bulan 10 hari berdasarkan firman Allah SWT dalam
surah Al-Baqarah ayat 234:
وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ
وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ
وَعَشْرًا
Maksudnya: Dan orang-orang yang
meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri
hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari.
Berdasarkan ayat ini, para ulama membahaskan perkataan يَتَرَبَّصْنَ yang menunjukkan larangan bagi wanita kematian suami untuk berkahwin dengan lelaki lain atau keluar dari rumah sepanjang tempoh beriddah[1]. Hikmah pensyariatan ini ialah adalah bersifat taʻabbudiyah (taat dan patuh) kepada Allah dan sebagai satu penghormatan buat suami yang telah meninggal dunia[2]. Di samping itu, ia bagi memastikan tiada percampuran nasab anak antara suaminya yang telah meninggal dunia dengan lelaki lain[3].
Dalam tempoh iddah
ini wanita yang kematian suami juga diwajibkan berihdad (berkabung) (ihdad).
Ihdad membawa bermaksud meninggalkan
sebarang pakaian yang boleh menarik perhatian, perhiasan, wangian, solekan dan
sebagainya[4]. Hal
ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ummu Habibah RA, Rasulullah
SAW bersabda:
لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ تُحِدُّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا[5]
Maksudnya: Tidak halal bagi
perempuan yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, berkabung di atas
kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan apabila kematian suaminya. Dia
hendaklah berkabung selama empat bulan dan sepuluh hari.
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Walau bagaimanapun, perihal penjagaan diri dan menjaga kebersihan seperti memotong kuku, menggosok gigi, menggunakan sabun dan memakai pakaian yang bersih tidak termasuk dalam larangan ini bahkan ia merupakan satu keperluan asas diri perlu dijaga[6].
Manakala bagi wanita mengandung yang kematian suami, tempoh iddah dan ihdadnya ialah selama mana wanita itu mengandung sehingga anak
dalam kandungan dilahirkan tanpa mengira panjang atau pendek tempoh tersebut[7]. Hal
ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Talaq ayat 4;
وَأُوْلَٰتُ
ٱلۡأَحۡمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعۡنَ حَمۡلَهُنَّۚ
Maksudnya: Dan perempuan-perempuan
mengandung, tempoh iddahnya ialah
hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya.
Keharusan Wanita Keluar Bekerja bagi Wanita Kematian Suami
Secara umumnya, wanita yang sedang menjalani iddah dilarang untuk keluar pada waktu
siang dan malam tanpa keperluan mendesak berdasarkan firman Allah SWT dalam
Surah al-Talaq ayat 1:
لَا
تُخْرِجُوهُنَّ مِن بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّا أَن يَأْتِينَ
بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ
Maksudnya: Janganlah kamu mengeluarkan
mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai iddahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari
situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.
Namun, jika seorang wanita yang beriddah kematian suami perlu keluar dari rumahnya untuk memenuhi
hajat keperluan maka diberi kelonggaran untuk berbuat demikian. Hal ini
berdasarkan riwayat daripada Jabir bin Abdullah RA:
طُلِّقتْ خالتي ثلاثًا فخرجتْ تجذُّ
نخلًا لها فلقِيَها رجلٌ فنهاها فأتتِ النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ فذكرتْ
ذلك له فقال لها : اخرُجي فجُذِّي نخلَكِ لعلَّكِ أن تصدَّقي منه أو تفعلي خيرًا[8]
Maksudnya: Ibu saudaraku yang telah
diceraikan mahu keluar memetik kurma. Ketika ibu saudaraku keluar untuk
mendapatkan kurma, dia menjumpai seorang lelaki dan menegur perbuatannya itu
(kerana keluar semasa iddah). Maka,
ibu saudaraku itu datang berjumpa dengan Nabi Muhammad dan bercerita kepadanya
apa yang telah berlaku. Baginda bersabda: Sudah tentu kamu boleh memetik kurma
dari pohonnya, supaya kamu boleh bersedekah sebahagian daripadanya atau berbuat
baik dengannya.
(Riwayat Muslim)
Selain itu terdapat riwayat daripada Mujahid RA, beliau berkata:
اسْتُشْهِدَ رِجَالٌ يومَ أُحُد، فجاءتْ نِساؤُهم رسولَ
اللَّه -صلى اللَّه عليه وسلم-، وقُلْنَ: يا رَسُولَ اللَّه، نَسْتَوْحِشُ
بالليلِ، أفَنَبِيتُ عندَ إِحْدانَا، فإذا أصْبَحْنَا بادَرْنَا إلى بُيُوتِنا؟
فقال رسولُ اللَّه -صلى اللَّه عليه وسلم-: “تَحَدَّثْنَ عِنْدَ إحْدَاكُنَّ،
حَتَّى إذَا أرَدْتُنَّ النَّوْمَ، فَلْتَؤُبْ كُلُّ وَاحِدَةٍ إلى بَيْتِها[9]
Maksudnya: Ketika beberapa orang
sahabat meninggal dunia di medan Uhud, isteri-isteri mereka telah datang
menemui Rasulullah SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah, kami merasa sunyi
bersendirian pada waktu malam, apakah boleh kami bermalam di rumah
sahabat-sahabat kami dan apabila menjelang siang kami pulang ke rumah
masing-masing? Baginda bersabda: Kamu boleh berbual-bual di rumah
sahabat-sahabat kamu sehinggalah kamu mahu tidur, pulanglah ke rumah kamu
masing-masing.
(Riwayat Baihaqi)
Berdasarkan riwayat-riwayat di atas, dapat difahami bahawa wanita kematian suami dibolehkan keluar rumah jika ada keperluan dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan oleh Islam. Antara keperluan penting yang membolehkan wanita yang beriddah kerana kematian suami keluar rumah adalah untuk mendapatkan rawatan, mendapatkan barangan keperluan asas atau keluar sekiranya terdapat ancaman terhadap nyawa atau harta. Hal ini juga termasuk kebenaran keluar bekerja kerana selepas kematian suami terdapat sebahagian wanita hilang tempat pergantungan hidup dan sebahagian wanita yang lain pula perlu keluar untuk bekerja dalam tempoh iddah bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pekerja[10]. Maka, wajar dalam keadaan memerlukan ini wanita yang beriddah kerana kematian suami keluar bekerja atau berniaga untuk meneruskan kehidupan.
Dari segi tempoh kebenaran keluar ini tertakluk kepada waktu siang dan diwajibkan untuk bermalam di rumah suami dengan syarat wanita tersebut selamat di situ[11]. Wanita tidak dibenarkan untuk keluar pada waktu malam kerana kebiasaannya pada waktu ini mendatangkan pelbagai masalah keselamatan dan fitnah melainkan jika terdapat keperluan mendesak. Namun, pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawat dan sebagainya.
Sebaliknya, wanita beriddah kematian suami tidak dibenarkan keluar dari rumahnya tanpa
keperluan mendesak seperti keluar untuk menunaikan solat berjemaah di
masjid atau bermusafir kerana haji atau umrah dan sebagainya. Hal ini kerana
ibadah ini berulang pada setiap tahun dan sedangkan iddah ini akan berakhir dalam tempoh yang ditentukan[12].
Kesimpulan
Wanita kematian suami dibolehkan keluar rumah dalam tempoh iddah sekadar keperluan sahaja seperti bekerja
untuk menyara kehidupan bagi diri atau tanggungannya. Apabila hajat telah
dipenuhi, wanita tersebut hendaklah segera pulang ke rumah dan keluar dalam had
dan batas yang diperlukan sahaja. Bagi wanita kematian suami ini juga wajib
menjaga batas hukum, peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan dalam
Islam sepanjang berada dalam tempoh iddah
ini dengan menjauhi segala perkara yang boleh mendorong keinginan para lelaki
untuk mengahwini wanita tersebut seperti pakaian yang boleh menarik perhatian,
perhiasan, wangian, solekan dan sebagainya. Maka, dinasihatkan bagi wanita yang
bekerja untuk berbincang dengan pihak majikan untuk mencari solusi terbaik agar
dapat memenuhi tuntutan beriddah dan
tanggungjawab sebagai pekerja.
[1] Abū Abdullah Bin Al-Anṣārī Al-Qurtubī. (1964). Al-Jāmi’ li Ahkām Al-Qurān. Kaherah,
Mesir: Dār al-Kutub Al-Misriyyah. Jil. 3, ms. 176
[2] Wahbah Al-Zuhaylī. (1989). Al-Fiqh Al-Islāmī wa Adillatuhu. Beirut, Lubnan: Dar Al-Fikr. Jil.
7, ms. 625.
[3] Al-Ramli,
Shams Al-Din Muhammad bin Abi al-‘Abās Ahmad. (1984). Nihāyah Al-Muḥtāj ila Sharḥ Al-Minhāj. Beirut, Lubnan: Dar Al-Fikr.
Jil 7, ms. 145
[4] Wahbah Al-Zuhayli, Al-Fiqh
al-Islāmī wa adillatuhu. Jil. 7, ms. 659; Aḥmad Bin Hajar al-’Asqalānī,
Fatḥ al-Bārī bī Sharḥ Saḥīh al-Bukhārī. (1959). Beirut, Lubnan: Dār
al-Makrifah. Jil. 9, ms. 485.
[5] Abū Abdullah Muhammad Bin Isma’il Al-Bukhārī Al-Ja’fi.
(1993). Ṣahīh al-Bukhārī, Peny.
Mustafa Dib al-Bughā. Damsyik, Syria: Dār
Ibn Katsīr. Hadis no. 1221. Jil. 5, ms. 2042; Abu Husayn Muslim Bin Al-Hajjāj
bin Muslim Al-Qushayrī Al-Nisāburī. (1915). Ṣaḥīh
Muslim. Turki: Dar Al-Tibā’ah Al-‘Amārah. Hadis no. 1486. Jil. 1, ms. 194.
[6] Wahbah Al-Zuḥaylī. (2011). Al-Mu’tamad Fi Al-Fiqh al-Shāfi’ī. Jil. 4, ms. 257.
[7] Wahbah
Al-Zuḥaylī. (2011). Al-Mu’tamad Fi
Al-Fiqh al-Shāfi’ī. Jeddah, Arab Saudi: Dār Al-Bashīr. Jil. 4, ms. 255.
[8] Muslim.
Ṣahīh Muslim. Hadis no. 1483. Jil. 4,
ms. 200.
[9]Abu Muḥamad Bin Aḥmad Bin Muḥamad Bin Qudāmah. (1997). Al-Mughnī. Riyādh, Arab Saudi: Dār
‘Ālam al-Kutub. Jil. 11. ms. 297; Abū Bakr Aḥmad bin Al-Ḥusayn bin Ali
Al-Bayhaqī. (2003). Al-Sunan Al-Kubra.
Beirut, Lubnan: Dār al-Kutub al-’Ilmiyyah. Hadis no. 15512. Jil. 7, ms. 717.
[10] Ḥanān Musallam Faṭal Yabrudī. Ahkām Al-ʻIddah fī Al-Fiqh Al-Islāmī wa Qanūn Aḥwāl Al-Syakhsiyyah
Al-Surī. ms. 115-119.
[11] Ibn Qudāmah. Al-Mughnī.
Jil. 11, ms. 297.
[12]JAKIM, “Garis Panduan Ber`Iddah Bagi Wanita Yang Bercerai
Atau Kematian Suami”. Dirujuk pada tarikh 17 Januari 2023 daripada https://www.islam.gov.my/en/guideline/479-garis-panduan-ber-iddah-bagi-wanita-yang-
bercerai- atau-kematian-suami