#2 Taudhih al-Hukmi : Solat Jumaat. ISu Mustautin dan Muqim Menurut Mazhab Shafi’i

Tarikh: 30 September 2022

Disediakan
oleh: Unit Penyelidikan

Pendahuluan

Antara persoalan yang sering diajukan oleh masyarakat adalah
berkaitan status solat Jumaat bagi masjid atau Surau Kebenaran Solat Jumaat di
kawasan yang tidak dapat dipastikan bilangan lelaki yang bermustautin dalam qaryah tersebut terutamanya di kawasan tumpuan pekerjaan.
Sehubungan itu, perbahasan ini akan mengupas secara ringkas berkaitan isu mustautin dan muqim dan perkaitannya dengan pelaksanaan solat Jumaat menurut
pandangan mazhab Shafi’i untuk dijadikan panduan kepada umat Islam.
                                                                                           

Perincian
Masalah

Terdapat dua isu utama berkaitan solat Jumaat, iaitu perkara
yang berkaitan dengan syarat sah solat Jumaat dan perkara yang berkaitan dengan
isu penduduk tetap yang muqim dan mustautin:[1]

i.                   
Syarat sah solat Jumaat
sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama adalah seperti berikut; (i)
dilaksanakan pada waktu Zohor; (ii) dilaksanakan secara berjemaah; (iii) solat
didahului dengan dua khutbah; (iv) dilaksanakan dalam balad atau qaryah; (v)
dilaksanakan oleh 40 orang lelaki (termasuk imam) yang merdeka, baligh, waras
dan bertaraf mustautin; dan (vi)
solat yang didirikan itu tidak didahului atau serentak dengan solat Jumaat lain
di qaryah atau balad yang sama.[2]

 

ii.                 
Perbahasan
berkaitan konsep muqim dan mustautin
.

Muqim ialah orang yang berniat untuk menetap di suatu balad selama 4 hari atau lebih tidak
termasuk hari masuk dan keluar. Termasuk orang dikira muqim juga ialah mereka yang berniat untuk kembali ke tanah air
atau kampung halamannya walaupun selepas suatu tempoh yang lama[3]
atau musim sejuk melainkan atas tujuan tertentu.[4]

Berdasarkan takrifan ini, dapat kita
fahami bahawa istilah mustautin ialah
penduduk tetap di suatu tempat, sedangkan muqim
pula ialah orang luar yang datang ke suatu tempat dan berniat untuk kembali ke
tempat asalnya.

Dalam hal ini, Imam al-Syirazi dalam al-Muhazzab mengatakan terdapat dua pandangan tentang status solat
Jumaat mereka yang muqim tanpa mustautin:

وَهَلْ
تَنْعَقِدُ بِمُقِيمِينَ غَيْرِ مُسْتَوْطِنِينَ فِيهِ وَجْهَانِ قَالَ أَبُو
عَلِيِّ بْنُ أَبِي هُرَيْرَةَ تَنْعَقِدُ بِهِمْ لِأَنَّهُ تَلْزَمُهُمْ
الجُمُعَةُ فَانْعَقَدَتْ بِهِمْ كَالمُسْتَوْطِنِينَ وَقَالَ أَبُو إِسْحَاقَ لَا
تَنْعَقِدْ

Maksudnya: Adakah orang yang mukim yang bukan mustatutin
memenuhi syarat pelaksanaan solat Jumaat? Dalam hal ini ada dua pendapat (wajh). Menurut Abu Ali Ibn Abi Hurairah,
solat Jumaat (orang yang muqim)
adalah memenuhi syarat pelaksanaan solat Jumaat kerana mereka wajib menunaikan
solat Jumaat sebagaimana orang yang mustautin.
Menurut Abu Ishaq pula, solat Jumaat (orang yang muqim) tidak memenuhi syarat pelaksanaan solat Jumaat.[5]

 

Meskipun begitu, Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab tatkala menyebutkan tentang kewajipan
solat Jumaat bagi enam golongan, berkata:

(السَّادِسُ)
مَنْ تَلْزَمُهُ وَتَصِحُّ مِنْهُ وَفِي انْعِقَادِهَا بِهِ خِلَافٌ وَهُوَ
الْمُقِيمُ غَيْرُ الْمُسْتَوْطِنِ

Maksudnya: Keenam: Golongan yang wajib menunaikannya dan sah
menunaikannya. Manakala berkenaan berlakunya solat Jumaat itu terdapat khilaf.
Golongan ini ialah muqim yang bukan mustautin.

فَفِيهِ الْوَجْهَانِ الْمَذْكُورَانِ فِي الْكِتَابِ
(أَصَحُّهُمَا) لَا تَنْعَقِدُ بِهِ

Maksudnya: Dalam hal ini ada dua pendapat (wajh) yang dinyatakan dalam kitab (yakni
al-Muhazzab). Pendapat yang paling
sahih (asahh) ialah solat Jumaat
tidak sah dengan golongan ini.[6]

 

Berdasarkan pandangan para ulama mazhab Shafi’i di atas,
terdapat perbezaan pendapat dalam menentukan golongan muqim termasuk dalam bilangan 40 orang yang wajib ada dalam
menunaikan Solat Jumaat. Pendapat yang asahh
(paling sahih) yang juga pendapat al-Nawawi menyatakan bahawa golongan muqim tidak termasuk dalam bilangan 40
orang jemaah yang wajib tersebut. Namun begitu, pendapat Abu Ali Ibn Abi
Hurairah pula menyatakan golongan muqim termasuk
dalam bilangan 40 orang jemaah tersebut. Pendapat ini lebih dekat kepada
realiti semasa.

 

Pengamalan
Solat Jumaat Di Selangor

Negeri Selangor merupakan salah satu negeri tumpuan
pekerjaan dalam pelbagai bidang, justeru ramai penduduk dalam dan luar Selangor
memilih untuk bekerja di Selangor. Kawasan Lembah Klang (LK) sebagai contohnya
merangkumi sebahagian negeri Selangor, seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
dan seluruh Wilayah Persekutuan Putrajaya merupakan tempat bekerja bagi
kebanyakan penduduk Malaysia dari segenap pelosok negeri dan juga penduduk
asalnya. Hal ini menyebabkan sebilangan penduduk negeri Selangor berulang-alik
dari tempat tinggal ke tempat kerja dengan jarak yang jauh sepanjang hari
bekerja termasuk hari Jumaat. Oleh itu, perbahasan tentang mustautin dan muqim menjadi
perkara yang perlu diambil perhatian.

Berbalik kepada pengamalan solat
Jumaat di negeri Selangor, solat Jumaat sah didirikan di masjid kariah atau
Surau Kebenaran Solat Jumaat.[7]
Berdasarkan pendapat yang masyhur di sisi mazhab Shafi’i, 40 orang jemaah
tersebut termasuk imam mestilah terdiri daripada golongan mustautin. Sehubungan itu, penduduk negeri Selangor yang bekerja di
luar kawasan kariahnya ini dikira sebagai muqim
dan bukan mustautin. Contohnya seperti individu
yang tinggal di Gombak tetapi bekerja dan menunaikan solat Jumaat di Shah Alam.

Secara asasnya, individu seperti
contoh di atas wajib
menunaikan solat Jumaat di kariahnya kerana dia mustautin di sana. Namun kekangan kerja di luar kariah membuatkan
dia menunaikan solat Jumaat di luar kariah dan hal ini menjadikan dia termasuk
dalam golongan muqim dan tidak
termasuk dalam 40 ahli Jumaat. Hakikatnya, contoh ini berlaku kepada ramai umat
Islam
sehinggakan situasi ini menyukarkan penentuan antara muqim dan mustautin dalam pelaksanaan solat Jumaat di kebanyakan tempat di
Selangor.

Berhubung
kesukaran yang dinyatakan di atas, pendapat
Abu Ali Ibn Abi Hurairah wajar untuk dijadikan sandaran
meskipun ia bukanlah pendapat yang paling sahih. Berdasarkan pendapat ini,
solat
Jumaat tetap sah dengan menjadikan golongan muqim
termasuk dalam 40 ahli Jumaat sebagaimana golongan mustautin. Kesannya, perkara ini mampu menghilangkan ketidakpastian
dan memudahkan pelaksanaan solat Jumaat.

 

Kesimpulan

Penetapan konsep muqim
dan mustautin ini wajar diberi
perhatian dengan mengambil kira teks terdahulu dan meraikan konteks semasa
terutamanya situasi yang berlaku di negeri Selangor sendiri, iaitu umum al-balwa atau yang juga dikenali
sebagai darurah al-ammah, iaitu
keadaan atau peristiwa yang dialami oleh ramai orang sehingga ia sukar untuk
dielakkan.[8]
Sehubungan itu, orang yang tinggal di negeri Selangor dan bekerja di luar
kariah tempat tinggalnya tetap termasuk dalam 40 orang ahli Jumaat, justeru dia
wajib melaksanakan solat Jumaat di mana-mana masjid berhampiran tempat dia
bertugas.

 



[1] Dalam beberapa kitab lain, istilah ini
diungkapkan dengan perkataan mutawattin.
Manakala dalam bahasa Melayu, ia diungkapkan dengan perkataan mastautin.

[2] Fath
al-Wahhab al-Malik fi Hall Alfaz ‘Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik
, Taha
‘Abd al-Hamid Hamadi, Dar al-Diya’, Beirut (2014), Jil. 1, ms. 613-616. al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa’il
al-Mufidah
, Hasan bin Ahmad al-Kaff, Dar al-Mirath al-Nabawi, Riyad (2003),
ms. 327-328.

[3] al-Taqrirat
al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidah
, Hasan bin Ahmad al-Kaff, Dar al-Mirath
al-Nabawi, Riyad (2003), ms. 324.

[4] al-Taqrirat
al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidah
, Hasan bin Ahmad al-Kaff, Dar al-Mirath
al-Nabawi, Riyad (2003), ms.324.

[5] al-Majmu’
Sharh al-Muhazzab
, Yahya bin Sharaf al-Nawawi. Dar al-Fikr, (1431 H), Jil.
4, ms. 502. Kenyataan al-Shirazi ini diambil daripada matan al-Muhazzab yang disyarahkan oleh
al-Nawawi.

[6] al-Majmu’
Sharh al-Muhazzab
, Yahya bin Sharaf al-Nawawi. Dar al-Fikr, (1431 H), Jil.
4, ms. 503.

[8] al-Mawsu’ah
al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah
, Jil. 31, ms.6.

Accessibility Toolbar