Tarikh: 16 Mac 2023
Disediakan oleh: Nor Hanani Ahmad
Pendahuluan
Perniagaan barangan
tiruan semakin berkembang luas di Malaysia dan luar negara. Ia melibatkan pelbagai jenis
barangan dan keperluan masyarakat yang dijual di pasaran terbuka dan
secara atas talian. Hakikatnya,
fenomena penjualan barangan tiruan
merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang negara di bawah undang-undang
harta intelek. Namun, barang tiruan ini tetap menjadi pilihan pengguna kerana
harganya yang rendah dan mudah dimiliki. Persoalannya, adakah penjualan dan
pembelian barangan tiruan ini dibenarkan oleh syarak?
Hukum Pembuatan Barang Tiruan dan Penjualannya
Barang tiruan ialah produk-produk
yang dibuat sama seperti produk asli atau menyerupai produk asal yang mempunyai
jenama yang sudah didaftarkan, dipatenkan serta dimiliki hak cipta oleh seseorang atau atas
nama perusahaan lain tanpa mendapat keizinan pemilik asal produk tersebut untuk
tujuan mengaut keuntungan[1].
Barang tiruan sangat sinonim dengan harga yang jauh lebih murah dan rendah
kualitinya tetapi dari segi jenama dan bentuknya yang sama seperti versi asli.
Tambahan pula, perbezaan ciri-ciri
barang tiruan dan barang asli kadangkala sukar dinilai dan dikenal pasti dengan
mata kasar. Antara jenis-jenis barang tiruan
yang banyak terdapat
di pasaran termasuklah
pakaian, makanan, ubat-ubatan,
alat ganti kereta,
jam tangan, alat
tulis, bahan petroleum,
barangan kulit, rokok,
arak, kasut, cermin
mata, barangan elektrik,
alat komunikasi, perkakasan
komputer, cakera optik dan pita video.
Situasi pembuatan barang tiruan ini
membuka peluang kepada mereka yang tidak bertanggungjawab menawarkan produk
tiruan sesuai dengan peningkatan permintaan pasaran semasa. Kesannya, perkara
ini menzalimi pemilik asal yang sudah berusaha mengeluarkan sesuatu produk yang
terhasil daripada idea, maklumat, rekaan dan modal yang dimiliki untuk
dikomersialkan dan dimanfaatkan oleh pengguna[2].
Maka dalam hal ini, ulama-ulama
kontemporari Islam dalam keputusan Persidangan Fiqh Islam Sedunia ke-6 di
Kuwait pada 1-6 Jamadil Awwal 1409 Hijrah telah memutuskan bahawa hak cipta dan
hak kreativiti merupakan harta intelek yang tidak boleh dicerobohi dan diciplak
oleh mana-mana individu [3].
Oleh itu, haram dan berdosa bagi seseorang yang membuat dan menjual barang
tiruan. Hanya pemilik asal berhak menjual, memberi dan mewarisi hak cipta
barangan tersebut. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’
ayat 29:
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰلَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ إِلَّاۤ
أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاض
Maksudnya: Wahai orang-orang yang
beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan
jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan
yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu
berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.
Berdasarkan ayat ini, mufassir
seperti Imam al-Syawkani (1250H/1835M) dan Ibnu Kathir (774H) menafsirkan ayat
ini menyatakan bahawa Allah SWT melarang hamba-Nya yang beriman daripada
memakan harta sesama mereka dengan cara yang batil[4] iaitu
dengan pelbagai perbuatan yang tidak patuh syariah seperti riba, judi dan
segala jenis helah[5].
Perkara ini termasuklah mencuri serta meniru perbuatan barangan orang lain
tanpa izin.
Di samping itu, larangan terhadap
pembuatan barangan tiruan dengan bertujuan untuk mengaburi dan menipu orang
ramai bagi mendapatkan keuntungan adalah dilarang. Ia juga disokong oleh hadis
Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah:
“[6]… وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا
Maksudnya: Sesiapa yang menipu maka dia bukan daripada
kalangan kami.
(Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis ini, istilah gash dijelaskan sebagai perbuatan menipu
yang mencampurkan antara perkara baik dengan buruk dan mencampurkan antara
halal dengan haram[7]
seperti pembuatan barang tiruan. Manakala istilah laisa minna pula, menurut Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim, merujuk kepada mereka yang tidak mematuhi
ajaran Rasulullah SAW[8].
Maka difahami bahawa pembuatan dan
penjualan barangan tiruan tanpa keizinan pemilik asal ini juga adalah merupakan
salah satu perbuatan batil. Dalil-dalil ini menunjukkan suatu larangan tegas
terhadap umat Islam daripada melakukan sebarang bentuk perbuatan helah bagi
mendapat keuntungan yang lebih dengan mencipta produk lain dengan cara mencuri
hak cipta orang lain dan menjual sesuatu yang bukan hak miliknya[9].
Bahkan dari sudut undang-undang,
pembuatan dan penjualan barangan tiruan ini merupakan satu kesalahan dan boleh
dikenakan tindakan di bawah undang-undang harta intelek seperti Akta Cap
Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 yang
ditetapkan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK).
Hukum Pembelian Barang Tiruan
Secara asasnya, hukum membeli
barangan tiruan adalah haram sama seperti hukum menjualnya kerana ia merupakan
perbuatan yang salah iaitu mengambil sesuatu daripada orang lain dengan jalan
yang tidak dibenarkan syarak[10].
Maka berdosa bagi mereka yang terlibat dengan jual beli barang tiruan ini
melainkan sekiranya mereka tidak mengetahui. Namun, dari segi akad, jual beli
barang tiruan adalah sah sekiranya ia mencukupi rukun dan syarat jual beli.
Pembeli juga dianggap sebagai
bersubahat dengan mereka yang mencuri hak cipta orang lain. Firman Allah SWT
dalam Surah al-Maidah ayat 2:
وَتَعَاوَنُوا
عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu
bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu
bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan
bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya
(bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).
Maka, dalam konteks barangan tiruan,
apabila diharamkan pembuatan dan penjualan barang tiruan, maka diharamkan juga
pembelian barang tiruan tersebut. Justeru, adalah disarankan kepada pembeli
agar berjaga-jaga semasa membeli barangan supaya tidak terlibat dengan perkara
yang diharamkan serta salah di sisi undang-undang negara.
Kesimpulan
Pembuatan dan penjualan barangan
tiruan sebagai helah untuk mendapat keuntungan dan
kepentingan peribadi dengan mencuri hak cipta orang lain tanpa izin pemilik
asal adalah dilarang dalam Islam. Mereka yang terlibat dengan aktiviti
ini sama ada
sebagai pembuat, penjual atau pembeli yang dilakukan dengan sengaja
adalah berdosa kerana sudah sedia maklum bahawa
produk tersebut adalah tiruan yang bukan sahaja menyalahi tuntutan syarak serta
menyalahi undang-undang hak cipta yang ditetapkan oleh negara.
[1] Dahlan, Nur
Khalidah, and Nurdiana Rosmin. (2002). “Penguatkuasaan Undang-undang dalam
Isu Penjualan Barang Tiruan: Perbandingan antara Malaysia dengan United
Kingdom.” Kanun: Jurnal
Undang-undang Malaysia 34, no. 1, 75-96.
[2] Hamzah, Azizah, and Siti Ezaleila Mustafa. (2009).
“Hak Cipta Harta Intelektual: Kesedaran dan Perlindungannya di
Malaysia.”, Jurnal Pengajian Media
Malaysia, vol.10, no. 1.
[3] Majma’ Fiqh al-Islāmīy, https://iifa-aifi.org/ar/;
Wahbah bin Muṣṭafā Al-Zuḥailī. (2012). Al-Fiqh
Al-Islāmi wā Adillatuh. (Damsyik: Dār Al-Fikr), Jil. 7, ms. 5077.
[4] Muḥammad bin
‘Alī bin Muḥammad bin ‘Abd Allah al-Syawkānī al-Yamānī. (1993). Fatḥ al-Qadīr, (Beirut: Dār Ibn
Kathīr). Jil. 1, ms. 526.
[5] Abū al-Fida’ Ismāil bin ‘Umar bin Katsir Al-Quraisy
Al-Baṣri. (1999). Ibn Katsir, Tafsīr
Al-Qurān al-’Aẓīm, (Beirut: Lubnan: Dār al-Kutub Ilmiyyah), Jil. 2, ms. 268.
[6] Abū
al-Ḥusayn Muslim bin al-Hujaj bin Muslim al-Qusyairī al-Naysābūrī, Ṣaḥīḥ Muslim, (Turki: Dār al-Tabaā’ah
al-Amirah, 1916), No. 101, Jil. 1, ms. 69.
[7] Muḥammad Alī
al-Shafi’i, Dalīl al-Fāliḥīn Lil Ṭariq
Riyāḍ as-Ṣāliḥīn, (Beirut: Lubnan, Dār al-Ma’rifah, 1425H/2004M), Jil. 8,
ms. 422.
[8] Abu Zakaria Muḥy al-Dīn Yaḥya bin Syarf al-Nawawī, Manhaj Syarḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin al-Hujaj,
(Beirut: Dār Iḥya’ al-Turāth al-’Arabi, 1392), Jil. 1, ms. 109.
[9] ‘Ali bin Muḥammad, Abū al-Ḥassan Nur al-Dīn al-Qari.
(1985). Syarḥ Musnad Abī Ḥanifah,
(Beirut: Lubnan: Dār al-Kutub Ilmiyyah), Jil. 1, ms. 236.
[10] Yūsuf al-Qaraḍāwī. (2012). al-Ḥalāl wā al-Ḥarām fī al-Islām,
(Kaherah: Maktabah Wahbah), ms. 300.