Tarikh: 9 September 2022
Disediakan oleh: Unit Penyelidikan
Pendahuluan
Kebiasaannya seseorang akan
mengangkat tangan ketika berdoa. Secara asasnya, mengangkat tangan ketika
berdoa ini menjadi sebahagian adab yang dituntut berdasarkan sunnah Rasulullah
SAW. Persoalannya, adakah mengangkat tangan ketika khatib membaca doa termasuk
dalam tuntutan ini atau sebaliknya?
Untuk memahami perbahasan ini,
mengangkat tangan ketika berdoa itu terbahagi
kepada tiga kategori berikut:
- Doa yang dituntut untuk mengangkat tangan padanya
Hal ini berdasarkan riwayat
daripada Anas bin Malik:
أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ
صلى الله عليه وسلم كَانَ لاَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ فِي شَىْءٍ مِنْ دُعَائِهِ إِلاَّ
فِي الاِسْتِسْقَاءِ حَتَّى يُرَى بَيَاضُ إِبْطَيْهِ
Maksudnya: Sesungguhnya
Nabi SAW tidak mengangkat tangan baginda pada doa-doa baginda melainkan pada
istisqa’, sehingga jelas kelihatan putihnya dua ketiak baginda SAW[1]
Imam al-San’ani
dalam kitabnya Subul al-Salam mensyarahkan hadis ini dengan menyatakan sunat mengangkat
tangan ketika berdoa seperti berikut[2];
وَفِي الحَدِيثِ
دِلَالَةٌ عَلَى اسْتِحْبَابِ رَفْعِ اليَدَيْنِ فِي الدُّعَاءِ وَالأَحَادِيثُ
فِيهِ كَثِيرَةٌ
Maksudnya: Hadis ini menunjukkan sunat mengangkat
tangan ketika berdoa dan terdapat banyak riwayat hadis lain tentangnya.
- Doa yang tidak dituntut mengangkat tangan
padanya
Terdapat beberapa tempat
yang dikenal pasti bahawa Rasulullah SAW tidak mengangkat tangan ketika berdoa
terutamanya di dalam solat seperti doa istiftah, doa ketika sujud, doa antara
dua sujud dan doa selepas tasyahud akhir.
Walau bagaimanapun,
dalam hal mengangkat tangan ketika doa qunut, para ulama berselisih pendapat.
Pendapat yang masyhur di sisi mazhab al-Shafi‘i menurut al-Nawawi[3]
menyatakan mengangkat tangan ketika witir dan solat subuh adalah sunnah
berdasarkan riwayat Anas bin Malik:[4]
فَلَقَدْ رَأَيْتُ
رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ كُلَّمَا صَلَّى
الْغَدَاةَ رَفَعَ يَدَيْهِ يَدْعُو عَلَيْهِمْ
Maksudnya: Aku telah melihat Rasulullah SAW setiap kali
solat subuh, beliau mengangkat tangan dan berdoa.
- Doa yang tidak terdapat anjuran mengangkat tangan dan
tidak pula dilarang
Para ulama
mengharuskan untuk mengangkat tangan ketika berdoa bagi doa yang tidak
terdapat dalil yang menunjukkan sama ada Rasulullah SAW mengangkat tangan atau
tidak. Kategori ini termasuk dalam majoriti doa-doa
umum yang dibacakan seperti doa makan, doa tidur, doa masuk tandas dan
sebagainya. Kenyataan ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan
oleh Salman al-Farisi RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ
يَسْتَحِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا
خَائِبَتَيْنِ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah itu Maha Pemalu dan Maha Pemurah. Dia malu sekiranya
seorang lelaki itu mengangkat tangan ke arah-Nya (dalam berdoa), lalu Dia
membiarkan kedua-dua tangan tersebut kosong dan tertolak.[5]
Kategori ini mengambil
makna umum daripada hadis riwayat Salman al-Farisi RA[6] yang
menjadikan asas dalam berdoa adalah tanda menzahirkan kerendahan jiwa serta menimbulkan rasa
hina diri seorang hamba di hadapan Allah SWT. Meskipun
begitu, tidak salah jika seseorang berdoa tanpa mengangkat kedua-dua tangannya bagi doa
kategori ini.
Mengangkat
Tangan Ketika Khatib Membaca Doa
Terdapat
dua pendapat para ulama dalam menjelaskan isu
ini;
i.
Pendapat pertama: Sunat
tidak mengangkat tangan ketika berdoa kecuali bagi solat istisqa’ (solat meminta
hujan diturunkan) menurut sebahagian ulama
mazhab Hanbali dan Maliki. Imam al-Buhuti (1015H) dalam hal ini menyatakan dalam kitabnya:[7]
(وَ)يُسَنُّ أَنْ
(يَدْعُوَ لِلْمُسْلِمِينَ) لِأَنَّ الدُّعَاءَ لَهُمْ مَسْنُونٌ فِي غَيْرِ
الخُطْبَةِ، فَفِيهَا أَوْلَى…
(وَيُكْرَهُ لِلْإِمَامِ رَفُعُ يَدَيْهِ حَالَ الدُّعَاءِ فِي
الخُطْبَةِ)
Maksudnya: Dan disunatkan berdoa bagi para Muslimin selain ketika
khutbah … dan makruh bagi imam mengangkat tangannya ketika berdoa dalam
khutbah.
Pendapat ini berdasarkan
beberapa hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW mengangkat tangan ketika berdoa.
Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:
أَنَّ نَبِيَّ
اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لاَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ فِي شَىْءٍ
مِنْ دُعَائِهِ إِلاَّ فِي الاِسْتِسْقَاءِ حَتَّى يُرَى بَيَاضُ إِبْطَيْهِ
Maksudnya: Sesungguhnya
Nabi SAW tidak mengangkat tangan baginda dalam doa-doa baginda melainkan ketika
istisqa’ sehinggakan jelas kelihatan kedua-dua belah
ketiak baginda SAW yang putih.[8]
Menurut pendapat ini,
mengangkat tangan ketika khatib membaca doa termasuk dalam kategori doa yang
imam dan makmum tidak
perlu mengangkat tangan. Pendapat ini disokong oleh
riwayat hadis lain apabila ‘Umarah bin
Ruwaibah mengkritik perbuatan Bishr bin Marwan mengangkat tangan ketika khutbah
Jumaat bahawa ia tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.[9]
Daripada Husayn bin Abd al-Rahman al-Sulami katanya:[10]
كُنْتُ إِلَى جَنْبِ عُمَارَةَ بْنِ رُوَيْبَةَ
السُّلَمِيِّ وَبِشْرٌ يَخْطُبُ، فَلَمَّا
دَعَا رَفَعَ يَدَيْهِ، فَقَالَ عُمَارَةُ: قَبَّحَ اللهُ هَاتَيْنِ اليَدَيْنِ
رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَخْطُبُ إِذَا
دَعَا يَقُولُ هَكَذَا وَرَفَعَ السَّبَّابَةَ وَحْدَهَا.
Maksudnya: Aku berada
disamping ‘Umarah bin Ruwaibah ketika Bishr bin Marwan sedang berkhutbah. Bishr
berdoa dengan mengangkat kedua-dua tangannya. Lalu ‘Umarah berkata, “Semoga
Allah SWT memburukkan kedua-dua tangannya, aku
telah melihat Rasulullah SAW mengangkat tangan baginda tidak lebih dari ini dan mengisyaratkan jari telunjuknya.
ii.
Pendapat kedua: Sunat
mengangkat tangan ketika khatib membacakan doa. Ibn Hajar al-Haytami (974H) apabila
ditanyakan tentang mengangkat tangan ketika khatib berdoa, beliau menyangkal pandangan mereka yang mengkhususkan
mengangkat tangan ketika doa istisqa’ sahaja. Dalam al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra beliau menyebut:[11]
رَفْعُ اليَدَيْنِ سُنَّةٌ فِي
كُلِّ دُعَاءِ خَارِجِ الصَّلَاةِ وَنَحْوِهَا وَمَنْ زَعَمَ أَنَّهُ – صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – لَمْ يَرْفَعْهُمَا إِلَّا فِي دُعَاءِ
الاِسْتِسْقَاءِ فَقَدْ سَهَا سَهْوًا بَيِّنًا وَغَلَطَ غَلْطًا
فَاحِشًا…وَعِبَارَةُ العُبَابِ مَعَ شَرْحِي لَهُ (يُسَنُّ لِلدَّاعِي خَارِجَ
الصَّلَاةِ رَفْعُ يَدَيْهِ الطَّاهِرَتَيْنِ) لِلاِتِّبَاعِ رَوَاهُ الشَّيْخَانِ
وَغَيْرُهُمَا مِنْ طُرُقٍ كَثِيرَةٍ صَحِيحَةٍ فِي عِدَّةِ مَوَاطِنِ مِنْهَا
الاِسْتِسْقَاءُ وَغَيْرُهُ كَمَا بَيَّنَهَا فِي المَجْمُوعِ…وَقَالَ مَنْ
ادَّعَى حَصْرَهَا فَهُوَ غَالِطٌ غَلْطًا فَاحِشًا.
Maksudnya: Sunat
mengangkat tangan pada setiap doa di luar solat dan seumpamanya. Sesiapa
yang mendakwa baginda SAW tidak mengangkat
tangan kecuali pada doa istisqa’, maka orang itu jelas sudah alpa dan
melakukan kesalahan yang jelek…Teks al-‘Ubab berserta syarahku
menyatakan bahawa (sunat bagi orang yang
berdoa di luar solat untuk mengangkat kedua-dua tangannya yang suci
untuk mengikuti perlakuan baginda berdasarkan riwayat
syaikhan (al-Nawawi dan al-Rafi‘i) dan
selainnya daripada jalan periwayatan yang banyak dalam kitab al-Majmu’... Dan bagi
mereka yang mendakwa ia terbatas kepada istisqa’, ia adalah anggapan yang
salah.
Pendapat ini mengambil
makna umum hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW mengangkat tangan ketika
berdoa. Perbuatan mengangkat tangan ketika berdoa merupakan kunci bagi termakbulnya doa. Antara dalilnya adalah berdasarkan hadis daripada
Salman RA bahawa Rasulullah SAW bersabda[12]:
إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ
يَسْتَحِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا
خَائِبَتَيْنِ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah itu Maha Pemalu
dan Maha Pemurah. Dia malu sekiranya seorang lelaki itu mengangkat tangan ke
arah-Nya (dalam berdoa), lalu Dia membiarkan kedua tangan tersebut kosong dan
tertolak.[13]
Berdasarkan
pendapat-pendapat yang diutarakan, terdapat banyak riwayat yang sabit
bahawa Rasulullah SAW mengangkat tangan ketika berdoa. Akan tetapi, hadis Anas
RA menerangkan bahawa Rasulullah SAW tidaklah mengangkat
tangan terlalu tinggi sehingga menampakkan putih ketiak baginda melainkan ketika istisqa’.
Hal ini menunjukkan dalam keadaan lain,
Rasulullah SAW juga mengangkat tangan ketika berdoa dan kesungguhan itu
terlihat lebih jelas apabila Rasulullah SAW mengangkat tangan lebih tinggi pada
doa istisqa’ daripada keadaan lain. Menurut Ibn Rajab al-Hanbali
(795H), perbezaan riwayat hadis tentang
mengangkat tangan menunjukkan perbezaan keadaan
Rasulullah mengangkat tangan dalam berdoa.[14]
Berkenaan riwayat hadis ‘Umarah bin
Ruwaibah yang mengkritik perbuatan Bishr bin Marwan mengangkat tangan ketika
khutbah Jumaat, Imam Nawawi menukilkan pendapat Imam Malik dan ashab mazhab Shafi‘i dalam menerangkan
hal ini dengan menyatakan bahawa larangan ini khusus kepada imam, manakala
jemaah yang mendengar khutbah tidak termasuk dalam larangan ini.[15]
Kesimpulan
Mengangkat
tangan ketika khatib membaca doa termasuk dalam kategori doa yang tidak ada
anjuran mengangkat tangan dan tiada pula larangan padanya. Maka, disunatkan bagi makmum untuk
mengangkat tangan ketika khatib membaca doa dengan mengambil makna umum hadis
riwayat Salman al-Farisi RA dan selainnya.
Perkara ini bertepatan dengan asas berdoa sebagai
tanda kerendahan jiwa seorang hamba di hadapan
Allah SWT.
[1] Abu al-Husayn Muslim bin al-Hajjaj
al-Qushairi al-Naisaburi,
Sahih Muslim, Kitab Salah al-Istisqa’, Bab Raf’ al-Yadain bi
al-Du‘a fi al-Istisqa’, no. hadis 895, Jil. 2, ms. 612.
[2] Muhammad bin Ismail bin Salah bin Muhamad al-San’ani, Subul al-Salam, (Dar al-Hadith: Kaherah, Mesir),
Jil. 2, ms. 708.
[3] Abu Zakariyya Muhyi al-Din bin Sharaf al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhadzdzab, (Dar al-Fikr: Amman,
Jordan), Jil. 3, ms. 500.
[4] Sulayman bin Ahmad bin Ayyub al-Lakhmi al-Shami, Abu al-Qasim al-Tabarani, al-Mu’jam al-Saghir,
(al-Maktab al-Islami:
Dar Ammar, Beirut, Lubnan), Jil. 1, ms. 324.
[5] Hadis riwayat Salman al-Farisi ini dinilai hasan gharib oleh Imam al-Tirmidzi;
Muhamad bin Isa bin Sawrah al-Tirmidzi (279H), Sunan al-Tirmidzi, (Syarikat Maktabah wa Matba’ah Mustafa al-Babi
al-Halabi: Mesir), Abwab al-Da’awat, no. hadis: 3665, Jil. 5, ms. 556.
[6] al-Tirmizi, Sunan al-Tirmidzi, Op.cit, Abwab al-Da’awat,
no. hadis: 3665, Jil. 5, ms. 556.
[7] Mansur Bin Yunus al-Buhuti al-Hanbali, Kashaf al-Qina’ ‘an al-Iqna’, (Wizarah al-Adl: Arab Saudi), Jil. 3, ms. 356-357.
[8] Muslim, Sahih
Muslim, Op. cit,.
[9] Muhammad al-Amin al-Harari, al-Kawkab al-Wahhaj wa al-Raud al-Bahhaj fi Sharh Sahih Muslim bin Hajjaj, (Dar al-Minhaj: Jeddah,
Mekah), Jil. 10, ms. 356.
[10] Muslim, Sahih
Muslim, Kitab al-Salah,
Bab Takhfif al-Salah wa al-Khutbah no. hadis: 874, Jil. 2, ms. 595.
[11] Ahmad bin Muhamad bin Ali bin Hajar al-Haytami, al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, (al-Maktabah al-Islamiyyah:
Beirut, Lubnan), jil. 1, ms. 252.
[12] Hadis ini hasan
gharib menurut al-Tirmidzi;
al-Tirmidzi, Sunan al-Tirmidzi, Op.cit,
Abwab al-Da’awat, no. hadis: 3556, Jil.
5, ms. 556; Sulayman
al-Ash’ath al-Sijistani, Abu Dawud, Sunan
Abi Dawud, (Matba’ah al-Ansari Bidahli,
India), no. hadis: 1488, Jil. 1, ms. 553.
[13] Hadis riwayat Salman al-Farisi ini dinilai hasan gharib oleh Imam al-Tirmidzi;
Muhamad bin Isa bin Sawrah al-Tirmidzi (279H), Sunan al-Tirmidzi, (Syarikat Maktabah wa Matba’ah Mustafa al-Babi
al-Halabi: Mesir), Abwab al-Da’awat, no. hadis: 3665, Jil. 5, ms, 556.
[14] Zayn al-Din Abd al-Rahman bin
Ahmad Bin Rajab al-Hanbali, Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, (Maktabah al-Gharb al-Athariyyah:
Madinah), Jil. 9, ms. 219.
[15] Abu Zakariyya Muhyi al-Din Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Minhaj Sharh Sahih Muslim (Dar Ihya’
al-Turath al-‘Arabi: Beirut, Lubnan), Jil. 6, ms. 126.