Selangor bakal perkenal 3 zon waktu pada 2018

SHAH ALAM, 6 MEI: Usaha meningkatkan ketepatan waktu giat dijalankan Jabatan Falak, Jabatan Mufti Selangor bagi meningkatkan kesempurnaan ibadah umat Islam di negeri itu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata, kajian itu bakal menjadikan Selangor mempunyai tiga zon waktu bermula pada 2018. 

“Apabila diperkenalkan dengan penelitian yang baik, Selangor dilihat perlunya ada tiga zon waktu yang berbeza kerana kita melihat kepada tempoh waktu yang agak panjang.

“Apabila diperkenalkan pada 2018 nanti, maka ini juga suatu perkara yang baik kerana keperluan kontemporari pada masa ini,” katanya pada Majlis Perasmian Konvensyen Falak Selangor di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini, hari ini.

pic news

Jelasnya, keperluan tiga zon waktu itu bakal memberi impak khususnya bagi menentukan waktu solat, berbuka puasa dan imsak yang akan memberi jarak waktu yang lebih baik.

Katanya, langkah itu juga selaras dengan kajian dan cadangan sarjana astronomi Islam di peringkat antarabangsa.

Sebelum itu, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid memberitahu pada 2016 Bahagian Falak, Jabatan Mufti Selangor telah melaksanakan penentuan dan pengesahan arah kiblat bagi sembilan masjid, 79 surau, 50 surau solat Jumaat, 36 tanah perkuburan dan 318 pelbagai premis lain.

Sumber:  selangorkini.my

Accessibility Toolbar