Waktu Zuhur merupakan waktu solat pertama yang diajarkan oleh Jibril AS kepada Nabi Muhammad SAW selepas Rasulullah SAW menerima perintah mendirikan solat pada malam Israk dan Mikraj. Waktu Zuhur bermula dengan gelincirnya Matahari. Firman Allaw SWT dalam surah al-Isra’ ayat 78:
أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِدُلُوكِ ٱلشَّمْسِ إِلَىٰ غَسَقِ ٱلَّيْلِ وَقُرْءَانَ ٱلْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْءَانَ ٱلْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًۭا
Dirikanlah solat dari sesudah Matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) Subuh. Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan (oleh malaikat).
Gelincir Matahari bermula sebaik sahaja seluruh cakera Matahari melepasi meridian tempatan. Meridian tempatan adalah garisan tengah langit bagi sesuatu tempat yang memisahkan antara Timur dan Barat. Kedudukan matahari tepat di garisan meridian tempatan dinamakan transit atau istiwa’. Pergerakan keseluruhan bulatan matahari ke arah Barat daripada kedudukan istiwa’ dinamakan gelincir Matahari atau zawal.